Panduan Penting Keibubapaan Dua Alam

duaalam

Pada zaman sekarang ini kita hidup dalam dua alam.

Bukannya hidup di darat dan di air seperti amfibia. Kita masih lagi mamalia, cumanya kita hidup di alam nyata dan alam siber ataupun di atas talian.

Ibubapa kita dahulu tidak perlu menguruskan anak kecil dan remaja yang hidup di dua alam ini.

Inilah perkara asas yang membezakan keibubapaan zaman dahulu dan keibubapaan zaman sekarang.

Inilah juga yang membezakan anak-anak zaman dahulu dan anak-anak zaman sekarang.

Jika IBUBAPA ZAMAN DAHULU sering berpesan-pesan tentang pengaruh baik dan pengaruh negatif di persekitaran, selalu ingatkan anak untuk berada di rumah ketika panas terik tengahari dan perlu pulang sebelum senja, sering memberi amaran tentang kawasan yang tidak harus diterokai, selalu ingatkan tentang hal berkaitan adab, peraturan dan keselamatan dalam kehidupan di alam nyata, ibubapa zaman sekarang juga perlu mengingatkan anak-anak tentang perkara yang sama.
Faktor ini tetap releven baik zaman dahulu mahupun zaman sekarang.

Walau bagaimanapun peringatan ini tidak memadai bagi anak zaman sekarang. IBUBAPA ZAMAN SEKARANG yang mendedahkan anak kepada alam siber perlu juga berpesan-pesan tentang adab, pergaulan, peraturan dan keselamatan dalam kehidupan atas talian (online).

APAKAH YANG PERLU ANAK TAHU?

1) Nasihati anak agar tidak memberi kata laluan (password) atau lalai sehinggakan kata laluan terlepas ke tangan sesiapa. Maklumat peribadi boleh disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ini samalah seperti pesanan ibubapa zaman dahulu supaya anak mengunci pintu dan tingkap agar tidak dimasuki penjahat ataupun pencuri.

Walau bagaimanapun, ibubapa harus tahu kata laluan anak. Tidak ada apa yang perlu disembunyikan oleh anak dari pengetahuan ibubapa selagi mereka masih di bawah tanggungan, pengawasan dan tanggungjawab ibubapa.

2) Ingatkan anak bahawa apa sahaja yang dimuatnaik di internet akan kekal di internet sampai bila-bila walaupun kita sudah memadamnya. Maklumat yang dimuatnaik akan menjadi DIGITAL FOOTPRINT yang boleh dijejaki oleh sesiapa sahaja di kemudian hari. Oleh itu anak haruslah berfikir panjang dan berhati-hati dengan apa sahaja gambar, video dan hantaran yang dimuatnaik.

Ibubapa juga perlu mengawal diri sendiri agar tidak terlalu ghairah berkongsi segala hal berkaitan kehidupan suami isteri, anak-anak dan keluarga.
Ini merupakan cabaran zaman digital. Individu yang tidak bertanggungjawab boleh menyimpan gambar, video atau pun tangkap layar yang pernah dimuatnaik bagi tujuan yang tidak baik seperti BULI SIBER, UGUT, ANTUN (Online sexual grooming) atau FITNAH.

3) Ingatkan anak agar tidak terlalu mudah menerima permintaan berkawan (friend request/follow) dari individu yang tidak dikenali.

Ingatkan anak bahawa ada individu yang menggunakan identiti palsu atau identiti orang lain bertujuan untuk memperdaya. Ini samalah juga seperti pesanan ibubapa zaman dahulu agar berhati-hati dengan individu tidak kenali dan berhati-hati juga dengan individu yang dikenali tetapi cuba mengambil kesempatan.

4) Berbincanglah secara terbuka dengan anak tentang lambakan konten yang tidak sesuai di internet contohnya yang mengandungi unsur keganasan, unsur lucah, saranan bunuh diri, bahasa kesat dan unsur yang tidak sesuai dengan adab dan budaya masyarakat kita.

Pada zaman dahulu pengaruh dan konten sebegini sukar didapati dan mudah dielak tetapi zaman sekarang semuanya berada di hujung jari. ‘Penjahat’ boleh dibawa masuk ke dalam bilik tidur anak-anak tanpa sebarang halangan kerana mereka bebas berkeliaran di alam siber.

5) Sedarkan anak bahawa tidak semua yang dipaparkan di alam siber adalah realiti yang sebenar. Banyak juga unsur penipuan, tipu muslihat, penyamaran, kepalsuan, ‘filter, ‘edit’ dan unsur yang direka-reka dan fantasi.

6) Ingatkan anak agar mengadu kepada anda jika terdapat individu, konten atau situasi di atas talian yang mengancam keselamatan anak dan membuatkan anak merasa tertekan.

Ramai kanak-kanak dan remaja tertekan bukan kerana mereka lembik atau cengeng, tetapi kerana ibubapa tidak pernah memberi panduan dan bimbingan kepada mereka tentang alam siber.

PERSOALAN

1. Dari usia berapakah harus ingatkan anak tentang semua perkara ini?
Dari sebelum, atau apabila anak dibenarkan menggunakan gajet.

2. Anak kecil tidak faham semua perkara ini, bagaimana hendak berbual dengan mereka?
Jika mereka tidak faham tentang semua risiko dan ancaman di alam siber, ini bermakna mereka belum layak dibiarkan menggunakan gajet terutamanya tanpa pemantauan dan peraturan.

Cabaran membesarkan anak pada zaman sekarang berbeza dari zaman dahulu. Jika ibubapa merasakan terlalu terbeban, leceh dan tidak punya masa untuk memantau anak-anak di alam siber, maka pilihan anda adalah untuk hidup seperti zaman dahulu tanpa gajet atau sebarang peranti digital.

Alam siber ini lebih luas berbanding alam nyata yang terbatas pada rumah, sekolah, keluarga dan kejiranan sahaja. Oleh itu risiko dan ancamannya juga lebih luas.
.
Walaupun memberi anak gajet itu mudah, kehidupan di alam nyata dan alam siber akan menjadi payah tanpa pesanan, peraturan dan pemantauan ibubapa.

Caknalah.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Semak pesalah seksual kanak-kanak melalui eDKK

Satu inisiatif yang sudah lama diperbicangkan dan dinanti-nantikan. Semoga segalanya berjalan dengan lancar demi keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita.


 

Sistem berkenaan mempunyai lebih 3,000 nama pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak sejak 2017 hingga Februari 2019

“..pihak berkaitan termasuk ibu bapa yang ingin mengambil pengasuh atau pemilik taska yang ingin mengambil pekerja boleh membuat semakan melalui sistem itu bagi memastikan individu yang diambil bebas rekod jenayah terhadap kanak-kanak.

Katanya, mereka hanya perlu hadir ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri atau daerah dan mengemukakan kad pengenalan untuk pendaftaran permohonan semakan tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Pegawai akan menyemak nombor kad pengenalan individu yang dirujuk. Keputusan akan menunjukkan sama ada individu berkenaan ‘ada rekod’ atau ‘tiada rekod’.”

“How we treat our children shows how we value them in the society.”

Semak pesalah seksual kanak-kanak melalui eDKK

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Perlukah ‘Share’ Video?

Sebelum anda, orang dewasa, menyebarkan video tembakan, pembunuhan dan apa sahaja bentuk kekejaman di media sosial TOLONGLAH BERFIKIR lebih jauh.

Ramai kanak-kanak memiliki akaun media sosial walaupun belum sampai usia 13 tahun. 

Ibubapa mereka tidak memantau mereka.

Ada ibubapa yang membiarkan anak-anak mereka MENIPU mengaku lebih tua dari usia supaya mereka dapat ‘sign up’.

Jika mereka dibiarkan menipu, ataupun ibubapa mereka tidak tahu dan tidak memantau, maknanya mereka juga bebas untuk berbuat apa sahaja ‘online’ dan offline tanpa peraturan dan pemantauan.

Bayangkan kanak-kanak mentah tanpa pemantauan yang belum matang pemikiran, mental dan emosi ini, menonton video kekejaman yang dikongsikan oleh orang dewasa di Facebook, Instagram, Youtube, Twitter, Whatsapp dan bermacam-macam platform lagi.

Mereka kemudiannya akan berkongsi sesama mereka pula.

Kesannya sama ada
1) mereka mengalami trauma dan stres kerana adegan itu terlampau membebankan mental dan emosi rapuh mereka dan berterusan melekat dalam ingatan mereka,

ataupun

2) mereka menjadi lali, mencuba dan meniru kerana belum cukup akal untuk membuat keputusan. Ketidakmatangan menyebabkan mereka tidak dapat membezakan baik dan buruk dan tidak dapat membezakan realiti dan fantasi.

Tingkah laku kanak-kanak adalah tanggungjawab orang dewasa. Apabila kanak-kanak dan remaja bawah umur yang sepatutnya masih dipantau bertindak ganas, agresif, kurang ajar, tidak berperikemanusiaan, membuli sehingga tahap mencederakan dan membunuh, orang dewasa di sekeliling mereka baik ‘online’ mahupun offline turut sama bertanggungjawab atas perbuatan mereka.

Berfikirlah sebelum berkongsi elemen keganasan atau lucah
kerana anda mempunyai ‘follower’ di kalangan kanak-kanak mentah.

Ataupun anda tidak kisah masyarakat menjadi musnah?

It takes a village to raise a child.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Membuli Dan Mengeji Anak-anak

Wahai orang dewasa yang dipenuhi kekaguman terhadap diri sendiri,

Berhentilah membuli dan mengeji kanak-kanak dan remaja yang berbuat silap.
Mengaibkan dan membuli anak itu di alam siber tidak akan menjadikan dia dan anak-anak lain lebih baik.

Tidakkah kamu terfikir mungkinkah anak-anak kita tenat kerana sikap kamu selama ini, wahai orang dewasa yang dipenuhi kekaguman terhadap diri sendiri?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Remaja Perempuan dan Media Sosial

Berdasarkan kajian dalam artikel ini, anak remaja perempuan yang berusia antara 10-15 tahun lebih terkesan dan tertekan dengan penggunaan media sosial berbanding anak remaja lelaki.
Jika dilihat dalam negara kita sendiri, hantaran (posting) berkaitan kecantikan, penggayaan tudung, dan ‘make up’ sangat menarik perhatian bukan saja remaja, malah kanak-kanak perempuan juga.

socmed

Remaja perempuan lebih mengharapkan ‘like’ dan pengiktirafan daripada orang lain. Mereka juga lebih terdorong untuk membanding-bandingkan diri mereka dengan remaja yang lain.

Saya pernah berbincang dengan para ibu tentang pengaruh media sosial ini dan ada di antara orang dewasa juga yang merasakan media sosial seperti Facebook dan Instagram memberi tekanan kepada orang dewasa sendiri terutamanya apabila melihat kehidupan orang lain yang dipaparkan. Ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosi orang dewasa juga dan mereka mengambil keputusan untuk ‘deactivate’ akaun mereka untuk beberapa ketika.

Keupayaan untuk mengawal diri seperti orang dewasa ini belum dimiliki sepenuhnya oleh anak remaja ditambah lagi mereka berada dalam fasa membina persahabatan. Rakan adalah segala-galanya bagi mereka. Mereka ingin turut serta (fit in) dan tidak mahu ketinggalan (fear of missing out – FOMO). ‘Deactive’ akaun media sosial sukar bagi mereka kerana ini bermakna mereka akan kehilangan rakan-rakan ini.

Anak remaja perempuan juga lebih terdedah kepada buli siber berbanding anak remaja lelaki.

Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memantau penggunaan media sosial oleh anak-anak remaja kerana tekanan ini akan memberi kesan kepada tingkah laku, pembelajaran, tidur dan ‘mood’ mereka.
Saya sering juga melihat ayah atau ibu yang berkongsi bergelak ketawa dengan anak remaja apabila melihat sesuatu hantaran (posting) di media sosial. Perbincangan dan interaksi berkisar media sosial dan kandungannya antara ibubapa dan anak-anak remaja adalah amat penting untuk mewujudkan hubungan yang rapat dan secara tidak langsung juga dapat memantau penggunaannya pada masa yang sama.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy