Berhentilah Memalukan Kanak-kanak di Media Sosial

shaming

Wahai ibubapa…

Jagalah aib anak-anak sendiri di media sosial. Janganlah dimuatnaik video atau gambar yang memalukan. Anak kecil tidak dapat mempertahankan dirinya. Anak kecil tidak tahu kisahnya telah disebarkan. Anak kecil tidak tahu ramai yang mentertawakan dia. Anak kecil tidak tahu ada yang mengeji dia hanya kerana berperangai seperti anak kecil.

Adakah yang mengeji itu sempurna kelakuannya ketika kecil dulu?
Sedarlah yang kita beruntung zaman ibubapa kita dulu tiada media sosial.

Anak kecil tidak tahu ramai yang hendak ‘memberi penampar’ kepada dia kerana mereka tidak tahu cerita sebenar apa yang berlaku.

Kasihan kamu hai anak.

Wahai ibubapa…

Anak kecil itu akan terus diejek, dimalukan dan dibuli kerana keghairahan orang dewasa mengongsi kisahnya. Kasihanilah dia. Dia tidak tahu apa-apa.
Anak kecil itu bukan saja diejek oleh rakan sebaya, anak kecil itu juga diejek oleh orang dewasa yang akalnya tidak sempurna.
Kasihanilah dia.

Satu hari nanti anak kecil akan mendapat tahu juga yang dia telah dimalukan di internet. Satu hari nanti mungkin dia tertekan dengan aibnya yang telah dibuka. Satu hari nanti mungkin renggang hubungan kerana aibnya tidak dijaga. Atau mungkin satu hari nanti perangainya tetap tidak berubah kerana dia popular dengan perangainya yang sebegitu. Dia popular kerana ibubapa sendiri yang mempopularkan dia walaupun perangainya masih memerlukan bimbingan.

Wahai ibubapa…

Apa yang kita muatnaik di internet akan terus kekal di internet sampai bila-bila. Kita boleh padamkan dari media sosial kita, tetapi ramai yang tidak padamkan. Ramai yang telah kongsikan. Ramai yang muat turun dan menyimpannya. Mungkin mereka berniat baik, namun mungkin juga ada yang berniat tidak baik terhadap kita, keluarga kita dan anak-anak kita. Mungkin ia akan digunakan oleh mereka nanti untuk terus membuka aib kita.

Pohonlah perlindungan daripada Allah SWT. Allah akan terus menutup aib kita selagi kita berusaha menutupnya. Kita manusia yang sentiasa berbuat silap.

Anak-anak adalah cerminan diri kita sendiri. Jika kita membuka aib anak di media sosial untuk disebarkan, kita sebenarnya membuka pekung di dada kita sendiri.

STOP SHAMING CHILDREN

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Advertisements