Panduan Penting Keibubapaan Dua Alam

duaalam

Pada zaman sekarang ini kita hidup dalam dua alam.

Bukannya hidup di darat dan di air seperti amfibia. Kita masih lagi mamalia, cumanya kita hidup di alam nyata dan alam siber ataupun di atas talian.

Ibubapa kita dahulu tidak perlu menguruskan anak kecil dan remaja yang hidup di dua alam ini.

Inilah perkara asas yang membezakan keibubapaan zaman dahulu dan keibubapaan zaman sekarang.

Inilah juga yang membezakan anak-anak zaman dahulu dan anak-anak zaman sekarang.

Jika IBUBAPA ZAMAN DAHULU sering berpesan-pesan tentang pengaruh baik dan pengaruh negatif di persekitaran, selalu ingatkan anak untuk berada di rumah ketika panas terik tengahari dan perlu pulang sebelum senja, sering memberi amaran tentang kawasan yang tidak harus diterokai, selalu ingatkan tentang hal berkaitan adab, peraturan dan keselamatan dalam kehidupan di alam nyata, ibubapa zaman sekarang juga perlu mengingatkan anak-anak tentang perkara yang sama.
Faktor ini tetap releven baik zaman dahulu mahupun zaman sekarang.

Walau bagaimanapun peringatan ini tidak memadai bagi anak zaman sekarang. IBUBAPA ZAMAN SEKARANG yang mendedahkan anak kepada alam siber perlu juga berpesan-pesan tentang adab, pergaulan, peraturan dan keselamatan dalam kehidupan atas talian (online).

APAKAH YANG PERLU ANAK TAHU?

1) Nasihati anak agar tidak memberi kata laluan (password) atau lalai sehinggakan kata laluan terlepas ke tangan sesiapa. Maklumat peribadi boleh disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ini samalah seperti pesanan ibubapa zaman dahulu supaya anak mengunci pintu dan tingkap agar tidak dimasuki penjahat ataupun pencuri.

Walau bagaimanapun, ibubapa harus tahu kata laluan anak. Tidak ada apa yang perlu disembunyikan oleh anak dari pengetahuan ibubapa selagi mereka masih di bawah tanggungan, pengawasan dan tanggungjawab ibubapa.

2) Ingatkan anak bahawa apa sahaja yang dimuatnaik di internet akan kekal di internet sampai bila-bila walaupun kita sudah memadamnya. Maklumat yang dimuatnaik akan menjadi DIGITAL FOOTPRINT yang boleh dijejaki oleh sesiapa sahaja di kemudian hari. Oleh itu anak haruslah berfikir panjang dan berhati-hati dengan apa sahaja gambar, video dan hantaran yang dimuatnaik.

Ibubapa juga perlu mengawal diri sendiri agar tidak terlalu ghairah berkongsi segala hal berkaitan kehidupan suami isteri, anak-anak dan keluarga.
Ini merupakan cabaran zaman digital. Individu yang tidak bertanggungjawab boleh menyimpan gambar, video atau pun tangkap layar yang pernah dimuatnaik bagi tujuan yang tidak baik seperti BULI SIBER, UGUT, ANTUN (Online sexual grooming) atau FITNAH.

3) Ingatkan anak agar tidak terlalu mudah menerima permintaan berkawan (friend request/follow) dari individu yang tidak dikenali.

Ingatkan anak bahawa ada individu yang menggunakan identiti palsu atau identiti orang lain bertujuan untuk memperdaya. Ini samalah juga seperti pesanan ibubapa zaman dahulu agar berhati-hati dengan individu tidak kenali dan berhati-hati juga dengan individu yang dikenali tetapi cuba mengambil kesempatan.

4) Berbincanglah secara terbuka dengan anak tentang lambakan konten yang tidak sesuai di internet contohnya yang mengandungi unsur keganasan, unsur lucah, saranan bunuh diri, bahasa kesat dan unsur yang tidak sesuai dengan adab dan budaya masyarakat kita.

Pada zaman dahulu pengaruh dan konten sebegini sukar didapati dan mudah dielak tetapi zaman sekarang semuanya berada di hujung jari. ‘Penjahat’ boleh dibawa masuk ke dalam bilik tidur anak-anak tanpa sebarang halangan kerana mereka bebas berkeliaran di alam siber.

5) Sedarkan anak bahawa tidak semua yang dipaparkan di alam siber adalah realiti yang sebenar. Banyak juga unsur penipuan, tipu muslihat, penyamaran, kepalsuan, ‘filter, ‘edit’ dan unsur yang direka-reka dan fantasi.

6) Ingatkan anak agar mengadu kepada anda jika terdapat individu, konten atau situasi di atas talian yang mengancam keselamatan anak dan membuatkan anak merasa tertekan.

Ramai kanak-kanak dan remaja tertekan bukan kerana mereka lembik atau cengeng, tetapi kerana ibubapa tidak pernah memberi panduan dan bimbingan kepada mereka tentang alam siber.

PERSOALAN

1. Dari usia berapakah harus ingatkan anak tentang semua perkara ini?
Dari sebelum, atau apabila anak dibenarkan menggunakan gajet.

2. Anak kecil tidak faham semua perkara ini, bagaimana hendak berbual dengan mereka?
Jika mereka tidak faham tentang semua risiko dan ancaman di alam siber, ini bermakna mereka belum layak dibiarkan menggunakan gajet terutamanya tanpa pemantauan dan peraturan.

Cabaran membesarkan anak pada zaman sekarang berbeza dari zaman dahulu. Jika ibubapa merasakan terlalu terbeban, leceh dan tidak punya masa untuk memantau anak-anak di alam siber, maka pilihan anda adalah untuk hidup seperti zaman dahulu tanpa gajet atau sebarang peranti digital.

Alam siber ini lebih luas berbanding alam nyata yang terbatas pada rumah, sekolah, keluarga dan kejiranan sahaja. Oleh itu risiko dan ancamannya juga lebih luas.
.
Walaupun memberi anak gajet itu mudah, kehidupan di alam nyata dan alam siber akan menjadi payah tanpa pesanan, peraturan dan pemantauan ibubapa.

Caknalah.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Advertisements