Stranger Anxiety

Seorang ibu menghubungi saya kerana risaukan perkembangan sosial anaknya. Anak yang berusia 9 bulan ‘takut’ kepada orang lain selain dirinya dan suami. Malah dengan datuk dan nenek pun anak ‘tidak suka’ sehinggakan mengecilkan hati orang tua. Menurut ibu tersebut sebelum ini anaknya tidak begitu.

Adakah anda juga melalui situasi begini?

strangeranxiety

Kredit Gambar: Google

Situasi ini dikenali sebagai ‘STRANGER ANXIETY’ dan ia bukanlah berlaku secara rawak tanpa ada penjelasannya ataupun kerana anak anti-sosial. Ini adalah perkembangan normal bagi bayi berusia lingkungan 8 bulan.

Apakah yang berlaku ketika ini?

Otak bayi masih ‘work in progress’. Walaupun otak bayi secara fizikalnya sudah ada, namun proses perkembangan otak melalui pautan-pautan neuron (sel-sel otak) masih berlaku. ‘Stranger anxiety’ berkait rapat dengan proses perkembangan berfikir seorang bayi.

Pada usia 8 bulan, bahagian otak yang bertanggungjawab mengawal pemikiran manusia, iaitu pre-frontal cortex, sedang berkembang dengan pesat. Perkembangan inilah yang menjana memori bayi dan membolehkan bayi menganalisa wajah yang dikenali dan tidak dikenali. Wajah yang tidak dikenali setelah dianalisa mewujudkan ‘anxiety’ atau kegusaran kepada bayi tersebut. Proses ini tidak berlaku dengan pesat sebelum ini, oleh sebab itulah ‘stranger anxiety’ ini tidak berlaku sebelum usia tersebut.

Oleh itu jika ada datuk atau nenek yang berkecil hati, jelaskanlah bahawa pemikiran cucu sedang berkembang dengan pesat. Cucu sudah mula belajar untuk menganalisa dan mengenalpasti persekitarannya. Ia adalah satu fasa penting dalam proses awal berfikir yang akan menjadikan cucu seorang yang pintar akalnya satu hari nanti. Insya Allah, fasa ‘stranger anxiety’ ini akan berlalu.

Perkembangan sosial bayi juga sedang berkembang. Bayi akan memberi respon kepada interaksi penuh belaian dan kasih sayang oleh datuk dan nenek.

Ingat lagi proses ‘serve and return’ yang pernah saya tulis?

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkembangan otak kanak-kanak, saya sarankan agar anda membaca

‘Your Child’s Growing Mind – Brain Development and Learning’ oleh Jane M. Healy PhD.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

‘MIND YOUR LANGUAGE’ – Anak Guna Perkataan Kesat

Di kalangan masyarakat Barat – terutamanya di Amerika Syarikat dan United Kingdom – hukuman yang ‘popular’ terhadap anak-anak yang menggunakan perkataan yang kesat atau tidak elok adalah dengan mencuci mulut mereka dengan sabun atau ‘washing out mouth with soap’.

mindlang

Kredit Imej: Google

Washing out mouth with soap’ bukannya idiom atau peribahasa Inggeris. Ia benar-benar dilakukan secara literal oleh sesetengah ibubapa di sana untuk mewujudkan pengalaman yang tidak menyenangkan bagi si anak dengan tujuan untuk mendisiplinkan anak.
Antara cara yang dilakukan adalah dengan meletakkan sabun mandi di atas lidah anak dan gerak-gerakkan sabun tersebut buat beberapa seketika untuk anak ‘merasa’ sabun tersebut.

Ada yang menggunakan pencuci pinggan sebagai ganti ubat gigi dan memberus gigi anak sebagai hukuman yang sama.

Ada juga yang menghukum anak dengan menyuruh anak berkumur dengan air sabun.

Amalan turun temurun ini yang boleh dikesan bermula dari abad ke 19, dilakukan kerana mereka menganggap mulut kanak-kanak yang menggunakan Bahasa kasar dan kesat adalah seumpama mulut tandas (potty mouth) maka seharusnya mulut-mulut ini dicuci.

Antara amalan lain adalah memaksa anak minum cuka (vinegar) kerana mengharapkan anak insaf apabila terkena rasa cuka yang masam itu. Walau bagaimanapun hukuman ini didapati tidak berkesan kerana bagi sesetengah anak lama-kelamaan terbit rasa suka terhadap rasa masam cuka dan tidak lagi berkesan sebagai hukuman.

