Sabar Yang Diperlukan Ibubapa

sabar

SABAR EMOSI

Sabar sebagai ibubapa selalu dikaitkan dengan keupayaan untuk menahan rasa marah.
Bersabar agar kita tidak mengamuk, tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak menghukum sehingga membawa kepada penderaan. 

Anak meragam, anak menguji kesabaran, anak melawan, anak tidak mendengar kata, anak tidak hormat, anak meraung, anak sepahkan rumah, semua ini menjadi cabaran kepada emosi ibubapa. Sabar emosi ini penting untuk menjaga keharmonian dalam keluarga dan juga untuk memastikan kewarasan diri kita sendiri.

SABAR MENUNGGU HASIL

Walau apa saja yang kita usahakan dalam mendidik anak-anak ia tidak akan menunjukkan hasilnya dalam waktu yang singkat. Mendidik anak-anak adalah satu proses tarbiyah yang dimulai dengan asuhan, didikan dan bimbingan peringkat demi peringkat sehinggalah anak berupaya untuk melakukannya sendiri.

Didikan dan bimbingan ini jugalah yang akan menghasilkan ‘inner speech’ atau suara hati dalam diri anak yang akan menjadi motivasi dalaman supaya anak melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang tidak baik.

Proses ini mengambil masa dan menuntut kesabaran ibubapa.
Janganlah terlalu mengharapkan hasil yang tergesa-gesa sehingga memaksa anak di luar kemampuan dan keupayaan dirinya.

SABAR BERUSAHA

Jika satu kaedah tidak bersesuaian dengan anak, berusahalah mencari dan mencuba kaedah yang lain pula. Jangan cepat berputus asa dan menyalahkan diri sendiri. Jangan juga menyalah anak semata-mata jika sesuatu usaha kita itu tidak berjaya. Setiap anak berbeza-beza sebagaimana setiap keluarga berbeza-beza.

Bersabarlah dalam berusaha mencari jalan penyelesaian kepada apa saja cabaran yang kita hadapi dengan anak-anak.

Bersabar bukanlah bermaksud kita hanya berdiam diri menunggu keajaiban berlaku tanpa usaha.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

‘Meroyan’ Yang Disalahgunakan

Saya lihat sekarang ini perkataan ‘meroyan’ digunakan sewenang-wenangnya dalam pelbagai konteks yang tidak kena sehingga menenggelamkan maksud sebenar perkataan tersebut.
Meroyan adalah isu kesihatan mental yang sangat serius dan tidak seharusnya dibuat bahan gurauan.

Apabila si ibu sampai ke peringkat ‘halusinasi’ seperti dalam kes ini, ia menunjukkan bahawa si ibu sudah sampai ke tahap ke 3 atau tahap paling kronik dalam meroyan atau dikenali sebagai Postpartum Psychosis.

Melahirkan anak bukanlah proses yang mudah. Hanya yang melaluinya yang tahu dan faham trauma yang dialami ketika bersalin. Ia bukan sahaja melibatkan fizikal si ibu, malah juga melibatkan emosi dan mental ibu.

Beberapa tahun lalu dalam sebuah sesi yang saya hadiri, seorang Pakar perbidanan dan sakit puan menerangkan bahawa emosi seorang ibu mengambil masa lebih lama dari fizikal si ibu untuk pulih sepenuhnya selepas bersalin. Ini untuk proses mengandung dan kelahiran yang biasa dan normal, belum lagi mengambil kira proses mengandung dan kelahiran yang sukar dan bermasalah.

APA DAN SIAPA YANG PENTING?

1) Sokongan suami sangat sangat sangat penting. Tidak ada perkataan yang dapat saya gunakan untuk menggambarkan kepentingan peranan dan sokongan si suami.
Layanlah si isteri seperti permaisuri. Kalau sebelum ini sudah pun dilayan seperti permaisuri, layanlah seperti permaisuri segala permaisuri.
Pikullah tanggungjawab menjaga bayi bersama-sama.
Bukanlah isteri sengaja mengada-ngada dengan kerenah dan permintaan. Perubahan hormon boleh mempengaruhi sikap dan tangkah laku isteri. Ini hanyalah sementara.
Bersabarlah. Bukankah anak kamu juga yang dilahirkan wahai ayah.

2) Ayah, ibu, mertua, adik beradik, ipar duai juga memainkan peranan yang penting. Janganlah memberi pelbagai tekanan dari pelbagai sudut kepada ibu yang baru bersalin. Janganlah diganggu jiwa dan emosi ibu dengan kerenah anda yang macam-macam. Tidak perlulah mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati dan perasaannya. Ibu baru bersalin sifatnya hypersensitive. Anda yang sepatutnya menjadi lebih sensitif dengan keadaan si ibu bukannya dia yang perlu menjaga hati anda sepanjang masa.

3) Mak cik-mak cik dan rakan-rakan pula janganlah terlampau galak dengan nasihat dan kritikan yang pelbagai sehingga membebankan emosi si ibu yang sudah semulajadinya terkesan dengan proses kelahiran. Berilah ruang dan peluang untuk si ibu berehat dan memikirkan sendiri halatuju keluarganya. Jika dia memerlukan nasihat, dia akan bertanya. Jika dia tidak bertanya, dia tidak memerlukan khidmat sukarela anda. Simpanlah dulu.

Postpartum depression (PPD) atau meroyan boleh dialami oleh sesiapa saja. Walau bagaimanapun wanita yang berisiko tinggi adalah mereka yang*:

*Pernah melalui episod meroyan atau PPD sebelum ini.
*Mengalami kemurungan ketika mengandung.
*Mempunyai sejarah kemurungan (depression) atau isu kesihatan mental yang lain.
*Melalui kehidupan atau pengalaman yang menekan.
*Tidak mempunyai sokongan sosial yang kuat dari orang terdekat.
*Mempunyai masalah rumahtangga.

Pantaulah isteri, anak/menantu, adik/kakak, dan rakan anda dan bawa si ibu untuk mendapatkan rawatan pakar kesihatan jika kemurungan atau kesedihan ibu berpanjangan sehingga mengganggu tugasan dan fungsi harian mereka.
Jangan ditunggu sehingga dia berhalusinasi kerana jika sampai ke tahap itu ia bermakna bahawa bebanan emosi dan mental itu sudah terlalu lama ditanggungnya.

meroyan

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

*Sumber: MGH Center for Women’s Mental Health.

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kanak-kanak-maut-dikelar-ibu-kandung-178363

Tantrum Emosi

Beberapa hari lalu saya menulis tentang Tantrum Kesabaran.

Seorang ayah menghubungi saya bertanya bila tantrum ini akan berakhir. Dukacita ingin saya maklumkan bahawa orang dewasa juga masih ada yang meragam dan menunjukkan tantrum marah. Tantrum sangat berkait rapat dengan emosi dan keupayaan untuk membimbing emosi.

Bagi menjawab soalan ayah tersebut, secara umumnya tantrum pada kanak-kanak akan berkurang dan mungkin berhenti apabila berusia lebih kurang 4 tahun. Puncak tantrum emosi ini adalah ketika berusia 2-3 tahun. 

tantrumemosi.png

Terdapat 3 kemungkinan jika anak yang melebih 4 tahun masih melontarkan tantrum seperti kanak-kanak berusia 2 tahun,

1) Selama ini ibubapa akan mengalah jika anak melontarkan tantrum, oleh itu anak ‘mempergunakan’ kelemahan ibubapa tersebut.
2) Ibubapa perlu memperbaiki corak komunikasi dengan anak.
3) Mungkin juga anak memerlukan intervensi ahli terapi atau psikologis kerana tantrum (atau meltdown) berkemungkinan adalah symptom kepada masalah perkembangan yang lain.

Jika tantrum kesabaran berlaku kerana anak tidak boleh bersabar apabila inginkan sesuatu, tantrum emosi berlaku kerana 2 situasi:

SITUASI 1 TANTRUM EMOSI:
Anak tidak boleh meluahkan emosi kerana belum/tidak memiliki kemahiran bahasa.

Adalah amat mengecewakan apabila apa yang cuba anak sampaikan tidak difahami ibubapa atau orang terdekat disebabkan perkembangan bahasanya yang belum matang ataupun lewat. Ini selalunya melibatkan anak berusia 1.5-3 tahun yang belum boleh bertutur dengan baik atau tidak mempunyai kosa kata sesuai untuk meluahkan kemahuan.
Anak-anak ini selalu menunjukkan tantrum kerana kecewa emosi mereka tidak dapat diluahkan.

APA YANG PERLU IBUBAPA TAHU?

Terdapat dua jenis kemahiran berbahasa:

1. Penerimaan (receptive) – faham percakapan/arahan.
2. Pengungkapan (expressive) – boleh bertutur dan luahkan.

Kemahiran penerimaan berkembang lebih cepat dari kemahiran pengungkapan.

Tantrum emosi berlaku jika kemahiran bahasa anak belum sampai tahap pengungkapan.

APA YANG BOLEH DILAKUKAN?

*Fahami bahawa tantrum ini bukan disengajakan.

*Ketahuilah anak mengalami keadaan tertekan (distres).

* Cuba, (ya cuba) untuk bertenang kerana jika kita balas dengan tantrum juga, ia hanya akan memarakkan lagi suasana.

*Minta anak tunjukkan apa yang dia mahukan atau guna bahasa isyarat. Bahasa isyarat ini memerlukan latihan ketika tenang dan sebelum tantrum berlaku.

*Sebutkan kepada anak apa yang kita rasakan mungkin menjadi punca tantrum. Selalunya tangisannya boleh menjadi isyarat sama ada tekaan kita itu betul atau tidak.
Makin kuat raungannya menunjukkan tekaan kita salah. Jika raungannya semakin perlahan ataupun anak menganguk, maknanya betullah tekaan kita.

*Alih perhatian anak kepada sesuatu yang mungkin menenangkannya atau membuatkan dia teruja.

*Jika keadaan berterusan, bawa anak beredar dari tempat, situasi atau orang yang menjadi punca tantrum. Anak perlu ditenangkan.

*Peluk anak kerana sentuhan menghasilkan hormon oksitosin (hormon kasih sayang) yang dapat menenangkan anak dan menenangkan kita juga.

*Apabila semunya sudah tenang, bantulah anak memupuk perkembangan bahasa:
-Banyakkan bercakap dan bermain dengan anak.
-Kurangkan cinta tiga segi yakni ‘bercakap’ dengan telefon.
-Bacakan buku cerita bersama-sama dengan anak.
-Menyanyi dengan anak.
-Main permainan yang merangsang perkembangan bahasa anak.

*Jangan biarkan anak ketagih gajet kerana kanak-kanak yang asyik dengan gajet akan mengakibatkan perkembangan bahasa yang lewat. Tantrum pun semakin kerap.

Anak berusia 4 tahun selalunya sudah memiliki kemahiran pengungkapan, oleh kerana itulah tantrum emosi ini semakin berkurang.
Keupayaan otak berfikir dan rasional anak juga semakin berkembang setelah usia 4 tahun.

SITUASI 2 TANTRUM EMOSI:
Anak tidak digalakkan dan tidak tahu untuk meluahkan emosi dengan perkataan.

Bagi anak yang sudah memiliki kemahiran pengungkapan, galakkan anak untuk meluahkan emosi dengan perkataan.

APA YANG BOLEH DILAKUKAN?
* Galakkan anak untuk menyebut apa yang dirasakan – marah, kecewa, sedih. Kajian mendapati bahawa, kebolehan untuk mengungkapkan emosi dapat meningkatkan kawalan diri seorang kanak-kanak dan orang dewasa juga.
Jika emosi itu dipendam, ia tidak akan hilang, malah lama-kelamaan akan meletup sebagai tantrum atau amukan.

Mungkin anak marah dengan kawan.
Mungkin anak kecewa kerana rancangan TV kesukaannya tiada.
Mungkin anak sedih kerana penselnya patah.

* Akui emosi anak, “Mama tahu kamu kecewa sebab tidak dapat mainan tersebut. Kita baru saja beli mainan minggu lepas kan? Cuba beritahu apa yang kita beli? Kali ini mama tak akan belikan.”

* Konsisten dengan pendirian. Jangan mengalah.

* Tegaskan kepada anak bahawa anda tidak akan melayan kerenahnya jika dia tidak mengungkapkan dengan perkataan. Anak perlu sebut apa yang dimahukan dan bukannya dengan melontarkan tantrum.
“You will not get anything by throwing tantrum.”

*Tegaskan kepada anak yang anda akan tunggu sehingga dia bertenang dan beritahu kemahuannya.

Apabila keadaan sudah reda, bimbinglah anak dengan banyak berkomunikasi dengan anak.
Anak yang sudah boleh bertutur seharusnya dibimbing untuk berkomunikasi dan menyampaikan kemahuan dan keperluan dengan cara yang positif dan bukannya melalui tantrum.

Percayalah, apabila anak anda dewasa nanti, episod tantrum ini akan membuatkan anda tersenyum.
Insya Allah.
🙂

Noor Afidah Abu Bakar.
Parent Connect Consultancy

Pautan TANTRUM KESABARAN:

4 Punca Utama Ayah atau Ibu Memberikan Respon Negatif Kepada Anak dan Emosinya

Terdapat 4 faktor yang menjadi punca utama ayah atau ibu memberikan respon negatif kepada anak dan emosinya.

1. Masalah suami isteri.
2. Rumah yang tidak terurus.
3. Simptom depresi seperti letih melampau dan tiada semangat.
4. Masalah tempat kerja.

parentstress

Kredit Imej: Google

Jika kita cepat melenting dan tertekan dengan cabaran keibubapaan, cuba renung kembali adakah masalahnya berpunca dari sikap anak atau adakah masalahnya berpunca dari faktor disebut di atas,iaitu masalah kita sendiri.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Kawalan Diri…

Sukar untuk kita membentuk anak-anak yang tinggi kawalan diri (self control) jika kita sendiri sering gagal mengawal tutur kata, gagal mengawal emosi, gagal mengawal belanja, gagal mengawal tingkah laku, gagal mengawal waktu, dan gagal mengawal kemahuan.

self c

Kredit Gambar: Step Digest

Jika kawalan diri anak rendah, kita perlu melihat imej di cermin terlebih dahulu sebelum kita memantau pengaruh persekitaran.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Kisah di Wad Kecemasan – Anak-anak Berkomunikasi Dengan Tingkah-laku

Keadaan di Wad Kecemasan hospital pada pagi itu agak lengang. Belum ramai pelawat yang hadir untuk melawat pesakit atau pun mungkin tidak ramai pesakit di wad tersebut untuk dilawati.

kecemasan

Kredit Gambar: HKL

Saya melihat anak itu bermain-main dengan ‘sliding door’ pintu utama untuk masuk ke wad kecemasan. Anak tersebut memetik suis ‘sliding door’ elektronik di bahagian luar untuk masuk ke dalam. Dia kemudiannya memetik suis di bahagian dalam untuk keluar.

Masuk, keluar, masuk, keluar, itu saja yang dilakukannya.
Tidak ada ahli keluarga yang melarangnya.

Apabila terpandang saya memerhatikannya dari tadi, dia tersenyum. Melihat saya membalas senyumannya, dia kembali masuk keluar, masuk keluar seperti tadi tanpa mempedulikan orang lain yang semakin ramai.

Dia kelihatan tidak terkawal. Mungkin dia mengganggu laluan utama wad kecemasan walaupun pada ketika itu orang tidak ramai. Perbuatannya mungkin boleh menyebabkan kerosakan pada pintu elektronik tersebut.

Namun jauh di sudut hati, saya gembira kerana tidak ada petugas atau orang awam yang memarahinya.

Saya teringatkan kisah yang diceritakan oleh Steven Covey dalam buku beliau “7 Habits of Highly Effective People” tentang ‘Paradigm Shift’.

Berikut adalah kisah tersebut yang telah saya terjemahkan.


 

Kisah ini berlaku pada suatu pagi Ahad di atas keretapi bawah tanah di New York. Penumpang-penumpang duduk dengan santai – ada yang membaca surat khabar, ada yang jauh mengelamun, dan ada yang berehat dengan mata terpejam. Keadaan sungguh damai dan tenang sehinggalah seorang lelaki dan anak-anaknya menaiki keretapi tersebut. Anak-anaknya sungguh riuh rendah dan tidak terkawal sehinggakan keadaan tenang dalam keretapi terus bertukar kecoh.

Lelaki tersebut duduk bersebelahan saya dan memejamkan matanya seolah-olah tidak peka dengan apa yang berlaku. Dia tidak menghiraukan persekitarannya. Anak-anaknya terjerit-jerit ke sana ke mari, melontar apa saja yang dicapai oleh tangan dan merampas suratkhabar yang dibaca oleh penumpang lain. Mereka benar-benar mencetuskan huru-hara dalam keretapi namun lelaki yang duduk di sebelah saya langsung tidak berbuat apa-apa.

Sukar untuk sesiapa saja untuk tidak merasa marah dalam situasi sebegitu.
Bagaimana seorang ayah boleh membiarkan anak-anaknya bertindak liar tanpa melakukan apa-apa dan langsung tidak bertanggungjawab?
Sangat jelas kelihatan penumpang-penumpang lain juga merasa tidak selesa dengan apa yang berlaku. Kesabaran saya juga ada batasnya. Akhirnya saya menoleh memandang lelaki di sebelah saya itu lantas bersuara.

“Tuan, anak Tuan benar-benar mengganggu penumpang-penumpang lain. Tidakkah Tuan boleh mengawal mereka walaupun sedikit?”

Lelaki tersebut memandang saya dengan pandangan yang kosong. Dia seolah-olah baru tersedar tentang apa yang sedang berlaku.

“Oh, benar kata saudara. Saya perlu melakukan sesuatu. Sebenarnya kami baru pulang dari hospital. Ibu mereka meninggal sejam yang lalu. Saya tidak dapat berfikir dan saya rasa mereka juga tidak tahu bagaimana hendak menghadapi situasi ini.”

Dapatkah anda bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu? Paradaim saya terus berubah.
Tiba-tiba saya melihat situasi tersebut dengan pandangan yang berbeza. Tingkah laku saya juga berbeza. Rasa marah saya terus hilang. Saya tidak perlu risau tentang kawalan diri dan tingkah laku saya kerana hati saya dipenuhi dengan kedukaan yang dialami oleh lelaki tersebut.

Rasa kasihan dan simpati terus mengalir dalam diri saya.
“Isteri Tuan meninggal? Oh, maafkan saya. Boleh saya tahu apa yang berlaku? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”

Segalanya berubah serta-merta.


 

Inilah sebabnya saya gembira tidak ada yang memarahi anak yang masuk keluar masuk keluar wad kecemasan itu. Entah apa yang bermain di fikirannya. Seperti dalam kisah di atas, dia mungkin juga tidak tahu bagaimana untuk menghadapi situasi yang sedang dilaluinya. Dia menemani ibunya yang tidak sedarkan diri di wad tersebut.

Tahukah anda kanak-kanak berkomunikasi dengan kita melalui tingkah laku mereka? Setiap tingkah laku negatif yang kita lihat pada kanak-kanak adalah disebabkan oleh keperluan mereka yang tidak tertunai. Ketenangan emosi adalah juga satu keperluan yang penting bagi kanak-kanak.

Fahamilah apa yang mendorong tingkah laku kanak-kanak sebelum kita mencemuh, memarahi ataupun menghukum mereka.
Bimbing mereka.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Benarkah Jika Terlampau Dilayan Anak, Nanti Anak Tidak Tahu Berdikari?

Jika terlampau dilayan anak, nanti anak tidak tahu berdikari.
Jika terlalu diberi tumpuan, nanti anak melampau.

BENARKAH?

Sebagai manusia kita akan sentiasa berusaha mencari, dan berebutkan perkara yang kita rasakan perlu dan penting dalam hidup.

Contohnya seperti yang sering kita lihat sekarang. Ramai yang tidak kisah berkampung dan beratur dari awal pagi di luar premis perniagaan jika ada promosi produk yang dirasakan ‘perlu’ bagi mereka.
Ada yang tidak rasa bersalah bertolak-tolakkan dan berhimpit-himpit asalkan dapat apa yang dirasakan perlu itu. Ada yang menangis-nangis, meraung-raung kerana sakit, ataupun kecewa kerana gagal mendapatkan apa yang dihajati.

independent

Kredit Gambar: Independent

APAKAH YANG DIPERLUKAN OLEH KANAK-KANAK?

Kanak-kanak perlukan perhatian, belaian, dan kasih sayang yang ditunjukkan melalui perbuatan oleh orang dewasa yang menjadi penjaga utama kanak-kanak.
Kasih sayang bukan hanya kata nama, kasih sayang adalah juga kata kerja.
Melayan anak adalah contoh perhatian dan kasih sayang.
Memberi tumpuan kepada anak adalah contoh perhatian dan kasih sayang.

Apabila kita menunjukkan perhatian dan kasih sayang melalui perbuatan, kanak-kanak yakin dan percaya bahawa kita sayangkan mereka. Rasa yakin ini menjadikan kanak-kanak tenang dan tidak perlu berebut-rebut untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang kita lagi. Dengan ini mereka akan berupaya untuk berdikari kerana mereka tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada kita. Mereka tahu kasih sayang itu sedia ada dan kita akan menyokong mereka kiranya bantuan diperlukan ketika berdikari.

Apabila kanak-kanak tidak perlu berebutkan keperluan utama tersebut, mereka lebih bebas untuk meneroka keupayaan dan potensi diri. Tenaga mereka tidak perlu digunakan untuk mencari perhatian dan kasih sayang. Mereka boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pembelajaran.

Apabila mereka tidak perlu merebutkan perhatian dan kasih sayang, tingkah laku mereka juga menjadi lebih positif kerana tingkah laku anak bergantung kepada perhatian yang diberikan oleh ibubapa.

Kenapa sekarang ini ramai anak yang bermasalah?
Cuba fikir kembali apakah prioriti kita.
Adakah peluang untuk meluangkan masa dengan anak digunakan sepenuhnya untuk membina hubungan yang rapat dengan anak?
Ataupun mungkin kita hanya hadir secara fizikal di sisi anak tetapi kita tidak menunaikan keperluan emosi dan kasih sayang kepada anak?

Fikirkan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect