Melontar 11 Zulhijjah Dan Bermalam Di Mina (12 Zulhijjah)

Perjalanan pulang dari Masjidil Haraam agak menarik kerana kami diberitahu bahawa jalan ke Jamrah dari Masjidil Haraam sangat sesak kerana para jemaah yang berpusu-pusu ke Jamrah untuk melontar dan kemudiannya untuk bermalam di Mina. Hati masih terasa gusar kerana kami masih belum melontar ketiga-tiga jamrah, ‘ula/sughra, wusta dan aqabah/kubra pada hari ini. Doa berterusan kami panjatkan kehadrat Allah SWT agar memudahkan perjalanan ibadah kami ini. Kami berjaya mendapat sebuat teksi yang dipandu oleh seorang pakcik yang agak berumur. Teksi beliau juga kelihatan uzur. Namun beliau kelihatan agak yakin bahawa beliau tidak akan menghadapi masalah membawa kami ke ‘Bin Dawood Shisha’ sebuah pasaraya di persimpangan jalan ke Jamrah.

Selepas memulakan perjalanan baru kami sedar bahawa pakcik tersebut sangat pakar tentang jalan-jalan belakang, sisi dan sebagainya kota Mekah. Malah yang paling menarik, di salah satu jalan tersebut beliau masuk ke jalan yang menghala ke Masjidil Haraam kembali (arah bertentangan) yang membuatkan kami agak kaget. Tetapi jalan tersebut kosong, manakala jalan di arah bertentangan ke arah Jamrah/Shisha padat dengan kenderaan yang hampir tidak bergerak. Pakcik teksi ini dengan yakin memasukkan gear undur dan mengundurkan teksi beliau di sepanjang jalan yang kosong itu. Jarak beliau berundur ada kira-kira 1/2 kilometer; dan di hujung jalan tersebut rupanya kami sudah benar-benar hampir dengan Bin Dawood. Alhamdulillah, kereta yang uzur tetapi pemandu yang sangat berpengalaman membolehkan kami menyudahkan perjalanan dalam masa kira-kira 30 minit pada masa orang-orang lain mengambil masa lebih 1 atau 2 jam akibat kesesakan. Syukur pada-Mu ya Allah!

Kami terus ke Jamrah dan melakukan ibadah melontar. Alhamdulillah, sepanjang kami melakukan ibadah melontar, kami sentiasa ada ruang tanpa perlu berhimpit atau bertolakan. Malah setiap kali melontar, sehinggalah pada hari yang terakhir, kami dapat berdiri betul-betul dihadapan tembok Jamrah tanpa ada sesiapa di hadapan kami; ini sangat memudahkan anak-anak yang ketinggian mereka tidak seberapa memastikan batu-batu yang dilontar masuk ke dalam Jamrah.

jamrah

Selepas melontar, kami kembali ke apartment Shisha kerana hari masih awal. Selepas bersolat Asar di Masjid Shisha dan kemudiannya berehat, makan malam, membersihkan diri dan bersolat Maghrib, kami pun meninggalkan Shisha memulakan perjalanan pulang ke khemah di Mina untuk bermalam di Mina pada malam kedua, 12 Zulhijjah.

Bahagian 14 – Haji Bersama Anak-anak

Advertisements