Ada juga yang menghukum anak dengan memaksa anak minum beberapa sudu Tabasco Sauce, sejenis sos yang sangat pedas bagi masyarakat Barat dengan harapan rasa pedas dan pijar cili itu menginsafkan anak.

Dalam masyarakat Melayu pula, amalan cilikan mulut anak juga bertujuan untuk menginsafkan anak yang sering menggunakan perkataan yang tidak elok ataupun yang berbohong. Mungkin kerana cili adalah sayuran yang mudah didapati dan ditanam di laman rumah maka cili sesuai dijadikan ‘tool’ atau perkakasan untuk mendisiplinkan anak yang cepat, mudah dan murah.

Ada juga anak yang tidak terkesan atau ‘tidak hairan’ dengan pedas dan pijar cili kerana sudah lali. Ada juga anak yang sukakan rasa pedas seperti apa yang berlaku kepada kanak-kanak di Barat yang sukakan rasa masam cuka.

Mungkin masyarakat Cina, India, Iban, Kadazan dan bangsa atau etnik lain di Malaysia juga mempunyai amalan yang berbeza untuk mendisiplinkan anak yang suka menggunakan perkataan yang tidak elok.

Saya tidak akan mengulas tentang betul atau tidak amalan dan hukuman sebegini atau berkesan atau tidak untuk mengubah tingkah laku anak dan mendidik mereka untuk menggunakan perkataan yang elok-elok saja.
Seperti yang saya selalu tekankan dalam penulisan saya, setiap tingkah laku anak ada sebabnya.
Hanya apabila kita tahu sebabnya, kita boleh mencari kaedah yang berkesan untuk mendidik dan memperbetulkan tingkah laku anak.

KENAPA ANAK MENGGUNAKAN PERKATAAN YANG KESAT DAN KASAR?

Tentulah mengejutkan, mengecewakan dan mungkin menimbulkan kemarahan sekiranya anak kecil tiba-tiba menggunakan perkataan yang tidak pernah pun keluar dari mulut kita dan tidak menjadi amalan dalam rumah kita.

1. PERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN BAHASA

Menurut Paul Bloom, pakar psikologi dari University of Yale, adalah tidak mengejutkan sekiranya anak kecil menggunakan perkataan tidak elok kerana mereka dalam fasa ‘mimic’ atau meniru perkataan yang sering didengari di sekitar mereka terutamanya yang digunakan oleh orang terdekat seperti ayah, ibu, guru dan rakan-rakan. Meniru perkataan adalah sebahagian dari perkembangan bahasa dan komunikasi dan ia berlaku amat pesat terutamanya ketika usia awal kanak-kanak .
Apabila anak kecil belajar dengan meniru, mereka sebenarnya tidak faham pun apa yang ditiru. Mereka tidak faham apa maksud perkataan yang didengari dan ditiru itu. Mereka hanya mimik tanpa memahami. Oleh sebab itulah memarahi, cubit, rotan, cili anak atau ‘wash out mouth with soap’ ketika usia ini BELUM TENTU menjadi kaedah yang berkesan untuk memperbaiki tingkah laku anak.

2. PERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN EMOSI

Apa yang menarik perhatian kanak-kanak adalah ton atau nada apabila sesuatu perkataan kesat itu disebut. Bahasa kesat selalunya digunakan dengan ton yang menggambarkan perasaan marah, kecewa, dan mungkin juga gembira, lucu atau sindiran.

Contohnya perkataan ‘bodoh’ sering diucapkan orang dewasa ketika memarahi pemandu di jalan raya ketika sedang marah. Perkataan ‘bodoh’ juga boleh diucapkan sambil ketawa kerana merasa lucu dengan perbuatan seseorang.
Anak kecil mengaitkan perkataan dengan nada dan emosi ketika perkataan tersebut disebut kerana ketika usia ini emosi anak sedang berkembang.

Perkataan kesat sering diucapkan oleh anak-anak dan juga orang dewasa untuk memberi penekanan kepada emosi yang sedang dialami. Jika anak-anak tidak tahu perkataan alternatif, atau tidak diajar perkataan alternatif untuk diucapkan, mereka akan berterusan menggunakan perkataan kesat yang dipelajari tersebut sama ada dari orang sekeliling ataupun dari rancangan televisyen, video atau youtube yang ditonton.

