11 Skil ‘Parenting’ Penting Abad Ke-21

digital

Kredit Imej: Google

Semasa kita kecil dulu, jika ibubapa kita tidak mahu kita berkawan dengan kumpulan budak-budak yang tidak elok perangainya atau budak-budak yang dikhuatiri akan mempengaruhi kita dengan perangai yang tidak baik, ibubapa boleh menghalang kita dari keluar rumah. Ibubapa juga boleh menghalang kita dari bercampur dengan budak-budak kampung A, tidak pergi ke kawasan flet B atau tidak ke kawasan kedai C sebab di situlah ‘port’ atau tempat budak-budak tersebut berkumpul. Dengan melakukan begitu, kita tidak bercampur dengan anasir yang negatif tersebut dan kita terlindung dari menjadi seperti mereka. Itu usaha ibubapa kita suatu masa dulu untuk melindungi kita.

Itu dulu.

Anak-anak sekarang tidak ada masalah itu lagi. Ibubapa tidak perlu menghalang anak-anak dari keluar dan bercampur dengan A, B, atau C yang membawa pengaruh yang tidak elok itu. Kita tidak menghalang bukan kerana kelompok sebegitu sudah tidak wujud, tetapi kerana kelompok sebegitu sudah menyelinap masuk ke dalam rumah kita. Malah mereka masuk ke bilik anak-anak kita, berada di tempat tidur anak-anak kita, sehinggakan diajak ke mana-mana saja oleh anak-anak kita.

Kita menjemput mereka dengan sukarela ke dalam hidup anak kita apabila anak-anak kita diberi telefon pintar tanpa dipantau.

Inilah perbezaan dulu dan sekarang yang sangat ketara dan menuntut supaya kita mendidik anak mengikut zaman di mana dia dibesarkan.

Skil penting yang perlu ada pada ibubapa zaman sekarang adalah skil untuk mendidik dan membimbing anak tentang literasi internet dan media. Ini adalah skil keibubapaan yang penting untuk melindungi anak-anak kita daripada anasir yang tidak baik pada zaman mereka dibesarkan sekarang.

Ibubapa perlu cakna dan peka terlebih dahulu. Jika kita sendiri ‘buta IT’ bagaimana mungkin kita melindungi anak-anak kita yang kebanyakannya lebih ‘advanced’ daripada kita?


APA YANG PERLU DILAKUKAN?

