Anak-anak sekarang hidup pada zaman di mana ‘sense of entitlement’ individu sangat tinggi. Dengan budaya ‘entitlement’ ini, jika anak mahukan sesuatu, dia perlu dapatkan serta merta dan tidak boleh tidak. Dengan budaya ‘entitlement’ ini juga, anak mempunyai harapan yang melampau tentang apa yang dia perlu ada dan perlu dapat daripada orang lain.
Jika orang lain dapat, saya juga perlu dapatkannya.
Jika orang lain ada, saya juga kena ada.
Ciri-ciri individu yang mempunyai ‘sense of entitlement’ yang tinggi antaranya adalah:
- Mengharapkan ganjaran atau ‘rasuah’ apabila berkelakuan baik atau apabila memberikan pertolongan.
- Jarang mahu membantu sebaliknya sentiasa mengharapkan bantuan orang lain.
- Lebih memikirkan diri sendiri berbanding orang lain.
- Menuding jari kepada orang lain setiap kali perancangan tidak seperti yang diharapkan.
- Tidak dapat menghadapi kekecewaan dan kegagalan.
- Perlu diupah jika mahukan dia berkelakuan baik apabila bersama kemana-mana.
- Mengharapkan agar diselamatkan jika melakukan kesilapan.
- Berbuat sesuka hati dan tidak mengikut peraturan dan batasan yang ditetapkan
- Meminta itu, ini, lagi dan lagi.
Kredit Imej: Google
Budaya ‘entitlement’ ini dapat kita kurangkan dan hindari dengan menerapkan rasa bersyukur dalam diri kita dan anak-anak.
Ajarlah anak-anak untuk bersyukur (grateful) kepada Allah dengan apa yang dimiliki. Ibubapa perlu terlebih dahulu menjadi contoh mengamalkan sifat bersyukur ini kepada anak-anak. Jika ayah dan ibu sentiasa sibuk dari subuh hingga ke jauh malam dengan alasan ‘untuk memberi kesenangan’ kepada anak-anak sehingga anak diabaikan sedangkan semuanya sudah lebih dari cukup, maka anak akan belajar bahawa kebendaan itu tiada batasannya dan tidak pernah cukup. Anak akan belajar bahawa prioriti itu terletak pada nilai kebendaan.
Basahilah lidah kita dan anak-anak dengan ucapan Alhamdulillah apabila mendapat sesuatu yang diidamkan ataupun sesuatu yang tidak disangka-sangka. Secara psikologinya pengucapan itu melahirkan rasa kehambaan dan rasa cukup atas apa yang ada.
Elakkan dari menasihati anak agar berbuat kebaikan supaya kita akan dibalas dengan kebaikan juga. Sebaliknya nasihatilah anak agar berbuat kebaikan sebagai rasa bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah dikurniakan Allah selama ini. Dengan ini walaupun sesuatu yang tidak diharapkan menimpa, kita tetap melihat ujian sebagai hikmah dan pengajaran. Ini akan mengelakkan kekecewaan yang berlebihan sebaliknya mendorong anak untuk terus berusaha.
Didiklah anak dengan budaya khidmat kepada ibubapa, khidmat kepada ahli keluarga, khidmat kepada guru, khidmat kepada orang tua, dan khidmat kepada yang memerlukan. Ini akan menyedarkan anak bahawa setiap kelebihan, keupayaan, kekuatan dan kemahiran yang dimiliki adalah untuk dimanfaatkan ke jalan kebaikan. Mudah-mudahan budaya khidmat ini akan melatih anak untuk tidak meminta-minta tanpa batasan sebaliknya akan juga memberi untuk kebaikan.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect