Wukuf Di Arafah

Selepas menunaikan solat Subuh pada 9 Zulhijjah, para jemaah ternanti-nanti pemberitahuan dari pihak penganjur tentang giliran menaiki bas ke Arafah. Seawal jam 7:30 pagi, para jemaah yang mendapat giliran pertama telah mula memenuhi bas-bas yang disediakan. Menurut penganjur, beberapa buah bas yang disediakan untuk membawa para jemaah dari kawasan perkhemahan kami akan berulang-alik membawa para jemaah dari Mina ke Arafah dan para jemaah akan dibawa menurut giliran kumpulan masing-masing berdasarkan persetujuan semua penganjur. Giliran kami tiba pada kira-kira jam 11 pagi dan perjalanan dengan bas hanya mengambil masa kira-kira 20 minit. Kalau dalam perjalanan ke Mina dari Shisha, kami meninggalkan semua beg-beg besar, untuk perjalanan ke Arafah, kami meninggalkan hampir semua barang-barang lain kecuali ‘sleeping bag’ dan sedikit makanan ringan.

Setiba di Arafah, kami ditempatkan di khemah yang diperbuat daripada kain dan agak rendah bumbungnya. Sekali lagi para jemaah lelaki dan wanita diasingkan tetapi di dalam khemah yang bersebelahan. Sementara menanti waktu Zuhr untuk memulakan wukuf, para jemaah menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti sendiri, samada berehat, membaca al-Quran, berzikir, berbual-bual dan sebagainya. Selepas mengulang-kaji dengan anak-anak apa yang akan dilakukan untuk wukuf dan juga sesudah wukuf nanti, anak-anak menyibukkan diri dengan membawa makanan ringan yang dibawa dan diberikan kepada para jemaah lain.
Pada mulanya, ramai yang keberatan tetapi tidak berapa lama kemudian habis satu persatu makanan ringan berupa biskut, baklawa (manisan) dan sebagainya yang dibawa (sememangnya niat adalah untuk berkongsi dengan para jemaah). Setelah habis makanan dan cuaca pula semakin panas, anak-anak mengeluarkan botol semburan yang diisi air sambil berjalan di seluruh khemah menyembur para jemaah lain. Sememangnya, dalam suasana yang panas, semburan air tersebut sangat melegakan. Malah anak-anak berdua yang berumur 7 dan 10 tahun yang juga merupakan jemaah yang paling muda, menjadi sangat popular pada waktu tersebut dengan para jemaah lain memanggil-manggil mereka untuk disembur…girang sekali…
wukuf
Masuk sahaja waktu Zuhr, para jemaah mengerjakan solat Zuhr secara berjemaah dan selepas itu ada para jemaah yang menjamakkan solat Asar dan ada pula yang tidak. Seperti mana sunnah Rasulullah SAW, kami sekeluarga menunaikan solat Asar dijamakkan ke dalam waktu Zuhr berjemaah bersama-sama para jemaah lain (tidak diqasarkan kedua-duanya). Sebaik sahaja selesai bersolat, kami sekeluarga lantas keluar dari khemah mencari kawasan terbuka untuk berdoa.
Inilah waktu terbaik untuk berdoa dan sememangnya tiada apa yang lebih afdhal untuk dilakukan ketika ini melainkan berzikir dan berdoa…merintih keampunan dan keredhaan daripada-Nya.
Pada masa yang sama sekumpulan rakan-rakan jemaah merancang untuk ke Jabal-Rahmah untuk mendakinya. Kami memang tidak berniat untuk mendaki, tetapi ingin juga melihat lautan para jemaah yang berpakaian serba putih. Namun selepas beberapa ratus meter perjalananan, kami menyedari bahawa penanda arah kiblat yang terdapat di banyak tempat di Arafah menunjukkan arah yang berlainan dari arah kami bersolat ketika di khemah tadi, pada pandangan kami. Lantas, kami membatalkan hajat ‘mencari’ Jabal-Rahmah dan terus kembali ke khemah untuk memastikan arah kiblat.
Sememangnya, arah solat tadi betul dan kami tersilap. Tetapi, sesungguhnya, kepulangan kami ke khemah tidaklah sia-sia, malah kami bersyukur kerana ketika itu, makanan tengahari dihidangkan berupa ayam goreng yang disediakan di dalam kotak-kotak. Baru tersedar yang anak-anak sebenarnya agak tak berupaya kerana kelaparan dan hajat ke Jabal-Rahmah tersebut bukanlah prioriti sebenarnya.
Alhamdulillahsyukur kepada-Mu ya Allah kerana membawa kami pulang ke khemah atas niat ingin membetulkan arah solat. Selepas makan, kami terus duduk di luar khemah dan tidak henti-henti berzikir, membaca al-Quran dan berdoa. Ya Allah, sesungguhnya berdiri di bumi Arafah semasa wukuf sungguh istimewa sekali…air mata bercucuran tanpa disedari. Masa terasa begitu pendek sekali dan tiba-tiba terdengar laungan azan waktu Asar. Oleh kerana kami telahpun bersolat, kami memperuntukkan 30 minit untuk berjalan-jalan di sekitar Arafah untuk ‘melihat manusia’. Selang beberapa ratus meter, kelihatan lori-lori yang berhenti di tepi jalan sambil beberapa orang pemuda memberikan botol-botol air mineral kepada para jemaah secara percuma. Kami juga melihat para jemaah yang tidak dinaungi mana-mana penganjur, lantas tidak disediakan khemah dan makanan, khusyuk beribadah di tepi-tepi jalan.
wukuf1
Seusai 30 minit, kami telahpun berada kembali di tempat kami di luar khemah…kembali berdoa. Waktu Wukuf terasa begitu cepat berlalu…di saat-saat akhir waktu wukuf, kami berterusan berdiri, merintih, berdoa, berharap, meminta, memohon…hanya kepada-Nya….
Sebaik sahaja matahari terbenam, kenderaan dan para jemaah yang berjalan kaki mula bergerak ke Muzdalifah. Penganjur menasihatkan kami agar berehat di dalam khemah sementara menanti giliran kami menaiki bas. Sambil duduk di dalam khemah, terasa begitu terharu dengan tamatnya waktu wukuf dan pengalaman melaluinya.
Sebelum tiba giliran kami untuk menaiki bas, kami sekeluarga mengambil kesempatan membersihkan diri dan sebagainya kerana perancangan kami adalah untuk terus tidur sebaik sahaja selesai bersolat di Muzdalifah nanti. Perjalanan kami memang dipermudahkan-Nya; sedang kami beratur menunggu giliran menaiki bas, melihatkan anak-anak yang keletihan, kami digesa terus ke depan barisan dan hampir setiap wajah menguntumkan senyuman apabila melihat kami sekeluarga berjalan ke hadapan.
Alhamdulillah….selamat tinggal Arafah…
wukuf2

Bahagian 9 – Haji Bersama Anak-anak