Saya lihat ramai yang teruja dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung sekarang. Alhamdulillah.
Dulu kita selalu dengar orang berkata “Membaca jambatan ilmu”. Lama dah tak dengar perumpamaan itu disebut. Membaca adalah gerbang maklumat dan jambatan ilmu. Kadang-kadang bila kita dengar atau baca pendapat seseorang, kita boleh tahu sejauh mana individu itu membaca kerana pengetahuan individu yang membaca selalunya adalah lebih luas dan terbuka. Anak-anak yang banyak membaca juga dapat memberi pendapat dengan baik kerana selain ilmu, membaca juga dapat membina perkembangan bahasa dan pertuturan anak-anak. Jika anak itu bukan seorang yang banyak bercakap atau introvert, dia akan dapat meluahkan pemikiran dan kreativiti melalui penulisan dengan lebih baik.
Fokus kita sebagai ibubapa bukan hanya membantu supaya anak-anak pandai membaca melalui kaedah apa pun yang kita pilih, tetapi juga supaya anak-anak suka membaca setelah pandai membaca. Salah satu faedahnya yang saya lihat, membaca menjadi salah satu aktiviti yang boleh lakukan apabila ada masa terluang, tak kisahlah di rumah atau di dalam perjalanan atau ketika menunggu, di taman dan mana-mana saja. Oleh itu ruang untuk ‘boring’ itu kurang. Ruang untuk terlampau bergantung kepada teknologi dan televisyen untuk hiburan juga kurang. Ruang untuk berpeleseran juga kurang.
KENAPA ANAK TIDAK SUKA MEMBACA?
1) Tiada Contoh Teladan.
Anak-anak akan mengikut apa saja yang dibuat oleh ibubapa.
2) Perbandingan
Pada saya ini adalah halangan yang utama. Mungkin ibubapa sangkakan anak akan bersemangat jika dibanding-bandingkan, ibubapa berniat baik. Walau bagaimanapun, perlu diingat setiap anak adalah berbeza. Ada anak yang akan patah semangat bila usaha kecil mereka tidak dipedulikan. Ada anak ‘late bloomers’. Perkembangan mereka agak perlahan berbanding adik beradik atau rakan yang lain.
3) Habuan/Hukuman
Jangan menjadikan membaca sebagai batu loncatan untuk anak-anak mendapatkan habuan. Membaca sepatutnya menjadi aktiviti yang sangat penting dengan sendirinya.
Contohnya apabila anak ingin menonton televisyen, ibubapa mengugut, “Jika tidak membaca buku, tidak boleh menonton televisyen”. Dalam konteks ini, membaca tidak ditanam sebagai satu aktiviti yang penting dengan sendirinya. Membaca akan dilihat sebagai satu batu loncatan untuk mendapat habuan. Lebih buruk lagi dalam konteks ini jika anak-anak melihat membaca sebagai satu hukuman.
4) Leteran
Jikalau ibubapa asyik berleter supaya anak membaca, kesannya belum tentu positif kepada anak-anak.
5) Kritikan
Jikalau ibubapa rasakan yang anak-anak boleh berusaha dengan lebih baik lagi, cuba fahami kenapa anak tidak berusaha? Mengkritik anak dengan kata-kata yang melemahkan selalunya tidak membuahkan hasil yang positif. Kritikan tanpa empati hanya membuatkan anak tertekan.
6) Melabel
Menggunakan perkataan negatif seperti malas atau bodoh tidak akan memotivasikan anak untuk rajin atau suka membaca. Bukan itu sahaja, tindakan itu juga akan memudaratkan hubungan antara ibubapa dan anak.
KAEDAH UNTUK MEMUPUK MINAT:
1) Kelilingi Anak-anak Dengan Buku Dari Awal Lagi
Biasakan anak dengan perpustakaan, bawa anak ke kedai-kedai buku, kunjungi pameran dan ekspo buku. Galakkan anak-anak bertukar-tukar buku dan meminjam buku dari kawan-kawan. Biar ada keseimbangan antara pembelian buku dan ‘toys’ untuk anak-anak. Biar anak-anak memilih buku mengikut minat mereka. Mereka lebih tahu apa yang akan buatkan mereka ‘enjoy’ membaca. Begitu juga majalah yang bersesuaian dengan umur dan minat mereka. Memberi elaun buku kepada anak-anak meningkat remaja/remaja juga dapat membantu mereka menjadikan buku sebagai prioriti dalam hidup kerana itu ‘value’ yang cuba kita tanamkan dalam diri mereka.
2) Jadikan Pengalaman Membaca Itu Selesa
Bagi anak-anak, ruang yang paling selesa adalah di atas riba ibubapa ataupun melingkar di atas katil bersama ibubapa atau di mana-mana saja asalkan bersama ibubapa. Selain itu, adanya ruang khas untuk membaca di dalam rumah boleh menjadikan anak-anak lebih bersemangat untuk membaca. Jadikan ruang tersebut sentiasa ‘memanggil-manggil’ mereka untuk datang. Walau bagaimanapun, ini bukanlah satu keperluan. Yang pentingnya, biar anak-anak bebas dengan pilihan ruang mereka sendiri asalkan selesa buat mereka. Jika mereka tidak selesa, aktiviti itu hanyalah membebankan mereka. Sebaiknya buku-buku disusun kemas di atas rak yang sesuai dengan ketinggian anak-anak. Disiplinkan anak-anak supaya menghargai buku dengan menjaga, menyusun dan meletakkan buku di tempat yang disediakan. Ruang yang kemas dan teratur membuatkan diri lebih tenang untuk menghayati apa yang dibaca.