Perkayakan kosa kata anak dengan mengajar anak perkataan yang elok dan sesuai digunakan ketika marah, ketika kecewa, ketika sedih dan juga ketika gembira

3. PERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN MEMBUAT KEPUTUSAN.

Disebabkan bahagian pre frontal cortex dalam otak yang membantu anak untuk berfikir secara rasional dan membuat keputusan masih terlalu ‘mentah’, mereka juga tidak tahu sama ada sesuatu perkataan itu elok ataupun tidak untuk diucapkan. Anak hanya mimic. Mereka belum berupaya untuk berfikir.

Inilah sebabnya sebagai ibubapa yang sudah dewasa, tentunya, kita perlu ‘meminjamkan’ kebijaksanaan kita dengan membimbing anak dengan nilai dan perkataan yang elok untuk ditiru oleh anak. Jikalau kita tidak bijak dengan perkataan walaupun otak sudah tua usianya, apa yang boleh kita harapkan daripada anak?

4. PERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN SOSIAL.

Anak-anak terutamanya yang sudah bersekolah dan remaja sangat mudah dipengaruhi oleh rakan–rakan. Ada di antara mereka menggunakan perkataan kesat supaya diterima sebagai sebahagian dari satu perkumpulan sosial sama ada di sekolah, di kawasan perumahan atau juga di grup ‘chat’ seperti whatsapp, wechat, telegram, dan seumpamanya.

Ada juga yang cuba menarik perhatian seseorang atau sesuatu kumpulan dengan menggunakan perkataan kesat yang dirasakan lucu untuk menambah perisa dalam perbualan.

Pantaulah dengan siapa anak berkawan dan dengan siapa anak cuba hendak berkawan kerana ia akan mempengaruhi perkataan-perkataan yang diucapkan oleh anak-anak.

Pantau juga siapa yang menjadi role model atau ikutan anak-anak. Ada anak yang mengagumi dan menjadikan selebriti tv atau youtube sebagai idola. Adakah perkataan yang digunakan oleh selebriti-selebriti tersebut menepati nilai yang cuba anda pupuk dalam keluarga anda?

Sebagai ibubapa kita perlu juga ambil tahu apakah ‘trend’ atau ‘pop culture’ pada zaman anak-anak kita membesar kerana ia akan mempengaruhi anak-anak kita.

Jangan hanya marah anak apabila dia menggunakan perkataan negatif, jangan hanya mencari yang negatif sahaja untuk dihukum.

Carilah juga momen-momen apabila dia menggunakan perkataan yang elok atau momen di mana dia cuba untuk mengubah tingkah lakunya walaupun tidak selalu.
Sebut momen tersebut dan puji usahanya supaya dia tahu yang dia juga berupaya untuk menjadi baik dan supaya dia tahu yang usahanya dilihat dan dihargai.

Ini akan menjimatkan stok cili dan sabun anda.

Insya Allah.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

SKEMA: Rujukan Utama:

 

skemafinal

 

Rujukan Utama:

Threads of Thinking: Schemas and Young Children Learning
Cathy Nutbrown – beliau adalah Profesor ECEC saya di UK.

Understanding Child Development 0-8 years.
Jennie Lindon & Kathy Brodie.

Play, Learning and Early Childhood Curriculum
Elizabeth Wood & Jane Attfield

 

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Semua imej latar dari google.

SKEMA – Pergerakan Yang Tidak Sia-sia

skema0

ANAK ASYIK BERMAIN SAJA, BILA HENDAK BELAJAR?

Cabaran seorang ibu seperti yang diluahkan kepada saya:

“Puan, anak saya berusia 5 tahun, saya tidak beri gajet kepada anak saya kerana macam-macam keburukan saya dengar tentang gajet. Anak saya OK, Tetapi bila tidak diberi gajet anak saya asyik main saja, tidak boleh diam. Saya risau sebab anak saya tidak mahu belajar. Bagaimanakah cara untuk saya mendisiplinkan anak saya supaya dia belajar?”

*Pernahkah anda juga risau yang anak kecil anda terlalu banyak bermain dan tidak mahu belajar?

*Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa anak anda suka ke hulu ke hilir membawa barang penuh di tangannya?

*Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa anak anda suka memusing-musingkan badannya sehingga jatuh terduduk ataupun terlanggar perabut berhampiran?

*Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa anak anda suka sangat bermain dengan air paip yang mengalir?

*Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa anak anda suka bergayut di taman permainan dengan kakinya di atas dan kepala ke bawah?

*Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa anak anda sering menyusun kereta mainan mengikut turutan yang hanya anak tahu signifikasinya?

