Remaja

Mereka inginkan kebebasan.
Berikan mereka kebebasan dengan batasan.

Mereka ingin bersuara.
Berikan mereka suara tanpa mengabaikan adab.

Mereka ingin berkawan.
Izinkan mereka berkawan dengan mengekalkan nilai dan prinsip.

Mereka ingin menyumbang.
Sumbangkan kelebihan yang mereka ada ke saluran sepatutnya.

Mereka mencari identiti.
Dedahkan mereka pada pelbagai pengalaman untuk mengenali diri dan Pencipta.

Mereka mahukan kuasa.
Berilah mereka peluang untuk memikul tanggungjawab.

Mereka mahu membuat keputusan.
Bimbing mereka berfikir solusi yang tidak memudaratkan diri, orang sekeliling dan harta benda.

Mereka ingin difahami.
Sediakan telinga untuk mendengar dan kuncikan mulut dari berkata-kata buat seketika.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Advertisements

73 Soalan Sehari

73 questions

Anak anda banyak bertanya soalan?
Letih menjawab soalan-soalan anak?

Menurut kajian yang dibuat di UK ini, kanak-kanak berusia 4 tahun paling banyak bertanya soalan.

Bagaimana dengan anak anda?

Bertanya adalah kaedah yang paling kerap digunakan oleh kanak-kanak untuk memahami tentang sesuatu perkara. Walaupun kaedah itu mungkin sangat meletihkan bagi ibubapa, ia merupakan kaedah pembelajaran yang efektif bagi mereka.

Perlu diingat bahawa dengan bertanya mereka mula menunjukkan kecenderungan untuk belajar. Dengan bertanya juga mereka mula menunjukkan minat untuk menaakul (reasoning). Ini adalah perkembangan skil kognitif yang penting bagi kanak-kanak. Mereka mula bertanya ketika berusia lingkungan 3 tahun.

Jika ibubapa meluangkan masa untuk menjawab soalan-soalan anak, kecenderungan anak untuk meneroka ilmu dan pengetahuan akan semakin bertambah. Sebaliknya jika kita mengambil sikap mengabaikan pertanyaan mereka, akan wujud perasaan bersalah dalam diri mereka dan seterusnya mematikan semangat untuk belajar dan meneroka ilmu.

Jika anda keletihan terpaksa melayan soalan-soalan anak, tunda memberi jawapan ke suatu masa yang lebih sesuai. Jangan diabaikan terus. Jangan kecam atau marah anak kerana bertanya.

Jika anda tidak tahu jawapan kepada soalan anak, carilah jawapan dari sumber yang sahih. Jangan mereka-reka jawapan. Menurut kajian, ramai ibubapa bergantung pada Google untuk mencari maklumat. Semuanya dihujung jari sekarang ini. Tetapi janganlah dibiarkan anak meng‘google’ sendiri jawapannya kerana ditakuti bertembung dengan apa yang tidak sepatutnya di internet.

Apakah soalan anak yang paling susah untuk anda jawab?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Merapatkan Yang Renggang

Kebanyakan cabaran yang ibubapa hadapi dengan anak, tidak kira usia, bukanlah disebabkan oleh anak yang tidak berdisiplin, tetapi disebabkan oleh hubungan yang renggang di antara ibubapa dengan anak.

Kerenggangan inilah yang membawa kepada cabaran tingkah laku.

Jikalau anak yang memberi cabaran kepada kita perlu dimarahi selalu, perlu dihukum selalu, perlu dileteri selalu, perlu diugut selalu, perlu dirasuah selalu supaya berkelakuan baik ataupun semua kaedah itu tidak berjaya mengubah anak, itu bermakna hubungan kita dengan anak perlu diperbaiki terlebih dahulu.

CARA MUDAH MERAPATKAN YANG RENGGANG.