  1. Pasang atau install ‘parental control’ pada peranti yang digunakan oleh anak-anak. Ia dapat menyekat ataupun membataskan pendedahan anak-anak kepada konten yang tidak elok di internet. Apabila ditanya, masih ramai ibubapa yang tidak tahu apakah ‘parental control’ dan tidak tahu pun wujudnya ‘parental control’ untuk melindungi anak-anak ketika online. Anda perlu tahu. Anda boleh ‘google’ untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
  2. Terangkan kepada anak-anak bahawa tidak semua yang mereka baca online adalah betul ataupun baik. Ada kandungan yang bunyinya baik dan mungkin berunsur keagamaan tetapi nilai dan kandungannya tidak betul. Malah ada yang diputar belitkan. Ibubapa sendiri perlu berilmu dan berfikiran kritis supaya dapat membimbing anak untuk berfikiran kritis juga dalam menilai sesuatu maklumat di internet.
  3. Pantau penggunaan enjin carian oleh anak-anak. Kanak-kanak sifatnya sentiasa ingin tahu atau ‘curious’. Sifat ingin tahu ini selalunya akan membawa mereka ke ‘google’.  Pak Cik Google akan memberi semua maklumat yang ada. Mungkin ada maklumat yang tidak bersesuaian dengan usia anak, tidak bersesuaian dengan tahap pemikiran anak dan tidak bersesuaian dengan nilai yang dipegang oleh kita. Oleh itu pantaulah ‘history’ pencarian anak-anak ketika menggunakan enjian carian.  Jika tidak tahu caranya, ibubapa sendiri boleh ‘google’ untuk mengetahui bagaimana untuk memantau ‘history’ carian.
  4. Ingatkan anak-anak tentang iklan-iklan online yang boleh membawa dari satu perkara yang dilihat baik kepada satu perkara yang tidak elok. Anak-anak akan leka dan mungkin seronok ‘click’ dari satu iklan ke satu iklan. Ramai kanak-kanak yang terjebak dengan laman sesawang berunsur keganasan dan juga pornografi secara tidak sengaja.
  5. Ajar anak-anak apa yahg perlu dilakukan jika terlihat imej yang tidak senonoh melalui ‘pop up’ yang muncul di skrin. ‘Pop Up’ sifatnya sangat mengundang bagi kanak-kanak. Mereka akan tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Pop sana, pop sini, akhirnya terjebak dengan laman yang tidak elok.
  6. Ajar anak untuk lebih terbuka memberitahu sekiranya terlihat perkara yang tidak elok atau tidak senonoh di internet. Jangan menjadikan perbincangan perkara yang tidak elok itu sebagai sesuatu yang taboo. Jika kita tidak bercakap dan membimbing anak tentangnya, anak akan mencari sumber yang lain untuk bertanya. Sumber yang lain itu belum tentu memberikan maklumat yang betul dan mengikut nilai yang sepatutnya.
  7. Pesan kepada anak supaya tidak memberi maklumat peribadi kepada sesiapa saja di internet. Maklumat tentang tempat tinggal, sekolah, umur dan sebagainya tidak seharusnya dikongsi dengan sesiapa yang dijumpai online. Ramai pemangsa yang menunggu-nunggu dan mencari mangsa dari kalangan kanak-kanak yang mereka tahu tidak dipantau oleh ibubapa.
  8. Bertegas dengan anak supaya tidak mempercayai individu yang baru dikenali di internet. Sesiapa saja boleh menyamar dan tidak memberi maklumat yang benar tentang diri mereka.
  9. Ajar anak untuk menggunakan nama atau identiti pada ‘username’ yang tidak menggambarkan maklumat yang sebenar.
  10. Pesan kepada anak untuk menolak ‘friend request’ daripada individu yang tidak dikenali. Ibubapa juga perlu berpesan kepada diri sendiri tentang hal ini. Jangan terlampau ghairah untuk mengumpul beribu-ribu ‘friends’ sehinggakan kita sendiri tidak kenal dan tidak tahu siapa yang melihat gambar anak-anak yang kita share. Kita sendiri tidak tahu siapa yang mengumpul maklumat yang kita share di media sosial kita.  Tanya diri sendiri, kenalkah kita semua ‘friends’ kita di media sosial.  Jika kita sendiri tidak sensitif tentang privasi, bagaimana kita hendak membimbing anak-anak kita?
  11. Ibubapa juga perlu tahu tentang istilah ‘DIGITAL FOOTPRINTS’.  Ini adalah istilah yang tidak perlu diketahui oleh ibubapa kita dulu kerana dunia dulu berbeza. Footprints maksudnya jejak-jejak.  Apa saja gambar, maklumat, dan cerita yang kita dan anak kita muatnaik di internet akan terus kekal di internet sampai bila-bila. Ia menjadi jejak-jejak yang kita tinggalkan dan boleh dicari semula oleh sesiapa saja satu hari nanti.  Satu hari nanti maklumat atau gambar yang dimuatnaik mungkin akan mengaibkan anak-anak kita atau membuka pekung di dada keluarga kita.  Pesan kepada diri kita dan anak-anak kita supaya berhati-hatilah dengan ‘digital footprints’ yang kita tinggalkan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Berhentilah Memalukan Kanak-kanak di Media Sosial

shaming

Wahai ibubapa…

Jagalah aib anak-anak sendiri di media sosial. Janganlah dimuatnaik video atau gambar yang memalukan. Anak kecil tidak dapat mempertahankan dirinya. Anak kecil tidak tahu kisahnya telah disebarkan. Anak kecil tidak tahu ramai yang mentertawakan dia. Anak kecil tidak tahu ada yang mengeji dia hanya kerana berperangai seperti anak kecil.

Adakah yang mengeji itu sempurna kelakuannya ketika kecil dulu?
Sedarlah yang kita beruntung zaman ibubapa kita dulu tiada media sosial.

Anak kecil tidak tahu ramai yang hendak ‘memberi penampar’ kepada dia kerana mereka tidak tahu cerita sebenar apa yang berlaku.

Kasihan kamu hai anak.

Wahai ibubapa…

Anak kecil itu akan terus diejek, dimalukan dan dibuli kerana keghairahan orang dewasa mengongsi kisahnya. Kasihanilah dia. Dia tidak tahu apa-apa.
Anak kecil itu bukan saja diejek oleh rakan sebaya, anak kecil itu juga diejek oleh orang dewasa yang akalnya tidak sempurna.
Kasihanilah dia.