*Pernahkah anda tertanya-tanya juga tentang aksi atau tingkah laku lain yang membingungkan anda? Ada kalanya tingkah laku ini membahayakan anak tetapi bila dihalang dia tetap ingin melakukannya.

TAHUKAH ANDA semua tingkah laku dan pergerakan ini amat penting ke atas perkembangan dan pembelajaran seorang kanak-kanak dan ia bukanlah sia-sia.

TAHUKAH ANDA kanak-kanak mempunyai kecenderungan yang meluap-luap (urge) untuk melakukan beberapa aksi atau perbuatan yang dikenali sebagai skema ataupun pola tingkah laku?

Skema ini bukanlah semata-mata pergerakan fizikal yang sia-sia tanpa belajar apa-apa atau untuk menguji kesabaran anda dengan aksi yang mungkin membahayakan.

Skema adalah kecenderungan semulajadi yang dimiliki kanak-kanak Kita juga mempunyai kecenderungan tersebut ketika kecil dahulu tetapi mungkin kita sudah lupa.

APAKAH ITU SKEMA (schema)?

 

BUKAN skima jawapan peperiksaan.

Ia adalah pola tingkah laku yang sering kita lihat dilakukan oleh kanak-kanak secara berulang-ulang dalam pelbagai situasi ketika bermain dan meneroka persekitaran. Ia dilakukan untuk memahami kenapa dan bagaimana sesuatu itu berlaku atau berfungsi.

Skema:

1) menjadi asas kepada perkembangan kognitif (pemikiran) kanak-kanak.
2) mencerminkan struktur pemikiran kanak-kanak.
3) membina jaringan neural otak kanak-kanak (ayat biasa kita dengar – menghubungkan sel sel otak),
4) membantu pembelajaran kerana kanak-kanak belajar dengan melakukan (learn by doing),
5) membantu memahami dan membina konsep seperti matematik dan sains dan juga memahami kehidupan dan kemanusiaan.

Skema dipamirkan secara fizikal, verbal atau juga melalui hasil karya kanak-kanak.

Ia boleh kita lihat dari bayi lagi. Semakin kanak-kanak membesar, skema ini menjadi semakin kompleks dan sofistikated kerana skema adalah cerminan pemikiran kanak-kanak.

KENAPA KITA PERLU TAHU?
1) Bagi pengamal dan pendidik bidang pendidikan awal kanak-kanak pengetahuan tentang skema ini penting untuk menggubal kurikulum dan aktiviti yang bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak. Ia juga penting untuk menyediakan persekitaran yang sesuai untuk kanak-kanak bermain, berkembang dan belajar.

2) Bagi ibubapa pula, dengan memerhatikan anak ketika anak sedang bermain, kita dapat mengenalpasti apakah skema yang sedang dipamirkan oleh anak dan apakah yang sedang dipelajari anak.

3) Mengetahui dan menggalakkan skema membantu kita memahami minat dan kebijaksanaan (intelligence) anak.

4) Apabila kita faham tentang skema, kita akan lebih faham kenapa anak berkelakuan seperti yang kita lihat.

5) Kita dapat membantu memperkayakan pengalaman skema anak, sekaligus membantu perkembangan otak anak, pembelajaran anak dan pembesarannya.

6) Kita dapat membendung tingkah laku yang mungkin membahayakan atau menguji kesabaran kita.

7) Membantu kita membuat pilihan sekolah yang menyediakan peluang untuk anak meneroka skema dan bukan hanya diam di meja menyudahkan ‘worksheet’

Berikut adalah 9 jenis skema atau pola tingkah laku yang dikenalpasti pada kanak-kanak dan mungkin juga ada pada diri anda sendiri sebagai orang dewasa.

Yang mana satu yang anda lihat pada anak anda sekarang?
Adakah anak mempamirkan satu skema atau gabungan beberapa skema?

Setelah mengetahui tentang skema, fikirkan kembali adakah anak tidak belajar apabila bermain dan meneroka.

Terdapat 9 jenis Skema yang akan diperincikan di dalam post selepas ini.

This slideshow requires JavaScript.

Noor Afidah Abu Bakar
MA Early Childhood Education
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Teruskan Apa Yang Berkesan Untuk Anak-anak Anda dan Keluarga Anda

family

Kredit Gambar: Google

Teruskan apa yang berkesan untuk anak-anak anda dan keluarga anda.
Abaikan kata-kata yang MEMAKSA anda mengikut cara yang berkesan ke atas anak-anaknya atau dirinya.

