5 Hari di Kota Rasulullah SAW

Perubahan yang berlaku ke atas penerbangan kami sebenarnya mempunyai hikmah yang tersirat. Oleh kerana penerbangan dengan EgyptAir bertarikh 6 November dan bukan 8 November seperti yang dijanjikan BHUS pada asalnya, kami tiba di Madinah pada 7 November dan dapat tinggal di Madinah sehari lebih lama dari perancangan asal. Sehari yang nilainya hanya kami sedari pada hari terakhir kami di Madinah. Pada saat-saat hati terasa pilu untuk meninggalkan bandar yang dipilih oleh Rasulullah SAW sebagai tempat tinggal baginda. Bandar yang penuh dengan ketenangan dan pengalaman berharga melihat kemuliaan akhlak dan perlakuan manusia di sana.
Perancangan kami semasa berada di Madinah agak ringkas – jaga solat jemaah, jangan tertinggal solat sunat Witir & solat sunat Fajr dan banyakkan membaca Quran; selain daripada ziarah dan semestinya menyampaikan salam kepada baginda Rasulullah SAW. Selain itu, cuba jadi warga yang baik secara umum dengan menolong sesiapa yang memerlukan pertolongan dan menjaga hati agar ikhlas selalu dan berlapang dada.
mnabawi4
Banyak sekali pengalaman menarik semasa di Madinah. Kali pertama ke Masjid Nabawi untuk bersolat Maghrib, kami tiba agak lewat setelah bergegas dari hotel. Sedikit kerisauan terbit di dalam hati kalau-kalau kami tidak mendapat ruang untuk bersolat. Lebih-lebih lagi dengan anak-anak, kami memerlukan ruang untuk 3 orang pada saf yang sama. Memang keadaan di dalam masjid sudah agak sesak dan kami terus berjalan.
Apabila anak-anak bertanya, ‘Di mana kita nak bersolat?’, hanya mampu dijawab dengan, ‘Insya-Allah kita ada tempat yang Allah sudah sediakan untuk kita, teruskan berjalan’ sambil di dalam hati tidak putus-putus berdoa dan merayu agar kami dapat bersolat tanpa perlu berpisah.
mnabwi5
Tidak lama kemudian kelihatan satu ruang yang kurang kesesakannya, lantas kami menuju ke situ. Rupanya di kawasan tersebut, para jemaah yang berpuasa sunat sedang berbuka puasa dan di celah-celah mereka, agak banyak ruang untuk kami. Selesai bersolat Tahiyatul Masjid, kami menunggu Iqamah dilaungkan. Dalam pada itu, para jemaah yang sedang berbuka sibuk menyimpan sisa-sisa makanan dan minuman untuk turut sama bersolat. Alhamdulillah, kami dapat bersolat Maghrib dengan tenang dan tanpa bersesak-sesak pada malam tersebut. Benar sekali, Allah telah menyediakan tempat untuk kami anak-beranak bersolat bersama-sama.
Selepas daripada pengalaman tersebut, anak-anak tidak lagi bertanyakan soalan di mana hendak bersolat, sebaliknya mereka tertanya-tanya, di manakah agaknya Allah sediakan tempat untuk kami bersolat setiap kali kami masuk ke masjid. Dan pada setiap waktu, ada sahaja ruang untuk kami bertiga, Alhamdulillah.

Bahagian 5 – Haji Bersama Anak-anak