Aspek Keibubapaan Dalam Filem Anakku Sazali

sazali

Setiap kali apabila masalah sosial atau salah laku kanak-kanak dan remaja timbul, nama Sazali pastinya akan disebut.  Sazali diperbincangkan terutamanya untuk memberi justifikasi kepada kaedah hukuman yang patut dikenakan terhadap anak-anak yang dirasakan bermasalah seperti Sazali.  Entri ini tidaklah bertujuan untuk membincangkan kewajaran sesuatu hukuman kepada Sazali di dalam filem ini ataupun ‘Sazali-Sazali’ lain yang wujud di dunia realiti.  Tulisan ini bertujuan untuk memahami apa sebenarnya yang menjadikan watak di dalam filem ini seorang ‘Sazali’.

Sazali adalah karakter di dalam filem “Anakku Sazali” lakonan hebat Allahyarham Mohd Nor (Tony Castello) dan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1956. Filem ini adalah hasil karya dan arahan Phani Majumdar, seorang karyawan filem dari India.  Watak Sazali telah menjadi igauan ngeri ibubapa selama 3 generasi, termasuklah diri saya sendiri.

Semua ibubapa mendoakan dan mengharapkan agar tiada anak mereka yang menjadi ‘Sazali’.  Mungkin juga ramai ibubapa yang ‘mempelajari’ kaedah mendidik anak dari filem ini supaya anak mereka tidak menjadi Sazali.  Tidak dapat dinafikan filem memberi impak yang besar kepada masyarakat.  Apa yang kita lihat, dari kecil lagi Sazali tidak pernah sekalipun dijentik oleh bapanya sehinggakan dia sanggup berbohong dan mencuri semasa kecilnya.  Apabila dewasa dia menjadi ketua ‘gangster’ yang merompak, memiliki senjata api, dan tergamak meragut kehormatan sepupunya sendiri, Rokiah. Adakah kerana tidak dihukum maka Sazali menjadi ‘Sazali’ atau adakah faktor lain lagi yang menjadikan dia sebegitu dan perlu juga kita perhalusi ?

 

Pendidikan Keimanan

Untuk memahami tingkah laku seseorang individu, kita harus memahami latar belakang keseluruhan individu tersebut dan bukan berpaksikan satu faktor sahaja.  Sebagai makhluk sosial, tidak dapat tidak, pemikiran kita akan dipengaruhi oleh norma budaya dan persekitaran kita.  Sebagai orang Islam, faktor yang paling penting mempengaruhi tingkah laku adalah pemahaman tentang Islam dan nilai-nilai Islam, dan sejauh mana pendidikan keimanan itu tertanam di dalam diri.  Ini adalah faktor terpenting.  Kita tidak boleh hanya mengambil Islam di mana kita rasakan bersesuaian dengan citarasa kita atau budaya bangsa kita.

Dalam kehidupan Sazali, tidak pernah sekali pun kita melihat pendidikan keimanan yang asas iaitu taqwa kepada Allah SWT  dan kasihkan Rasulullah SAW diterapkan oleh Hassan, bapa Sazali.  Tidak pernah sekali pun kita melihat Hassan dan Mahani, ibu Sazali, bersolat. Sazali juga tidak pernah diajak dan diajar untuk bersolat semasa kecil.  Benar, ini hanyalah sebuah filem dan sebuah filem yang berdurasi dua jam tidak dapat memuatkan semua adegan solat.  Walau bagaimanapun, untuk mengambil kisah Sazali sebagai teladan bagi kehidupan realiti, kita juga harus mengambil kira penerapan pendidikan keimanan untuk dijadikan iktibar.   Cuma di penghujung cerita, Hassan menadah tangan berdoa kepada Allah SWT apabila nasi sudah menjadi bubur.  Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memberikan anak pendidikan keimanan dan memberi penekanan kepada nilai-nilai dan akhlak Islam dari kecil.  Ternyata tanggungjawab ini gagal dilaksanakan oleh Hassan.

Pendidikan keimanan inilah yang akan melahirkankan rasa hormat dan kepatuhan kepada ibubapa kerana itulah yang dituntut oleh Islam.  Inilah yang menjadi punca kepada segala permasalahan Sazali.  Perkahwinan Hassan dan Ani tanpa redha dan restu ibubapa Ani juga bukanlah teladan yang baik buat semua dan merumitkan lagi proses mendidik Sazali.  Dia membesar tanpa sokongan, didikan dan belaian datuk dan nenek yang juga memainkan peranan penting dalam masyarakat Melayu.

MEMAHAMI MASA KECIL HASSAN, BAPA SAZALI

Hassan adalah seorang anak yatim piatu yang dipelihara oleh majikan ibunya, Encik Ismail,  setelah kematian ibu.  Ibunya telah bekerja dengan Encik Ismail selama 15 tahun.  Filem ini tidak menceritakan  dengan lebih lanjut tentang latar belakang ayah Hassan.  Dengan maklumat yang serba ringkas itu, dapatlah kita simpulkan bahawa persepsi Hassan tentang keibubapaan dipelajari dari sekelilingnya terutamanya daripada Encik Ismail dan isteri, yang telah memeliharanya.

Di permulaan cerita, Hassan yang amat meminati muzik dilihat menonton persembahan keroncong bersama Mansur dan Mahani (Ani), anak-anak Encik Ismail.  Ketika sedang asyik menikmati persembahan tersebut, seorang lelaki menghampiri mereka bertiga dan menarik telinga Hassan sambil ‘mengheret’nya pulang.  Mansur dan Ani menyusur di belakang.  Apabila tiba di rumah, Encik Ismail dan isterinya sedang menunggu dengan penuh kemarahan.  Hassan menjadi sasaran kemarahan itu kerana bagi mereka dialah yang bersalah membawa Mansur dan Ani bersama sehingga lewat malam.  Walaupun Mansur dan Ani cuba menerangkan sesuatu, Encik Ismail tidak mahu mendengar dan terus merotan Hassan sepenuh hati. Hassan cuba berterus terang dan jujur mengakui kesilapannya, namun kejujuran itu tidak diendahkan oleh Encik Ismail lalu terus merotan Hassan sehingga mengakibatkan luka di belakang badan Hassan yang tidak berbaju. Encik Ismail merotan Hassan dengan penuh kemarahan dan kebencian.  Ini terbukti melalui apa yang diucapkannya ketika dia merotan Hassan,

“Mampus kau…rasa kau… mati kau. Jangan kau ingat aku sudah puas hati tau.”

Kata-kata ini hanya dihamburkan apabila seorang dewasa merotan seorang anak dengan tujuan untuk menyakiti dan mencederakan.  Motif Ini diperkuatkan lagi dengan Hassan dihalau oleh Encik Ismail dari rumahnya sepertimana diminta oleh isterinya.  Maka bersendirianlah Hassan dalam mencorakkan masa depannya dengan mengharungi pelbagai liku dan cabaran tanpa kasih sayang dan bimbingan seorang dewasa.

Mungkinkah gaya keibubapaan Encik Ismail yang sebegini mempengaruhi gaya keibubapaan Hassan kemudiannya?

Mungkinkah dengan melalui pengalaman yang pahit, diherdik, dirotan, dihamun dan dihalau itu menjadikan Hassan seorang individu yang bernekad tidak mahu membesarkan anaknya dengan gaya keibubapaan tanpa toleransi?

Adakah kejujurannya yang tiada nilai kepada Encik Ismail menjadikan dia seorang bapa yang akan mempercayai  anaknya bulat-bulat tanpa usul periksa?

Mungkinkah gaya keibubapaan Hassan dipengaruhi oleh keadaan sosioekonominya yang jauh lebih baik dari kehidupannya semasa kecil?

Walaupun Encik Ismail bukan ayah Hassan, dia adalah penjaga utama (primary caregiver) Hassan selepas kematian ibunya.

Gaya Keibubapaan 

Gaya keibubapaan (parenting style) banyak dipengaruhi oleh contoh teladan yang kita lihat di sekeliling, terutamanya daripada ibubapa atau penjaga utama kita sendiri.  Ini adalah lumrah dan tidak ada salahnya.  Gaya keibubapaan adalah cara kita bertindakbalas sebagai ibubapa berdasarkan faktor kepercayaan, personaliti, falsafah nilai dan moral yang kita pegang.  Apabila kita merasakan bahawa kejayaan kita adalah kerana hasil didikan ibubapa, kita akan membesarkan anak sepertimana ibubapa membesarkan kita dengan harapan anak-anak juga berjaya. Gaya keibubapaan juga dibentuk oleh tahap kepatuhan kita kepada norma budaya dan tahap sosioekonomi kita.

Walau bagaimanapun ada juga ibubapa yang membesarkan anak dengan cara yang agak berbeza daripada ibubapa mereka di atas sebab dan tujuan yang tertentu.  Mungkin kerana anak mereka berbeza dari mereka ketika kecil, mungkin kerana persekitaran anak adalah berbeza dari persekitaran mereka dibesarkan dulu atau mungkin kerana pendidikan yang mereka perolehi menjadikan pemikiran mereka berbeza dari corak pemikiran ibubapa mereka.  Ada yang memilih jalan tengah, yakni mengambil apa yang dirasakan bersesuaian dengan dinamik keluarga masing-masing. Tiada salahnya di situ.  Semua ibubapa mengharapkan agar anak-anak menjadi lebih baik daripada mereka, baik dari segi keimanan, akhlak, intelektual, ekonomi, fizikal, dan emosi.

Gaya keibubapaan terbahagi kepada empat kategori :

  1. autoritarian
  2. autoritatif
  3. permisif
  4. tidak terlibat

Ciri-ciri gaya keibubapaan autoritarian adalah wujudnya peraturan-peraturan yang ketat dan hukuman yang keras dalam membentuk disiplin anak-anak.  Ibubapa yang mengamalkan gaya keibubapaan autoritarian tidak langsung memberi ruang untuk berkompromi dengan anak-anak.  Komunikasi dua hala hampir tiada. Dalam masyarakat Melayu, gaya keibubapaan autoritarian sering digunakan terutamanya dalam konteks kepatuhan kepada adat seperti pepatah “Biar mati anak, jangan mati adat.”

Ibubapa yang mengamalkan gaya keibubapaan autoritatif juga mempunyai peraturan-peraturan yang ketat, bertujuan untuk membentuk keperibadian dan disiplin anak-anak.  Walau bagaimanapun ibubapa autoritatif bersikap lebih terbuka dan menyediakan ruang untuk perbincangan dan mendengar pandangan anak-anak.  Kepatuhan kepada agama juga boleh dibentuk oleh ibubapa yang autoritatif dengan menerangkan dan berbincang tentang tuntutan agama.  Ini adalah penting supaya anak patuh melalui pemahaman.

Ibubapa yang permisif pula memberikan kebebasan yang penuh kepada anak-anak dalam menentukan segala tindak tanduk mereka sendiri.  Anak-anak ini bukan sahaja tidak terikat dengan sebarang peraturan, malah bimbingan yang diberikan oleh ibubapa juga agak kabur dan tidak konsisten.

Ibubapa yang tidak peduli bersifat tidak responsif langsung terhadap keperluan dan emosi anak. Pada zaman sekarang ada ibubapa yang terlalu sibuk menyediakan material sehinggakan mengabaikan tanggungjawab mendidik anak ataupun menyerahkan tanggungjawab itu kepada orang lain untuk dipikul.

Adakalanya gaya keibubapaan adalah sesuatu yang ibubapa pilih setelah membuat pertimbangan yang sewajarnya dan mengambil kira kesesuaian dengan personaliti ibubapa, dan sifat semulajadi anak.  Adakalanya juga ia terbentuk sebagai reaksi yang automatik lahir dari pengalaman dan persepsi individu.

HASSAN SEBAGAI SEORANG BAPA

Ketika Ani meluahkan kerisauannya tentang anak yang bakal lahir kiranya apa-apa berlaku kepadanya, Hassan berjanji kepada Ani,

“Tiada siapa yang akan merosakkan anak kita selagi aku masih hidup.  Aku berjanji Ani.” 

Mungkinkah maksud “tidak merosakkan” akhirnya memudaratkan Sazali?

Adakah “tidak merosakkan” bagi Hassan bermaksud tidak merosakkan kegembiraan Sazali dengan menurut segala kemahuan tanpa sebarang bantahan ?

Dalam proses keibubapaan, tidak semua peraturan dan batasan yang kita tetapkan akan menggembirakan anak-anak.  Bukanlah tanggungjawab ibubapa untuk menggembirakan anak-anak dengan tidak mewujudkan peraturan.  Bukanlah tanggungjawab ibubapa mengadakan peraturan yang menggembirakan anak semata-mata.  Peraturan yang jelas dan diamalkan secara konsisten perlu untuk membimbing anak supaya mereka akhirnya menjadi anggota masyarakat yang baik.

Dengan kematian Ani, Sazali membesar tanpa kasih sayang dan bimbingan seorang ibu.  Ini sudah tentunya meninggalkan kesan terhadap proses pembentukan akhlak dan peribadi Sazali.  Tanggungjawab seorang ibu melengkapkan tanggungjawab seorang ayah.  Adalah agak rumit untuk seorang ayah memikul tanggungjawab seorang ibu dan seorang ayah dengan serentak.  Mungkinkah ini juga menyebabkan Hassan keliru dengan halatujunya dalam mendidik Sazali.

 

Erti Kasih Sayang

Definisi kasih sayang bagi Hassan terjawab apabila dia memarahi Sazali yang tidak mahu bertanggungjawab terhadap sepupunya, Rokiah.  Marah Hassan,

“Inikah balasan yang ku dapat setelah aku mendidik kau dengan penuh kasih mesra?

Inikah hasil yang ku dapat setelah ku beri kau segala kepuasan dan kebebasan hidup?”

Pada Hassan, kasih sayang dan tanggungjawab seorang ayah adalah memberi kepuasan dan kebebasan hidup kepada anak.  Pada Hassan, kasih sayang diberikan kepada seorang anak dengan mengamalkan gaya keibubapaan yang permisif.  Memberi kepuasan hidup yang bertunjangkan nafsu bukanlah erti kasih sayang sebenarnya.  Inilah kasih sayang yang telah merosakkan Sazali.

Mansur, abang ipar Hassan, juga tidak bersetuju dengan definisi kasih sayang yang dipegang oleh Hassan.  Tanya Mansur,

“Adakah membiar anak membuat sesuka hati, tak menyuruh dia berfikir apa akibatnya, dikatakan kasih sayang?”

Ya benar, seorang ayah yang membesarkan anak dengan nilai dan akhlak akan membimbing anak dengan sering menasihati tentang kesan dan akibat sesuatu perbuatan sebelum perbuatan itu dilakukan oleh anak.  Anak seusia Sazali selalunya sudah pandai membezakan yang baik dan yang buruk kiranya dibimbing oleh Hassan.

 

Erti Tanggungjawab

Gaya keibubapaan Hassan telah disimpulkan oleh Sazali sendiri di dalam dialognya,

“Bapa membesarkan Sazali dengan membabi buta sahaja.

Segala apa kemahuan Sazali bapa tunaikan,

segala apa hajat Sazali bapa sempurnakan

sehingga Sazali pandai bercakap bohong pada bapa,

sehingga Sazali menipu…menipu untuk kepentingan diri.”

Dari dialog ini jelaslah bahawa Sazali dilimpahkan dengan materi yang berlebihan.  Sazali juga tidak dididik untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab terhadap diri sendiri.  Hassanlah yang melakukan segalanya untuk Sazali tanpa memberinya sebarang tanggungjawab.  Anak kecil juga harus diberi tanggungjawab yang sesuai dengan usianya.  Seorang anak yang membesar tanpa mengenal erti tanggungjawab akan menjadi seorang dewasa yang tidak bertanggungjawab.

Apabila Rokiah mengadu kepada Hassan tentang Sazali yang tidak mahu bertanggungjawab atas perbuatannya, Hassan meyakinkan Rokiah bahawa,

“Sazali tak boleh mengelakkan dirinya dari tanggungjawab ini”.

Persoalannya, apakah tanggungjawab yang telah diberikan dan dipikul oleh Sazali selama ini?

Bagaimanakah seorang individu yang tidak pernah kenal erti tanggungjawab,  mahu bertanggungjawab?.

Rokiah akhirnya membunuh diri.

 

Contoh Teladan

Sazali bukan hanya hidup tanpa nilai dan peraturan yang jelas dan konsisten dari kecil, Sazali juga belajar berbohong daripada bapanya sendiri.  Walaupun mengetahui bahawa Sazalilah yang mencuri kotak mainan Rokiah, Hassan menutup kesalahan Sazali dengan berbohong  kepada Rokiah.  Hassan sebagai seorang bapa bukanlah teladan (role model) yang baik untuk Sazali. Oleh yang demikian tidaklah mustahil kiranya Sazali juga sering berbohong kepada bapanya kerana sikap itu dicontohi daripada bapanya sendiri.  Dalam pembentukan peribadi dan disiplin seorang anak, teladan yang ditunjukkan oleh ibubapa membentuk 90% dari keperibadian seorang anak.

Sikap suka berbohong Sazali juga disaksikan sendiri oleh bapa saudaranya, Mansur.  Akui Mansur kepada Hassan,

“Aku pernah melihat Sazali berbohong dan tidak mempeduli apa yang terjadi kepada orang lain.” 

Pepatah Melayu ada menyebut “Siakap senohong gelama ikan duri.  Bercakap bohong lama-lama mencuri”.  Bermula dengan bercakap bohong, lama kelamaan Sazali mencuri wang bapanya sendiri.

Disebabkan terlampau dimewahkan dengan wang dan materi, Sazali hidup dengan bertuhankan wang dan menjadi ketua gangster.

Kata Sazali kepada bapanya,

“Apabila Sazali dewasa, Sazali perlu banyak wang, tapi bapa tidak mampu.

Sekarang Sazali punya wang dan kuasa, dan segala-galanya.

Semuanya dari tenaga Sazali sendiri bapa tahu?”

Ibubapa yang membeli kasih sayang anak-anak kecil dengan memberi kemewahan semata-mata, tidak akan dihormati oleh anak-anak pada kemudian hari.  Apabila anak-anak tidak perlu lagi bergantung dari segi kewangan dan materi kepada ibubapa, mereka tidak memerlukan ibubapa lagi.  Inilah yang berlaku kepada Sazali apabila dewasa.  Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang dibesarkan oleh ibubapa yang permisif menjadi individu yang tidak bertanggungjawab, tidak berprinsip, impulsif dan senang terpengaruh dengan persekitaran.   Keadaan diburukkan lagi apabila ibubapa yang permisif itu tidak memberikan pendidikan keimanan dan tidak menanamkan nilai-nilai Islam di dalam diri anak itu.

Membentuk keperibadian dan disiplin anak-anak bukanlah terletak pada hukuman semata-mata. Proses keibubapaan merangkumi hak dan tanggungjawab di antara ibubapa dan anak.  Hak ibubapa untuk disayangi, dijaga dan dihormati adalah tanggungjawab anak, manakala hak anak untuk disayangi, dipelihara, dan diberi pendidikan (keimanan, akhlak, emosi, intelektual dan fizikal) adalah tanggungjawab ibubapa.  Ketidakseimbangan hak dan tanggungjawab akan menyebabkan kepincangan.  Bak kata Sazali,

“Bapalah yang bertanggungjawab ke atas segala kelakuan baik dan buruk Sazali.”

Inilah faktor-faktor yang menjadikan anak itu ‘Sazali’.

Filem ini diakhiri dengan doa Hassan sebelum melaporkan tentang Sazali kepada pihak polis.

“Ya Allah Ya Tuhanku, kepadaMulah ku pohonkan rahmat. Berikanlah aku kekuatan.  Berikanlah aku tenaga untuk menjalankan kewajipanku sebagai seorang bapa.”

Sesungguhnya yang baik semuanya datang daripada Allah SWT.

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s