Bagi ibubapa yang stres kerja, stres kewangan, stres kesesakan lalu lintas, stres kos sara hidup, dan bermacam-macam stres lagi dalam kehidupan moden sekarang, ini salah satu petua yang terbukti berkesan untuk membantu mengurangkan tekanan dan membantu kesihatan mental secara keseluruhan.
Tidur awal bukan sahaja menjadikan anak-anak lebih sihat, gembira dan ‘sharp’ atau fokus. Ia juga menjadikan ibubapa lebih tenang. Ibubapa juga perlukan ‘me time’ berdua untuk bersantai, bersembang tentang hal masing-masing dan berbincang tentang isu-isu semasa tanpa hiruk pikuk anak-anak.
Ini adalah cara yang paling mudah dan murah dan pada masa yang sama baik untuk anak-anak.
Tidak ada sebab kenapa anak perlu tidur lewat. Jika mereka tonton TV atau bermain gajet, sudah semestinya anak akan tidur lewat kerana pancaran sinar dari skrin menjadikan otak terus aktif. Anak memerlukan waktu tenang tanpa aktiviti yang mengaktifkan otak sebelum tidur. Jika otak mereka aktif, tentulah mereka sukar tidur.
Jika anak tidur lewat, bertambah-tambah lagi stres kita kerana perlu menguruskan mereka sehingga lebih masa setelah seharian keletihan.
Ataupun mungkinkah kita yang tertidur terlebih dahulu sebelum anak dan membiarkan mereka sendirian melayari internet atau game?
Latihlah anak untuk tidur awal. Jangan beralasan anak tidak mahu, anak protes, anak bantah atau anak tidak makan saman.
Bos di rumah adalah ibubapa bukannya anak-anak.
Bertegaslah.
Jika anda merasa stres, cuba renung kembali adakah anak anda tidur awal atau tidak?
Noor Afidah Abu Bakar.
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/