Banyak soalan yang saya terima berkisar tantrum kanak-kanak. Antara yang sering ditanya adalah anak yang tidak boleh tunggu, tidak boleh sabar bila mahukan sesuatu.
PERSOALAN:
“Puan, anak saya bila dia cakap “Nak”, dia mahukan sekarang jugak. Saya cakap sabarlah, cakap ‘nanti’ pun tak faham. Tantrum.”
Adakah anda biasa dengan situasi ini?
KETAHUI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK.
1) Kanak-kanak sifatnya IMPULSIF iaitu sentiasa mengikut gerak hati dan tidak (boleh) fikir panjang. Sifat semulajadi ini menyebabkan mereka tidak dapat menunggu dan tidak sabar. Mereka mahukan ganjaran serta merta.
Ini normal.
Kita yang tidak normal jika meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk kanak-kanak bersabar dan menunggu.
PERSOALAN:
“Tapi Puan, anak saudara saya sama usia dengan anak saya, tapi saya tengok dia baiknya la hai. Sabar je. Mak dia cakap nanti, dia ok je tak mengamuk pun.”
2) Saya selalu berkongsi tentang PEMBAWAAN (temperament). Setiap anak lahir dengan pembawaan yang berbeza-beza. Antara ciri-ciri yang membentuk pembawaan adalah:
- keupayaan mengalih perhatian. (Mengalih perhatian adalah teknik terbaik ketika tantrum)
- keupayaan menyesuaikan diri
- tahap emosi
- kecekalan
- mood
Semua ciri-ciri ini akan menentukan sama ada seseorang anak itu lebih mudah untuk sabar dan menunggu atau lebih mudah mengalami tantrum kesabaran.
3) Faktor yang paling penting untuk kita faham adalah, kanak-kanak belum faham KONSEP MASA sepenuhnya. Ramai yang belum faham ‘nanti’,’petang karang’, ‘esok’, ‘bulan depan’.
Konsep masa adalah terlalu abstrak. Masa adalah sesuatu yang tidak boleh dilihat, tidak boleh dipegang dan tidak boleh dialami. Mana mungkin anak kecil usia 1-3 tahun boleh faham sepenuhnya bila diminta sabar atau ‘nanti’.
Bagi mereka ‘nanti’ itu sama seperti berkata ‘tidak boleh’ kerana sifat mereka mahukan sesuatu sekarang juga.
Gunakan kata-kata yang mudah untuk anak faham dan tidak abstrak.
“Mama bagi bila papa balik.” Ini lebih mudah untuk anak bayangkan kerana anak pernah mengalaminya.
Kanak-kanak ‘live in the present’. Mereka hanya faham ‘sini’ dan ‘sekarang’. Masa lalu seolah berlaku semalam dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan seolah esok.
Pemahaman tentang konsep masa berkembang dengan latihan dan kematangan.
LATIHAN BAGAIMANA?
Banyak kaedah yang santai dan seronok untuk melatih anak bersabar dan menunggu.
Projek jangkamasa panjang sangat sesuai sebagai latihan.
Contohnya:
- Permainan susun suai gambar atau ‘jigsaw puzzle’ sangat efektif untuk melatih sifat sabar. Carilah yang sesuai dengan usia anak.
- Permainan blok binaan atau lego juga melatih sifat sabar.
- Aktiviti menanam benih dan sabar memerhatikan pokok tumbuh juga melatih sifat sabar.
- Aktiviti ‘baking’ bersama-sama, menunggu kek naik dan masak, juga melatih sifat sabar.
Banyak permainan dan aktiviti tradisi yang melatih sifat sabar ini.
Mungkin anda boleh fikirkan dan cadangkan juga di ruangan komen.
Selain TANTRUM KESABARAN, terdapat beberapa jenis tantrum lagi. Insya Allah saya akan kongsikan nanti. SABAR. 🙂
Set ‘See First’
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect