Mabit Di Muzdalifah

Kalau di Mina, kami berteduh di dalam khemah yang besar dan mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan di Arafah pula kami berteduh di dalam khemah kain, maka di Muzdalifah kami berbumbungkan langit.
Sebaik tiba di Muzdalifah, kami terus membentangkan pelapik serbaguna kami dan menunaikan solat Maghrib dan Isya’ secara Jamak Takhir. Selesai bersolat, kami mengutip batu-batu untuk lontaran dan kemudiannya terus tidur. Alhamdulillah, 2 ‘sleeping bag’ yang tinggal mencukupi untuk kegunaan kami berlima sebagai selimut. Cuaca nyaman sekali dan ruang untuk tidur juga agak luas dan tidak sesak.
muz1
Kami bangun sejenak sebelum Subuh dan selepas menunaikan solat Subuh, kami terus mengemas dan mula berbaris untuk keluar dari kawasan bermalam untuk menaiki bas. Pihak penganjur yang pada awalnya mencadangkan agar kami berjalan sahaja kembali ke khemah di Mina, tiba-tiba menganjurkan agar kami menaiki bas. Sambil berbaris, kami terus berdoa agar perjalanan selanjutnya dipermudahkan Allah SWT dan diberkati-Nya.
muz2
Namun apabila hampir ke pintu pagar, kami dapati proses menaiki bas tidaklah sebaik pengurusan di Arafah. Di Arafah, para Hujjaj tidak dibenarkan keluar dari kawasan berpagar melainkan mereka yang sudah tiba gilirannya untuk menaiki bas. Oleh itu, tidak berlaku tolak-menolak dan saling berebut untuk menaiki bas. Sebaliknya di Muzdalifah, para Hujjaj dapat keluar dari kawasan berpagar dengan bebas dan proses menaiki bas sangat bersesakan. Melihatkan keadaan tersebut, kami tidak nampak peluang untuk kami sekeluarga dapat menaiki bas yang sama. Kemungkinan besar akan ada yang tertinggal dan sebagainya. Sejurus kemudian, kami tekad untuk berjalan kaki sahaja kembali ke khemah di Mina. Khemah terletak di antara Muzdalifah dan Jamrah di mana lontaran di Jamrah Aqabah perlu dilakukan.
Alhamdulillah, terdapat beberapa orang rakan sekumpulan dengan kami yang juga mahu berjalan kaki. Dalam kumpulan yang kira-kira 10 orang, kami terus berjalan meninggalkan Muzdalifah. Alhamdulillah perjalanan lancar dan selepas kira-kira satu jam, kami tiba di khemah, pada kira-kira jam 7.45 pagi. Sebaik tiba di khemah yang kosong sama-sekali, kami mengambil peluang untuk membersihkan diri, mandi dan bersiap-sedia untuk pergi melontar. Keputusan untuk melontar pada waktu pagi ini kami ambil kerana inilah waktu afdhal untuk melontar di Jamrah Aqabah. Lewat satu jam, pada kira-kira jam 8.45, kami bersiap-sedia untuk bergerak ke Jamrah dan hanya pada ketika itu para jemaah yang menaiki bas mula tiba di kawasan khemah. Rupanya, mereka perjalanan sejam kami berjalan kaki mengambil masa 2 jam di dalam bas.
muz

Bahagian 10 – Haji Bersama Anak-anak

Advertisements