Bagaimana untuk tahu kaedah yang sesuai?

Pelajari perkembangan kanak-kanak (child development).
Pelajari pembawaan (temperament).
Ketahui gaya keibubapaan (parenting style).

Satu kaedah belum tentu sesuai untuk semua.
One size does not fit all.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Tunggu Sekejap Wahai Kekasih

tantrum sabar

Pernahkah anda melalui situasi di mana anak mahukan sesuatu serta merta dan tidak mahu menunggu?

Kanak-kanak sekarang dikenali sebagai generasi ‘INSTANT GRATIFICATION’ iaitu generasi yang tidak sabar menunggu. 

Mereka hidup dalam dunia yang serba pantas. Mereka hidup dalam dunia ‘touch screen’, semuanya di hujung jari.

Mereka hidup dalam dunia di mana semua kehendak mereka boleh dipenuhi dengan segera oleh (kebanyakan) ibubapa.

Mereka hidup dalam dunia di mana kartun kegemaran boleh ditonton sepanjang masa diulang ulang.

Disebabkan kepantasan mendapatkan sesuatu ini, mereka sering melihat diri mereka sebagai seorang individu dan bukannya sebagai sebahagian dari unit keluarga. Mereka sukar melihat kesan perbuatan dan kemahuan mereka kepada keluarga.

Ajari anak generasi ini untuk sabar menunggu.
Ajari anak generasi ini untuk faham bahawa orang lain juga ada keperluan mereka yang harus dihormati.

Apabila anak ajak bermain dan anda sedang sibuk uruskan pinggan mangkuk yang bertimbun di dapur, katalah kepada anak “Beri ibu 5 minit untuk cuci pinggan mangkuk. Lepas itu Ibu datang.”

Biar anak tunggu sekejap dan faham yang ibu juga ada tugasan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Apabila anak meminta bantuan dengan kerja sekolahnya dan anda perlu menguruskan anak kecil dengan segera, katalah kepada anak

“Kejap Ayah pakaikan adik lampin lepas itu Ayah bantu. “
Biar anak tunggu sekejap.

Kadang-kadang waktu menunggu itu anak akan dapat menyelesaikan apa saja masalah yang dihadapinya dengan sendiri.

Biar anak faham bahawa semua ahli keluarga ada keperluan yang perlu dihormati dan saling dibantu.

Latih anak untuk menunggu untuk dapatkan sesuatu.
Bukankah ganjaran syurga juga perlu ditunggu?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Seminar Kenali Perkembangan Kritikal Anak Anda

Satu inisiatif yang sangat baik oleh Unit Audiologi dan Unit Pertuturan Hospital Ampang.

 

seminardigitalampang

Seminar yang menghimpunkan Audiologis, Pegawai Pertuturan, Jurupulih Carakerja dan Pakar Psikiatri dari Hospital Ampang dan saya sendiri dari bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Keibubapaan, dianjurkan untuk mendidik ibubapa dan individu yang terlibat dengan kanak-kanak untuk memahami perkembangan kanak-kanak (Child Development).

Setiap tingkahlaku anak ada sebabnya dan mereka bukan sengaja hendak menjadi ‘nakal’ atau ‘degil’ seperti yang selalu kita labelkan.

Anak yang mempunyai isu dari segi perkembangan fizikal – motor kasar, motor halus, sensori, koordinasi, dan perkembangan bahasa dan pertuturan – termasuk pendengaran, akan menghadapi kesukaran dari segi pembelajaran, emosi, sosial dan juga tingkahlaku jika mereka tidak dibantu dari awal.

Dari usia awal, semua perkembangan harus diberi penekanan yang seimbang kerana setiap satu adalah berkait antara satu dengan lain.

Perlu diketahui bahawa penggunaan gajet yang tidak terkawal dan sering dijadikan ‘babysitter’ adalah antara punca utama ramai kanak-kanak sekarang mempunyai isu dari aspek-aspek yang disebutkan.

Pantau dan peka dengan perkembangan anak-anak anda dan dapatkan bantuan kiranya perlu. Setiap anak mempunyai keunikan dan keupayaan yang tersendiri yang harus dipupuk dan dirai.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Memahami Anak-anak

childinmind

Bukan sahaja teori, malah mungkin ada amalan-amalan lama juga harus dinilai semula untuk disesuaikan dengan zaman di mana anak-anak kita dibesarkan.
Memahami perkembangan kanak-kanak dan remaja bukanlah hanya tugas pendidik-pendidik di sekolah sahaja, ibubapa juga harus sentiasa belajar untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku dalam diri anak-anak.
Dunia sekarang semakin kompleks dan ia sudah tentunya mempunyai kesan ke atas diri kita dan anak-anak juga.

Rujukan: Understanding Child Development, Lindon & Brodie

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Apakah Perkara Penting Anak-anak Kecil Pelajari?

belajar

Kredit Gambar: Google

Bagi ayah dan ibu yang bertanya apakah perkara penting yang perlu dipelajari di peringkat usia awal anak-anak, berikut adalah aspek pembelajaran penting bagi anak-anak usia tersebut. Pastikan pra sekolah anak-anak anda memberi penekanan kepada aspek-aspek ini.

Ayah dan ibu adalah pendidik utama, oleh itu kita juga bertanggungjawab ke atas pembelajaran anak-anak.

  1.  Belajar tentang perasaan orang lain dan membina empati terhadap orang lain.
  2. Belajar tentang perhubungan dengan orang lain dan mencari perkaitan antara hidup sendiri dan hidup orang lain.
  3. Membina keyakinan untuk berkomunikasi dengan orang lain.
  4. Bekerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah.
  5. Belajar untuk mendengar dan menghormati apa yang diperkatakan oleh guru dan ibubapa.
  6. Belajar untuk mendengar dan menghormati apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak lain.
  7. Belajar untuk memberikan dan menerima pendapat dan buah fikiran dalam kumpulan.
  8. Belajar tentang persamaan dan perbezaan antara manusia.
  9. Belajar tentang manusia dan penempatan yang berbeza-beza dan masalah-masalah yang mungkin dihadapi oleh mereka.
  10. Belajar tentang perbezaan antara manusia melalui kisah-kisah yang diceritakan kepada mereka.
  11. Belajar tentang kelebihan dan keterbatasan teknologi (bukan hanya komputer/gajet/telefon pintar) dan bagaimana ia boleh memberi manfaat dan mudarat kepada manusia.

 

Pendidikan awal bukan hanya belajar untuk pandai membaca, menulis dan mengira sahaja. Inilah usia yang terbaik untuk membina manusia.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Patutkah Anak-anak Diberi Reward/Allowance Kerana Melakukan Kerja-kerja Rumah (Chores)? 

Patutkah anak-anak diberi reward/allowance kerana melakukan kerja-kerja rumah (chores)?

chores
Kredit Gambar: 1 Special Place

Ini antara isu yang diperbincangkan pada sesi ‘Parenting Talk’ semalam. Terima kasih kepada Puan Siti yang membuka topik ini dan terima kasih juga kepada Encik Shah yang memberi pendapat beliau.

Saya berpendapat tujuan utama memberi chores adalah untuk melatih anak tentang tanggungjawab kepada diri sendiri dan juga keluarga.

Chores juga bertujuan untuk membentuk ‘sense of belonging’ anak-anak dalam keluarga. Apabila anak dapat menyumbang tenaga kepada keluarga, dia akan merasa dirinya bernilai. Anak-anak yang dari kecil merasa ‘belong’ dan bernilai dalam keluarga, akan lebih suka berada di rumah. Kita perlu melihat kesannya untuk jangkamasa panjang, bukan hanya ketika anak kecil sahaja. Ramai remaja yang tidak suka duduk di rumah dan lebih suka lepak bersama rakan-rakan kerana mereka tidak rasa ‘sense of belonging’ tersebut.

Chores juga membentuk skil motor kasar, motor halus dan juga skil penyelesaian masalah. Contohnya anak akan fikir “Macam mana caranya saya hendak susun buku-buku ini supaya teratur di atas rak?”.
Chores juga memupuk kreativiti pada diri anak-anak.

Jadi agak ralat jika chores yang mempunyai sangat banyak manfaatnya dari segi perkembangan seorang manusia harus dan perlu diupah supaya anak melangsaikannya.

Allowance pula, sepatutnya diberi untuk tujuan mendidik anak tentang nilai wang dan mengurus kewangan. Ramai orang muda sekarang yang diisytihar muflis dan hidup melebihi pendapatan kerana memenuhi tuntutan lifestyle. Skil ‘financial management’ ini perlu juga dipupuk dari awal lagi. Ia bukanlah ‘common sense’ jika tidak dibimbing.

Oleh itu perlukah melakukan kerja rumah (chores) diberi upah?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect