SEARCHING: 15 Realiti Dan Dilema Ibubapa Era Digital

searching

“You don’t always know your kid. And that is NEVER your fault”

Sudah lama saya mencari filem yang boleh menerangkan dan menterjemah istilah DIGITAL FOOTPRINT, SHARENTING, ONLINE GROOMING, TECHNOFERENCE dan pelbagai istilah baru era digital yang sering saya sebut dalam penulisan saya dan sesi-sesi saya.

Baru kini saya berpeluang menonton filem SEARCHING yang diterbitkan pada tahun 2018 dan kini ditayangkan di Netflix.

Tidak ada adegan yang tidak elok atau tidak senonoh dalam filem ini. Tidak ada adegan bercium atau berpeluk. Bahasa yang digunakan juga elok.

Filem ini diklassifikasikan sebagai 13+. Temanya mungkin berat dan tidak sesuai untuk tontonan bersama anak kecil tetapi digalakkan untuk ditonton bersama anak remaja dan berbincang dengan mereka.

Filem ini banyak menterjemahkan istilah baru yang saya sebut di atas yang telah dicipta bagi menggambarkan amalan baru yang wujud dalam keluarga dan masyarakat pada era digital ini sejajar dengan perkembangan teknologi.

Filem bergenre thriller ini memaparkan ketegangan yang dihadapi oleh seorang ayah yang mencari anak perempuannya yang hilang.   Jika anda mempunyai anak remaja perempuan dan anda tidak kuat semangat, jangan menonton filem ini. ☺️

Ia menggambarkan realiti keluarga dan keibubapaan pada masa kini di mana kita dan anak-anak kita dikelilingi oleh teknologi dan budaya digital, sama ada kita suka ataupun tidak.

Sekiranya anda seorang ayah atau ibu yang mahir tentang teknologi, internet dan apps, anda tentu dapat kaitkan penggunaan teknologi dan media sosial dalam filem ini dengan diri anda sendiri dan anak-anak.

Sekiranya anda seorang ayah atau ibu yang hanya tahu Facebook dan Whatsapp, maka mungkin filem ini akan menyedarkan anda bahawa dunia digital adalah jauh lebih luas daripada itu, lebih-lebih lagi jika anak-anak anda diizinkan untuk melayari internet dengan peranti digital milik mereka ataupun milik anda.

Mereka yang sering berkata “Aku dulu begitu begini….aku jadi orang jugak, aku baik tak macam budak-budak sekarang…” juga dialu-alukan untuk menonton filem ini agar anda faham betapa berbezanya realiti kehidupan kanak-kanak dan remaja sekarang berbanding dengan zaman kanak-kanak dan remaja anda dahulu.

Mungkin juga anda belum mempunyai anak remaja untuk memahami cabaran yang perlu dihadapi oleh remaja masa kini.

15 REALITI KEHIDUPAN DAN KEIBUBAPAAN MASA KINI YANG DIPAPARKAN DALAM FILEM INI:

1) Ibubapa perlu mempunyai pengetahuan tentang IT, media sosial dan platform digital kerana semua ini adalah sebahagian dari dunia anak-anak kita sekarang. Mereka hidup dalam zaman yang berbeza daripada kita. Jika kita tidak mengambil tahu, kita tidak akan tahu pengaruh baik dan buruk ke atas mereka dan tidak akan faham dunia dan kehidupan mereka.

Tahukah anda pada tahun 2019 ini terdapat lebih dari 60 platform media sosial, bukan hanya Facebook, Instagram, Whatsapp dan Twitter sahaja? Tahukah kita di platform manakah anak kita ‘merayau-rayau’ apabila melayari internet?

2) Mungkin akan tiba satu tahap di mana kita merasakan bahawa kita tidak lagi mengenali anak kita. Anak remaja akan melalui perubahan hormon dan juga perubahan struktur otak yang akan menjadikan dia lain daripada dirinya sewaktu kanak-kanak. Ini adalah realiti yang perlu kita terima.

