Pendidikan Bermula Dari Rumah

pendidikandarirumah

 

1. LUANGKAN MASA BERSAMA ANAK.

Disiplin berkait rapat dengan perhatian yang diberikan ibubapa kepada anak-anak.
Bagi ibubapa yang bekerja ‘shift’ atau bekerja luar kawasan atau anak tinggal di asrama, tiada alasan sekarang untuk tidak dapat meluangkan ‘masa’ bersama-sama dengan anak-anak. Teknologi semakin canggih sekarang ini dan teknologi menyediakan pelbagai medium untuk kita berhubung dengan anak-anak melalui video dan panggilan.
Sibuk mencari duit bukan lagi alasan.
‘Outstation’ bukan lagi penyebab hubungan yang renggang.

Terdapat juga ibubapa yang “present but absent” terutamanya dalam zaman gajet dan media sosial ini. ‘Technoference’ atau godaan teknologi mengurangkan lagi masa ibubapa yang sudah sememangnya kurang bersama anak-anak.
Bukan sahaja anak ketagih gajet, ibubapa juga tidak boleh meninggalkan gajet.

Ada ibubapa yang menjadi PERMISIF dengan anak kerana merasa bersalah tidak dapat meluangkan masa dengan anak. Mereka takut kiranya mereka tegas dan berkeras anak akan memberontak, anak akan kecil hati, anak akan lari kerana mereka tidak luangkan masa secukupnya.
Anak-anak ini menjadi besar kepala.

Ada juga ibubapa yang menjadi AUTORITARIAN, garang tanpa pertimbangan tidak bertempat kerana ingin membuktikan kepada sesetengah pihak yang dia sebenarnya ibubapa yang peduli, sedangkan dia tidak langsung faham keperluan anak kerana tidak pernah meluangkan masa.
Anak-anak ini memberontak

2. RUMAH PERLUKAN STRUKTUR DAN PERATURAN.

Ibubapa perlu TEGAS DAN KONSISTEN tentang waktu bangun anak, waktu tidur anak, waktu makan, waktu solat, waktu bermain, waktu belajar dan waktu bersama keluarga. Rutin yang sudah dibiasakan dari kecil inilah yang akan mendisiplinkan anak remaja agar tidak keluar malam berpeleseran tanpa haluan. Apabila dari kecil anak dibiarkan atau sering dibawa keluar malam-malam, maka siang atau malam tidak ada bezanya bagi anak.

Jika anak tidak biasa dari kecil dengan hidup berperaturan dalam rumah, maka di sekolah pun dia tidak tahu hidup berperaturan ataupun tidak kisah dan tidak peduli akan peraturan, tidak peduli kesan tindakannya terhadap orang lain.

Kata mereka
“Jika ibubapa saya di rumah pun tidak kisah, kenapa kamu harus kisah?” ataupun
“Ibubapa saya tahu apa yang saya buat, kenapa kamu peduli?”

Apabila anak mengikut peraturan di rumah, perlulah ada pujian dan ganjarannya.
Jika melanggar peraturan di rumah perlulah ada hukumannya.
Peraturan tanpa ganjaran dan hukuman hanyalah senarai yang kelihatan cantik di kertas dan tidak berupaya untuk membentuk tingkah laku anak.

3. DI MANA ADAB?

Banyak adab yang semakin terhakis dalam masyarakat hari ini. Perilaku yang tidak beradab, bahasa yang tidak beradab galak ditularkan dan menjadi kebanggan bagi sesetengah pihak.

Mereka yang lembut dan beradab di anggap lembik dan cengeng, sedangkan mereka yang tidak beradab tidak segan silu mengangkat diri mereka sendiri sebagai hero yang gagah dan pembela.
Bercelaru sungguh masyarakat kita.

Moto “Mati kubur lain-lain” dan “Ini antara saya dengan Allah” dalam konteks yang salah, kian menjadi amalan bagi orang dewasa dan juga remaja yang tidak segan silu memaparkan kehidupan yang tidak beradab dan tidak berakhlak di media sosial.

Walau teknologi berkembang sepesat mana sekalipun, walau ‘urban’ sekalipun diri kita ini, nilai dan adab harus terus ditanam dan dikekalkan dalam rumah. Anak-anak yang belum cukup akal mudah terpengaruh dengan pegangan yang sebegini apabila mereka melihatnya di televisyen dan media sosial.

Bertegaslah dengan adab.
Latih dan bimbing anak untuk menilai amalan yang beradab dan tidak beradab di persekitaran dan di media.

Jika kehidupan ibubapa sendiri penuh kesombongan dan tidak beradab sesama manusia, bagaimana kita mengharapkan agar adab itu ada pada kanak-kanak dan remaja kita?

4. HORMATILAH KANAK-KANAK DAN REMAJA.

Hormat adalah proses dua hala.
Hormat melibatkan orang dewasa menghormati kanak-kanak dan kanak-kanak menghormati orang dewasa.

Disiplin anak berkait rapat dengan rasa hormat anak kepada orang di sekelilingnya.

Dengar pendapat anak, dengar cerita anak, dengar luahan hati anak, dengar rasa tidak puas hati anak, dengar kegembiraan anak, dengar tentang kisah anak di sekolah, kisah anak di tadika, kisah anak di taska, kisah kawan-kawan anak, dan dengar untuk fahami tentang kesukaran dan kekurangan anak.

Kenapa ini penting?
Jika kita mendengar cakap anak, anak akan mendengar cakap kita.
MENDENGAR BUKANLAH MENURUT.

Jikalau anak-anak rasa dihormati oleh ibubapa dan orang dewasa di sekeliling, dia akan tahu bagaimana caranya untuk menghormati orang lain.

Anak yang tidak menghormati orang lain adalah anak yang tidak pernah dihormati. Dia hanya sering dikritik, disindir dikasari, diherdik, dicemuh, dimarah, dan diejek.
Itulah sahaja corak komunikasi dalam kehidupan seharian.

Dia memilih rakan dari kalangan anak-anak lain yang senasib dengannya juga sehingga wujudlah ‘herd mentality’ di mana masing-masing saling menyokong tindakan yang salah dan tidak baik.

5. ANAK PERLUKAN TANGGUNGJAWAB.

Berilah kerja rumah yang bersesuaian dengan usia anak, walaupun anak itu masih kecil.

Anak remaja perlu diberi tanggungjawab. Tanpa tanggungjawab, mereka akan hanya berkurung dalam bilik dengan gajet, dan dengan ‘earphone’ dan akhirnya keluar dengan kawan-kawan apabila kebosanan di rumah.

Apabila anak sudah remaja dan dewasa baru hendak disuruh itu ini, mereka tidak mahu, kerana mereka tidak biasa dilatih dari kecil.

Meminta anak membantu dengan kerja rumah akan membina hubungan yang rapat antara ibubapa dan anak-anak. Walaupun kita ada kudrat dan tenaga untuk melakukan sesuatu tugasan, minta tolonglah dengan anak-anak, beri arahan kepada mereka untuk membantu.

Anak yang tidak diberi tanggungjawab tidak akan faham erti tanggungjawab terhadap diri sendiri, terhadap keluarga, terhadap guru dan terhadap masyarakat. Mereka hanyut dalam dunia mereka sendiri sehingga membawa kerosakan dan kemudaratan.

6. PANTAU KONTEN SKRIN ANAK.

Terlalu banyak bahan dan konten yang tidak sesuai di media dan internet yang mempromosikan perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai dan adab masyarakat kita.
Pendedahan kepada konten di media akan menjadi asas disiplin dan tingkah laku kanak-kanak dan remaja. Jika anak-anak dibiarkan menggunakan gajet tanpa tapisan dan pemantauan, mereka akan menjadi sepertimana idola mereka yang ditonton, ditatap dan dikagumi saban hari.

Bahasa yang mereka gunakan juga ditiru sepertimana idola mereka, isyarat tubuh (gesture) juga seperti yang ditunjukkan oleh idola mereka, gaya hidup juga seperti yang diamalkan oleh idola mereka.
Jika positif perilaku idola mereka, maka positiflah perilaku anak-anak juga.

Ibubapa dan orang dewasa perlu menjadi idola yang baik bagi kanak-kanak dan remaja. Mereka memerhatikan kita dan mereka meniru kita.

“Jika orang dewasa boleh, kenapa kami tidak boleh?” soal mereka.
“Jika bahasa dan perangai orang dewasa yang kami lihat tidaklah baik, jadi kenapa kami dihukum jika bahasa dan perangai kami begitu?” soal mereka lagi.

Kemenjadian seorang anak bukanlah bergantung pada satu faktor sahaja. Semua faktor di atas berkait rapat antara satu sama lain dan semuanya terletak di bahu ibubapa sebagai guru dan pendidik utama anak-anak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s