Jika diteliti artikel dari media Indonesia ini dan juga beberapa artikel lain, saya dapati faktor berlakunya ketagihan rokok di kalangan kanak-kanak Indonesia adalah sama sahaja dengan faktor berlakunya ketagihan gajet di kalangan anak-anak kita. Jika dilihat dari perspektif yang lebih luas, tingkah laku kanak-kanak secara umumnya sememangnya terbentuk disebabkan oleh beberapa faktor ini:
1) MENIRU IBUBAPA DAN ORANG TERDEKAT.
Kanak-kanak adalah peniru yang terbaik, oleh itu berilah mereka sesuatu yang baik untuk ditiru.
Saya masih ingat kes di negara kita beberapa tahun lalu yang melibatkan seorang lelaki membelasah isterinya di dalam lif. Ketika dibicarakan di mahkamah, anak pasangan tersebut yang dipanggil untuk memberi keterangan mengatakan bahawa ibunya memang layak dibelasah oleh ayahnya. Anak ini bercakap tentang ibu kandungnya yang dipukul teruk oleh ayah kandungnya. Kenapakah agaknya anak ini merasakan bahawa keganasan adalah sesuatu yang normal dan layak dilakukan?
Apa yang sering dilihat dan didengar oleh anak akan menjadi satu kelaziman bagi anak itu. Bagi anak yang belum tahu membezakan yang baik dengan yang buruk dan belum matang, mereka menganggap apa saja yang dilakukan oleh ayah, ibu atau penjaga adalah betul dan normal. Lama-kelamaan mereka akan mula meniru perbuatan tersebut. Apa yang ditiru akhirnya akan menjadi satu tabiat bagi mereka.
Jika anak sering melihat ibubapa asyik dengan gajet, mana mungkin anak tidak ketagih gajet.
2) KEIZINAN ATAU ‘APPROVAL’
Anak-anak sentiasa mencuba untuk melakukan sesuatu yang akan menyukakan hati ibubapa untuk mendapatkan perhatian kita. Mereka akan melakukan perkara yang mendapat keizinan kita.
Keizinan tidak semestinya datang dalam bentuk pengucapan, contohnya, “Ya ayah izinkan kamu.” Keizinan juga datang dalam bentuk ‘non-verbal’ atau pun gerak tubuh. Jika tingkah laku tidak elok kanak-kanak dianggap lucu dan menjadi bahan ketawa, maka kanak-kanak akan mengambil tawa itu sebagai satu keizinan. Dengan keizinan tersebut kanak-kanak akan terus melakukannya. Beberapa tahun lalu saya pernah melihat orang tua mentertawakan seorang anak kecil yang cuba menghisap rokok daun. Perbuatan itu dianggap lucu oleh orang tua tersebut. Tawa tersebut adalah juga satu keizinan bagi anak itu meneruskan apa yang dilakukannya.
Begitu juga jika kita mentertawakan anak kecil yang biadap tutur katanya kerana kita anggap comel, tawa itu adalah satu keizinan.
Keizinan juga boleh datang dalam bentuk ketidakpedulian oleh ibubapa atau pihak yang berotoriti. Pengabaian atau tidak melarang adalah satu keizinan yang diberikan oleh ibubapa ataupun penjaga untuk anak meneruskan perbuatannya.
3) PERSEKITARAN.
Teori Ekologi Bronfenbrenner membincangkan tentang pengaruh persekitaran kepada tingkah laku dan pemikiran manusia. Anak-anak kita perlu membesar dalam persekitaran yang baik.
Anak-anak perlu dilindungi dari pengaruh yang tidak elok di persekitaran mereka.
Siapakah guru anak kita? Siapakah kawan anak? Siapakah jiran kita? Apakah yang ditonton oleh anak? Apakah yang dibaca oleh anak? Apakah lagu dan lirik yang didengari oleh anak? Apakah iklan komersil yang mempengaruhi anak kita? Siapakah individu yang menjadi idola anak? Apakah ‘game’ kegemaran anak? Apakah polisi kerajaan yang melibatkan kanak-kanak?
Semua ini harus kita tahu kerana ia akan mempengaruhi tingkah laku anak.
