Rancangan Mingguan Wanita di ASTRO Prima semalam.
Topik yang dibincangkan oleh pengacara Nurul Syuhada dan Azzura bersama saya dan Amyra Rosli adalah ‘IBU MUDA.’
Soalan pertama yang ditanya oleh Azzura kepada saya adalah tentang hubungkait antara penderaan dan kurangnya ilmu keibubapaan.
Kebetulan pagi semalam saya membaca keluhan yang ditulis di FB sifu saya, Ibu Zarah, tentang anak kecil yang didera. Saya menghubungi Ibu bertanya kes manakah yang dimaksudkan Ibu kerana tidak ada apa-apa berita atau video tular yang melintas di newsfeed saya. Ibu Zarah mengirimkan kepada saya video dua orang bayi kembar yang didera. Kejadian berlaku di Jeddah, Arab Saudi.
Kedua-dua anak tersebut diketuk, dipukul, ditampar, digolek, diangkat dan dicampak ke lantai oleh ibu mereka sendiri. Yang anehnya, perbuatan kejam ibu itu divideokan sendiri oleh si ibu. Menurut maklumat yang ada setakat ini, si ibu memvideokan perbuatannya untuk hantar kepada ayah anak-anak tersebut, suaminya. Suami dan isteri itu dipercayai sedang menghadapi masalah keluarga.
Alhamdulillah kedua-dua bayi tersebut sekarang ini berada di dalam perlindungan dan penjagaan kerajaan Arab Saudi.
Kes penderaan kanak-kanak berlaku di mana-mana saja. Hanya kerana anak kecil terpaksa akur, terpaksa hormat, terpaksa pasrah, tidak boleh dan tidak dapat melawan, ada yang diperlakukan sesuka hati tidak mengikut adab dan akhlak yang sepatutnya.
Di Malaysia seramai 2000 orang kanak-kanak menjadi mangsa penderaan dan pengabaian setiap tahun. Jumlah ini semakin meningkat dari setahun ke setahun. Ada juga kes yang tidak dilaporkan.
Ilmu keibubapaan bukanlah hanya pengetahuan tentang bagaimana menjaga, mengasuh, mengurus dan mendidik anak sahaja. Proses keibubapaan melibatkan tiga pihak iaitu ayah, ibu dan anak-anak. Oleh itu ilmu keibubapaan juga melibatkan penjagaan, pengasuhan, pengurusan dan pendidikan ayah dan ibu.
Proses keibubapaan adalah ‘partnership’ atau kerjasama yang positif antara ketiga-tiga pihak.
Ilmu keibubapaan yang paling penting yang harus kita miliki adalah:
1) Skil untuk menguruskan perhubungan antara suami dan isteri.
Pepatah Melayu mengatakan “Sedangkan lidah lagi tergigit”. Krisis dan konflik adalah normal dalam perhubungan. Tetapi jika suami dan isteri tidak pandai menguruskan perhubungan, tidak tahu menjalankan tanggungjawab masing-masing dan tidak tahu dan tidak mahu memahami dan bertolak ansur, anak-anak juga akan terkesan dengan ketidakharmonian itu. Ramai kanak-kanak yang didera bukan kerana salah mereka, tetapi kerana ketidakharmonian itu.
Selain skil mengurus perhubungan suami isteri, antara skil keibubapaan yang perlu ada adalah
2) Skil mengurus diri dan emosi ibubapa dan juga penjaga.
3) Skil mengurus kewangan dan ekonomi keluarga.
Jika diteliti kes-kes penderaan, banyak yang berlaku kerana ibubapa tidak memiliki skil-skil ini. Anak didera kerana kekurangan ibubapa sendiri bukannya kerana faktor anak tersebut.
Kita tidak mungkin menjadi ibubapa yang sempurna. Anak-anak kita juga tidak sempurna. Tetapi kita perlu berusaha sebaik mungkin untuk mewujudkan keharmonian dan kerjasama yang baik dan positif dalam keluarga.
Ayah mempunyai tanggungjawab dan haknya.
Ibu mempunyai tanggungjawab dan haknya
Anak-anak juga mempunyai tanggungjawab dan haknya.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect