Tingkahlaku vs Punca Tingkahlaku

puncatingkahlaku

Tingkah laku anak-anak yang dapat kita lihat adalah seumpama hujung bongkah ais yang kelihatan di permukaan air. Apa yang kelihatan hanyalah sebahagian kecil dari bongkah ais tersebut. Bahagian yang terlindung di dasar adalah lebih besar dan signifikan.

Jika kita ingin membantu anak memperbetulkan tingkah lakunya ataupun jika kita ingin mencari solusi kepada cabaran yang dialami oleh anak, kita perlulah faham apakah punca dan penyebab tingkah laku tersebut. Kegagalan kita untuk mengenalpasti punca sebenar tingkah laku akan mengakibatkan kegagalan kaedah yang kita gunakan untuk memperbetulkan tingkah laku anak.

Menggunakan kaedah yang tidak sesuai dengan punca tidak akan mengubah apa-apa. Anak tetap juga begitu dan kita akan merasakan diri gagal.

Sebagai contoh, jika anak selalu meragam kerana letih dan kurang tidur, penyelesaiannya adalah dengan memastikan anak cukup rehat dan tidur, bukannya dengan merasuah anak dengan ais krim.

Jika anak tidak mendengar cakap kita kerana anak tidak faham apa sebenarnya yang kita mahu dia lakukan, penyelesaiannya adalah dengan menerangkan langkah demi langkah sehingga dia faham, bukannya dengan memarahinya semata-mata.

Jika anak selalu memberontak kerana ‘self esteem’ atau percaya dirinya rendah, penyelesaiannya adalah dengan membantu anak untuk mengenalpasti kebaikan dan kelebihan diri yang dimiliki, bukannya dengan mengenakan tindakan disiplin yang hanya merendahkan lagi yakin dan percaya dirinya. Lebih parah lagi jika tindakan disiplin itu memalukan dia di khalayak ramai.

Ini adalah di antara contoh yang boleh saya berikan. Banyak lagi punca dan penyebab tingkah laku.

Setiap solusi mestilah berkaitan dengan punca.
Jika tidak, anak tetap akan kekal begitu dan tidak berubah.

“Insanity is doing the same thing over and over again but expecting different result.” – Anonymous.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Kenapa Anak Saya Begini? 5 Faktor Yang Membentuk Tingkahlaku Anak

Isu yang biasa kita dengar di negara kita adalah tentang ketagihan gajet di kalangan kanak-kanak. Walau bagaimanapun di negara jiran kita Indonesia, isu yang menjadi perbincangan hangat di kalangan mereka adalah tentang ketagihan rokok di kalangan anak-anak kecil atau balita. Sejak beberapa tahun lalu, banyak kisah tentang ‘baby smoker’ di Indonesia menular di portal berita online dan juga di media sosial seolah-olah ia menjadi sesuatu yang lazim di sana.Statistik* yang dikeluarkan oleh BBC Indonesia menunjukkan bahawa 30% (20 juta orang) kanak-kanak Indonesia yang berusia 0-14 tahun mula menghisap rokok SEBELUM berusia 10 tahun. Merunsingkan bukan?

baby smoker

Jika diteliti artikel dari media Indonesia ini dan juga beberapa artikel lain, saya dapati faktor berlakunya ketagihan rokok di kalangan kanak-kanak Indonesia adalah sama sahaja dengan faktor berlakunya ketagihan gajet di kalangan anak-anak kita. Jika dilihat dari perspektif yang lebih luas, tingkah laku kanak-kanak secara umumnya sememangnya terbentuk disebabkan oleh beberapa faktor ini:

1) MENIRU IBUBAPA DAN ORANG TERDEKAT.

Kanak-kanak adalah peniru yang terbaik, oleh itu berilah mereka sesuatu yang baik untuk ditiru.

Saya masih ingat kes di negara kita beberapa tahun lalu yang melibatkan seorang lelaki membelasah isterinya di dalam lif. Ketika dibicarakan di mahkamah, anak pasangan tersebut yang dipanggil untuk memberi keterangan mengatakan bahawa ibunya memang layak dibelasah oleh ayahnya. Anak ini bercakap tentang ibu kandungnya yang dipukul teruk oleh ayah kandungnya. Kenapakah agaknya anak ini merasakan bahawa keganasan adalah sesuatu yang normal dan layak dilakukan?

Apa yang sering dilihat dan didengar oleh anak akan menjadi satu kelaziman bagi anak itu. Bagi anak yang belum tahu membezakan yang baik dengan yang buruk dan belum matang, mereka menganggap apa saja yang dilakukan oleh ayah, ibu atau penjaga adalah betul dan normal. Lama-kelamaan mereka akan mula meniru perbuatan tersebut. Apa yang ditiru akhirnya akan menjadi satu tabiat bagi mereka.

Jika anak sering melihat ibubapa asyik dengan gajet, mana mungkin anak tidak ketagih gajet.

2) KEIZINAN ATAU ‘APPROVAL’ 

Anak-anak sentiasa mencuba untuk melakukan sesuatu yang akan menyukakan hati ibubapa untuk mendapatkan perhatian kita. Mereka akan melakukan perkara yang mendapat keizinan kita.

Keizinan tidak semestinya datang dalam bentuk pengucapan, contohnya, “Ya ayah izinkan kamu.” Keizinan juga datang dalam bentuk ‘non-verbal’ atau pun gerak tubuh. Jika tingkah laku tidak elok kanak-kanak dianggap lucu dan menjadi bahan ketawa, maka kanak-kanak akan mengambil tawa itu sebagai satu keizinan. Dengan keizinan tersebut kanak-kanak akan terus melakukannya. Beberapa tahun lalu saya pernah melihat orang tua mentertawakan seorang anak kecil yang cuba menghisap rokok daun. Perbuatan itu dianggap lucu oleh orang tua tersebut. Tawa tersebut adalah juga satu keizinan bagi anak itu meneruskan apa yang dilakukannya.

Begitu juga jika kita mentertawakan anak kecil yang biadap tutur katanya kerana kita anggap comel, tawa itu adalah satu keizinan.

Keizinan juga boleh datang dalam bentuk ketidakpedulian oleh ibubapa atau pihak yang berotoriti. Pengabaian atau tidak melarang adalah satu keizinan yang diberikan oleh ibubapa ataupun penjaga untuk anak meneruskan perbuatannya.

3) PERSEKITARAN.

Teori Ekologi Bronfenbrenner membincangkan tentang pengaruh persekitaran kepada tingkah laku dan pemikiran manusia. Anak-anak kita perlu membesar dalam persekitaran yang baik.

Anak-anak perlu dilindungi dari pengaruh yang tidak elok di persekitaran mereka.
Siapakah guru anak kita? Siapakah kawan anak? Siapakah jiran kita? Apakah yang ditonton oleh anak? Apakah yang dibaca oleh anak? Apakah lagu dan lirik yang didengari oleh anak? Apakah iklan komersil yang mempengaruhi anak kita? Siapakah individu yang menjadi idola anak? Apakah ‘game’ kegemaran anak? Apakah polisi kerajaan yang melibatkan kanak-kanak?
Semua ini harus kita tahu kerana ia akan mempengaruhi tingkah laku anak.

Selain itu, ingatkan juga anak-anak kita tentang kesan tindakan dan tingkah laku mereka kepada persekitaran atau orang sekeliling mereka. Ingatkan mereka apa sahaja yang mereka lakukan akan mempunyai kesan ke atas diri mereka sendiri lambat launnya.

Ini melatih sifat bertanggungjawab dalam diri anak-anak.

4) PERATURAN DAN KONSISTENSI. 

Saya pernah menulis tentang gaya keibubapaan.

Gaya keibubapaan akan menentukan sama ada ibubapa mempunyai peraturan atau tidak dalam keluarga dan di rumah . Ibubapa yang PERMISIF tidak menetapkan peraturan dan anak-anak bebas untuk melakukan apa saja mengikut kehendak anak. Ibubapa yang OTORITARIAN pula terlampau ‘rigid’ sehinggakan tidak boleh langsung dibawa berbincang.

Ibubapa yang OTORITATIF lebih konsisten dengan peraturan yang ditetapkan. Walau anak berguling dengan TANTRUM kerana inginkan sesuatu, ibu bapa tidak akan mengalah dan tetap dengan keputusan kerana peraturan telahpun ditetapkan. Konsistensi inilah yang akan mendidik anak supaya faham dan mengikut peraturan. Dengan konsistensi, anak akan faham bahawa mereka tidak boleh dapat atau tidak boleh lakukan sesuatu mengikut kehendak mereka semata-mata.

Gaya keibubapaan, rujuk di sini:
https://www.facebook.com/pg/MyParentConnect/photos/?tab=album&album_id=1766122366782807

5) MEMAHAMI FITRAH DAN PERKEMBANGAN ANAK.

Dalam kes ‘baby smoker’ di Indonesia ini, salah satu terapi yang digunakan untuk memulihkan anak-anak ini adalah dengan kembalikan anak kepada fitrah bermain. Anak ini juga dibekalkan dengan alat mainan sesuai usia untuk mengisi masa senggang mereka. Selain itu mereka juga diberikan makanan yang sesuai dengan kanak-kanak sebagai ganti rokok yang seakan-akan menjadi ‘makanan ruji’ bagi mereka**.

Ibubapa harus menyediakan aktiviti alternatif bagi kanak-kanak terutamanya yang ketagihan gajet. Jika selama ini mereka tidak didedahkan kepada aktiviti lain, anak tidak keluar bermain, tidak membaca, tidak disibukkan dengan aktiviti kreatif, tidak dipupuk kecenderungan semulajadi mereka, tidak digalakkan membantu dengan kerja rumah (chores), maka anak akan memilih skrin atau gajet kerana itulah satu-satunya cara yang anak tahu untuk menghabiskan masa.

Jika anak-anak banyak tenaga, bawalah anak-anak keluar untuk meluahkan tenaga yang ada. Apabila anak dibiarkan terperuk dalam rumah, mereka akan mula melakukan perkara-perkara yang membuatkan kita marah sedangkan tingkah laku itu adalah berpunca dari keperluan mereka yang tidak kita tunaikan.

Memetik kata-kata dari artikel ini,

“PEROKOK PASIF BISA MEMPENGARUHI ANAK-ANAK MENJADI PEROKOK AKTIF.”

Saya sangat bersetuju dengan larangan menghisap rokok terutamanya di tempat makan terbuka dan tempat terbuka. Saya kerap melihat si ayah menghembus asap rokok ke muka isteri dan anak-anak di tempat makan tanpa rasa berdosa. Bagaimana agaknya kemenjadian anak-anak ini nanti?
Jika keluarga sendiri pun tidak dipedulikan, apatah lagi kepedulian terhadap masyarakat dan negara umumnya.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

* Sumber: https://www.bbc.com/indonesia/trensosial-39179414

** Sumber: http://www.astroawani.com/berita-dunia/tinggalkan-rokok-selepas-diberi-susu-biskut-183671

ARTIKEL PENUH: http://lifestyle.bisnis.com/read/20180821/236/830179/baby-smoker-asal-sukabumi-sempat-viral-begini-kisah-sebenarnya

 

5 Perkara Utama Yang Mendorong Tingkahlaku Anak

Anak-anak dilahirkan baik, ingin menjadi baik dan ingin berbuat kebaikan. Kalau ada tingkahlaku anak yang tidak menyenangkan kita, dia tentu belajar dari mana-mana.

1) Kita sendiri

Adakah kemungkinan anak meniru gaya kita, bahasa kita, amalan kita dan ‘angin’ kita? Bagaimana respon kita bila marahkan pengguna jalan raya lain yang tidak ikut peraturan? Adakah kita sendiri mengikut peraturan? Bagaimana tindakan kita bila terjumpa barang berharga di tepi jalan? Simpan atau pulangkan? Bagaimana tindak tanduk kita apabila tidak puas hati dengan sekolah/guru? Bagaimana bahasa kita bila melayari media sosial? Bagaimana akhlak kita terhadap orang yang ‘kurang’ dari kita?
Semuanya diperhatikan dan ditiru. Selagi orang yang dilihat dalam cermin tidak mengubah gaya, bahasa, amalan dan angin itu, selagi itulah anak juga tidak berubah. Anak-anak adalah guru terbaik kita.

