Madinah Ke Makkah

makkah

Petang 6 Zulhijjah, kami bersiap-sedia untuk ke Makkah. Siap berpakaian Ihram, kami menunaikan solat Maghrib dan Isya’ buat kali terakhir di Masjid Nabawi dengan doa agar kami dapat kembali lagi ke bumi bertuah ini. Perjalanan dengan bas mengambil masa kira-kira 12 jam termasuk berhenti sejenak di Miqat Bir-Ali untuk berniat Ihram. Sebelum ini kami biasa mendengar kisah para jemaah yang tidak berjumpa dengan bas dan melihat suasana di miqat, sememangnya tidak mustahil sama sekali perkara tersebut berlaku. Ratusan, malah mungkin ribuan bas berhenti di sana sambil menunggu para jemaah yang masuk ke masjid untuk menunaikan solat dan berniat ihram. Oleh kerana kami menunaikan Haji Tamattuk, maka kami berniat Ihram Umrah. Keesokan harinya kami tiba di apartment di Makkah pada kira-kira jam 9.30 pagi, hari Jumaat, 7 Dzulhijjah. Solat Fajr hanya ditunaikan di tepi lebuhraya.

Apartment yang disediakan oleh pihak penganjur terletak di Shisha, kira-kira 3 KM dari Masjidil Haram dan hanya 15 minit perjalanan berjalan kaki ke Jamrah tempat melontar. Walaupun digelar apartment, sebenarnya hanyalah kemudahan penginapan asas berupa bangunan empat tingkat berserta bilik-bilik penginapan. Selepas membersihkan diri dan bersarapan pada pagi tersebut kami terus ke Masjidil Haram bersama-sama dengan 10 orang ahli rombongan yang lain untuk bersolat Jumaat dan kemudiannya menunaikan Umrah. Perjalanan menaiki kereta sewa yang didapatkan di hadapan apartment mengambil masa kira-kira 15 minit dek kerana keadaan lalu-lintas yang sesak dan dikenakan tambang 5 riyal setiap seorang (alhamdulillah salah seorang dari ahli rombongan berasal dari Mesir dan beliaulah, brother Khalid, yang bertawar-menawar dengan pemandu). Kami diturunkan agak jauh dari Masjid kerana kesesakan lalu-lintas.
Setibanya di Masjidil Haram sejurus sebelum jam 11 pagi, kelihatan ribuan para jemaah berpusu-pusu berjalan ke arah pintu-pintu masjid. Pintu yang kami tujui adalah di penghujung bukit Marwah tetapi malangnya pintu-pintu masjid telahpun ditutup kerana penuh dengan jemaah. Di dalam ribuan manusia di situ dan suasana yang agak kelam-kabut, ahli-ahli kumpulan telahpun berpecah dan kami berlima berundur sedikit ke arah kawasan lapang di mana ratusan, malah mungkin ribuan jemaah sudahpun duduk membentuk saf-saf untuk bersolat.
Kerisauan terdetik di hati. Di manakah dapat kami bersolat? Hanya pada Allah kami berserah. Ya Allah, permudahkanlah urusan kami ingin menunaikan ibadah dan mengharapkan keredhaanMu. Tidak lama kemudian kelihatan saf terputus di satu bahagian yang cukup-cukup sekadar untuk kami berlima duduk.
Alhamdulillah. Berteduhkan payung dan duduk berlapikkan tikar serbaguna, kami duduk di sementara menanti masuknya waktu solat. Matahari hampir tegak di atas kepala. Anak-anak keletihan dan kehausan….seorang makcik yang duduk di saf hadapan kami menghulur air mineral kepada anak yang paling bongsu.
makkah1
Terlintas untuk mencari air, maka selepas memastikan kedudukan keluarga di dataran yang penuh dengan manusia yang kebanyakannya berpakaian berwarna putih, perjalanan mencari kedai dimulakan. Alhamdulillah, 10 minit juga berjalan kaki sebelum berjumpa sebuah restoran yang menjual air mineral. Semasa nak membeli, teringat pesan dan azam untuk menolong sesama jemaah semasa di tanah suci lantas 20 botol air mineral dibeli. Sepanjang perjalanan kembali ke tempat keluarga menunggu, satu demi satu botol diberikan kepada para jemaah yang keletihan termasuklah yang tidak berpayung sambil menunggu waktu solat. Akhirnya hanya tinggal 4-5 botol dan sebotol dihadiahkan kepada makcik yang baik hati tadi. Alhamdulillah, air yang diminum memberi sedikit kekuatan untuk terus menunggu di tengah panas.
Khutbah disampaikan oleh khatib penuh bersemangat dan walaupun tak faham sepenuhnya berkisar tentang kesatuan umat Islam dan Haji. Ingatkan, lepas solat boleh masuk Masjid. Rupanya terpaksa menunggu lebih 1 jam untuk para jemaah yang bertali-arus keluar dari Masjid sebelum kami dapat masuk.
makkah2
Kami hanya mampu mula bertawaf selepas Asar dan tamat tawaf selepas Maghrib. Manakala Sae’i disempurnakan selepas Isya’. Kami yang tiba jam 11 pagi di Masjidil Haram hanya selesai menyelesaikan urusan Umrah selepas jam 11 malam.
Alhamdulillah, selesai sudah bahagian pertama Haji kami dan banyak sekali yang dipelajari tentang cabaran berumrah dengan anak-anak. Ketika sedang bersae’i barulah tersedar yang kami hanya bersarapan pada hari tersebut dan seterusnya tidak makan apa-apa dan hanyalah berbekalkan air zam-zam sejak 1030 pagi. Keluar sahaja dari Masjidil Haram, kami terus mencari kedai makan dan berlapikkan tikar serbaguna yang sememangnya sangat berguna, kami makan bersama-sama di kawasan meletak kereta tidak jauh dari Masjid.
Keesokan harinya, ramai rakan-rakan serombongan yang terkejut bila bertanyakan pengalaman Umrah kami yang mengambil masa lebih 12 jam itu. Ramai dikalangan mereka hanya mengambil masa 2-3 jam untuk menyempurnakan ibadah Umrah.
Kami pasrah…sememangnya pengalaman mengerjakan Haji dengan anak-anak penuh dengan cabaran tersendiri.

Bahagian 7 – Haji Bersama Anak-anak