3) Jadikan Pengalaman Membaca Itu Istimewa
Sesuatu aktiviti itu akan menjadi istimewa untuk anak-anak sekiranya mendapat sentuhan dan sokongan daripada ibubapa. Itulah nilai yang paling bermakna dalam diri seorang anak. Jadikan aktiviti membaca sebagai aktiviti untuk ‘connect’ dengan anak-anak. Jika membaca disandarkan pada emosi yang positif ini, insya Allah anak-anak akan minat untuk membaca. Ketika anak-anak belum boleh membaca dengan sendiri, bacakan buku untuk mereka. Pilih masa yang sesuai untuk bacakan buku buat mereka. Jadikan ‘shared reading’ satu aktiviti wajib setiap hari. Anak-anak akan sentiasa ‘look forward’. Untuk ‘independent readers’, bacakan juga untuk mereka sekali sekala dan galakkan mereka bercerita tentang apa yang telah mereka baca. Berbincang dengan mereka tentang isi kandungan buku. Perhatian yang kita berikan kepada anak-anak walau untuk usaha yang kecil, akan menaikkan semangat mereka untuk terus berusaha dan kekalkan minat untuk terus membaca.
4) Hidupkan Aktiviti Membaca
Untuk menghargai aktiviti membaca, anak-anak perlu didedahkan kepada kehidupan seharian yang penuh dengan teks untuk dibaca. Anak-anak perlu kaitkan membaca dengan kehidupan mereka. Membaca tidak boleh menjadi aktiviti yang ‘isolated’, iaitu tiada perkaitan. Dari umur 1-2 tahun lagi, dedahkan mereka kepada ‘environmental prints’.
Contoh ‘environmental prints’ adalah papan tanda, label pada kotak,tin, botol, tanda isyarat, papan iklan, banner, flyers , instructions, manual, menu dan sebagainya. Ini semua adalah bahan-bahan percuma yang banyak membantu proses awal membaca. Apabila anak-anak sedar yang semua ‘prints’ ini memberi makna (meanings) dalam kehidupan, mereka akan teruja dan ‘curious’ untuk membaca. Ambillah kesempatan ini, terutamanya ketika memandu bersama anak-anak, membeli belah di pasaraya, atau berkunjung ke taman, di sekeliling penuh dengan environmental prints.
‘Be creative’, adakan projek khas dengan environmental prints contohnya seperti ‘scrapbook’, ataupun adakan ‘treasure hunt’ dengan anak-anak berpandukan kepada ‘environmental prints’.
5) Add Some Fun
‘Reading aloud’ kepada anak-anak sangat digalakkan. Anak saya membaca dengan sendirinya ketika berusia 2 tahun kerana setiap hari saya pastikan ada sesi ‘read aloud’ bersamanya. Dia tidak dibantu oleh sebarang kaedah yang ada di pasaran. Ketika ‘read aloud’, gunalah intonasi dan memek muka atau ekspresi dengan sepenuh hati supaya anak dapat ‘relate’ dengan cerita. Jangan lupa juga ‘sound effect’. Jangan terkejut jika satu hari anak anda akan mengulangi bacaan anda dengan menggunakan intonasi dan ekspresi yang sama. Inilah yang berlaku antara saya dan anak saya.
‘Personalise’ kisah yang dibaca dengan menggantikan nama watak dan tempat dengan nama anak anda dan tempat yang ‘familiar’ bagi dia. Dia pasti akan tersenyum gembira insya Allah. Tanya pendapat anak tentang jalan cerita yang lebih sesuai menurut pendapat anak, begitu juga dengan ending, biar anak memikirkan ending yang berbeza untuk kisah yang dibaca. Apabila anak-anak diizinkan untuk menggunakan kreativiti sendiri, buku dan membaca akan lebih menarik perhatian dia. Sebaliknya jika membaca itu hambar, tiada yang akan berminat.
6) Menulis Buku Sendiri
Yakinkan anak-anak yang mereka juga boleh menulis. Galakkan anak-anak menulis dengan disertakan illustrasi dan sebagainya mengikut kreativiti dan imajinasi anak tersebut. Jika mereka lebih cenderung menggunakan komputer, sediakan peralatan untuk anak-anak seperti software dan printer. Jika berkemampuan, boleh dicetak hasil penulisan anak itu dan diedar kepada saudara mara dan rakan. Jika anak masih belum pandai menulis, lukisan juga dapat menyampaikan cerita yang tersendiri. Biar anak mellukis dan beri peluang untuk anak bercerita melalui lukisan. Ini adalah usaha kecil yang apabila digalakkan dan dipuji akan membuahkan hasil yang lebih besar insya Allah.
Banyak lagi sebenarnya sebab kenapa anak tidak suka membaca dan banyak lagi yang boleh kita praktikkan dengan anak-anak supaya mereka minat membaca. Walau bagaimanapun dari pengalaman saya sendiri, ibubapa adalah role model yang paling penting kepada anak-anak. Sukar untuk anak minat membaca jika mereka jarang-jarang melihat ibubapa membaca.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/