2) Penjaga dan guru

Jika anak menghabiskan sehingga separuh dari masa jaganya dengan seorang penjaga utama atau guru, maka kemungkinan untuk anak meniru penjaga (dan ahli keluarganya) dan guru sangat tinggi. Berbuat baiklah dan berbincanglah dengan penjaga/guru tentang nilai dan akhlak yang kita ingin lihat pada anak. Cerewetlah dalam memilih penjaga kerana amalan dan tingkahlakunya boleh menjadi ikutan anak.

3) Kawan-kawan

Anak perlu berkawan. Kita hidup bermasyarakat dan bukannya keseorangan dalam gua. Kenalilah kawan-kawan anak dan juga ibubapa mereka. Ibubapa perlu ambil tahu realiti yang berlaku dalam masyarakat dan dunia anak-anak. Bersembanglah dengan anak tentang nilai dan akhlak SEBELUM anak meniru tingkah laku negatif. Nasihati anak dan ingatkan anak selalu. Anak kecil faham intonasi dan gerak tubuh kita walau dia belum faham percakapan kita sepenuhnya. Adakan peraturan dalam rumah. Ingat, fungsi peraturan bukanlah untuk menghukum semata-mata tetapi supaya anak bebas dalam batasan yang memelihara fizikal, spiritual, akhlak, emosi dan perhubungan sosial anak.

4) Internet dan televisyen

Pantaulah!
Usahlah biar Youtube dan rancangan tv ‘babysit’ anak sehingga tiada pemantauan.
Tidak semua kartun itu ‘innocent’ dan sesuai untuk anak.
Tidak semua drama Melayu membawa nilai yang positif.
Tidak semua yang datangnya dari Timur itu membawa nilai ketimuran.
Bagaimana penggunaan bahasa selebriti Youtube yang menjadi idola anak?
Kenakan syarat apabila ‘smartphone’ diberikan kepada anak jika ia adalah satu keperluan. Pantaulah penggunaan ‘smartphone’ mereka. Banyak kepincangan bermula dari ‘smartphone’. ‘Smartphone’ boleh menjadikan anak tidak ‘smart’ dalam membuat keputusan. Klik sana klik sini terjumpalah bahan yang merosakkan akal, jiwa dan akhlak di internet.

5) Bahan bacaan

Membaca itu amalan yang sangat baik tetapi sebagaimana internet dan tv, bahan bacaan juga boleh mempengaruhi tingkah laku anak. Semasa anak kecil, bacalah bersama-sama anak, kongsi pendapat dengan anak tentang cerita yang dibaca. Bina ‘connection’ melalui bahan bacaan dari kecil supaya apabila mereka besar, mereka tetap mahu berkongsi apa yang dibaca dengan kita. Dari situ tidak perlulah kita menjadi ‘mata-mata gelap’ memeriksa bahan bacaan mereka. Secara tidak langsung anak telah dididik dari kecil tentang bahan bacaan yang berkualiti.

Ingatlah ‘behaviour is learned’.
Yang baik ditiru, yang negatif juga diikut.
Pantaulah. Bimbinglah. Jangan berputus asa dengan anak-anak kerana , insyaAllah ada jalannnya.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Kaedah Terbaik Untuk Membentuk Tingkahlaku

brothers

Kaedah terbaik untuk membentuk tingkah laku seorang anak atau pelajar bukannya dengan hanya mencari kesalahannya untuk dihukum, kaedah yang terbaik adalah dengan mencari kebaikannya untuk terus dipupuk.

Jika kita memberi perhatian pada perbuatan yang positif, lebih banyak perbuatan yang positif akan kita lihat pada anak.

Jika kita memberi perhatian pada perbuatan yang negatif, akan lebih banyak perbuatan negatif yang akan dizahirkan.

Anak-anak tidak kira usia mencari perhatian.
Perhatian yang bagaimanakah yang kita beri untuk membentuk karakternya?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect