Sabar Yang Diperlukan Ibubapa

sabar

SABAR EMOSI

Sabar sebagai ibubapa selalu dikaitkan dengan keupayaan untuk menahan rasa marah.
Bersabar agar kita tidak mengamuk, tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak menghukum sehingga membawa kepada penderaan. 

Anak meragam, anak menguji kesabaran, anak melawan, anak tidak mendengar kata, anak tidak hormat, anak meraung, anak sepahkan rumah, semua ini menjadi cabaran kepada emosi ibubapa. Sabar emosi ini penting untuk menjaga keharmonian dalam keluarga dan juga untuk memastikan kewarasan diri kita sendiri.

SABAR MENUNGGU HASIL

Walau apa saja yang kita usahakan dalam mendidik anak-anak ia tidak akan menunjukkan hasilnya dalam waktu yang singkat. Mendidik anak-anak adalah satu proses tarbiyah yang dimulai dengan asuhan, didikan dan bimbingan peringkat demi peringkat sehinggalah anak berupaya untuk melakukannya sendiri.

Didikan dan bimbingan ini jugalah yang akan menghasilkan ‘inner speech’ atau suara hati dalam diri anak yang akan menjadi motivasi dalaman supaya anak melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang tidak baik.

Proses ini mengambil masa dan menuntut kesabaran ibubapa.
Janganlah terlalu mengharapkan hasil yang tergesa-gesa sehingga memaksa anak di luar kemampuan dan keupayaan dirinya.

SABAR BERUSAHA

Jika satu kaedah tidak bersesuaian dengan anak, berusahalah mencari dan mencuba kaedah yang lain pula. Jangan cepat berputus asa dan menyalahkan diri sendiri. Jangan juga menyalah anak semata-mata jika sesuatu usaha kita itu tidak berjaya. Setiap anak berbeza-beza sebagaimana setiap keluarga berbeza-beza.

Bersabarlah dalam berusaha mencari jalan penyelesaian kepada apa saja cabaran yang kita hadapi dengan anak-anak.

Bersabar bukanlah bermaksud kita hanya berdiam diri menunggu keajaiban berlaku tanpa usaha.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Sabar Dengan Tantrum Kesabaran Anak

Banyak soalan yang saya terima berkisar tantrum kanak-kanak. Antara yang sering ditanya adalah anak yang tidak boleh tunggu, tidak boleh sabar bila mahukan sesuatu.

tantrum sabar

PERSOALAN:
“Puan, anak saya bila dia cakap “Nak”, dia mahukan sekarang jugak. Saya cakap sabarlah, cakap ‘nanti’ pun tak faham. Tantrum.”

Adakah anda biasa dengan situasi ini?

KETAHUI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK.

1) Kanak-kanak sifatnya IMPULSIF iaitu sentiasa mengikut gerak hati dan tidak (boleh) fikir panjang. Sifat semulajadi ini menyebabkan mereka tidak dapat menunggu dan tidak sabar. Mereka mahukan ganjaran serta merta.
Ini normal.

Kita yang tidak normal jika meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk kanak-kanak bersabar dan menunggu.

PERSOALAN:
“Tapi Puan, anak saudara saya sama usia dengan anak saya, tapi saya tengok dia baiknya la hai. Sabar je. Mak dia cakap nanti, dia ok je tak mengamuk pun.”

2) Saya selalu berkongsi tentang PEMBAWAAN (temperament). Setiap anak lahir dengan pembawaan yang berbeza-beza. Antara ciri-ciri yang membentuk pembawaan adalah:

  • keupayaan mengalih perhatian. (Mengalih perhatian adalah teknik terbaik ketika tantrum)
  • keupayaan menyesuaikan diri
  • tahap emosi
  • kecekalan
  • mood

Semua ciri-ciri ini akan menentukan sama ada seseorang anak itu lebih mudah untuk sabar dan menunggu atau lebih mudah mengalami tantrum kesabaran.

3) Faktor yang paling penting untuk kita faham adalah, kanak-kanak belum faham KONSEP MASA sepenuhnya. Ramai yang belum faham ‘nanti’,’petang karang’, ‘esok’, ‘bulan depan’.

Konsep masa adalah terlalu abstrak. Masa adalah sesuatu yang tidak boleh dilihat, tidak boleh dipegang dan tidak boleh dialami. Mana mungkin anak kecil usia 1-3 tahun boleh faham sepenuhnya bila diminta sabar atau ‘nanti’.

Bagi mereka ‘nanti’ itu sama seperti berkata ‘tidak boleh’ kerana sifat mereka mahukan sesuatu sekarang juga.

Gunakan kata-kata yang mudah untuk anak faham dan tidak abstrak.
“Mama bagi bila papa balik.” Ini lebih mudah untuk anak bayangkan kerana anak pernah mengalaminya.

Kanak-kanak ‘live in the present’. Mereka hanya faham ‘sini’ dan ‘sekarang’. Masa lalu seolah berlaku semalam dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan seolah esok.

Pemahaman tentang konsep masa berkembang dengan latihan dan kematangan.

LATIHAN BAGAIMANA?

Banyak kaedah yang santai dan seronok untuk melatih anak bersabar dan menunggu.
Projek jangkamasa panjang sangat sesuai sebagai latihan.
Contohnya:

  • Permainan susun suai gambar atau ‘jigsaw puzzle’ sangat efektif untuk melatih sifat sabar. Carilah yang sesuai dengan usia anak.
  • Permainan blok binaan atau lego juga melatih sifat sabar.
  • Aktiviti menanam benih dan sabar memerhatikan pokok tumbuh juga melatih sifat sabar.
  • Aktiviti ‘baking’ bersama-sama, menunggu kek naik dan masak, juga melatih sifat sabar.

Banyak permainan dan aktiviti tradisi yang melatih sifat sabar ini.
Mungkin anda boleh fikirkan dan cadangkan juga di ruangan komen.

Selain TANTRUM KESABARAN, terdapat beberapa jenis tantrum lagi. Insya Allah saya akan kongsikan nanti. SABAR🙂

Set ‘See First’

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

You Only Have One Family…

“Every family has its issue but you only have one family.”
Kata-kata yang dipetik dari filem ‘Family Man’.

keluarga.JPG

Setiap keluarga mempunyai cabaran dan masalahnya yang tersendiri tetapi itulah satu-satunya keluarga yang kita ada. Kita tiada pilihan untuk tidak mempedulikannya. Jika selama ini kaedah yang kita gunakan tidak berjaya ataupun mungkin kita tiada apa-apa kaedah tertentu untuk membimbing keluarga dan anak-anak, sedarlah segala perubahan yang ingin kita lakukan untuk kebaikan keluarga dan anak-anak akan mengambil masa. Kita mungkin juga akan menerima tentangan.

Jika latihan untuk solat mengambil masa 3 tahun untuk diterapkan dalam diri anak sebelum tindakan keras boleh diambil apabila menjangkau usia 10 tahun, begitulah panduan betapa lamanya kita perlu bersabar dan konsisten dengan setiap bimbingan yang ingin kita berikan. Bimbingan ini tidak terhenti di situ sahaja, ia perlu berterusan dengan berpesan-pesan, selagi kita bernama ibubapa.

Perubahan dan bimbingan perlu

1) Sabar
2) Konsisten
3) Pengulangan

Masalahnya kadang-kadang bukannya dengan anak, tetapi dengan diri kita sendiri yang tidak konsisten dan tidak sabar. Sekejap kata “tidak”, sekejap kata “boleh”. Bila kita sibuk dan letih, kita pun jadi permisif, “Buatlah apa yang kamu suka, mintalah apa yang kamu mahu, Ayah letih, Ibu letih.”
Tidak konsisten.
Anak lantas mengambil kesempatan.
Kemudian kita juga yang kecewa dan berang dengan anak.

Kadang-kadang anak bukannya sengaja. Ada yang berbeza daripada anak-anak lain. Mereka perlu bantuan pakar seperti terapis, psikologis atau psikiatris untuk membantu mereka supaya lebih tenang dan teratur. Di sini juga kita perlu

1) Sabar
2) Konsisten
3) Pengulangan

dalam memberi sokongan dan bimbingan kepada anak-anak ini.

Sebarang perubahan tidak akan berlaku semalaman.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Cabaran Keibubapaan

Proses keibubapaan (parenting) bukan hanya tentang mendidik anak-anak. ‘Parenting’ adalah proses dua hala yang melibatkan kedua-dua ibubapa dan anak-anak. Dalam mendidik anak-anak kita juga mendidik diri kita sendiri supaya menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya.

Setiap ibubapa tidak dapat lari dari melalui ‘low parenting moments’ atau masa-masa duka masing-masing. Ini adalah momen-momen di mana kita rasa gagal dalam memikul tanggungjawab sebagai ibubapa dengan sebaiknya. Ini adalah momen-momen di mana kita rasa kecewa dengan diri kita sendiri kerana kesilapan-kesilapan yang kita rasakan telah kita lakukan dalam mendidik anak-anak.
Sebagaimana nasihat kita kepada anak-anak, jadikan setiap kesilapan kita itu sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki diri dan bukannya untuk menghukum diri.

Don’t be too hard on yourself because there is no perfect parents.

Ini adalah senarai cabaran-cabaran utama yang dihadapi oleh ibubapa dalam proses keibubapaan. Melihat pada senarai ini, saya yakin setiap daripada kita telah melaluinya dan mungkin sedang melaluinya. Setiap peringkat usia anak mempunyai cabarannya yang tersendiri. Anda tidaklah bersendirian dalam ‘low parenting moments’ anda.

 

Sumber dari kajian oleh Emma Kenny, Pakar Psikologi kanak-kanak (Daily Mail, UK)

Dari senarai ini, yang manakah cabaran terbesar bagi anda dalam membesarkan dan mendidik anak anda ketika ini?
Atau mungkin ada cabaran lain yang ingin dikongsi?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Apabila Anak Menguji Kesabaran

anakkesabaran

Alhamdulillah.

Terima kasih kepada semua yang telah menghadiri sesi “Apabila Anak Menguji Kesabaran”. Yang datang dari KL walau ramalan trafik membimbangkan. Yang datang dari hujung Selangor. Dan juga yang datang dari sejauh-jauh Perlis dan juga dari Melaka. Terima kasih semua.

Semoga bermanfaat untuk semua tidak kira anda belum berkahwin, pengantin baru, menunggu kelahiran cahaya mata, yang sudah pun menjadi ibubapa dan juga guru-guru.

Terima kasih juga atas segala perkongsian pengalaman dan cabaran, pandangan, dan ‘participation’ ketika sesi. Saya juga banyak belajar daripada anda semua. 🙂

‘Feedback’ dan cadangan untuk sesi akan datang amat saya hargai.

“We do not have control over our child’s basic temperament but we can choose to alter our response to him.”
Mary Sheedy Kurcinka

Apabila Anak Menguji Kesabaran 2.0 next insya Allah.
🙂

 

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect