Melontar 12 Zulhijjah Dan Bermalam Di Mina (13 Zulhijjah)

Alhamdulillah, kami selamat tiba di khemah dan kalangan para sahabat dari rombongan kami terus bertanyakan khabar dan apa yang berlaku kerana mereka sedar yang kami sudah tiada di khemah sejak sebelum Subuh. Selepas berbual sedikit, kami pun bersolat dan bersedia untuk tidur. Bermalam di Mina. Sambil merancang hari selanjutnya dan berdoa moga Allah SWT meredhai dan menerima ibadah kami.

Hari 12 Zulhijjah agak istimewa kerana para jemaah yang mahu mengerjakan Nafar Awal (iaitu hanya bermalam 2 malam dan melontar ketiga-tiga jamrah selama 2 hari sahaja, 11 dan 12 Zulhijjah) perlu meninggalkan kawasan Mina sebelum Maghrib. Rata-rata dari kalangan rombongan kami mahu mengerjakan Nafar Awal kerana faktor-faktor tersendiri. Manakala kami pula mengambil keputusan untuk menempuh sehari lagi urusan ibadah Haji ini…walaupun penat dan letih tetapi tersangat indah dan bermakna. Seawal pagi, selepas Subuh dan bersarapan, sudah ramai para jemaah yang mula bergerak keluar dari khemah. Menuju ke jamrah untuk melontar (waktu melontar adalah sebaik masuk waktu Zohor hingga keesokan paginya – menurut kebanyakan ulama; sedangkan waktu diantara waktu Subuh dan waktu Zohor bukanlah waktu melontar pada hari-hari Tasyrik. Hanya pada 10 Zulhijjah, ibadah melontar jamrah Aqabah bermula selepas Subuh dan lebih afdal pada waktu Dhuha).

Memikirkan bahawa jamrah-jamrah tentu akan sesak di antara waktu Zohor dan Maghrib dengan para jemaah yang mengerjakan Nafar Awal, kami memutuskan untuk pergi melontar selepas Maghrib sahaja dan kemudian terus kembali ke khemah untuk bermalam di Mina pada malam ke-3. Maka sepanjang siang harinya pada 12 Zulhijjah tersebut akan kami luangkan di khemah di Mina. Menjelang waktu Zohor, semua ahli rombongan kami telahpun mengosongkan khemah dan hanya terdapat satu kumpulan kira-kira 10 orang jemaah yang berkongsi khemah dengan kami masih di sana. Mereka mahu menunaikan solat Zohor sebelum berjalan ke Jamrah. Manakala di khemah wanita pula, hanya tinggal isteri dan anak perempuan berdua. Sejurus sebelum masuk waktu Zohor, kami mendapat maklumat bahawa terowong-terowong pejalan kaki ke Jamrah telah ditutup kerana kesesakan. Selepas solat Zohor berjemaah bersama, kumpulan 10 orang tersebut meninggalkan kami kerana mereka juga ingin mengerjakan Nafar Awal.

Cuaca pada hari tersebut sangat panas. Hanya tinggal kami lima beranak di kawasan perkhemahan kami dan kepanasan yang amat sangat itu (walaupun ‘blower’ di dalam khemah masih berfungsi) mula melemahkan tenaga dan memeningkan kepala…kain basahan yang diletakkan di dahi kering dengan cepat dan hampir tidak membantu langsung. Dalam keadaan yang sedemikian, kami panjatkan doa kepada Allah SWT agar membantu kami, memberi kekuatan dan kesihatan agar dapat kami berjalan nanti ke Jamrah untuk melontar (jarak 3.5 km). Tidak berapa lama kemudian, dengan rahmat-Nya, hujan turun dengan lebat sekali, sehinggakan kawasan di luar khemah yang biasanya kering kontang di penuhi air yang kira-kira 1 inci dalamnya. Suasana panas di dalam khemah terus berubah menjadi nyaman dan kami dapat berehat dan melelapkan mata untuk berehat barang seketika, alhamdulillah. Solat Asar ditunaikan secara berjemaah kami sekeluarga, seperti di rumah di kota London (di Mina, kami bersolat Zohor dan Asar dengan diqasarkan tetapi tidak dijamakkan).

hujanmina

Selesai solat Asar, kami bersiap-siap membersihkan diri dan mengemaskan barang-barang. Suasana di perkhemahan Mina sangat sunyi dan lengang serta para pekerja sudah mula masuk ke kawasan khemah untuk kerja-kerja pembersihan. Kami yang asalnya merancang untuk kembali semula ke khemah untuk bermalam pada malam ke-3, mula berasa sangsi dan agak gusar. Bayangkan kalau kami berlima sahaja yang bermalam di situ (di kawasan 2 khemah besar tersebut)…dalam keadaan tersebut, kami mengubah perancangan. Kami mahu bermalam di Jamrah (yang juga di Mina tentunya).

lontar last

Maka kami kemaskan semua barang-barang dan selesai sahaja solat Maghrib, kami mula berjalan ke Jamrah. Setiba di Jamrah, kami melontar ketiga-tiga Jamrah (lontaran hari kedua daripada 3 hari) dalam suasana yang tenang. Sebaik sahaja selesai melontar, kami yang berada di tingkat 3 Jamrah, terus mencari ruang di tepi bangunan Jamrah dan membentangkan kain/lapik di atas lantai yang jaraknya kira-kira 100 meter dari Jamrah Sughra. Memandangkan kami berada di bumi Mina sejak waktu Maghrib, selepas mengira-ngira waktu malam, maka kami berkira yang kami perlu berada di bumi Mina sekurang-kurangnya sehingga sejurus selepas tengah-malam. Sambil duduk di situ, kami berdoa, membaca al-Quran, bercerita dengan anak-anak, mendengar cerita-cerita anak-anak terutamanya tentang pengalaman Haji mereka setakat itu sambil memerhati para jemaah yang tidak putus-putus tiba untuk melontar.

Pelbagai ragam dan kisah yang kami perhatikan…semuanya dengan niat yang satu, menunaikan ibadah kerana Allah SWT. Pada mulanya, para pengawal yang mengawal di jamrah datang menyuruh kami beredar. Mungkin beliau memikirkan yang kami mahu tidur-baring di situ. Tetapi apabila dijelaskan bahawa kami menunggu waktu menghabiskan separuh malam di Mina, beliau tidak lagi mempedulikan kami. Tidak lama selepas itu, agak ramai juga para jemaah yang melakukan perkara yang sama. Kelihatan kebanyakan mereka adalah para penduduk Makkah yang datang dengan agak santai malah cuma mula mengutip batu untuk melontar apabila menghampiri kawasan jamrah (penuh batu-batu kecil yang berciciran di situ).

mabitmina

Alhamdulillah, kira-kira jam 1.30 pagi, kamipun bergerak keluar dari kawasan jamrah dan juga kawasan Mina menuju ke apartment di Shisha. Sekian malam ke-3 di Mina; sungguh istimewa dan terkesan di hati. Moga Allah SWT menerima ibadah kami.

Bahagian 15 – Haji Bersama Anak-anak

Advertisements