Jemputan Khas – Julai-2010 (Siri Haji Bersama Anak-anak)

Julai-2010, kami sekeluarga menerima jemputan paling istimewa. Hati ini bagai dipanggil-panggil untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5. Memang tidak pernah kami jangka bahawa pemergian kami ke tanah suci untuk menunaikan ibadah Haji adalah dari bumi England yang Islamnya masih dagang berbanding dengan Malaysia. Malah, yang lebih indah lagi, kami dijemput sekeluarga dan tidak perlu meninggalkan anak-anak dalam menunaikan urusan Haji ini. Bercampur-baur rasa teruja dan perasaan risau memikirkan apa yang bakal kami hadapi kelak. Ramai juga rakan-rakan yang mencadangkan agar kami meninggalkan anak-anak yang berusia, 13, 10 dan 7 tahun semasa menunaikan ibadah Haji. Malah, ada juga yang menawarkan untuk menjaga anak-anak kami semasa pemergian kami. Tawaran ikhlas itu kami sambut dengan ucapan terima kasih…tetapi kami tetap dengan perancangan asal. Perancangan yang timbul pada saat hati-hati kami mula diajak ke tanah suci…sambil berdoa dan berharap yang terbaik dari-Nya.

BHUS
Selepas meneliti dan menelefon beberapa ejen pelancongan yang juga menyediakan pakej-pakej haji di UK ini, maka pada 16-Julai 2010, kami mengambil keputusan nekad, disertai doa dan harapan, untuk mendaftar dan sekaligus membayar deposit pakej Haji bersama ‘British Hajj & Umrah Services (BHUS)’ yang berpejabat di Preston, England.
Urusan selanjutnya dengan BHUS sehinggalah tarikh penerbangan lebih banyak melalui email dan beberapa panggilan telefon sahaja. Kadang-kadang terasa risau dan ragu juga, terutamanya apabila seorang rakan sepejabat yang juga mahu menunaikan Haji menceritakan pandangan agak pessimistik beliau setelah menelefon dan bertanyakan maklumat dari pihak BHUS. Namun, kami meletakkan sepenuhnya harapan kepada Allah SWT. Usaha mencari dan memilih ejen telah kami lakukan dengan sebaiknya dan memang BHUS‘lah yang menyediakan pakej yang dirasakan bersesuaian dengan keperluan kami sekeluarga.
Pakej yang kami pilih, berdasarkan jumlah cuti tahunan yang masih berbaki dan juga atas saranan Brother Sabbir dari BHUS, adalah pakej 19 Hari, 4 Bintang di Madinah dan 5 Bintang di Makkah. Masih jelas di ingatan kata-kata beliau, ‘Brother, trust me, this will be the most suitable package for you and your family. In fact, I am doing the same package as well.’ BHUS menyediakan pelbagai pakej Haji bagi tahun ini dari pakej untuk professional yang tidak mendapat cuti yang panjang berupa pakej Haji selama 8 hari sehinggalah pakej Haji selama 29 hari. Malah antara yang menjadi tarikan kepada kami adalah itinerari pakej tersebut yang bermula dengan penerbangan terus dari London ke Madinah dan kemudian berada di Madinah selama 4 malam sebelum berlepas dengan bas ke Makkah. Harapan kami, penerbangan terus ke Madinah, insya-Allah akan dirasakan mudah oleh anak-anak.
Tak semena-mena, laungan,
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ
sering terngiang-ngiang di pemikiran. Perasaan risau secara perlahan-lahan berganti dengan rasa teruja dan keinginan yang amat sangat untuk memenuhi jemputan ini. Jarak masa kurang 4 bulan menjelang Dzul-Hijjah dirasakan terlalu lama…tetapi sebenarnya banyak sekali persiapan yang perlu kami laksanakan dalam jangka waktu yang sebenarnya agak singkat tersebut.
Persiapan kami mulakan dengan panggilan telefon ke tanahair memberitahu ibubapa kami tentang perancangan kami ini dan memohon doa mereka berempat agar segalanya berjalan lancar. Kemudian sibuk pula mencari sumber-sumber rujukan Ibadah Haji berupa buku-buku, CD dan juga video-video di internet. Salah satu sumber yang paling kerap kami rujuk adalah ceramah kursus Haji oleh Ustaz Syed Nazmi Tuan Taufek di laman Youtube. Selain itu, buku-buku rujukan dari Lembaga Tabung Haji, set VCD kursus Haji Ustaz Daud Che Ngah (belajar ikat kain Ihram dari sini) dan yang terakhir buku bahasa Inggeris yang disarankan oleh seorang rakan pejabat kira-kira seminggu sebelum berlepas, bertajuk ‘Getting the Best out of Al-Hajj’ yang sangat menarik kerana isinya yang bukan sekadar membincangkan tentang perlaksanaan ibadah Haji, tetapi juga persediaan-persediaan lain dan juga tip-tip yang sangat praktikal.
bukuhajj
Semasa pulang bercuti ke Malaysia sempena menyambut Hari Raya Aidil-Fitri, rakan baik menyarankan (malah menghadiahkan) CD haji oleh Ustaz Kazim yang juga kami dengar berulang-ulang-kali. Selain itu kami juga banyak bertanya kepada rakan-rakan yang berpengalaman mengerjakan ibadah Haji bersama-sama dengan anak-anak kecil. Peluang berada di Malaysia juga kami gunakan sepenuhnya untuk membeli barang-barang kelengkapan ibadah Haji berupa kain ihram, jubah wanita, tikar lipat serbaguna dan sebagainya sehingga penuh sebuah beg besar.
Setelah kembali semula ke London selepas Aidil-Fitri, persediaan diteruskan dengan pembacaan dan perbincangan sekeluarga. Malah pada pagi hari-hari minggu, biasanya kami mengadakan ‘kursus haji mini’ di rumah bersama anak-anak. Seronok melihat nota-nota peribadi mereka yang sesuai dengan tahap pemahaman masing-masing.
Selain itu, kami juga mula meluangkan masa untuk memperbanyakkan sesi berjalan kaki di kota London sebagai persediaan, terutamanya untuk si kecil, bagi keperluan berjalan kaki semasa mengerjakan Haji. Selain persiapan-persiapan ilmu dan fizikal, yang paling utama adalah persediaan rohani dan doa kami yang tak putus-putus. Bukan sekadar doa agar di permudahkan segala urusan, malah, sehinggalah hari terakhir sebelum berlepas, doa dan rayuan kepada Allah SWT agar kami diberi peluang menunaikan Haji pada tahun ini dengan sebaik mungkin.
4 minggu sebelum tarikh penerbangan, kami dijemput oleh pihak BHUS untuk menghadiri Seminar Haji bertarikh 24 Oktober 2010 di sebuah restoran di Tower Hamlet, London. Kami juga diberitahu oleh pihak BHUS tentang masalah dengan penerbangan yang dirancang. Di sebalik penerbangan terus ke Madinah dari London sepertinya yang dijanjikan, kami terpaksa mengambil penerbangan dengan EgyptAir dari London ke Cairo ke Jeddah dan kemudiannya dengan SaudiAir ke Madinah dari Jeddah. Malah tarikh penerbangan juga berubah dari 8 November kepada 6 November.
Berita ini kami terima dengan perasaan yang berbelah-bagi dan sedikit berat hati. Namun, doa kami tetap yang sama, ‘Ya Allah, terimalah kami sekeluarga untuk menunaikan Haji pada tahun ini.’
Tarikh 24 Oktober tiba dan buat pertama kalinya kami bertemu dengan Brother Sabbir dan Brother Ibraheem yang sering meng’email’ dan menelefon kami di Seminar Haji. Alhamdulillah, Seminar Haji berjalan lancar dan kami mendapat lebih banyak maklumat tentang itinerari dan perancangan sepanjang 19 hari tersebut walaupun di akhir seminar kami dikejutkan dengan notis saman letak kereta; tak disangka hari Ahad pun kena bayar untuk meletak kereta di kawasan tersebut, tidak seperti kebanyakan tempat lain di kota London.
Selepas tarikh 24 Oktober tersebut, kami ternanti-nanti tarikh keramat, 6 November 2010. Penerbangan EgyptAir MS778 dari Heathrow ke Cairo jam 2 petang. Semuanya sudah kami usahakan, maka hanya doalah yang kami panjatkan kepada Allah SWT agar kami diterima sebagai tetamu istimewa-Nya pada tahun ini…..

Bahagian Ke2 – Haji Bersama Anak-anak

Advertisements