Membimbing Anak Bercakap Benar

 

Tahukah anda ketika berusia lingkungan 3 tahun, ‘Theory of Mind’ terbina dan berkembang dalam diri seorang –kanak-kanak. ‘Theory of mind’ ini penting untuk perkembangan sosial kanak-kanak kerana ia membuatkan kanak-kanak faham bahawa:

  • kepercayaan orang lain mungkin berbeza dari kepercayaan kita
  • niat orang lain mungkin berbeza dari niat kita
  • pemikiran orang lain mungkin berbeza dari pemikiran kita
  • pengetahuan orang lain mungkin berbeza dari pengetahuan kita
  • keinginan orang lain mungkin berbeza dari keinginan kita.

Pengetahuan tentang perbezaan ini penting dalam membantu kanak-kanak bersosial dan berinteraksi dengan orang lain. ‘Theory of mind’ ini juga menjadi asas penting dalam perkembangan dan pembinaan empati – keupayaan untuk merasai, memahami dan bertindak balas terhadap emosi orang lain.

Walaupun ‘Theory of mind’ ini sesuatu yang positif, jika tidak dibimbing dari peringkat awal, ia boleh melahirkan sikap suka berbohong dalam diri kanak-kanak. Kanak-kanak tidak bercakap benar apabila dia tahu bahawa orang yang dibohongi mempunyai pengetahuan yang berbeza. Kanak-kanak mula berbohong apabila dia sedar bahawa orang lain tidak tahu apa yang dia tahu.

‘Theory of mind’ adalah perkembangan kognitif (pemikiran/otak) yang harus dipupuk seiring dengan perkembangan rohani, perkembangan moral dan juga perkembangan sosial. Tidak ada satu perkembangan dalam diri kanak-kanak yang lebih penting dari perkembangan yang lain. Semuanya sama penting. Sebagai ibubapa dan guru, semuanya harus dipupuk dengan serentak menggunakan kaedah yang sesuai dengan perkembangan individu dan usia kanak-kanak.
Jangan fokus pada 3M sahaja.

BAGAIMANA CARA MEMBIMBING ANAK SUPAYA BERCAKAP BENAR.

1. Disebabkan ‘Theory of Mind’ berkembang dari awal, terapkan dalam diri anak dari awal lagi tentang Allah yang Maha Mengetahui (Al-‘Aliim), Maha Mendengar (As-Samii’) dan Maha Melihat (Al-Basiir).

Nama-nama Allah ini bukanlah diajar dengan cara menghafal atau dilagukan sahaja, terangkan juga signifikasi dan implikasinya menggunakan bahasa yang bersesuaian dengan usia kanak-kanak. Kaedah penceritaan yang santai menggunakan kisah-kisah yang senang difahami kanak-kanak lebih mudah meresap dalam jiwa kanak-kanak. Dengan ini kanak-kanak sedar bahawa walaupun orang lain (manusia) tidak tahu, tidak lihat, tidak dengar, Allah Maha Mengetahui kesemuanya termasuk apa yang difikirkan oleh seseorang.

2. Elakkan hukuman yang terlampau keras dan juga menyakitkan fizikal.
Kanak-kanak yang berasal dari keluarga yang suka menghukum dengan hukuman yang keras dan tidak sepadan dengan kesalahan didapati lebih pandai berbohong untuk ‘survival’ berbanding kanak-kanak yang dihukum dengan setimpal bersesuaian dengan kesalahan.

Begitu juga dengan kanak-kanak yang berasal dari keluarga yang mempunyai banyak peraturan tetapi tidak terbuka untuk perbincangan (Keibubapaan authoritarian) didapati lebih gemar dan pandai berbohong. Amalkan keibubapaan autoritatif di mana perbincangan selalu digalakkan di samping mempunyai peraturan di rumah.
Kaedah ini juga releven untuk diamalkan di sekolah-sekolah.

3. Kanak-kanak sentiasa menunggu untuk dipuji dan dihargai apabila bercakap benar. Janganlah hanya nampak keburukan anak apabila dia berbohong. Dari awal lagi pujilah dan hargailah anak yang suka bercakap benar. Kanak-kanak dilahirkan seumpama kain putih, mereka secara semulajadinya akan bercakap benar. Jika dia berubah dari suka berbohong kepada bercakap benar, hargailah perubahan yang ditunjukkan. Penghargaan yang kita berikan kepada sifat positif anak akan membuatkan anak semakin suka untuk mengamalkan sifat yang positif. Jiika kita banyak berikan perhatian kepada tingkah laku negatif, maka yang negatiflah akan banyak kita lihat dipamerkan oleh kanak-kanak.

4. Jadilah teladan yang baik buat anak-anak untuk ditiru. Janganlah berbohong kepada orang sekeliling. Janganlah berbohong kepada anak walaupun dengan niat bergurau. Anak lebih cepat belajar daripada tindakan kita yang mereka perhatikan berbanding nasihat dan kata-kata kita.

Kanak-kanak mempunyai kecenderungan untuk mereka-reka cerita kerana mereka belum dapat membezakan antara realiti dan fantasi. Tahap imaginasi mereka juga tinggi ketika usia awal. Kadang-kadang mereka ingin bergurau dengan kita walaupun tidak begitu mahir seperti dalam video ini.

Walau bagaimanapun, setiap sesuatu yang diceritakan oleh kanak-kanak HARUS disiasat akan kebenarannya terutamanya jika ia melibatkan penderaan fizikal atau pun seksual. Jangan menggunakan alasan ‘Theory of mind’ untuk menidakkan terus apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak kerana ramai yang menjadi mangsa dan menyimpan kesedihan itu sehingga menyebabkan kemurungan dan mempengaruhi rutin seharian.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Leave a comment