APABILA ANAK-ANAK TERPAKSA BERUBAH ANGIN.

Seorang ayah bertanya saya kenapa anaknya yang berusia 6 tahun sering inginkan perhatian dan sentiasa ingin berdamping dengan ayah sejak mereka berpindah ke rumah yang baru? Disebabkan Ayah perlu juga menguruskan anak yang lebih kecil, maka perhatian berlebihan yang diinginkan oleh abang menimbulkan kepayahan untuk mengurus kedua-duanya sekaligus.

Kenapa ada kanak-kanak yang menghadapi kesukaran apabila memasuki sekolah baru?

Kenapa ada kanak-kanak yang berubah tingkah laku apabila berpindah ke rumah baru?

Kenapa ada kanak-kanak yang susah hendak hentikan aktiviti yang dilakukan apabila disuruh tidur?

Kenapa ada kanak-kanak yang tidak mahu meninggalkan taman permainan apabila tiba waktu untuk mandi?

 


Proses transisi adalah satu proses yang sangat sukar dan mencabar bagi kebanyakan kanak-kanak. Orang dewasa juga menghadapi kesukaran apabila perlu menyesuaikan diri dengan tempat kerja yang baru. Cumanya orang dewasa tidak menangis dan meraung seperti anak-anak kecil yang memasuki tadika atau Darjah 1. Pengalaman dan kematangan membuatkan orang dewasa lebih kental melalui sebarang transisi dalam kehidupan walaupun ada juga yang tertekan dalam diam.

Transisi berlaku apabila kanak-kanak terpaksa

  1. bertukar atau keluar dari persekitaran yang selesa
  2. berpisah dengan mereka yang dipercayai, atau
  3. berubah aktiviti secara mendadak.

PROSES TRANSISI KERANA BERPINDAH

Memasuki darjah 1 menggerunkan bagi sesetengah kanak-kanak disebabkan perubahan persekitaran. Selain itu mereka terpaksa pula menyesuaikan diri dengan guru-guru dan kawan-kawan yang baru. Tekanan dalam proses transisi ke sekolah baru itu berkurang kiranya ada kawan-kawan yang dikenali dari tadika sebelum ini ataupun guru-guru menunjukkan kemesraan dan keprihatinan terhadap emosi dan keperluan kanak-kanak.

Anak remaja juga melalui proses transisi apabila memasuki sekolah menengah ataupun memasuki kolej dan universiti. Proses ini juga melahirkan ‘anxiety’ dalam diri mereka dan bukan hanya pada diri kanak-kanak kecil sahaja.

Berpindah ke rumah baru pula menyebabkan kanak-kanak terpaksa menyesuaikan diri dengan ruang dan tempat yang berbeza, kejiranan yang asing dan juga kawan-kawan yang lain dari dahulu. Pertukaran Ini menimbulkan rasa tidak selamat dalam diri kanak-kanak. Rasa tidak selamat inilah yang adakalanya menyebabkan tingkah laku kanak-kanak berubah dan menguji kesabaran kita. Anak mungkin menjadi ‘clingy’, mungkin menjadi pendiam, atau juga sering menunjukkan ‘tantrum’ lebih dari biasa. Emosi anak-anak yang sering berpindah randah kerana mengikut ayah atau ibu yang sering bertukar lokasi pekerjaan juga akan terkesan dengan proses transisi kerana terlalu banyak perubahan yang perlu disesuaikan.

Ada juga kanak-kanak yang mencipta ‘imaginary friend’ atau teman khayalan atau imaginasi apabila tiada sesiapa untuk bermain ketika waktu transisi ini. ‘Imaginary friend’* adalah sebahagian dari ‘Pretend Play’ yang terhasil dari imaginasi dan kreativiti kanak-kanak yang tinggi. Sesetengah kanak-kanak cepat menyesuaikan diri ketika proses transisi tetapi ada juga yang mengambil masa. Semua ini bergantung kepada pembawaan atau sifat semulajadi kanak-kanak tersebut.

Ketika proses transisi ini yang diperlukan oleh kanak-kanak adalah:

  1. Ibubapa dan orang dewasa yang menyokong, memberi perhatian dan mesra dengan keperluan dan emosi yang dialami oleh kanak-kanak.
  2. Ibubapa dan orang dewasa yang memahami pembawaan, minat, kesukaan, kebencian, keselesaan, ketakutan, keupayaan, budaya dan latar belakang kanak-kanak supaya dapat diberikan sokongan dalam bentuk aktiviti yang akan membuatkan kanak-kanak merasa selamat sekaligus melancarkan proses transisi.
  3. Persekitaran dan ruang yang bersesuaian dengan ‘mood’ kanak-kanak supaya mereka merasa selesa dan cepat menyesuaikan diri. Memberi kanak-kanak peluang untuk membuat keputusan tentang susun atur rumah baru mengikut keselesaan dan citarasa mereka juga dapat mempercepatkan proses penyesuaian diri.

 

PROSES TRANSISI KERANA PERTUKARAN AKTIVITI

Bayangkan kita disuruh berhenti melakukan sesuatu tugasan yang sedang khusyuk kita selesaikan. Bayangkan kita terpaksa meninggalkan aktiviti kesukaan kita tanpa bersedia untuk berhenti dan bukannya atas kerelaan kita sendiri. Bayangkan juga bagaimana rasanya apabila kita terpaksa menukar rutin harian kita selama ini kerana faktor luaran yang mendesak. Untuk memahami bagaimana proses transisi mempengaruhi kanak-kanak, kita perlu meletakkan diri kita di tempat mereka.

Kanak-kanak memerlukan rutin kerana kejutan akan memberikan tekanan kepada mereka. Mereka akan merasa lebih tenang jika mereka tahu apa yang bakal mereka lalui seterusnya. Menyuruh kanak-kanak berhenti bermain secara tiba-tiba sudah tentu akan menimbulkan ketegangan dan tentangan, bukan kerana mereka degil, bukan kerana mereka tidak mendengar kata, tetapi kerana perubahan rutin yang mendadak mengecewakan mereka.

Kanak-kanak akan lebih mudah diminta berhenti bermain atau berhenti apa saja aktiviti yang asyik mereka lakukan, jika mereka sudah diberitahu terlebih dahulu akan waktunya mereka perlu berhenti. Apabila mereka bersedia dari awal, mereka tahu bila momentum itu perlu diperlahankan, mereka bersedia untuk menghadapi perubahan rutin dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum berhenti. Untuk mengelakkan konflik dan ketegangan, proses ini memerlukan latihan, persediaan dan persetujuan.

Perubahan aktiviti atau subjek di sekolah juga memerlukan waktu transisi yang santai untuk merehatkan fizikal dan minda. Perubahan yang mendadak tanpa rehat antara aktiviti atau subjek boleh mengganggu fokus dan konsentrasi untuk aktiviti atau subjek yang seterusnya.

Kesimpulannya, proses transisi boleh mempengaruhi emosi dan tingkah laku anak-anak.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

*Beberapa minggu lalu seorang Ibu menceritakan kepada saya tentang ‘imaginary friend’ anaknya apabila berpindah ke rumah yang baru. Insya Allah Saya akan menulis tentang imaginary friend atau teman khayalan/imaginasi dalam posting yang berasingan.

Kredit gambar: carian Google

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s