Jeddah Ke Madinah

Perkara yang paling utama di kotak pemikiran pada masa itu adalah penerbangan ke Madinah. Namun apabila ditanya, tiada siapa yang dapat memberikan jawapan yang jelas. Brother Ibraheem pula tiada di kalangan ahli-ahli rombongan yang menunggu itu.
Beberapa minit selepas itu, kami di minta berjalan ke terminal lain untuk penerbangan selanjutnya, katanya… Di tengah-tengah kawasan menunggu di Terminal Haji Jeddah itu, tiba-tiba kami diberitahu bahawa kami telah terlepas penerbangan ke Madinah. Entah mengapa, kami sekeluarga menerima berita tersebut dengan tenang dan masih terucap syukur kerana kami telahpun di Jeddah. Hanya kurang satu jam yang lalu, kami dalam kerisauan atas masalah imigresen yang mungkin tidak mengizinkan kami memasuki Saudi Arabia
Dalam kekalutan itu, wakil hari Kementerian Haji Saudi mencadangkan agar kami menaiki bas ke Madinah kerana untuk mendapatkan tiket penerbangan bagi 50 orang (termasuk petugas BHUS) adalah agak mustahil.
Masih teringat kata-kata beliau, ‘Brothers, if you take a bus, the journey will take about 4-5 hours. Insya-Allah you will be in Masjid Nabawi for Asar prayer.’ Beberapa orang ahli kumpulan yang masih berharapkan perubahan status penerbangan kelihatan agak kecewa.
‘Pakcik’ wakil Kementerian itu berkata lagi, ‘If Allah has written that you will take the bus to Madinah, you will take a bus there…don’t worry.’
Kata-kata beliau sangat membekas di hati kami. Benar sekali, segala-galanya mesti kami serahkan dan harapkan hanya kepada Allah SWT, bukan BHUS, bukan Kementerian Haji Saudi dan bukan juga mana-mana makhluk.
jeddah
Akhirnya, kami sepakat menaiki bas dan walaupun secara umumnya bas-bas sudah tidak dibenarkan ke Madinah dari Jeddah pada tarikh tersebut. Tetapi kami diberi permit istimewa. Pada ketika itu barulah kami sedar bahawa perjalanan ke Madinah dari Jeddah biasanya mengambil masa 8-12 jam pada musim haji tetapi kerana kami mendapat permit tersebut dan tiada bas-bas lain yang ke Madinah juga, maka perjalanan kami memang hanya mengambil masa kira-kira 6 jam dengan dua kali berhenti untuk makan dan solat.
Sekali lagi, sedikit kesusahan yang Allah rasakan kepada kami bertukar menjadi nikmat apabila dalam suasana yang agak bercelaru dan tidak keruan itu, ramai antara kami yang saling berkongsi makanan, membantu antara satu sama lain dan saling berkenal-kenalan. Pada kami sekeluarga pula, walaupun perjalanan bas tersebut agak lama, tetapi itu juga bermakna peluang untuk berehat (tidur) dan melihat suasana perjalanan darat dari Makkah ke Madinah. Bas berhenti dua kali untuk makan dan solat dan akhirnya kami tiba di hotel di Madinah pada jam 4 petang, kira-kira sejam sebelum Maghrib.
madinahhotel
Pihak penganjur telah sedia menunggu di hotel dan kami terus diberikan kunci bilik dan makanan berupa ayam broasted al-Baik. Setelah mengangkat beg-beg ke bilik dan makan, kami sekeluarga hanya berehat beberapa minit dan kemudian terus bersiap-sedia untuk pergi menunaikan solat Maghrib di Masjid Nabawi.
masjidnabawi
Hotel kami, Mubarak Silver, terletak kira-kira 5 minit perjalanan berjalan-kaki ke masjid (Pintu 24).
masjidnabawi2

Bahagian 4 – Haji Bersama Anak-anak

Advertisements