FOKUS – Apabila berpeluang untuk meluangkan masa dengan anak berhenti menggunakan sebarang peranti digital atau skrin. Beri 100% tumpuan kepada anak. Perhatian adalah satu keperluan kepada anak, bukannya satu ganjaran. Perhatian yang diberikan akan mengubah anak perlahan-lahan kerana anak merasakan diri bernilai kepada ibubapa.

MAKAN – Jadikan waktu malam sebagai waktu untuk keluarga. Amalkan makan malam bersama-sama. Pastikan makan malam tidak diganggu oleh televisyen ataupun telefon. Beri 100% tumpuan untuk mendengar perkongsian tentang aktiviti setiap ahli keluarga pada hari tersebut.

MASA ISTIMEWA – Rancangkan masa istimewa atau ‘special time’ bersama setiap anak secara bergilir-gilir. Lakukan aktiviti yang disukai oleh anak ataupun mungkin bersantai dan berbual kosong bersama-sama. Masa istimewa sebegini membuatkan setiap anak merasakan diri istimewa dan tidak dipinggirkan.

PELUKAN – Anak-anak juga perlu merasai pelukan dan sentuhan daripada ibubapa.

Pelukan merembeskan hormon oksitosin atau hormon kasih sayang yang merapatkan hubungan ibubapa dan anak.

Anak-anak memerlukan * :
4 pelukan sehari untuk kelangsungan hidup (survival).
8 pelukan sehari untuk pemeliharaan (maintenance).
12 pelukan sehari untuk pertumbuhan (growth).

Amalkan CONNECTION BEFORE CORRECTION.
Rapatkan hubungan terlebih dahulu supaya mudah untuk kita mendidik dan membimbing anak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Setiap Keluarga Melalui Cabaran Yang Berbeza-beza

Usai sesi keibubapaan beberapa hari lalu, seorang Ibu bertanya saya, “Puan kenapa saya tidak melalui cabaran dengan anak-anak sepertimana yang disebut dan dilalui oleh orang lain? Adakah sesuatu yang tidak kena dengan keluarga saya?”

Setiap keluarga melalui cabaran yang berbeza-beza. Ada di antara cabaran yang diceritakan kepada saya oleh ayah dan ibu tidak saya lalui, ataupun apa yang saya lalui tidaklah seberat cabaran mereka. Saya juga yakin banyak cabaran yang saya lalui tidak dilalui oleh ibubapa yang lain.

Ini kerana:

  1. Latar belakang kita berbeza.
  2. Pemikiran kita berbeza.
  3. Gaya hidup kita berbeza.
  4. Sosioekonomi kita berbeza.
  5. Dinamik keluarga kita berbeza.
  6. Gaya keibubapaan kita berbeza.
  7. Prioriti kita berbeza.
  8. Anak-anak kita berbeza-beza.

Semua faktor ini menentukan jenis cabaran dan seberat mana cabaran yang akan kita lalui dengan anak-anak.

Apa yang penting, sebagai suami isteri dan sebagai ayah dan ibu, tetapkan matlamat keluarga dari awal.

Apakah karakter atau sifat yang ingin kita lihat ada dalam diri anak-anak? 
Apakah yang patut kita lakukan untuk mencapai matlamat ini? 
Apakah yang patut kita lakukan BERSAMA-SAMA dalam menghadapi cabaran dengan anak-anak?

Tanggungjawab mendidik anak tidak terletak di bahu seorang saja.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”.( Al-Baqarah: 286).

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Remaja Agresif

“Tahap agresif yang tinggi dalam kalangan belia Malaysia mencerminkan tingkah laku agresif orang dewasa dalam masyarakat.”Pakar kriminologi USM, Prof Madya Dr P. Sundramoorthy (2017).

Wahai orang dewasa, cerminlah diri kita dulu.

Selagi kita tidak mengubah diri kita supaya menjadi contoh yang baik kepada kanak-kanak, remaja dan orang muda, selagi itulah kita akan melihat kes buli dan keganasan terus berlaku di kalangan mereka.

Adakah hanya mereka yang perlu dihukum?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/