Bermalam Di Mina (11 Zulhijjah) Dan Tawaf Serta Saei Haji

Kami tiba di khemah di Mina setelah perjalanan berjalan kaki selama hampir satu jam. Walaupun kepenatan, tetapi kepuasan mengharungi hari-hari 9 dan 10 Zulhijjah dalam suasana beribadah memberi kekuatan luarbiasa. Setiba di khemah, selepas membersihkan diri, kami terus tidur kerana perancangannya adalah untuk bangun kira-kira satu jam sebelum Subuh untuk ke Masjidil Haraam untuk Tawaf Ifadhah dan Saei Haji. Alhamdulillah, kami bangun seperti yang dirancang dan kemudian mula berjalan kaki semula ke arah apartment di Shisha.

Kami melalui kawasan Jamrah dan kelihatan masih ada para jemaah yang melontar. Kami sebaliknya tidak melontar tetapi sekadar lalu sahaja. Setiba di Shisha, kami menunaikan solat Subuh dan selepas Subuh kami berdoa dengan doa yang antara lainnya berbunyi ‘Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami ke Masjidil Haraam untuk menunaikan Tawaf dan Saei. Berilah kemudahan kepada kami agar mendapat kereta sewa yang selesa dan berpatutan harganya. Berilah kami keupayaan untuk menunaikan Tawaf dan Saei dalam kadar waktu yang tidak terlalu lama kerana kami ingin pulang semula ke Mina untuk bermalam pada malam yang kedua’ – doa di atas bumbung bangunan di kala matahari belum terbit, berbumbungkan langit dan diaminkan oleh anak-anak yang memahami betapa tingginya dugaan apabila mengambil masa 12 jam untuk menunaikan Tawaf dan Saei sebelum itu. Kami pasrah pada-Mu ya Allah.

Kemudian langkah dimulakan dengan doa perjalanan dan hati yang merintih memohon redha, bantuan dan rahmat daripada Allah SWT. Kami terus ke jalanraya menuju ke Mekah dan mencari kereta-kereta sewa atau van atau bas yang boleh kami naiki untuk ke Haraam. Banyak sekali kereta sewa dan sebagainya di situ; tetapi pelbagai masalah yang kami hadapi, daripada harga yang sangat tidak berpatutan (50-70 Riyal setiap seorang untuk perjalanan beberapa kilometer tersebut), jemaah lain yang sudah ‘reserve’ sebuah van untuk para sahabat beliau walaupun pemandu berkata kami juga boleh naik (jemaah tersebut duduk di pintu van dan enggan membenarkan kami naik), kereta-kereta sewa yang hanya boleh mengambil 2 atau 3 orang penumpang sahaja kerana sudah penuh! Ya Allah, kami agak risau dan buntu…namun, kami terus yakin bahawa DIA pasti akan menjaga tetamu-tetamunya.

Tidak jauh dari kawasan menunggu kereta sewa tersebut, berjarak kira-kira 200 meter, adalah lintasan pejalan kaki yang juga merupakan akses untuk mereka yang mahu berjalan kaki ke Masjidil Haraam. Setelah agak lama juga mencuba kami mengambil keputusan untuk berjalan ke atas lintasan pejalan kaki tersebut dengan tekad bahawa sekiranya kami tidak mendapat kenderaan untuk dinaiki apabila sampai di situ, kami akan berjalan kaki sahaja. Kerisauan di hati adalah, anak-anak yang akan keletihan dengan perjalanan kira-kira 3-5 kilometer dari situ ke Haraam (setelah sebelumnya berjalan sejauh 4 kilometer dari khemah di Mina) yang kemudiannya pula akan ber‘juang’ di medan Tawaf dan Saei.

Kami berjalan di tengah-tengah jalan di atas penghadang jalan kerana kawasan tepi jalan sangat sesak dengan manusia dan kenderaan. Sambil berjalan, hati terus berdoa kepada-Nya sambil mata memerhati satu per satu kereta-kereta yang berselisih dengan kami. Mana tahu ada yang mahu mengambil penumpang (walaupun secara ‘logiknya’ mereka yang mahu mengambil penumpang akan berada di lorong sebelah tepi jalan, bukan di lorong memotong). Dalam keadaan trafik yang agak sesak, kelajuan kenderaan di lorong memotong memang sangat perlahan dan memang ada ‘eye contact’ di antara kami yang berjalan dengan pemandu. Biasanya mereka yang mahu mengambil penumpang akan berteriak, ‘Haraam, Haraam’ untuk menarik perhatian jemaah. Memang tiada yang sedemikian. Nampaknya kami harus berjalan kaki ke Masjidil Haraam kali ini.

Kelihatan sebuat kenderaaan GMC serba baru di hadapan kami dan pemandunya memandang terus ke hadapan seolah-olah tidak menghiraukan para pejalan kaki yang memperlahankan perjalanannya. Memang di Makkah, hampir ke semua kenderaan sewa (yang biasanya kereta-kereta biasa ketika musim haji) keadaannya agak daif. Kenderaan-kenderaan lama dan tidak terjaga. Entah mengapa hati terdetik untuk melambai tangan kepada pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut walaupun ada terlintas di hati yang beliau adalah warga Makkah yang mungkin dalam perjalanan pulang ke rumah. Beliau lantas menurunkan cermin (biasanya kenderaan sewa tidak dinaikkan cerminnya – kalau tidak, bagaimana mahu memanggil penumpang!). Dengan senyuman dan salam, kami mengatakan ‘Haraam’ dan beliau menjawab salam lantas mengangguk. Persetujuan singkat di bahu jalan mengatakan, 20 Riyal setiap orang untuk kami berlima (harga yang tidak kami jumpa setakat itu pada hari tersebut kerana begitu ramai yang inginkan khidmat pengangkutan menyebabkan ‘tambang tidak berpantau’ ini meningkat tinggi). Kami terus menaiki kenderaan yang boleh memuatkan kira-kira 10 orang tersebut. Sempat ‘berbual’ dengan beliau yang mengatakan bahawa beliau tidak tahan bau asap; dan sebab itulah kereta beliau bertutup semua cerminnya dan ‘air-cond’ ditinggikan. Nyaman sekali perjalanan kali ini – tidak seperti yang sebelumnya. Di dalam perjalanan, beliau mengambil beberapa orang penumpang dari kalangan jemaah dari Indonesia yang salah seorangnya fasih berbahasa Arab. Rasanya persetujuan di antara mereka adalah 30 Riyal setiap seorang.

Setibanya di kawasan berhampiran Masjidil Haraam, semua penumpang turun dan membayar tambang. Kelihatan jemaah yang berkongsi kenderaan dengan kami terus tawar-menawar dengan bahasa Arab yang fasih; sedangkan kami dalam keadaan sangat bersyukur kerana tidak perlu berjalan kaki. Anak bongsu pula sangat menyukai kereta tersebut sehingga berkata, ‘Abah, nanti kita beli kereta macam ni ye!’. Kami hanya tersenyum. Anak kecil yang ikhlas membuat penilaian spontan. Ketika mahu membayar tambang setelah kumpulan jemaah Indonesia beredar, tuan punya kereta yang kami tumpangi bersungguh-sungguh menunjukkan arah kami perlu berjalan untuk ke Masjidil Haraam (memang tidak mungkin dapat tiba betul-betul di depan Masjid kerana kesesakan) dan kami yang telah pernah diturunkan di situ ketika mengerjakan Tawaf dan Saie Umrah beberapa hari lepas mengangguk tanda faham. Wang 100 Riyal untuk 5 orang dihulurkan dan sesuatu yang mengejutkan kepada kami berlaku. Biasa kami mendengar tentang pemandu teksi yang mengambil kesempatan ke atas para jemaah semasa musim haji dengan pelbagai cara termasuk meminta jumlah tambang yang lebih dari yang dijanji dan sebagainya. Sebaliknya, beliau menghulurkan kembali 20 Riyal sambil tersenyum dan mengucapkan selamat kepada kami….Subhan’Allah (Maha Suci Allah – doa2 kami tertunai dengan spesifik sekali – kenderaan yang selesa dan harga yang berpatutan – malah lebih lagi)….alhamdulillah.

Tak dapat digambarkan rasa hati apabila menghampiri Masjidil-Haraam sekali lagi. Kami cepat-cepat menuju ke pintu masjid untuk memulakan ibadah seterusnya…
haraam

Alhamdulillah, tawaf dan saei dapat kami tunaikan dalam keadaan yang lebih ‘mudah’ daripada yang sebelumnya. ‘Mudah’ yang sangat relatif sebenarnya. Bayangkan bertawaf di dataran Masjidil Haraam bersama 3 orang anak-anak. Mungkin yang pernah menunaikan haji dapat membayangkan. Saei juga agak terhalang dengan para jemaah yang sibuk berdiri di kedua-dua hujung Safa ataupun Marwah dan merakam video ataupun gambar sedangkan mereka yang masih bersaei agak bersesak dan terhalang oleh mereka. Seusai solat Zohor kami telahpun selesai kedua-duanya. Alhamdulillah.

Setelah itu, kami bergegas untuk kembali ke Mina bagi menunaikan ibadah melontar hari Tasyrik yang pertama (11 Zulhijjah) dan untuk ke Mina bagi bermalam di sana. Sebelum itu, sempat kami singgah makan tengahari di sebuah restoran berhampiran dengan Masjidil Haraam.

Bahagian 13 – Haji Bersama Anak-anak

Advertisements