Selamat Berangkat Ke Tanah Suci

Hari yang dinanti-nanti akhirnya tiba. Seminggu sebelumnya, kami sibuk mengemas beg-beg yang akan dibawa berulang-kali. Sibuk mengurangkan jumlah barang-barang yang hendak dibawa sebenarnya. Setiap benda yang telah dimasukkan ke dalam beg, dipertimbangkan beberapa kali samada benar-benar perlu dibawa ataupun tidak.
Tiket-tiket (e-tiket) penerbangan kami telahpun diterima melalui emel daripada pihak BHUS 2 hari yang lalu dan telah sedia dicetak. Pasport-pasport kami pula masih di tangan Brother Ibraheem yang berjanji akan menyerahkan kepada kami untuk urusan pemeriksaan masuk penerbangan di Heathrow. Khabarnya, pihak BHUS juga menyediakan sebuah bas untuk membawa jemaah-jemaah dari Preston ke Heathrow yang bertolak pada jam 5 pagi dari Preston yang terletak kira-kira 350km dari London.

Jam 10:30 pagi hari Sabtu, 6 November 2010 bersamaan 29 Dzul-Qaedah 1431, selepas lengkap berwuduk dan berdoa musafir, kami melangkahkan kaki keluar dari rumah dan menaiki teksi yang telah siap ditempah untuk ke lapangan-terbang Heathrow, Terminal 3. Kira-kira jam 11:15 pagi, kami tiba di Heathrow dan pemandu teksi yang beragama Islam, mengucapkan ‘Hajj Mabrur’ kepada kami. Alhamdulillah, moga-moga kami memperolehinya.

Kali kedua bertemu dengan Brother Ibraheem, pasport-pasport kami yang kini siap dengan Visa Haji daripada Kedutaan Arab Saudi diserahkan kepada kami. Setelah kira-kira 45 minit, kami selesai urusan pemeriksaan masuk dan terus menuju ke ruang berlepas. Alhamdulillah, pemeriksaan imigresen dan keselamatan tidak memakan masa yang lama. Di ruang berlepas, kami terus menuju ke ‘bilik sembahyang berbilang agama’ yang biasanya dipenuhi dengan orang-orang Islam untuk menunaikan solat Zuhr dan Asar secara Jamak dan Qasar. Menurut pengiraan kami, solat Maghrib dan Isha’ boleh ditunaikan di Cairo. Selepas menunaikan solat Zuhr dan Asar, kami memeriksa maklumat perlepasan penerbangan untuk mengetahui pintu berlepasnya penerbangan MS778. Perut mula terasa lapar dan kami sempat makan tengahari sandwich di salah sebuah restoran di situ. Alhamdulillah.

egyptair
Penerbangan dari London ke Cairo memakan masa kira-kira 6 jam dan sebaik menaiki pesawat, perasaan bimbang dan risau yang tersemat di dada selama ini mula terungkai. Insya-Allah, kami akan dapat menunaikan Haji pada tahun ini. Semasa di dalam penerbangan, sempat berkenalan dengan Brother Abdul-Waajik yang juga menggunakan pakej yang sama, seorang farmasist dari Preston yang cara berpakaian dan gayanya begitu selamba sekali. Tetapi bila dikenali lebih mendalam, rupanya agak fasih berbahasa Arab yang dipelajarinya sejak beberapa tahun lalu. Beliau gembira dapat berbahasa Arab ketika memesan makanan di dalam pesawat dari pramugari bangsa Mesir.

Di Cairo, kami ada tempoh 2 jam sebelum penerbangan selanjutnya ke Jeddah. Sebaik tiba di terminal antarabangsa, jemaah Haji yang dikenalpasti melalui sekeping kad kuning terang yang diberikan semasa pemeriksaan masuk di Heathrow, diarahkan bergerak ke sebuah pintu menuju ke tempat menunggu bas untuk ke sebuah terminal lain manakala para penumpang lain bergegas keluar dari terminal. Melihatkan panjangnya barisan para jemaah yang sedang melalui pemeriksaan sebelum dibenarkan turun melalui pintu tersebut, kami membuat keputusan untuk menunaikan solat Maghrib dan Isha’ dahulu di terminal antarabangsa; di satu sudut agak terpencil tidak berapa jauh dari pintu tempat para jemaah beratur. Sebaik sahaja selesai solat, kelihatan barisan sudahpun pendek dan kami antara yang paling akhir turun ke tempat menunggu ditingkat bawah.
Sebaik sahaja tiba di terminal yang dikhaskan untuk jemaah haji, suasana bertukar sama sekali. Kelihatan ratusan, malah mungkin ribuan para jemaah yang rata-rata telah mengenakan ihram. Subhanallah. Hanya kumpulan kami dan beberapa orang jemaah lain yang masih dengan pakaian biasa kerana destinasi kami setiba di Jeddah adalah ke Madinah dan bukan ke Makkah. Realiti perjalanan kami pada kali ini meruntun hati….ini bukan perjalanan biasa…bukan seperti perjalanan-perjalanan lain sebelum ini. Ini perjalanan istimewa.

