UPIN & IPIN Keris Siamang Tunggal – Memahami 1001 Aksi dan Emosi Kanak-kanak.

UpinIpin

Tersenyum saya membaca hantaran Facebook seorang ayah tentang anaknya yang kehairanan memikirkan seekor ayam jantan yang “boleh keluar telur” ketika babak cemas filem Upin Ipin – Keris Siamang Tunggal.

Bagi yang telah menonton filem ini, anda tentu masih ingat akan babak tersebut bukan?

Upin dan Ipin berusia 5 tahun.

Anak yang kehairanan memikirkan sifat ayam jantan yang berlawanan dengan fitrah ayam itu juga seusia Upin dan Ipin.

Saya yakin ramai lagi kanak-kanak yang tertanya-tanya persoalan yang sama apabila menonton babak tersebut.

Apakah perkembangan dan sifat semulajadi kanak-kanak yang boleh anda pelajari dari filem terbaru Upin & Ipin ini?

 

PERKEMBANGAN INTELEKTUAL

Anak-anak yang menjangkau usia Upin dan Ipin sudah mula dapat mengesan perbezaan antara realiti dan fantasi.

Mereka sangat OBSERVEN (memerhati) dan tinggi SIFAT INGIN TAHU.

Mereka mudah terpesona dengan proses dan tertarik untuk memahami ‘cause and effect’ (kesan dan akibat). Ini merupakan sebahagian dari PERKEMBANGAN INTELEKTUAL yang sihat pada kanak-kanak usia ini.

Dalam filem ini, TINDAKAN IMPULSIF  (bertindak tanpa berfikir)  yang terzahir dari sifat ingin tahu tentang keris milik Atok telah membawa Upin, Ipin, Ehsan, Fizi, Mail, Jarjit, Mei Mei dan Susanti ke dimensi yang asing dikenali sebagai Inderaloka.

Anak-anak yang tinggi sifat ingin tahu banyak bertanya soalan kerana pada usia ini mereka sangat dahagakan ilmu pengetahuan.

Mereka juga banyak bereksperimentasi bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan mereka tentang persekitaran.

Sifat sebegini harus dipupuk dalam diri kanak-kanak ini kerana menurut PERKEMBANGAN PSIKOSOSIAL, kanak-kanak berusia di antara 3-6 tahun berada dalam fasa INISIATIF VS RASA BERSALAH (Initiative vs Guilt).

Jika usaha atau inisiatif mereka dihargai, dipuji dan dipupuk oleh orang dewasa, keyakinan diri mereka akan berkembang dengan positif dan mereka yakin untuk terus berusaha.

Jika eksperimentasi mereka dihalang, soalan mereka tidak dilayan, usaha mereka tidak disokong dan kreativiti mereka tidak dihargai maka mereka akan merasa diri mereka menyusahkan orang dewasa yang mereka sayangi dan percayai.

Mereka akan hanya berpuas hati sekadar menjadi pengikut dan tidak yakin untuk memimpin.

 

Tip #1

Namun, dalam bereksperimentasi, tindakan yang mereka ambil adakalanya boleh membahayakan keselamatan diri mereka. Oleh itu ibubapa harus bijak mencari keseimbangan antara menyokong inisiatif anak dan memastikan agar keselamatan mereka terjamin. Ibubapa juga harus menyediakan persekitaran dan peralatan yang selamat untuk mereka terokai.

Mungkin anda juga perasan babak di mana betapa terujanya anak-anak ini duduk untuk mendengar kisah yang ingin diceritakan oleh Bawang Merah.  Kaedah penceritaan ataupun Story Telling adalah kaedah pengajaran yang sangat efektif dan amat disukai oleh kanak-kanak.

 

PERKEMBANGAN FIZIKAL

Kisah Upin dan Ipin sinonim dengan pengembaraan yang penuh dengan aksi, emosi dan drama. Pengembaraan ataupun penerokaan merupakan JIWA dunia kanak-kanak. Tidaklah lengkap kehidupan seorang kanak-kanak itu tanpa BERGERAK, BERMAIN dan MENEROKA dunia mereka yang tersendiri.

Dari segi PERKEMBANGAN FIZIKAL, anak-anak seusia Upin dan Ipin memiliki BANYAK TENAGA untuk bergerak melakukan aktiviti.

Mungkin anda juga sering tertanya-tanya dari manakah anak kecil anda memperolehi tenaga yang  begitu banyak. Adakalanya anda sudah hampir pengsan kepenatan tetapi anak masih lagi cergas dan cerdas tanpa perlu di‘charge’.

Anak usia ini sudah berupaya mengawal tubuh badan mereka dengan sendiri. SKIL KESEIMBANGAN dan KOORDINASI mereka juga telah berkembang dengan baik. Keupayaan mereka untuk memanipulasikan fizikal mereka menjadi pendorong mereka untuk lebih aktif bergerak untuk bermain, meneroka dan mengembara seperti yang dapat dilihat dalam filem dan juga siri Upin dan Ipin.

 

Tip #2

Galakkanlah anak kecil anda untuk keluar bermain di luar. Bawalah mereka ke taman, ke kawasan kampung, menjelajah sungai, menikmati pantai dan lautan dan meneroka hutan, bukit bukau. Hindari ‘Nature Deficit Disorder’ iaitu satu bentuk kecelaruan yang banyak berlaku sekarang ini  di mana kanak-kanak tidak cukup terdedah kepada alam sekitar angkara penggunaan peranti digital tanpa batasan.

Jika anda mendapati anak anda menghadapi kesukaran untuk menggunakan tubuh badan mereka seperti kanak-kanak lain ataupun pergerakan mereka agak janggal dapatkanlah bantuan dan intervensi dari Jurupulih Cara Kerja (‘Occupational Therapist’). Mereka boleh membantu.

 

PERKEMBANGAN SOSIAL

Kanak-kanak seusia Upin, Ipin dan rakan-rakan, tidak melihat perbezaan warna kulit, bangsa dan agama sebagai penghalang untuk mereka bersosial.

Mereka akan berkawan dengan sesiapa sahaja asalkan matlamat mereka untuk BERMAIN tercapai. Bermain tidak kenal perbezaan tetapi hanya memerlukan persamaan.

Senario ini dapat dilihat dengan jelas dalam pengembaraan dan penceritaan kisah Upin dan Ipin bersama rakan-rakan yang datangnya dari pelbagai latar belakang bangsa dan budaya.

Jika anda terjumpa dengan kanak-kanak yang tidak berkawan dan tidak bermain disebabkan oleh perbezaan ini maka kemungkinan besar kanak-kanak itu sudah dipengaruhi oleh orang dewasa di sekeliling mereka dengan pemikiran yang membeza-bezakan sesama manusia.

Kanak-kanak usia ini juga sudah mula membentuk ‘geng’ yang rapat untuk bermain bersama sama.

Mereka banyak dipengaruhi dan mempengaruhi antara satu sama lain.

Permainan mereka menjadi semakin kompleks dan imaginatif

Mereka juga berupaya merangka pelan untuk mencapai sesuatu matlamat – seperti menewaskan Raja Bersiong dan kuncu-kuncunya untuk mempertahankan Keris Siamang Tunggal milik Atok dalam filem ini.

Pada masa yang sama juga anak-anak usia ini cuba memperluaskan lagi jaringan sosial mereka merangkumi kanak-kanak dan orang dewasa yang boleh mereka percayai.

Ketika Upin berkeras enggan menyerahkan keris apabila diminta oleh Pendekar Reriang dengan ungkapan dialog tegas “TAK NAK. SIAPA KAU?” dia bukanlah menyoal identiti lelaki tersebut tetapi itu merupakan satu penegasan bahawa “AKU TIDAK PERCAYAKAN KAU.”

Kanak-kanak pada usia ini TINGGI KEAZAMANnya dan tidak teragak-agak untuk ‘BERDEBAT’ dengan orang dewasa apabila dia merasa tidak selesa dan tidak selamat di samping orang dewasa tersebut. Mereka akan cuba untuk membina batasan yang kukuh untuk melindungi diri mereka sendiri.

 

Tip #3

Sikap BERPRINSIP dan tegas begini harus digalakkan pada zaman ini di mana ramai kanak-kanak menjadi mangsa individu yang tidak bertanggungjawab dan cuba mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak.

Adakah anak anda memiliki sifat yang sebegini?

 

Tip #4

Walaupun anak-anak usia ini

  • bijak mengatur langkah dan perancangan
  • yakin bersosial
  • yakin untuk berkomunikasi
  • berupaya untuk menterjemahkan apa yang dilihat dan apa yang berlaku di sekeliling mereka

tetapi akan ada ketikanya konflik yang mereka hadapi adalah terlalu berat untuk mereka selesaikan sendiri kerana ia di luar kemampuan perkembangan mereka.  Mereka memerlukan sokongan, galakan, bantuan, bimbingan dan dokongan daripada  orang dewasa.  Gabungan kerjasama di antara kanak-kanak dan orang dewasa dalam menyelesaikan konflik dan masalah telah ditonjolkan dengan jelas dalam filem ini.

Apa yang penting, KERJASAMA.

 

PERKEMBANGAN EMOSI

Melalui kisah Keris Siamang Tunggal ini juga kita dapat menyaksikan warna-warni EMOSI yang dipamerkan oleh kanak-kanak usia awal ini. Mereka mempamerkan rasa gembira, marah, takut, sedih, panik, gelisah, teruja, simpati, terpesona, kaget, cemas, hiba, dan pelbagai emosi lagi yang sememangnya anugerah Allah kepada manusia tidak kira dewasa ataupun kanak-kanak. Kanak-kanak ini juga tidak menyembunyikan emosi mereka. Ada ketikanya mereka meluahkannya terutamanya apabila emosi negatif ini mengganggu  mereka.

Ungkapan ‘TAKUT’ beberapa kali diucapkan oleh Upin, Ipin dan rakan-rakan apabila berhadapan dengan momen yang sememangnya menakutkan bagi anak kecil seusia mereka.

Mengikut teori psikologi apabila seorang anak tahu apa yang dirasainya lalu menyebut atau mengungkapkan emosi itu, maka emosi negatif yang dirasai itu akan lebih mudah diatasi dengan penyelesaian masalah berbanding memendam perasaan itu seorang diri.

 

Tip #5

Apabila anak anda merasa takut, marah, sedih, atau kecewa, akui emosi mereka. Jangan menidakkannya. Bantu mereka untuk mengungkapkannya dan bimbing mereka melalui proses penyelesaian masalah. Jika emosi ini dipaksa untuk dipendamkan, masalah yang mencetus emosi itu tidak akan selesai.

Mungkin masalah mereka remeh bagi kita tetapi bagi anak kecil yang kurang pengalaman dan kurang pengetahuan, masalah tetap masalah.

Apabila memasuki usia 4 tahun, kanak-kanak sudah BERUPAYA UNTUK MERASA SIMPATI DAN EMPATI terhadap orang lain yang menghadapi kesukaran ataupun bersedih dan terluka.

Upin dengan jelas begitu tersentuh mendengar kisah Mak Deruma yang menyesal kerana telah menyumpah anaknya menjadi batu. Mungkin Upin merasa sayu mengenangkan Opah yang juga telah kehilangan anaknya, ataupun mungkin dia tersentuh kerana dia juga kehilangan kedua-dua ayah dan ibunya.

Hanya yang memahami dapat merasai.

Itulah EMPATI.

Tanpa rasa simpati dan empati maka adalah sukar untuk kanak-kanak membesar sebagai individu yang boleh bertoleransi, memahami dan berbuat kebaikan dalam kehidupan. Dari PERKEMBANGAN EMOSI ini jugalah bermulanya PERKEMBANGAN MORAL dalam diri kanak-kanak.

 

Tip #6

Anak kecil boleh merasai perasaan orang lain jika mereka dibesarkan dalam suasana yang penuh dengan kasih sayang, kemesraan, pelukan dan ciuman walaupun mungkin kehidupan mereka tidak semewah mana.

Sungguh ironi di penghujung filem ini apabila Mat Jenin cuba menenangkan Upin yang bersedih dengan ungkapan dialog “Orang lelaki tidak menangis” sedangkan Mat Jenin juga menitiskan air mata ketika keadaan begitu menekan. Tanpa air mata, misteri Keris Siamang Tunggal ini tidak mungkin akan terungkai.

Seperti bait-bait lirik lagu ‘Keris Sakti’ yang didendangkan oleh Nakhoda Ragam,

“Pulanglah segera menghalau durjana

AIR MATA merungkai segalanya”

Biarkanlah anak lelaki menangis [1] sekiranya itu dapat menenangkan kesedihan ataupun kekecewaan mereka dari dipaksa agar dipendamkan lalu meletus di saat yang tidak disangka-sangka.

Tahniah Les’ Copaque Production kerana telah menghasilkan filem animasi bertaraf dunia ini.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

[1] Boys Don’t Cty

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s