Melontar Jamrah Aqabah

Kami memulakan perjalanan ke Jamrah bersama-sama dengan kumpulan yang berjalan kaki dari Muzdalifah tadi. Perjalanan ke Jamrah dijangka mengambil masa kira-kira satu jam juga. Alhamdulillah, kerana hari masih pagi, cuaca agak nyaman. Namun anak-anak mula keletihan. Secara kebetulan, di dalam kumpulan kami, terdapat seorang pakcik dari Mauritius yang dibelikan kerusi roda oleh anaknya. Namun pada pagi tersebut, kira-kira 10 minit selepas perjalanan, pakcik tersebut membuat keputusan untuk berjalan dan tidak mahu menggunakan kerusi rodanya. Kami pun ‘meminjam’ kerusi roda tersebut untuk kegunaan anak-anak.
kerusiroda
Hati ini penuh dengan kerisauan di saat menghampiri Jamrah kerana pelbagai kisah kesesakan di Jamrah telah kami dengar. Bayangkan, bagaimana agaknya kami mahu memastikan setiap dari kami yang berlima ini, termasuk anak-anak yang masih kecil mahu melontar di tengah-tengah ribuan manusia. Doa tak henti-henti dipanjatkan kehadrat Allah SWT agar membantu kami…agar memudahkan urusan kami…agar menerima ibadah kami…..
aqabah2
Subhanallah….setiba di Jamrah, kami lihat kawasan Jamrah dikerumuni oleh ribuan jemaah. Berbekalkan panduan dari bahan-bahan bacaan, kami tidak terus ke Jamrah, sebalik berjalan di belakang para jemaah yang sedang melontar dan hanya menuju ke arah Jamrah di bahagian ‘belakang’. Alhamdulillah….maha suci Allah….kami mendapat ruang yang selesa betul-betul di hadapan tembok Jamrah dan sepanjang urusan kami melontar dengan mengambil giliran antara kami, tiada sesiapapun yang menolak, menghalang ataupun menunggu di belakang kami. Seolah-olah hanya kami sekeluarga yang mahu melontar pada pagi tersebut.
aqabah1
Sebaik-baik selesai melontar, kami berjalan terus keluar dari kawasan Jamrah dan meneruskan perjalanan ke apartment di Shisha. Kami tiba di sana pada jam 10 pagi dan alhamdulillah selesai sudah urusan melontar yang dirisaukan kesesakannya….dan kami berjaya melakukannya pada waktu afhdal….segala puji bagi Allah.

Bahagian 11 – Haji Bersama Anak-anak

Advertisements