Penerbangan dari Cairo ke Jeddah mengambil masa 2 jam dan kami tiba di Jeddah pada jam 2.30 pagi waktu tempatan. Pihak pengurusan lapangan terbang menguruskan ketibaan para jemaah menurut kumpulan. Hanya apabila kumpulan yang tiba sebelumnya telah selesai menjalani pemeriksaan imigresen, barulah kumpulan yang tiba selanjutnya dibenarkan beratur untuk pemeriksaan imigresen. Sementara menunggu, kami diberitahu oleh pihak BHUS bahawa penerbangan ke Madinah adalah pada jam 07:00 pagi dan dinasihatkan agar bersabar serta jangan risau kerana masa masih panjang. Hati kami agak girang kerana menurut pengiraan kami, insya-Allah kami akan dapat menunaikan solat Subuh di Jeddah.
Selepas kira-kira 2 jam menunggu, kami pun diarahkan supaya mula beratur untuk pemeriksaan imigresen. Kelihatan barisan bergerak agak pantas kerana banyak sekali kaunter pemeriksaan imigresen yang dibuka. Entah kenapa, atas sebab yang tidak dijelaskan langsung kepada kami, kami sekeluarga menghadapi masalah di kaunter imigresen. Tanpa apa-apa penjelasan, pasport-pasport kami di bawa ke pejabat imigresen dan kami disuruh menunggu… tanpa apa-apa penjelasan. Lebih sejam kami menunggu dan pegawai imigresen yang memegang pasport-pasport kami berjalan ke sana ke mari dengan pasport kami di tangannya. Rakan-rakan serombongan telahpun selesai pemeriksaan imigresen dan keselamatan – malah telahpun keluar dari Terminal.
Di dalam hati, tak luput doa dan rayuan kepada-Nya agar kami dapat menunaikan Haji pada tahun ini. Janganlah kami menghadapi apa-apa masalah yang menyebabkan perjalanan kami untuk menunaikan Haji terhenti. Akhirnya masuk waktu solat Subuh dan kami masih lagi menunggu di hadapan pejabat imigresen. Semua tandas di lapangan terbang Jeddah mempunyai kawasan berwuduk. Lantas, kamipun berwuduk dan terus menunaikan solat Subuh di tempat kami menunggu pegawai imigresen tersebut. Selepas solat, doa yang sama kami panjatkan. Tidak lama selepas itu, pasport-pasport kami pun dipulangkan dan tanpa apa-apa penjelasan, kami dibenarkan keluar.
Alhamdulillah urusan selanjutnya dalam mendapatkan deraf haji dan ‘sticker’ pengangkutan berjalan lancar dan dibantu oleh seorang pegawai yang datangnya entah dari mana. Sebenarnya, kerana kami keluar agak lewat, para pegawai yang meletakkan ‘sticker’ pada passport telah meletakkan ‘sticker’ yang sama dengan para jemaah yang keluar pada waktu tersebut; para jemaah dari Afrika. Tidak kami ketahui ketika itu, tetapi rupanya sticker-sticker inilah yang akan menentukan bas, khemah dan urusan perjalanan kami nanti. Kami yang tidak mengetahui apa-apa terus keluar dari kawasan ‘rasmi’ lapangan terbang dan menuju ke khemah untuk urusan selanjutnya – memberikan deraf haji dan mendapat beberapa dokumen yang lain. Dalam keadaan agak terpinga-pinga dan risau ketinggalan rombongan itu, tiba-tiba, seorang pemuda Arab yang berjubah (tidak kelihatan sebagai petugas di situ yang rata-ratanya memakai ‘vest’ atau tanda nama yang sama) datang dan menyapa dengan bahasa Inggeris yang fasih. Diambilnya passport kami dan ditelitinya – benar-benar rawak – kerana entah dari mana tiba-tiba beliau menegur; beliau kemudian menggeleng-geleng kepala dan membawa kami masuk semula ke kaunter ‘sticker’ di dalam kawasan ‘rasmi’ lapangan terbang. Pada ketika itu baru kami faham tentang kesilapan yang menyatakan bahawa kami ini jemaah dari Afrika. Alhamdulillah semuanya diperbetulkan dan pemuda tersebut kemudiannya membawa kami terus ke khemah di luar dan memberitahu petugas di situ tentang kami yang agak ketinggalan daripada kumpulan jemaah dari UK/Mesir. Beliau kemudian menyuruh kami menunggu di situ sementara para petugas memproses dokumen deraf haji kami dan sebagainya. Selesai urusan, kelibat pemuda tersebut tidak kelihatan lagi, mungkin beliau sedang membantu jemaah lain pula yang tidak tahupun bahawa mereka memerlukan bantuan. Subhan’Allah.
Dalam kekalutan tersebut, tercetus di hati ini betapa tekunnya petugas-petugas di Jeddah ini menyambut dan ‘memproses’ jemaah haji yang jumlahnya ratusan ribu. Suasana di waktu Subuh tersebut tidak ubah seperti suasana mana-mana pejabat kerajaan pada waktu paling sibuk. Selesai semua urusan rasmi, maka kami pun secara rasmi berada di bumi Saudi Arabia, alhamdullilah. Tercetus di hati, alhamdulillah…insya-Allah kami akan dapat menunaikan Haji pada tahun ini.
Setiba di luar, kami disapa oleh rakan-rakan serombongan yang menyedari ‘kehilangan’ kami. Malah ramai yang menghulurkan makanan dan minuman sebagai sarapan untuk kami dan anak-anak….daripada yang di bawa sebagai bekal dari rumah hinggalah yang baru dibeli di Jeddah. Alhamdulillah…dalam kesukaran, ukhuwah terbina. Beg-beg yang kami bawa diangkat oleh mereka ke atas dan diletakkan di atas sebuah ‘trailer’ berisi beg-beg ahli-ahli rombongan kami. Dalam rombongan pakej 19 hari kami, terdapat kira-kira 45 orang jemaah, termasuk kami berlima dan sepanjang 19 hari di tanah suci, hubungan kami menjadi akrab dan saling membantu.

Bahagian 3 – Haji Bersama Anak-anak

Advertisements