Pengalaman Haji Bersama Anak-anak

haji

Gambar di khemah Eropah Mina

Setiap tahun sejak tujuh tahun yang lalu, akan ada mesej yang saya terima bertanyakan tentang pengalaman mengerjakan Haji bersama anak-anak. Haji sebagai pengalaman sekali seumur hidup bagi kebanyakan daripada kita tentulah didoakan agar Mabrur penerimaannya di sisi Allah SWT dan sempurna setiap amalannya. Adanya anak-anak dikhuatiri akan lebih merumitkan kerja Haji dan mengganggu ibadah di sana.

Jawapan yang akan saya berikan kepada yang bertanya adalah petikan dari Hadith Qudsi “Aku adalah sepertimana sangkaan hambaKu” .

“Bersangka baiklah dengan Allah”, nasihat sahabat saya di Malaysia yang membawa 4 orang anak beliau menunaikan Haji pada tahun 2008, dua tahun sebelum kami ke sana.

Anak-anak saya berusia 13, 10 dan 7 tahun ketika itu. Pengalaman Haji kami adalah agak berbeza. Menunaikan Haji dari London kerana menetap di sana ketika itu*, kami pergi tanpa harapan yang tinggi kepada manusia. Kami pergi tanpa harapan yang tinggi agar segala urusan perjalanan adalah sempurna.

Kami sedar langkah kami akan lebih perlahan berbanding orang lain. Langkah anak-anak tidak sepantas orang dewasa namun semangat mereka sangat tinggi. Kami bersedia untuk menjadi yang terakhir untuk menaiki bas, bersedia menjadi yang terakhir untuk sampai di dewan makan, bersedia menjadi yang terakhir tiba di Masjidil Haram untuk solat, bersedia menjadi yang terakhir untuk sampai ke Jamrah dari Mina untuk melontar, bersedia menjadi yang terakhir selesai mengerjakan tawaf, bersedia menjadi yang terakhir berangkat dari Arafah ke Muzdalifah, bersedia menjadi yang terakhir selesai kerja Haji, bersedia menjadi yang terakhir mengerjakan tawaf wida’, dan bersedia menjadi yang terakhir menaiki kapal terbang kembali ke London. Itulah ‘optimism’ kami. Kami redho menjadi yang terakhir kerana adanya anak-anak.

Peringatan yang kami terima daripada penganjur Haji di London sebelum berangkat, “Walau bagaimana sempurna sekalipun perancangan kita dalam mengerjakan Haji, perancangan Allah mengatasi segala perancangan manusia. Kita perlu redho”.

Benarlah.

Kami tidak selalunya menjadi yang terakhir. Malah ada ketikanya kami menjadi Jemaah yang di hadapan sekali. Kami mendapat kelebihan kerana kami membawa anak-anak. Ramai jemaah, mahupun dalam kumpulan kami ataupun yang tidak kami kenali, ringan menghulurkan bantuan kerana anak-anak. Subhanallah. Sesungguhnya pertolongan itu semua datangnya daripada Allah kerana kebergantungan kita ketika berada di antara berjuta-juta manusia itu hanyalah kepada Allah semata-mata.

Dan anak-anak….mereka sangat gembira berada di sana. Mereka dilayan dengan baik oleh semua. Orang Arab yang kita katakan kasar itu umumnya suka melayan kanak-kanak. Begitu juga bangsa (dari negara asal) Pakistan, Bengali, Bangladesh, Iran, Palestin, Morocco, Mauritius, Afrika Selatan yang berada dalam rombongan kami, semuanya melayan anak-anak kami dengan sangat baik. Anak kami yang merengek mengantuk dipujuk dan diusap mereka. Anak kami yang letih berjalan berhimpit dari Muzdalifah ke Mina diberikan kerusi roda oleh seorang tua kerana kasihan melihat anak kami. Anak yang menangis ditolak ketika tawaf diberikan gula-gula. Anak yang lapar diberikan bahagian makanan jemaah lain. Begitulah indahnya layanan orang dewasa kepada kanak-kanak di sana. Begitu jugalah sepatutnya layanan orang dewasa terhadap kanak-kanak di mana-mana dan bila-bila masa.

Namun ujian mengerjakan Haji tetap ada. Mana mungkin hidup tanpa ujian. Pengalaman setiap jemaah ketika mengerjakan Haji adalah berbeza-beza. Setiap tetamu Allah merasai pengalaman unik yang hanya disediakan untuk mereka oleh Allah SWT.

Apabila bertanya anak-anak apakah pengalaman terindah mereka ketika Haji, mereka akan menjawab ketika berada di Mina selama 3 hari. Walaupun keadaan di Mina bersesak dengan manusia, walaupun berjalan kaki dari khemah ke Jamrah beberapa kali adalah memenatkan, walaupun terpaksa beratur panjang untuk ke tandas di Mina, namun di situlah pengalaman terindah mereka. Subhanallah.

“Bersangka baiklah dengan Allah.”

Allah SWT berfirman:

“Aku adalah sepertimana sangkaan hambaKu, dan Aku bersama dengannya ketika ia mengingati Aku. Jika ia ingat kepadaKu di dalam hatinya, Aku ingat kepadanya di dalam hatiKu. Dan jika ia ingat kepadaKu di khalayak ramai, nescaya Aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai lebih baik. Dan jika ia mendekati kepadaKu sejengkal,Aku pun mendekatinya sehasta. Dan jika ia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan jika ia datang kepadaKu berjalan, maka Aku datang kepadanya sambil berlari.”

Hadith Qudsi diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Ibn Majah.

*hanya pemegang paspot Malaysia yang mempunyai visa menetap (bekerja atau belajar, bukan pelawat) sahaja layak mendapat visa Haji di UK.

*Nota: sekiranya berminat untuk membaca secara lebih terperinci pengalaman 21 hari kami mengerjakan haji dengan anak-anak, bolehlah membaca siri penuh 16 artikel di bawah;

1. Jemputan Khas Julai-2010

2. Selamat Berangkat Ke Tanah Suci

3. Jeddah Ke Madinah

4. 5 Hari Di Kota Rasulullah SAW

5. Madinah – Masjid Nabawi

6. Madinah Ke Makkah

7. Shisha Dan Hari Tarwiyah

8. Wukuf Di Arafah

9. Mabit Di Muzdalifah

10. Melontar Jamrah Aqabah

11. Sembelihan Dan Bercukur

12. Bermalam Di Mina 11 Zulhijjah Dan Tawaf Serta Saie Haji

13. Melontar 11 Zulhijjah Dan Bermalam Di Mina 12 Zulhijjah

14. Melontar 12 Zulhijjah Dan Bermalam Di Mina 13 Zulhijjah

15. Melontar Kali Terakhir 13 Zulhijjah Dan Berakhirnya Ibadah Haji

16. Seminggu Di Makkah Al-Mukarramah

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s