Pembentukan Karakter dan Soalan Seorang Abang

characterbuilding

Kredit Gambar: Calvin & Hobbes Wiki

Apabila saya bercerita tentang perkembangan dan keperluan untuk membentuk karakter seorang anak dari usia 0 tahun, seorang abang bertanya saya adakah tidak ada harapan lagi bagi adik remajanya yang memberontak kerana adiknya sudah melepasi usia awal itu. Kajian neurosains dua puluh tahun kebelakangan ini menunjukkan otak manusia ketika usia remaja melalui penstrukturan semula. Ini bermakna peluang itu akan tetap ada selagi kita cuba memahami dan membantu.

Seorang kakak berkata sudah puas dia memarahi adik remajanya, tetapi adiknya tetap tidak berubah malah terus menjauhkan diri. Saya bertanya kembali adakah dia mencuba cara lain selain marah dan memaki hamun kiranya cara itu tidak berkesan. Tahukah dia cara lain yang mendekatkan lagi adik remaja itu kepadanya?

Seorang ibu bertanya apakah pendapat saya kiranya dia menghantar anaknya tinggal di asrama kerana anak itu tidak dapat dikawalnya. Anak itu sentiasa menjawab dan memberontak. Kaedah terbaik baginya adalah hantar kepada orang ‘asing’ yang MUNGKIN boleh mengubah anak itu.

Wajarkah penyelesaian yang sebegini?

Seorang ibu saudara risaukan anak saudaranya yang dari kecil hanyalah dimarah, dimarah dan dimarah oleh ibunya (yang ketika kecilnya agak terabai kerana ibu bernikah lain setelah bercerai) seolah-olah tiada kebaikan dalam diri anak itu. Anak saudara itu kini dihantar ke sekolah Tahfiz walaupun dia bersungguh-sungguh tidak mahu.

Bagaimanakah agaknya anak ini sekarang?

Seorang remaja yang sering melakukan kesilapan terus memberontak kerana yang diterima daripada guru-gurunya hanyalah sindiran demi sindiran dan sering dimalukan di khalayak sekolah atas kesilapannya. Kenapa dia perlu jadi baik kerana dia akan terus dimalukan oleh orang yang tidak langsung cuba untuk memahami.

Seorang guru menjadi buntu kerana guru-guru lain menyuruhnya merotan saja seorang pelajar yang sering mendatangkan masalah dalam kelas. Guru itu tidak bersetuju dengan saranan guru-guru lain. Anak-anak murid pun meminta guru tersebut merotan saja rakan mereka itu (dari mana agaknya mereka belajar ya?). Saya bertanya guru tersebut, tahukah dia akan ‘background’ pelajar itu? Jawab guru, ayah pelajar itu sekarang berada di penjara kerana masalah dadah. Fikirkanlah.

Oh! dan pelbagai kisah lagi.

Saya sendiri punya anak-anak remaja yang sifat, mood, pemikiran, karakter, dan jiwa mereka juga seperti remaja-remaja lain.

Terdapat banyak kebaikan dalam diri mereka di sebalik cabaran yang perlu kita hadapi di kala mereka cuba mencari identiti diri dan mencari tempat dalam keluarga, sekolah dan masyarakat.

Mereka juga keliru dengan diri mereka sendiri.
Apakah yang perlu kita lakukan dengan orang yang keliru?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s