Tantrum Emosi

Beberapa hari lalu saya menulis tentang Tantrum Kesabaran.

Seorang ayah menghubungi saya bertanya bila tantrum ini akan berakhir. Dukacita ingin saya maklumkan bahawa orang dewasa juga masih ada yang meragam dan menunjukkan tantrum marah. Tantrum sangat berkait rapat dengan emosi dan keupayaan untuk membimbing emosi.

Bagi menjawab soalan ayah tersebut, secara umumnya tantrum pada kanak-kanak akan berkurang dan mungkin berhenti apabila berusia lebih kurang 4 tahun. Puncak tantrum emosi ini adalah ketika berusia 2-3 tahun. 

tantrumemosi.png

Terdapat 3 kemungkinan jika anak yang melebih 4 tahun masih melontarkan tantrum seperti kanak-kanak berusia 2 tahun,

1) Selama ini ibubapa akan mengalah jika anak melontarkan tantrum, oleh itu anak ‘mempergunakan’ kelemahan ibubapa tersebut.
2) Ibubapa perlu memperbaiki corak komunikasi dengan anak.
3) Mungkin juga anak memerlukan intervensi ahli terapi atau psikologis kerana tantrum (atau meltdown) berkemungkinan adalah symptom kepada masalah perkembangan yang lain.

Jika tantrum kesabaran berlaku kerana anak tidak boleh bersabar apabila inginkan sesuatu, tantrum emosi berlaku kerana 2 situasi:

SITUASI 1 TANTRUM EMOSI:
Anak tidak boleh meluahkan emosi kerana belum/tidak memiliki kemahiran bahasa.

Adalah amat mengecewakan apabila apa yang cuba anak sampaikan tidak difahami ibubapa atau orang terdekat disebabkan perkembangan bahasanya yang belum matang ataupun lewat. Ini selalunya melibatkan anak berusia 1.5-3 tahun yang belum boleh bertutur dengan baik atau tidak mempunyai kosa kata sesuai untuk meluahkan kemahuan.
Anak-anak ini selalu menunjukkan tantrum kerana kecewa emosi mereka tidak dapat diluahkan.

APA YANG PERLU IBUBAPA TAHU?

Terdapat dua jenis kemahiran berbahasa:

1. Penerimaan (receptive) – faham percakapan/arahan.
2. Pengungkapan (expressive) – boleh bertutur dan luahkan.

Kemahiran penerimaan berkembang lebih cepat dari kemahiran pengungkapan.

Tantrum emosi berlaku jika kemahiran bahasa anak belum sampai tahap pengungkapan.

APA YANG BOLEH DILAKUKAN?

*Fahami bahawa tantrum ini bukan disengajakan.

*Ketahuilah anak mengalami keadaan tertekan (distres).

* Cuba, (ya cuba) untuk bertenang kerana jika kita balas dengan tantrum juga, ia hanya akan memarakkan lagi suasana.

*Minta anak tunjukkan apa yang dia mahukan atau guna bahasa isyarat. Bahasa isyarat ini memerlukan latihan ketika tenang dan sebelum tantrum berlaku.

*Sebutkan kepada anak apa yang kita rasakan mungkin menjadi punca tantrum. Selalunya tangisannya boleh menjadi isyarat sama ada tekaan kita itu betul atau tidak.
Makin kuat raungannya menunjukkan tekaan kita salah. Jika raungannya semakin perlahan ataupun anak menganguk, maknanya betullah tekaan kita.

*Alih perhatian anak kepada sesuatu yang mungkin menenangkannya atau membuatkan dia teruja.

*Jika keadaan berterusan, bawa anak beredar dari tempat, situasi atau orang yang menjadi punca tantrum. Anak perlu ditenangkan.

*Peluk anak kerana sentuhan menghasilkan hormon oksitosin (hormon kasih sayang) yang dapat menenangkan anak dan menenangkan kita juga.

*Apabila semunya sudah tenang, bantulah anak memupuk perkembangan bahasa:
-Banyakkan bercakap dan bermain dengan anak.
-Kurangkan cinta tiga segi yakni ‘bercakap’ dengan telefon.
-Bacakan buku cerita bersama-sama dengan anak.
-Menyanyi dengan anak.
-Main permainan yang merangsang perkembangan bahasa anak.

*Jangan biarkan anak ketagih gajet kerana kanak-kanak yang asyik dengan gajet akan mengakibatkan perkembangan bahasa yang lewat. Tantrum pun semakin kerap.

Anak berusia 4 tahun selalunya sudah memiliki kemahiran pengungkapan, oleh kerana itulah tantrum emosi ini semakin berkurang.
Keupayaan otak berfikir dan rasional anak juga semakin berkembang setelah usia 4 tahun.

SITUASI 2 TANTRUM EMOSI:
Anak tidak digalakkan dan tidak tahu untuk meluahkan emosi dengan perkataan.

Bagi anak yang sudah memiliki kemahiran pengungkapan, galakkan anak untuk meluahkan emosi dengan perkataan.

APA YANG BOLEH DILAKUKAN?
* Galakkan anak untuk menyebut apa yang dirasakan – marah, kecewa, sedih. Kajian mendapati bahawa, kebolehan untuk mengungkapkan emosi dapat meningkatkan kawalan diri seorang kanak-kanak dan orang dewasa juga.
Jika emosi itu dipendam, ia tidak akan hilang, malah lama-kelamaan akan meletup sebagai tantrum atau amukan.

Mungkin anak marah dengan kawan.
Mungkin anak kecewa kerana rancangan TV kesukaannya tiada.
Mungkin anak sedih kerana penselnya patah.

* Akui emosi anak, “Mama tahu kamu kecewa sebab tidak dapat mainan tersebut. Kita baru saja beli mainan minggu lepas kan? Cuba beritahu apa yang kita beli? Kali ini mama tak akan belikan.”

* Konsisten dengan pendirian. Jangan mengalah.

* Tegaskan kepada anak bahawa anda tidak akan melayan kerenahnya jika dia tidak mengungkapkan dengan perkataan. Anak perlu sebut apa yang dimahukan dan bukannya dengan melontarkan tantrum.
“You will not get anything by throwing tantrum.”

*Tegaskan kepada anak yang anda akan tunggu sehingga dia bertenang dan beritahu kemahuannya.

Apabila keadaan sudah reda, bimbinglah anak dengan banyak berkomunikasi dengan anak.
Anak yang sudah boleh bertutur seharusnya dibimbing untuk berkomunikasi dan menyampaikan kemahuan dan keperluan dengan cara yang positif dan bukannya melalui tantrum.

Percayalah, apabila anak anda dewasa nanti, episod tantrum ini akan membuatkan anda tersenyum.
Insya Allah.
🙂

Noor Afidah Abu Bakar.
Parent Connect Consultancy

Pautan TANTRUM KESABARAN:

Leave a comment