Selain itu, ingatkan juga anak-anak kita tentang kesan tindakan dan tingkah laku mereka kepada persekitaran atau orang sekeliling mereka. Ingatkan mereka apa sahaja yang mereka lakukan akan mempunyai kesan ke atas diri mereka sendiri lambat launnya.
Ini melatih sifat bertanggungjawab dalam diri anak-anak.
4) PERATURAN DAN KONSISTENSI.
Saya pernah menulis tentang gaya keibubapaan.
Gaya keibubapaan akan menentukan sama ada ibubapa mempunyai peraturan atau tidak dalam keluarga dan di rumah . Ibubapa yang PERMISIF tidak menetapkan peraturan dan anak-anak bebas untuk melakukan apa saja mengikut kehendak anak. Ibubapa yang OTORITARIAN pula terlampau ‘rigid’ sehinggakan tidak boleh langsung dibawa berbincang.
Ibubapa yang OTORITATIF lebih konsisten dengan peraturan yang ditetapkan. Walau anak berguling dengan TANTRUM kerana inginkan sesuatu, ibu bapa tidak akan mengalah dan tetap dengan keputusan kerana peraturan telahpun ditetapkan. Konsistensi inilah yang akan mendidik anak supaya faham dan mengikut peraturan. Dengan konsistensi, anak akan faham bahawa mereka tidak boleh dapat atau tidak boleh lakukan sesuatu mengikut kehendak mereka semata-mata.
Gaya keibubapaan, rujuk di sini:
https://www.facebook.com/pg/MyParentConnect/photos/?tab=album&album_id=1766122366782807
5) MEMAHAMI FITRAH DAN PERKEMBANGAN ANAK.
Dalam kes ‘baby smoker’ di Indonesia ini, salah satu terapi yang digunakan untuk memulihkan anak-anak ini adalah dengan kembalikan anak kepada fitrah bermain. Anak ini juga dibekalkan dengan alat mainan sesuai usia untuk mengisi masa senggang mereka. Selain itu mereka juga diberikan makanan yang sesuai dengan kanak-kanak sebagai ganti rokok yang seakan-akan menjadi ‘makanan ruji’ bagi mereka**.
Ibubapa harus menyediakan aktiviti alternatif bagi kanak-kanak terutamanya yang ketagihan gajet. Jika selama ini mereka tidak didedahkan kepada aktiviti lain, anak tidak keluar bermain, tidak membaca, tidak disibukkan dengan aktiviti kreatif, tidak dipupuk kecenderungan semulajadi mereka, tidak digalakkan membantu dengan kerja rumah (chores), maka anak akan memilih skrin atau gajet kerana itulah satu-satunya cara yang anak tahu untuk menghabiskan masa.
Jika anak-anak banyak tenaga, bawalah anak-anak keluar untuk meluahkan tenaga yang ada. Apabila anak dibiarkan terperuk dalam rumah, mereka akan mula melakukan perkara-perkara yang membuatkan kita marah sedangkan tingkah laku itu adalah berpunca dari keperluan mereka yang tidak kita tunaikan.
Memetik kata-kata dari artikel ini,
“PEROKOK PASIF BISA MEMPENGARUHI ANAK-ANAK MENJADI PEROKOK AKTIF.”
Saya sangat bersetuju dengan larangan menghisap rokok terutamanya di tempat makan terbuka dan tempat terbuka. Saya kerap melihat si ayah menghembus asap rokok ke muka isteri dan anak-anak di tempat makan tanpa rasa berdosa. Bagaimana agaknya kemenjadian anak-anak ini nanti?
Jika keluarga sendiri pun tidak dipedulikan, apatah lagi kepedulian terhadap masyarakat dan negara umumnya.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
* Sumber: https://www.bbc.com/indonesia/trensosial-39179414
** Sumber: http://www.astroawani.com/berita-dunia/tinggalkan-rokok-selepas-diberi-susu-biskut-183671
ARTIKEL PENUH: http://lifestyle.bisnis.com/read/20180821/236/830179/baby-smoker-asal-sukabumi-sempat-viral-begini-kisah-sebenarnya