Sabar Yang Diperlukan Ibubapa

sabar

SABAR EMOSI

Sabar sebagai ibubapa selalu dikaitkan dengan keupayaan untuk menahan rasa marah.
Bersabar agar kita tidak mengamuk, tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak menghukum sehingga membawa kepada penderaan. 

Anak meragam, anak menguji kesabaran, anak melawan, anak tidak mendengar kata, anak tidak hormat, anak meraung, anak sepahkan rumah, semua ini menjadi cabaran kepada emosi ibubapa. Sabar emosi ini penting untuk menjaga keharmonian dalam keluarga dan juga untuk memastikan kewarasan diri kita sendiri.

SABAR MENUNGGU HASIL

Walau apa saja yang kita usahakan dalam mendidik anak-anak ia tidak akan menunjukkan hasilnya dalam waktu yang singkat. Mendidik anak-anak adalah satu proses tarbiyah yang dimulai dengan asuhan, didikan dan bimbingan peringkat demi peringkat sehinggalah anak berupaya untuk melakukannya sendiri.

Didikan dan bimbingan ini jugalah yang akan menghasilkan ‘inner speech’ atau suara hati dalam diri anak yang akan menjadi motivasi dalaman supaya anak melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang tidak baik.

Proses ini mengambil masa dan menuntut kesabaran ibubapa.
Janganlah terlalu mengharapkan hasil yang tergesa-gesa sehingga memaksa anak di luar kemampuan dan keupayaan dirinya.

SABAR BERUSAHA

Jika satu kaedah tidak bersesuaian dengan anak, berusahalah mencari dan mencuba kaedah yang lain pula. Jangan cepat berputus asa dan menyalahkan diri sendiri. Jangan juga menyalah anak semata-mata jika sesuatu usaha kita itu tidak berjaya. Setiap anak berbeza-beza sebagaimana setiap keluarga berbeza-beza.

Bersabarlah dalam berusaha mencari jalan penyelesaian kepada apa saja cabaran yang kita hadapi dengan anak-anak.

Bersabar bukanlah bermaksud kita hanya berdiam diri menunggu keajaiban berlaku tanpa usaha.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Advertisements