Satu hari nanti anak kecil akan mendapat tahu juga yang dia telah dimalukan di internet. Satu hari nanti mungkin dia tertekan dengan aibnya yang telah dibuka. Satu hari nanti mungkin renggang hubungan kerana aibnya tidak dijaga. Atau mungkin satu hari nanti perangainya tetap tidak berubah kerana dia popular dengan perangainya yang sebegitu. Dia popular kerana ibubapa sendiri yang mempopularkan dia walaupun perangainya masih memerlukan bimbingan.

Wahai ibubapa…

Apa yang kita muatnaik di internet akan terus kekal di internet sampai bila-bila. Kita boleh padamkan dari media sosial kita, tetapi ramai yang tidak padamkan. Ramai yang telah kongsikan. Ramai yang muat turun dan menyimpannya. Mungkin mereka berniat baik, namun mungkin juga ada yang berniat tidak baik terhadap kita, keluarga kita dan anak-anak kita. Mungkin ia akan digunakan oleh mereka nanti untuk terus membuka aib kita.

Pohonlah perlindungan daripada Allah SWT. Allah akan terus menutup aib kita selagi kita berusaha menutupnya. Kita manusia yang sentiasa berbuat silap.

Anak-anak adalah cerminan diri kita sendiri. Jika kita membuka aib anak di media sosial untuk disebarkan, kita sebenarnya membuka pekung di dada kita sendiri.

STOP SHAMING CHILDREN

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Surat Cinta Murid dan ‘Public Shaming’

loveletter

Kredit Imej: Google

Pada tahun 2015, seorang remaja berusia 13 tahun di Washington, Izabel Laxamana membunuh diri dengan terjun dari sebuah jambatan setelah dia dimalukan oleh ayahnya sendiri secara online. Sebuah video berdurasi 15 saat yang memaparkan bagaimana ayah Izabel memotong rambut anaknya itu sebagai hukuman kepada salah laku anaknya telah dimuatnaik ke laman media sosial untuk tontotan umum. Siasatan lanjut mendapati bahawa yang memuatnaik video tersebut adalah pihak ketiga dan dilakukan supaya remaja tersebut berubah.

Malangnya nasi akhirnya menjadi bubur. Kegiatan ‘online shaming’ tersebut telah meragut nyawa remaja yang masih mentah itu yang sudah tentunya belum mempunyai keupayaan untuk berfikir secara rasional.


Di tanahair kita pada hari ini surat cinta seorang murid perempuan berusia 11 tahun kepada gurunya telah disebarkan secara meluas di media sosial dan portal berita.
Kisah surat cinta ini telah dibaca oleh beratus-ratus ribu orang, mendapat reaksi (like) oleh berpuluh ribu orang dan di’share’ oleh beribu-ribu orang setakat posting ini ditulis.

Surat yang jelas memaparkan nama murid tersebut dan disertakan dengan gambar-gambar guru lelaki tersebut telah mengundang reaksi yang pelbagai, kebanyakannya mentertawakan, mengecam, dan mengutuk kanak-kanak tersebut.

Saya difahamkan surat itu dimuatnaik oleh rakan baik kepada guru lelaki tersebut. Saya tidak tahu apa tujuan surat itu dimuatnaik.
Mungkinkah untuk ‘mengajar’ kanak-kanak tersebut?
Atau mungkinkah untuk mendapat banyak ‘like’?
Mungkin untuk mempromosikan guru-guru ‘kacak’ di sekolah supaya pelajar bersemangat untuk belajar?
Walau apa pun tujuannya apa yang berlaku hari ini mengingatkan saya kepada kes Izabel.

Ini adalah isu ‘ONLINE SHAMING’ atau memalukan seorang individu secara ‘online’.
Yang paling menyedihkan adalah, kanak-kanak berusia 11 tahun itu telah dimalukan oleh seorang dewasa dan melibatkan seorang pendidik dan sebuah institusi pendidikan.
Ini juga CYBERBULLYING (Buli siber) oleh orang dewasa terhadap kanak-kanak.

Tahukah anda betapa pentingnya elemen ‘trust’ (percaya) dalam hidup seorang manusia? Seorang manusia membina ‘trust’ dalam dirinya terhadap orang sekelilingnya dari lahir lagi.

Seorang kanak-kanak membina kepercayaan kepada orang sekeliling yang dekat dan rapat dengannya yang dirasakan boleh membimbingnya dan menghargainya. Rasa percaya inilah yang membantu kita untuk menjadi lebih tenang dan yakin meneroka potensi dan kelebihan diri kita.

Tanpa ‘trust’ ini kanak-kanak rasa tidak selamat dan sentiasa rasa tidak yakin, rendah diri dan kecewa.

Dalam kes Izabel, ayah adalah satu figura yang lumrahnya sangat dipercayai oleh seorang anak. Anak perempuan sering menjadikan ayah seorang idola yang akan membantunya membuat keputusan dan pilihan dalam hidupnya terutamanya yang berkaitan dengan lelaki. Dengan tersebarnya video tersebut, lunturlah kepercayaan dalam dirinya. Apa gunanya lagi hidup tanpa rasa yakin dan percaya yang dia akan dilindungi oleh salah seorang manusia yang boleh dipercayainya.

Guru juga sepatutnya menjadi seorang insan yang boleh dipercayai, yang menjaga maruah pelajarnya walaupun pelajarnya membuat silap.

Guru sepatutnya menjadi seorang insan yang membimbing seorang kanak-kanak yang melakukan kesilapan dengan cara yang berhikmah, yang bersesuaian dengan pendidikan dan latihan tentang psikologi pelajar yang telah diterimanya sebelum memasuki profesion tersebut.

Guru sepatutnya menjadi seorang manusia yang mempunyai empati terhadap murid yang tersilap langkah. Guru tidak sepatutnya mengikut emosi seperti kanak-kanak.
Guru tidak sepatutnya memalukan muridnya.

Apabila kita dimalukan, otak kita mengalami proses ‘flight’, ‘fight’ or ‘freeze’, yakni melakukan sesuatu tindakan tanpa berfikir dengan waras. Inilah yang menyebabkan Izabel membunuh diri.

Semoga anak tersebut dibimbing, diberi perhatian dan kaunseling oleh pihak sekolah.
Ini isu serius.

Noor Afidah Abu Bakar

Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Adik Natasha Qisty dan Sindrom ‘Tall Poppy’

Sudah lama saya mendengar tentang Sindrom ‘Tall Poppy’ yang sering diperkatakan di Australia ketika saya tinggal di sana lebih kurang 15 tahun lalu. ‘Tall poppy’ adalah bahasa slanga di Australia yang merujuk kepada orang yang berjaya.

Hari ini kita menyaksikan bagaimana Sindrom Tall Poppy ini berlaku di negara kita sendiri apabila adik Natasha Qisty Mohd Ridzuan yang memperolehi keputusan cemerlang 9A+ dalam peperiksaan SPM 2016 dikecam dengan hebat oleh segelintir netizen kerana penampilannya. Wajarkah?

 

tallpoppy

Saya difahamkan adik Natasha menutup akaun media sosialnya kerana menjadi mangsa pembuli siber.

Ada dua isu di sini sebenarnya

1) Sindrom Tall Poppy
2) Buli siber (Cyber bullying).

Sindrom Tall Poppy (STP) ini bukanlah isu orang Melayu sahaja. Sindrom ini juga dikenali sebagai ‘The politics of envy’. Ia berkaitan dengan psikologi dan tingkah laku manusia yang tidak boleh melihat orang berdiri lebih tinggi daripadanya dan tidak senang melihat adanya ‘tall poppies’. Orang yang berjaya akan diperlekehkan dan dibuli dengan kecaman-kecaman yang tidak berasas dan tiada kena mengena dengan kejayaan yang mereka capai.

Artikel ini mendedahkan bahawa ada pelajar di Australia dibuli secara fizikal dan verbal sehingga mengalami gangguan mental dan emosi yang berpanjangan.
Adalah juga menjadi lumrah apabila dua ‘tall poppies’ dibanding-bandingkan oleh pengidap sindrom untuk membuktikan kebenaran hujah mereka yang tidak tercapai dek akal itu.

APA MASALAH PENGIDAP SINDROM TALL POPPY?

Menurut kajian yang dibuat di Flinders University of South Australia dan diterbitkan oleh Australian Journal of Psychology pada tahun 1989, mereka yang mengalami STP ini terdiri daripada mereka yang tidak meletakkan prioriti yang tinggi pada aspek kejayaan tersebut. Dalam konteks ini, mereka yang membuli adik Natasha tidak menjadikan akademik sebagai prioriti mereka sebelum ini.

Dalam kajian tersebut juga didapati STP ini banyak dihadapi oleh mereka yang mempunyai percaya diri (self esteem) yang rendah. Mereka merasa inferior. Percaya diri yang rendah boleh berlaku apabila kayu ukur yang digunakan untuk mengukur kelebihan seseorang adalah terlampau sempit. Ia bermula apabila orang dewasa hanya memfokuskan pada kelemahan anak, dan menghukum kelemahan tanpa mempunyai inisiatif dan keinginan untuk melihat pada kelebihan seseorang anak itu. Individu ini akan membesar sebagai seorang yang akan meneruskan tradisi yang sama.

Mereka mencapai kepuasan dengan merendah-rendahkan orang lain supaya ‘tall poppy’ ini berdiri sama rendah dengan mereka. Kelakuan yang sebegini akan mengurangkan kekecewaan mereka dengan diri mereka sendiri. Mereka lebih merasa puas jika dapat menyebarkannya kepada orang lain – di alam siber yang ‘public’. Sedih bukan?
Mereka yang mempunyai percaya diri yang tinggi dan yakin dengan kelebihan yang dimiliki selalunya terhindar dari menghidap STP ini.

OLEH ITU :

1) Latihlah diri kita sebagai orang dewasa untuk melihat kelebihan yang dimiliki oleh seseorang anak dan pelajar supaya mereka juga berupaya untuk melihat kelebihan dan kejayaan orang lain tanpa iri. Allah itu Maha Adil, setiap anak mempunyai kelebihan masing-masing. Cari kelebihan tersebut, raikan kelebihan tersebut dan gunakan kelebihan tersebut bagi membantu mereka mengatasi apa saja kelemahan yang mungkin mereka miliki kerana manusia itu sifatnya tidak sempurna. Jangan menggunakan kelemahan seorang anak untuk menidakkan kelebihan mereka.

2) Latihlah anak-anak untuk mengagumi dan meraikan kelebihan rakan-rakan dan percaya bahawa mereka juga mempunyai kelebihan yang tersendiri.

3) Bimbinglah juga anak-anak supaya menjadi seorang yang berhemah dan bertanggungjawab di alam siber.

Selepas ini setiap kali apabila kita menyaksikan buli siber berlaku terhadap mereka yang berjaya dalam bidangnya seperti adik Natasha Qisty, tahulah kita bahawa ini adalah SINDROM TALL POPPY.

Tahniah diucapkan kepada semua yang mendapat keputusan peperiksaan SPM 2016 baru-baru ini. Ini adalah satu permulaan. Semoga menjadi individu yang boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan ummah dengan kelebihan masing-masing.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Hanya Layak Diberi Smartphone…

anaksmartphone

ANAK HANYA LAYAK DIBERI SMARTPHONE:

  1. Apabila ibubapa secara konsisten membina hubungan yang rapat dengan anak dengan sentiasa meluangkan masa dengan anak.
  2. Apabila ibubapa menjadi tempat mengadu dan luahan emosi anak.
  3. Apabila anak yakin dan percaya bahawa ibubapa adalah pelindung anak.
  4. Apabila anak tahu kenapa dia perlukan (bukan ‘mahukan’) smartphone.
  5. Apabila anak ada jadual seharian dan faham akan matlamat (goals) yang perlu dicapai sebagai seorang anak, pelajar dan anggota masyarakat.
  6. Setelah anak diajar tentang cara dan adab berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain secara bersemuka.
  7. Setelah anak dibimbing dan sentiasa diingatkan tentang keselamatan fizikal dan seksual (di luar dan online).
  8. Setelah ibubapa berbincang dengan anak tentang pros dan cons penggunaan smartphone.
  9. Apabila ibubapa bersedia secara konsisten memeriksa konten dan ‘history’ penggunaan smartphone anak.
  10. Setelah anak diberi tanggungjawab (chores) dalam keluarga yang bersesuaian dengan usia anak.

Jika kesemua di atas tidak dapat dipenuhi, maka pemberian smartphone kepada anak hanyalah memudaratkannya dan teknologi tidak harus dipersalahkan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect