Perlukah ‘Share’ Video?

Sebelum anda, orang dewasa, menyebarkan video tembakan, pembunuhan dan apa sahaja bentuk kekejaman di media sosial TOLONGLAH BERFIKIR lebih jauh.

Ramai kanak-kanak memiliki akaun media sosial walaupun belum sampai usia 13 tahun. 

Ibubapa mereka tidak memantau mereka.

Ada ibubapa yang membiarkan anak-anak mereka MENIPU mengaku lebih tua dari usia supaya mereka dapat ‘sign up’.

Jika mereka dibiarkan menipu, ataupun ibubapa mereka tidak tahu dan tidak memantau, maknanya mereka juga bebas untuk berbuat apa sahaja ‘online’ dan offline tanpa peraturan dan pemantauan.

Bayangkan kanak-kanak mentah tanpa pemantauan yang belum matang pemikiran, mental dan emosi ini, menonton video kekejaman yang dikongsikan oleh orang dewasa di Facebook, Instagram, Youtube, Twitter, Whatsapp dan bermacam-macam platform lagi.

Mereka kemudiannya akan berkongsi sesama mereka pula.

Kesannya sama ada
1) mereka mengalami trauma dan stres kerana adegan itu terlampau membebankan mental dan emosi rapuh mereka dan berterusan melekat dalam ingatan mereka,

ataupun

2) mereka menjadi lali, mencuba dan meniru kerana belum cukup akal untuk membuat keputusan. Ketidakmatangan menyebabkan mereka tidak dapat membezakan baik dan buruk dan tidak dapat membezakan realiti dan fantasi.

Tingkah laku kanak-kanak adalah tanggungjawab orang dewasa. Apabila kanak-kanak dan remaja bawah umur yang sepatutnya masih dipantau bertindak ganas, agresif, kurang ajar, tidak berperikemanusiaan, membuli sehingga tahap mencederakan dan membunuh, orang dewasa di sekeliling mereka baik ‘online’ mahupun offline turut sama bertanggungjawab atas perbuatan mereka.

Berfikirlah sebelum berkongsi elemen keganasan atau lucah
kerana anda mempunyai ‘follower’ di kalangan kanak-kanak mentah.

Ataupun anda tidak kisah masyarakat menjadi musnah?

It takes a village to raise a child.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/