Madinah – Masjid Nabawi

mnb1
Di Masjid Nabawi, tidak seperti Masjidil Haram, para jemaah wanita dan lelaki menggunakan pintu yang berasingan untuk masuk ke masjid. Sejak dari hari pertama lagi kami telah berpakat untuk bertemu selepas waktu solat di tiang payung berhadapan dengan pintu pagar bernombor 24. Biasanya, kami menetapkan untuk bertemu genap beberapa minit selepas imam memberi salam dan bergantung kepada waktu solat dan keperluan kami, ada masanya kami bertemu 15 minit selepas salam dan ada kalanya 60 minit selepas salam.

mnb2
Di Masjid Nabawi, jarak waktu di antara azan dan iqamah agak panjang dan ada beberapa kali hingga 15 minit jaraknya. Manakala selepas setiap waktu solat fardhu pula, biasanya diadakan solat jenazah yang akan diumumkan oleh bilal. Dari pembacaan dan ceramah-ceramah yang pernah kami ikut, kami memang telah bersedia dan bertekad untuk sentiasa menunaikan solat-solat jenazah. Pada waktu Maghrib, hari pertama ketibaan, agak pelik juga melihat tidak ramai para jemaah yang berdiri untuk menunaikan solat jenazah apabila diumumkan. Kami pun siap berdiri menunggu imam bertakbiratul ihram. Rupanya 2-3 minit juga sebelum solat bermula dan apabila imam bertakbiratul ihram sahaja, barulah hampir kesemua jemaah berdiri. Hanya selepas solat jenazah barulah para jemaah menunaikan solat-solat sunat.
mnb3
Rutin kami di masjid; biasanya tiba sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu azan dan pernah juga tiba lebih sejam sebelumnya. Selain bersolat sunat, anak-anak gemar membaca Qur’an yang besar saiznya yang banyak terdapat di dalam masjid. Selepas solat Maghrib pula, kami biasanya terus di masjid sehingga waktu Isha’. Salah satu masalah utama dan kerap berlaku adalah apabila salah seorang perlu berwuduk semula tetapi itulah cabaran yang memang kami redha atas keputusan kami untuk pergi sekeluarga. Pada hari pertama di Madinah, untuk menceriakan anak-anak yang agak keletihan, kami ke bumbung masjid untuk solat Isha’. Alhamdulillah, kawasannya sangat luas dan lapang dan kami agak beruntung kerana dapat menunaikan solat di saf yang agak hadapan.
Selepas Subuh hari berikutnya barulah kami ke bahagian depan masjib untuk menziarahi maqam Rasulullah SAW. Sebenarnya kerana jumlah jemaah yang sangat ramai, pada setiap waktu solat fardhu, pintu-pintu ke kawasan hadapan masjid (kawasan yang dibina semasa zaman Rasulullah SAW, Umar RA dan Uthman RA) ditutup kira-kira 2 jam sebelum waktu solat. Malah sekiranya seseorang telahpun masuk sejak awal dan kemudian terpaksa keluar untuk berwuduk sekalipun tidak akan dibenarkan masuk kembali. Terpaksalah bersolat di belakang atau di luar. Keadaan sangat sesak selepas waktu Subuh tersebut dan memang amat menyukarkan pergerakan dengan 2 orang anak yang berdiri di hadapan. Pada satu masa, ada seorang jemaah lain yang membantu dengan berdiri di hadapan dan menyuruh anak yang di hadapan sekali memegang tangan beliau lantas ‘membuka’ ruang untuk kami berjalan. Namun tidak lama kemudian, kesesakan menyebabkan kami terpisah dari beliau. Moga Allah SWT membalas jasa baik saudara.
mnb4
Namun di sebalik kesukaran dan kepayahan tersebut, tersembunyi hikmah yang sangat berharga. Apabila kami menghampiri kawasan maqam, sememangnya agak mustahil untuk kami dapat berada di bahagian hadapan. Namun apabila para jemaah lain yang kebanyakannya berlinangan airmata ketika menghampiri maqam baginda SAW menyedari kehadiran dua anak kecil di kalangan mereka, ramai yang memberi ruang hinggalah anak-anak berdua dapat berdiri di hadapan sekali dan ketika melalui maqam Baginda SAW, dapat melihat ke dalam kawasan maqam. Syukur ke-hadrat Allah SWT. Lantas salam disampaikan kepada Rasulullah SAW; diikuti dengan salam-salam untuk Abu Bakar RA dan Umar RA. Selepas melalui kawasan maqam, kami ke bahagian depan masjid dan berdoa sebelum keluar dan berehat di dataran di luar. Selepas terbit matahari barulah kami pulang ke hotel.
Walaupun pada hari-hari berikutnya kami tidak menziarahi maqam Rasulullah SAW selepas waktu Subuh (pada waktu pagi, waktu yang lebih baik untuk menziarahi Maqam Rasulullah SAW adalah pada sekitar jam 1030-1100 pagi), tetapi kami biasanya hanya akan pulang ke hotel selepas terbit matahari. Biasanya pada waktu tersebut, payung-payung gergasi diperkarangan Masjid Nabawi akan dibuka dan ini kelihatan sangat menarik sekali.
mnb5
Pihak penganjur menyediakan makan pagi, tengahari dan malam, manakala minuman panas berupa teh dan kopi sentiasa boleh diperolehi di ‘dewan makan’ hotel. Biasanya kami bersarapan sebaik sahaja tiba di hotel selepas Subuh dan selepas bersarapan, kami akan balik ke bilik hotel untuk berehat dan tidur sebentar sebelum masuknya waktu Zuhr. Ada harinya, waktu senggang ini digunakan untuk membeli-belah terutamanya keperluan seperti jubah dan keperluan untuk Haji sendiri seperti kain Ihram, selipar dan sebagainya; itupun di kedai-kedai yang kami lalui ketika pulang dari masjid.
mnb6
Pada waktu Zuhr pula, satu rutin kami yang sangat dihajati oleh anak-anak adalah untuk duduk di bawah kubah-kubah masjid yang bergelongsor secara automatik membuka bumbung masjid. Biasanya kubah-kubah ini akan digerakkan beberapa minit selepas solat Zuhr dan sekiranya kita berada tepat di bawahnya, kita tidak akan terkena cahaya matahari yang terik.
mnb7
Rutin seharian sememangnya sangat ringkas dan Masjid Nabawi berserta waktu solat 5 waktu menjadi paksi pergerakan kami. Kedamaian dan ketenangan yang dirasai di Madinah sememangnya sangat sukar nak didapatkan.

Bahagian 6 – Haji Bersama Anak-anak

Advertisements