“She is acting like a totally different person”, akui ayah dalam filem ini.

3) Anak yang baik juga boleh tersilap langkah sekiranya dia bersangka-sangka dengan ibubapanya sendiri dan tidak mahu meluahkan masalah yang ditanggungnya.

4) Walaupun ibubapa tegas atau garang dengan anak, perkara yang kita harapkan tidak berlaku akan tetap berlaku disebabkan oleh faktor yang di luar kawalan kita.

5) Komunikasi di antara ibubapa dan anak-anak lebih banyak berlaku secara online sekarang ini. Ini adalah sesuatu yang normal disebabkan oleh kesibukan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti mereka dan juga kesibukan ibubapa dengan tugas masing-masing.

6) Pentingnya supaya ibubapa tahu dan kenal rakan-rakan baik anak dan seeloknya kenal ibubapa mereka juga. Ibubapa juga perlu menyimpan nombor telefon rakan-rakan baik anak kerana ia mungkin diperlukan ketika waktu kecemasan atau kemalangan.

7) Apabila kita rapat dengan anak, barulah kita akan betul-betul kenal anak kita.

“I know my daughter, she did NOT run away” kata ayah yakin tentang anaknya kerana dia mempunyai hubungan yang rapat dengan anak perempuannya dari kecil lagi.

8) Sebagai ibubapa anak remaja, adakalanya kita berada dalam dilema memikirkan cara untuk merapati anak kita. Perkara yang penting bagi kita mungkin perkara remeh bagi anak, manakala apa yang penting bagi anak, kita anggap remeh. Konflik boleh berlaku disebabkan oleh perbezaan ini.

9) Ada ibubapa yang akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan anak dari kesusahan.

“Mummy is going to take care of everything”, seorang ibu meyakinkan anaknya dalam filem ini.

Adakah amalan HELICOPTER PARENTING sebegini membantu anak ataupun membawa rebah?

10) Maksud ‘friend’ pada zaman sekarang memerlukan penilaian semula. Adakah kawan online dikira sebagai kawan? Perkara ini perlu dibincangkan dengan anak-anak yang terdedah kepada interaksi online. Menganggap orang yang dikenali hanya secara online sebagai kawan mungkin akan mengancam keselamatan anak.

11) Apabila telah tular sesuatu tentang kita atau anak kita, ada netizen yang akan memuji, ada yang akan mengecam, ada yang akan mengkritik, malah kita dan keluarga kita akan dihakimi oleh orang ramai tanpa mengetahui duduk perkara yang sebenar. Itu lumrah kehidupan di alam digital.

12) Ada individu yang akan mengambil kesempatan apabila sesuatu menimpa ke atas kita. Ramai yang cuba meraih populariti di media sosial sekarang ini dengan menangguk di air keruh. Apabila kita terkenal, ramailah yang dahulunya tidak bersahabat dengan kita akan mula mendekati kita kerana ingin menumpang ‘glemer’ dan mendapatkan perhatian. Begitu juga jika sesuatu yang buruk menimpa kita, mungkin ada yang tidak begitu mengenali kita akan menokok-tambah cerita seolah-olah mereka sangat mengenali kita. Itu juga lumrah di media sosial.

13) Semua data dan maklumat di akaun media sosial yang kita atau anak kita miliki, semua gambar, video, dan teks tentang kita yang dimuatnaik ke internet, waima maklumat online banking sekalipun akan menjadi DIGITAL FOOTPRINT kita sampai bila-bila.

Dalam filem ini, Digital Footprint anak membantu ayah yang mahir tentang teknologi untuk menjejaki anaknya yang hilang. Digital Footprint ini membawa kebaikan bagi keluarga tersebut. Walau bagaimanapun kita perlu sedar bahawa Digital Footprint ini juga boleh disalahgunakan oleh orang lain sehingga mengancam keselamatan dan ketenangan kehidupan kita. Ada yang boleh menggunakannya untuk mengugut, membuli dan memalukan kita atau anak-anak kita. Perkara ini perlu diperbincangkan dengan anak-anak.

14) Ada individu yang akan menyamar di atas talian untuk mendekati anak-anak kita untuk menjadikan anak mangsa niat jahat mereka. Proses ini dikenali sebagai GROOMING. Mereka tidak menggunakan identiti sebenar malah ada yang akan menggunakan identiti orang lain untuk mendapatkan keyakinan anak kita. Mereka akan menggunakan Digital Footprint anak kita untuk mencari maklumat peribadi. Mereka akan bermain dengan emosi melalui maklumat peribadi yang mereka perolehi sehingga anak yakin yang mereka memahami masalah yang dihadapi oleh anak.

Anak akan merasakan ada persamaan di antara mereka, dan ada insan yang memahami, maka anak akan sanggup melakukan apa sahaja untuk pemangsa itu.
Filem ini memaparkan proses tersebut dalam konteks yang sedikit berbeza namun konsepnya sama. Ini harus diperbincangkan dengan anak-anak juga supaya mereka tidak menjadi mangsa.

15) Antara platform online dan media sosial yang dipaparkan dalam filem ini adalah Gmail, Facetime, Youtube, Instagram, Twitter, Facebook, Venmo, Crowdchase, Youcast, Reddit, Tumblr dan beberapa lagi yang mungkin kita kenali ataupun mungkin kita tidak biasa.

Anak-anak kita membesar pada zaman yang berbeza daripada kita.Oleh itu ‘didiklah mereka mengikut zaman di mana mereka dibesarkan.’ (Sayyidina Umar Al-Khattab)

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Panduan Penting Keibubapaan Dua Alam

duaalam

Pada zaman sekarang ini kita hidup dalam dua alam.

Bukannya hidup di darat dan di air seperti amfibia. Kita masih lagi mamalia, cumanya kita hidup di alam nyata dan alam siber ataupun di atas talian.

Ibubapa kita dahulu tidak perlu menguruskan anak kecil dan remaja yang hidup di dua alam ini.

Inilah perkara asas yang membezakan keibubapaan zaman dahulu dan keibubapaan zaman sekarang.

Inilah juga yang membezakan anak-anak zaman dahulu dan anak-anak zaman sekarang.

Jika IBUBAPA ZAMAN DAHULU sering berpesan-pesan tentang pengaruh baik dan pengaruh negatif di persekitaran, selalu ingatkan anak untuk berada di rumah ketika panas terik tengahari dan perlu pulang sebelum senja, sering memberi amaran tentang kawasan yang tidak harus diterokai, selalu ingatkan tentang hal berkaitan adab, peraturan dan keselamatan dalam kehidupan di alam nyata, ibubapa zaman sekarang juga perlu mengingatkan anak-anak tentang perkara yang sama.
Faktor ini tetap releven baik zaman dahulu mahupun zaman sekarang.

Walau bagaimanapun peringatan ini tidak memadai bagi anak zaman sekarang. IBUBAPA ZAMAN SEKARANG yang mendedahkan anak kepada alam siber perlu juga berpesan-pesan tentang adab, pergaulan, peraturan dan keselamatan dalam kehidupan atas talian (online).

APAKAH YANG PERLU ANAK TAHU?

1) Nasihati anak agar tidak memberi kata laluan (password) atau lalai sehinggakan kata laluan terlepas ke tangan sesiapa. Maklumat peribadi boleh disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ini samalah seperti pesanan ibubapa zaman dahulu supaya anak mengunci pintu dan tingkap agar tidak dimasuki penjahat ataupun pencuri.

Walau bagaimanapun, ibubapa harus tahu kata laluan anak. Tidak ada apa yang perlu disembunyikan oleh anak dari pengetahuan ibubapa selagi mereka masih di bawah tanggungan, pengawasan dan tanggungjawab ibubapa.

2) Ingatkan anak bahawa apa sahaja yang dimuatnaik di internet akan kekal di internet sampai bila-bila walaupun kita sudah memadamnya. Maklumat yang dimuatnaik akan menjadi DIGITAL FOOTPRINT yang boleh dijejaki oleh sesiapa sahaja di kemudian hari. Oleh itu anak haruslah berfikir panjang dan berhati-hati dengan apa sahaja gambar, video dan hantaran yang dimuatnaik.

Ibubapa juga perlu mengawal diri sendiri agar tidak terlalu ghairah berkongsi segala hal berkaitan kehidupan suami isteri, anak-anak dan keluarga.
Ini merupakan cabaran zaman digital. Individu yang tidak bertanggungjawab boleh menyimpan gambar, video atau pun tangkap layar yang pernah dimuatnaik bagi tujuan yang tidak baik seperti BULI SIBER, UGUT, ANTUN (Online sexual grooming) atau FITNAH.

3) Ingatkan anak agar tidak terlalu mudah menerima permintaan berkawan (friend request/follow) dari individu yang tidak dikenali.

Ingatkan anak bahawa ada individu yang menggunakan identiti palsu atau identiti orang lain bertujuan untuk memperdaya. Ini samalah juga seperti pesanan ibubapa zaman dahulu agar berhati-hati dengan individu tidak kenali dan berhati-hati juga dengan individu yang dikenali tetapi cuba mengambil kesempatan.

4) Berbincanglah secara terbuka dengan anak tentang lambakan konten yang tidak sesuai di internet contohnya yang mengandungi unsur keganasan, unsur lucah, saranan bunuh diri, bahasa kesat dan unsur yang tidak sesuai dengan adab dan budaya masyarakat kita.

Pada zaman dahulu pengaruh dan konten sebegini sukar didapati dan mudah dielak tetapi zaman sekarang semuanya berada di hujung jari. ‘Penjahat’ boleh dibawa masuk ke dalam bilik tidur anak-anak tanpa sebarang halangan kerana mereka bebas berkeliaran di alam siber.

5) Sedarkan anak bahawa tidak semua yang dipaparkan di alam siber adalah realiti yang sebenar. Banyak juga unsur penipuan, tipu muslihat, penyamaran, kepalsuan, ‘filter, ‘edit’ dan unsur yang direka-reka dan fantasi.

6) Ingatkan anak agar mengadu kepada anda jika terdapat individu, konten atau situasi di atas talian yang mengancam keselamatan anak dan membuatkan anak merasa tertekan.

Ramai kanak-kanak dan remaja tertekan bukan kerana mereka lembik atau cengeng, tetapi kerana ibubapa tidak pernah memberi panduan dan bimbingan kepada mereka tentang alam siber.

PERSOALAN

1. Dari usia berapakah harus ingatkan anak tentang semua perkara ini?
Dari sebelum, atau apabila anak dibenarkan menggunakan gajet.

2. Anak kecil tidak faham semua perkara ini, bagaimana hendak berbual dengan mereka?
Jika mereka tidak faham tentang semua risiko dan ancaman di alam siber, ini bermakna mereka belum layak dibiarkan menggunakan gajet terutamanya tanpa pemantauan dan peraturan.

Cabaran membesarkan anak pada zaman sekarang berbeza dari zaman dahulu. Jika ibubapa merasakan terlalu terbeban, leceh dan tidak punya masa untuk memantau anak-anak di alam siber, maka pilihan anda adalah untuk hidup seperti zaman dahulu tanpa gajet atau sebarang peranti digital.

Alam siber ini lebih luas berbanding alam nyata yang terbatas pada rumah, sekolah, keluarga dan kejiranan sahaja. Oleh itu risiko dan ancamannya juga lebih luas.
.
Walaupun memberi anak gajet itu mudah, kehidupan di alam nyata dan alam siber akan menjadi payah tanpa pesanan, peraturan dan pemantauan ibubapa.

Caknalah.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Perlukah ‘Share’ Video?

Sebelum anda, orang dewasa, menyebarkan video tembakan, pembunuhan dan apa sahaja bentuk kekejaman di media sosial TOLONGLAH BERFIKIR lebih jauh.

Ramai kanak-kanak memiliki akaun media sosial walaupun belum sampai usia 13 tahun. 

Ibubapa mereka tidak memantau mereka.

Ada ibubapa yang membiarkan anak-anak mereka MENIPU mengaku lebih tua dari usia supaya mereka dapat ‘sign up’.

Jika mereka dibiarkan menipu, ataupun ibubapa mereka tidak tahu dan tidak memantau, maknanya mereka juga bebas untuk berbuat apa sahaja ‘online’ dan offline tanpa peraturan dan pemantauan.

Bayangkan kanak-kanak mentah tanpa pemantauan yang belum matang pemikiran, mental dan emosi ini, menonton video kekejaman yang dikongsikan oleh orang dewasa di Facebook, Instagram, Youtube, Twitter, Whatsapp dan bermacam-macam platform lagi.

Mereka kemudiannya akan berkongsi sesama mereka pula.

Kesannya sama ada
1) mereka mengalami trauma dan stres kerana adegan itu terlampau membebankan mental dan emosi rapuh mereka dan berterusan melekat dalam ingatan mereka,

ataupun

2) mereka menjadi lali, mencuba dan meniru kerana belum cukup akal untuk membuat keputusan. Ketidakmatangan menyebabkan mereka tidak dapat membezakan baik dan buruk dan tidak dapat membezakan realiti dan fantasi.

Tingkah laku kanak-kanak adalah tanggungjawab orang dewasa. Apabila kanak-kanak dan remaja bawah umur yang sepatutnya masih dipantau bertindak ganas, agresif, kurang ajar, tidak berperikemanusiaan, membuli sehingga tahap mencederakan dan membunuh, orang dewasa di sekeliling mereka baik ‘online’ mahupun offline turut sama bertanggungjawab atas perbuatan mereka.

Berfikirlah sebelum berkongsi elemen keganasan atau lucah
kerana anda mempunyai ‘follower’ di kalangan kanak-kanak mentah.

Ataupun anda tidak kisah masyarakat menjadi musnah?

It takes a village to raise a child.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Persiapan Pendidikan Anak-anak Era Digital

PERSIAPAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK ERA DIGITAL
DI TTDI JAYA, SHAH ALAM

ibtisam080118

Dijemput ibubapa, penjaga dan guru-guru kepada anak-anak yang berusia 0-8 tahun untuk menghadiri sesi yang akan diadakan pada:

Ahad 14 Januari 2018.

Adakah perkembangan teknologi digital membantu ataupun membantutkan perkembangan kanak-kanak yang berusia 0-8 tahun?

Apakah perkembangan kanak-kanak yang perlu diketahui dan dipupuk?

Apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibubapa dalam mendidik anak-anak era digital ini?

Semuanya akan kita bincangkan nanti insya Allah.

Seminar adalah anjuran Pertubuhan Kebajikan An-Naafi’ (PEKA) dengan kerjasama Biro Pemuda Masjid Al-I’tisam, dan NGO Persatuan Bina Insan (INSAN).

SEBARANG urusan atau pertanyaan hendaklah menghubungi terus kepada pihak penganjur (bukan kepada Parent Connect) di nombor yang tertera di poster.

Terima kasih.

Pembuka Tirai 2018

Kepada ibubapa dan juga pendidik kanak-kanak berusia 0-8 tahun, JOM sertai kami di Bangi.

Anjuran:
Pejabat ADUN Bangi dengan kerjasama Biro Pemuda Masjid Al Hasanah, Persatuan Generasi Prihatin (GenP), dan NGO Bangi Bandar Ilmu (BBI).

Sebar-sebarkan ya.


[PERSIAPAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK ERA DIGITAL]

digital0718

Pada zaman sekarang, aktiviti keseharian anak-anak tidak dapat lepas dari pengaruh media dan teknologi seperti internet, gadget, televisyen dan game online. Media dan teknologi ini sudah menjadi hidangan harian bagi anak-anak dari sekecil bayi sehinggalah remaja.

Peranan dan tanggungjawab ibu bapa menjadi semakin mencabar kerana kemajuan teknologi seperti pisau bermata dua, tidak hanya dapat memberikan impak positif, tetapi ia juga boleh membawa pengaruh negatif pada masa yang sama kepada anak-anak.

Sehubungan dengan itu, Pejabat ADUN Bangi dengan kerjasama Biro Pemuda Masjid Al Hasanah, Persatuan Generasi Prihatin (GenP), dan NGO Bangi Bandar Ilmu (BBI) menjemput Tuan/Puan budiman untuk menghadiri

SEMINAR KELUARGA BAHAGIA : PERSIAPAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK ERA DIGITAL
(Khusus untuk ibu bapa kepada anak-anak berusia 0-8 tahun)

yang akan mengupas tentang peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak di era digital ini khusus untuk anak-anak berusia 0-8 tahun.

🚨PENCERAMAH🚨

Puan Noor Afidah
Co-Founder Parent Connect Consultancy
———————————————-
📆Tarikh: Ahad, 7 Januari 2018

Masa: 8.30 pagi – 1.00 petang

🕌Tempat: Dewan Masjid Al Hasanah, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi
———————————————-
Sarapan dan nurseri turut disediakan!

📞Untuk penyertaan, sila hubungi nombor di bawah:

Cik Sarah 019-940 9570
Cik Ida 012-795 9538

Atau daftar melalui link aplikasi whatapps :

http://seminarbahagia.wasap.my

💰 Yuran serendah RM20 sahaja.

Tempat adalah terhad.

Usah ketinggalan, daftar SEGERA!

Anak Hanya Layak Diberi Smartphone…

anaksmartphone

ANAK HANYA LAYAK DIBERI SMARTPHONE:

  1. Apabila ibubapa secara konsisten membina hubungan yang rapat dengan anak dengan sentiasa meluangkan masa dengan anak.
  2. Apabila ibubapa menjadi tempat mengadu dan luahan emosi anak.
  3. Apabila anak yakin dan percaya bahawa ibubapa adalah pelindung anak.
  4. Apabila anak tahu kenapa dia perlukan (bukan ‘mahukan’) smartphone.
  5. Apabila anak ada jadual seharian dan faham akan matlamat (goals) yang perlu dicapai sebagai seorang anak, pelajar dan anggota masyarakat.
  6. Setelah anak diajar tentang cara dan adab berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain secara bersemuka.
  7. Setelah anak dibimbing dan sentiasa diingatkan tentang keselamatan fizikal dan seksual (di luar dan online).
  8. Setelah ibubapa berbincang dengan anak tentang pros dan cons penggunaan smartphone.
  9. Apabila ibubapa bersedia secara konsisten memeriksa konten dan ‘history’ penggunaan smartphone anak.
  10. Setelah anak diberi tanggungjawab (chores) dalam keluarga yang bersesuaian dengan usia anak.

Jika kesemua di atas tidak dapat dipenuhi, maka pemberian smartphone kepada anak hanyalah memudaratkannya dan teknologi tidak harus dipersalahkan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Teknologi Skrin dan Anak-anak

Risau anak terlalu ketagih dengan ‘game’?
Risau anak asyik mengadap televisyen siang dan malam?
Risau anak dengan laptop atau iPad sepanjang masa?

image

Soalan yang harus ditanya pada diri ibubapa:

  1. Adakah ibubapa sediakan dan biasakan anak-anak dengan aktiviti alternatif seperti bermain, membaca, bersukan, berbual bersama, ‘building blocks’ dan sebagainya? atau
  2. adakah anak-anak sejak kecil di’babysit’ oleh televisyen dan di’diamkan’ dengan apps dan game di telefon pintar, tablet dan ‘laptop’ ibubapa sahaja?

Jika itulah sahaja caranya, bukanlah salah anak-anak jika mereka tidak tahu cara lain untuk mengisi masa.

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/