Pernahkah anda melalui situasi di mana anak mahukan sesuatu serta merta dan tidak mahu menunggu?
Kanak-kanak sekarang dikenali sebagai generasi ‘INSTANT GRATIFICATION’ iaitu generasi yang tidak sabar menunggu.
Mereka hidup dalam dunia yang serba pantas. Mereka hidup dalam dunia ‘touch screen’, semuanya di hujung jari.
Mereka hidup dalam dunia di mana semua kehendak mereka boleh dipenuhi dengan segera oleh (kebanyakan) ibubapa.
Mereka hidup dalam dunia di mana kartun kegemaran boleh ditonton sepanjang masa diulang ulang.
Disebabkan kepantasan mendapatkan sesuatu ini, mereka sering melihat diri mereka sebagai seorang individu dan bukannya sebagai sebahagian dari unit keluarga. Mereka sukar melihat kesan perbuatan dan kemahuan mereka kepada keluarga.
Ajari anak generasi ini untuk sabar menunggu.
Ajari anak generasi ini untuk faham bahawa orang lain juga ada keperluan mereka yang harus dihormati.
Apabila anak ajak bermain dan anda sedang sibuk uruskan pinggan mangkuk yang bertimbun di dapur, katalah kepada anak “Beri ibu 5 minit untuk cuci pinggan mangkuk. Lepas itu Ibu datang.”
Biar anak tunggu sekejap dan faham yang ibu juga ada tugasan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Apabila anak meminta bantuan dengan kerja sekolahnya dan anda perlu menguruskan anak kecil dengan segera, katalah kepada anak
“Kejap Ayah pakaikan adik lampin lepas itu Ayah bantu. “
Biar anak tunggu sekejap.
Kadang-kadang waktu menunggu itu anak akan dapat menyelesaikan apa saja masalah yang dihadapinya dengan sendiri.
Biar anak faham bahawa semua ahli keluarga ada keperluan yang perlu dihormati dan saling dibantu.
Latih anak untuk menunggu untuk dapatkan sesuatu.
Bukankah ganjaran syurga juga perlu ditunggu?
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect