Adakah Harus Dibiarkan Sahaja Tingkahlaku Kanak-kanak Kerana Memang Begitu Sifatnya?

Ada yang bertanya saya tentang perkembangan kanak-kanak (child development) yang sering saya kongsikan dalam penulisan saya.

Soalannya adakah apabila kita tahu perkembangan kanak-kanak mengikut usia mereka, itu bermakna kita harus biarkan sahaja tingkah laku mereka kerana kanak-kanak memang begitu sifatnya?

Jawapannya TIDAK. Kita tidak biarkan. 
Saya juga tidak pernah menulis yang kita biarkan tingkah laku mereka.
Saya selalu menulis yang kita perlu faham supaya kita dapat bimbing mereka.

Apabila kita tahu dan faham perkembangan kanak-kanak (child development) dari aspek fizikal, emosi, sosial, intelektual, dan rohani mereka, maka kita boleh fikirkan apakah kaedah yang SESUAI DAN EFEKTIF untuk anak tersebut.

Kaedah yang sesuai dengan usia anak tersebut, sesuai dengan pembawaan anak tersebut, sesuai dengan tahap perkembangan anak tersebut, sesuai dengan keupayaan anak tersebut, sesuai dengan emosi anak tersebut, sesuai dengan persekitaran anak tersebut dan sesuai dengan tahap pemikiran anak tersebut.

Semua kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza-beza.

Ada ketikanya kita boleh menggunakan 1 kaedah yang sama ke atas 5 orang kanak-kanak.

Ada ketikanya pula kita perlu menggunakan 5 kaedah yang berbeza ke atas 5 orang kanak-kanak yang berbeza.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Leave a comment