Atas inisiatif Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara, dua hari lalu telah berlangsung Perbincangan Meja Bulat yang mengumpulkan pakar-pakar dari pelbagai bidang dan agensi yang berkait rapat dengan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Malaysia.
Salah satu aspek penting yang telah diberi penekanan adalah tentang pendidikan keibubapaan (parenting knowledge) dan juga penglibatan ibubapa (parental involvement) dalam proses penerapan ilmu dan penerapan nilai murni dalam diri seorang kanak-kanak.
Proses pembelajaran bukan hanya tanggungjawab sekolah dan guru semata-mata. Ibubapalah guru pertama dan utama bagi seorang kanak-kanak. Rumah adalah sekolah yang paling penting dalam penerapan ilmu dan nilai murni. Ibubapa harus memikul tanggungjawab untuk mendidik anak sebaiknya.
Ibubapa perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang perkembangan dan keperluan kanak-kanak supaya ibubapa dapat meletakkan jangkaan yang realistik (realistic expectation) pada seorang anak. Terlalu banyak tekanan diberikan kepada anak-anak kecil sekarang terutamanya dari segi akademik sehinggakan menimbulkan masalah kesihatan mental di kalangan anak-anak usia awal.
Terima kasih diucapkan kepada JKDPN di bawah Dr Putri Afzan Maria yang telah menjemput saya untuk turut sama berbincang dan mengemukakan cadangan bagi memperkasakan ibubapa demi masa depan anak-anak kita.
Semoga apa yang diperbincangkan dan diusulkan oleh semua pakar yang hadir akan mencantikkan lagi lanskap Pendidikan Awal Kanak-kanak di Malaysia sehingga ke dasarnya.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/