Kisah Seorang Anak Yang Mengada-ngada

Kisah ini diceritakan oleh seorang ibu kepada saya. Ibu tersebut mengizinkan saya untuk berkongsi supaya dapat dijadikan teladan buat semua ibubapa yang membaca.


Anak saya berusia 4 tahun.
Setiap kali menaiki tangga mesti hendak berdukung padahal dia boleh berjalan seperti kanak-kanak 4 tahun yang lain juga. Apabila ‘angin’ dia datang, mulalah dia mengeluh letih. Tak larat kononnya.

Sudahlah saya mengandung , dia pula minta didukung. Manalah saya ada tenaga untuk dukung anak berusia 4 tahun dalam keadaan saya macam ini.

Selepas mandi ataupun selepas mencangkung mesti minta didukung lagi. Katanya tak larat hendak berdiri. Pandai mereka-reka cerita yang kakinya patah.
Geram sungguh saya dengan perangai anak saya yang mengada-ngada itu.

Tidak lama selepas itu saya menyedari sesuatu tentang anak saya. Mukanya kelihatan sembab, mata menjadi sepet dan perut semakin membesar. Naluri keibuan saya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Saya mula mengesyaki sesuatu.

Saya menceritakan keadaan anak saya kepada rakan yang merupakan seorang pakar kanak-kanak, untuk mendapatkan pendapat dan nasihat daripadanya. Setelah rakan memeriksa anak saya, dia meminta saya untuk ke hospital dengan segera membawa bersama saya pakaian. Anak saya perlu dimasukkan ke wad selama seminggu jugalah untuk pemeriksaan dan pemantauan lanjut.

Setelah pemeriksaan dibuat, doktor mengesahkan bahawa anak saya mengidap ‘nephrotic syndrome’ atau ginjal tidak berfungsi dengan sempurna. Penyakit ni menyebabkan pengidapnya sering keletihan. Inilah yang menyebabkan anak saya sering mengeluh letih dan tidak larat. Salah satu simptomnya adalah merasa berat pada kaki.
Anak saya juga hilang selera makan. Perutnya mengembung disebabkan air berlebihan atau water retention. Air berlebihan inilah punca mukanya sembab dan badan kelihatan semakin berisi.

Baru saya tahu, rupa-rupanya anak saya sakit.

Saya menyesal dengan sikap saya yang tidak cuba selidiki terlebih dahulu apa masalah anak saya. Bila dia mengadu tidak larat minta didukung, saya anggap dia mengada-ngada.

Tingkah laku dia ada sebabnya. Dia menahan kesakitan yang tidak dapat dia luahkan kepada saya.

Saya pula menutup hati dan perasaan saya dari cuba untuk memahami.

Apa yang paling menyedihkan saya, saya selalu ingatkan anak saya supaya kurangkan makan disebabkan perutnya yang kelihatan semakin membuncit. Saya juga mengawal pengambilan makanan dia kerana saya anggap dia gemuk. Saya membuat andaian yang anak saya makan banyak di sekolah. Saya tegur dia. Disebabkan tegahan dan teguran saya, dia kurang makan pada waktu makan malam. Katanya dia ok, sudah kenyang. Sedangkan pada hakikatnya dia sakit. Dia tidak ada selera makan.

Kasihan anak saya.

Saya juga sering memarahi anak saya kerana bermain sabun apabila ke tandas. Rupa-rupanya yang menderita penyakit ini air kencingnya kelihatan berbuih, bukan kerana anak saya bermain sabun.

Saya sungguh menyesal.

Paling merobek hati saya apabila mengenangkan bagaimana saya tergamak meninggalkan dia di tingkat bawah apabila dia minta didukung. Saya memarahi dia dan biarkan dia di situ. Dia menangis sampai dia tertidur. Saya sangat sedih mengenangkan perbuatan saya terhadap anak saya. Anak saya sakit. Dia bukannya mengada-ngada.
Bagaimana saya boleh tergamak berbuat begitu kepada anak saya?

Saya bersyukur kepada Allah kerana keadaan anak saya sekarang ini semakin baik.
9 hari berada di wad hospital bersama anak saya merupakan momen yang paling indah bagi kami berdua. Saya lebih memahami dan mengenali anak saya. Mungkin ini adalah peringatan buat saya supaya menjadi seorang ibu yang lebih baik. Saya bersyukur Allah SWT memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki diri.

Ibu manakah yang mampu menahan sebak apabila anak berusia 4 tahun berkata semua ini membuatkan dia belajar bersyukur kepada Allah kerana Allah menolong dia, kerana

Allah menjaga dia setiap masa.

Anakku…

Ampunilah hambamu ini, Ya Allah.


 

Ayah ibu sekelian, saya selalu ingatkan melalui penulisan saya bahawa setiap tingkah laku anak kecil ada sebabnya. Tidak dapat dinafikan memang ada sesetengah anak kecil yang ‘clingy’, yang sentiasa hendak melekat dengan kita dan sentiasa inginkan perhatian kita. Namun selidikilah terlebih dahulu adakah tingkah lakunya sesuatu yang normal. Sentiasalah rapat dengan anak untuk cuba memahami keperluan dan tingkah lakunya.

Jangan terlalu cepat melabel seorang anak itu sebagai mengada-ngada walaupun didesak oleh orang lain. Anak itu mungkin menyembunyikan sesuatu yang tidak dapat diluahkannya.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s