‘MIND YOUR LANGUAGE’ – Anak Guna Perkataan Kesat

Di kalangan masyarakat Barat – terutamanya di Amerika Syarikat dan United Kingdom – hukuman yang ‘popular’ terhadap anak-anak yang menggunakan perkataan yang kesat atau tidak elok adalah dengan mencuci mulut mereka dengan sabun atau ‘washing out mouth with soap’.

mindlang

Kredit Imej: Google

Washing out mouth with soap’ bukannya idiom atau peribahasa Inggeris. Ia benar-benar dilakukan secara literal oleh sesetengah ibubapa di sana untuk mewujudkan pengalaman yang tidak menyenangkan bagi si anak dengan tujuan untuk mendisiplinkan anak.
Antara cara yang dilakukan adalah dengan meletakkan sabun mandi di atas lidah anak dan gerak-gerakkan sabun tersebut buat beberapa seketika untuk anak ‘merasa’ sabun tersebut.

Ada yang menggunakan pencuci pinggan sebagai ganti ubat gigi dan memberus gigi anak sebagai hukuman yang sama.

Ada juga yang menghukum anak dengan menyuruh anak berkumur dengan air sabun.

Amalan turun temurun ini yang boleh dikesan bermula dari abad ke 19, dilakukan kerana mereka menganggap mulut kanak-kanak yang menggunakan Bahasa kasar dan kesat adalah seumpama mulut tandas (potty mouth) maka seharusnya mulut-mulut ini dicuci.

Antara amalan lain adalah memaksa anak minum cuka (vinegar) kerana mengharapkan anak insaf apabila terkena rasa cuka yang masam itu. Walau bagaimanapun hukuman ini didapati tidak berkesan kerana bagi sesetengah anak lama-kelamaan terbit rasa suka terhadap rasa masam cuka dan tidak lagi berkesan sebagai hukuman.

Ada juga yang menghukum anak dengan memaksa anak minum beberapa sudu Tabasco Sauce, sejenis sos yang sangat pedas bagi masyarakat Barat dengan harapan rasa pedas dan pijar cili itu menginsafkan anak.

Dalam masyarakat Melayu pula, amalan cilikan mulut anak juga bertujuan untuk menginsafkan anak yang sering menggunakan perkataan yang tidak elok ataupun yang berbohong. Mungkin kerana cili adalah sayuran yang mudah didapati dan ditanam di laman rumah maka cili sesuai dijadikan ‘tool’ atau perkakasan untuk mendisiplinkan anak yang cepat, mudah dan murah.

Ada juga anak yang tidak terkesan atau ‘tidak hairan’ dengan pedas dan pijar cili kerana sudah lali. Ada juga anak yang sukakan rasa pedas seperti apa yang berlaku kepada kanak-kanak di Barat yang sukakan rasa masam cuka.

Mungkin masyarakat Cina, India, Iban, Kadazan dan bangsa atau etnik lain di Malaysia juga mempunyai amalan yang berbeza untuk mendisiplinkan anak yang suka menggunakan perkataan yang tidak elok.

Saya tidak akan mengulas tentang betul atau tidak amalan dan hukuman sebegini atau berkesan atau tidak untuk mengubah tingkah laku anak dan mendidik mereka untuk menggunakan perkataan yang elok-elok saja.
Seperti yang saya selalu tekankan dalam penulisan saya, setiap tingkah laku anak ada sebabnya.
Hanya apabila kita tahu sebabnya, kita boleh mencari kaedah yang berkesan untuk mendidik dan memperbetulkan tingkah laku anak.

KENAPA ANAK MENGGUNAKAN PERKATAAN YANG KESAT DAN KASAR?

Tentulah mengejutkan, mengecewakan dan mungkin menimbulkan kemarahan sekiranya anak kecil tiba-tiba menggunakan perkataan yang tidak pernah pun keluar dari mulut kita dan tidak menjadi amalan dalam rumah kita.

1. PERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN BAHASA

Menurut Paul Bloom, pakar psikologi dari University of Yale, adalah tidak mengejutkan sekiranya anak kecil menggunakan perkataan tidak elok kerana mereka dalam fasa ‘mimic’ atau meniru perkataan yang sering didengari di sekitar mereka terutamanya yang digunakan oleh orang terdekat seperti ayah, ibu, guru dan rakan-rakan. Meniru perkataan adalah sebahagian dari perkembangan bahasa dan komunikasi dan ia berlaku amat pesat terutamanya ketika usia awal kanak-kanak .
Apabila anak kecil belajar dengan meniru, mereka sebenarnya tidak faham pun apa yang ditiru. Mereka tidak faham apa maksud perkataan yang didengari dan ditiru itu. Mereka hanya mimik tanpa memahami. Oleh sebab itulah memarahi, cubit, rotan, cili anak atau ‘wash out mouth with soap’ ketika usia ini BELUM TENTU menjadi kaedah yang berkesan untuk memperbaiki tingkah laku anak.

2. PERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN EMOSI

Apa yang menarik perhatian kanak-kanak adalah ton atau nada apabila sesuatu perkataan kesat itu disebut. Bahasa kesat selalunya digunakan dengan ton yang menggambarkan perasaan marah, kecewa, dan mungkin juga gembira, lucu atau sindiran.

Contohnya perkataan ‘bodoh’ sering diucapkan orang dewasa ketika memarahi pemandu di jalan raya ketika sedang marah. Perkataan ‘bodoh’ juga boleh diucapkan sambil ketawa kerana merasa lucu dengan perbuatan seseorang.
Anak kecil mengaitkan perkataan dengan nada dan emosi ketika perkataan tersebut disebut kerana ketika usia ini emosi anak sedang berkembang.

Perkataan kesat sering diucapkan oleh anak-anak dan juga orang dewasa untuk memberi penekanan kepada emosi yang sedang dialami. Jika anak-anak tidak tahu perkataan alternatif, atau tidak diajar perkataan alternatif untuk diucapkan, mereka akan berterusan menggunakan perkataan kesat yang dipelajari tersebut sama ada dari orang sekeliling ataupun dari rancangan televisyen, video atau youtube yang ditonton.

Perkayakan kosa kata anak dengan mengajar anak perkataan yang elok dan sesuai digunakan ketika marah, ketika kecewa, ketika sedih dan juga ketika gembira

3. PERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN MEMBUAT KEPUTUSAN.

Disebabkan bahagian pre frontal cortex dalam otak yang membantu anak untuk berfikir secara rasional dan membuat keputusan masih terlalu ‘mentah’, mereka juga tidak tahu sama ada sesuatu perkataan itu elok ataupun tidak untuk diucapkan. Anak hanya mimic. Mereka belum berupaya untuk berfikir.

Inilah sebabnya sebagai ibubapa yang sudah dewasa, tentunya, kita perlu ‘meminjamkan’ kebijaksanaan kita dengan membimbing anak dengan nilai dan perkataan yang elok untuk ditiru oleh anak. Jikalau kita tidak bijak dengan perkataan walaupun otak sudah tua usianya, apa yang boleh kita harapkan daripada anak?

4. PERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN SOSIAL.

Anak-anak terutamanya yang sudah bersekolah dan remaja sangat mudah dipengaruhi oleh rakan–rakan. Ada di antara mereka menggunakan perkataan kesat supaya diterima sebagai sebahagian dari satu perkumpulan sosial sama ada di sekolah, di kawasan perumahan atau juga di grup ‘chat’ seperti whatsapp, wechat, telegram, dan seumpamanya.

Ada juga yang cuba menarik perhatian seseorang atau sesuatu kumpulan dengan menggunakan perkataan kesat yang dirasakan lucu untuk menambah perisa dalam perbualan.

Pantaulah dengan siapa anak berkawan dan dengan siapa anak cuba hendak berkawan kerana ia akan mempengaruhi perkataan-perkataan yang diucapkan oleh anak-anak.

Pantau juga siapa yang menjadi role model atau ikutan anak-anak. Ada anak yang mengagumi dan menjadikan selebriti tv atau youtube sebagai idola. Adakah perkataan yang digunakan oleh selebriti-selebriti tersebut menepati nilai yang cuba anda pupuk dalam keluarga anda?

Sebagai ibubapa kita perlu juga ambil tahu apakah ‘trend’ atau ‘pop culture’ pada zaman anak-anak kita membesar kerana ia akan mempengaruhi anak-anak kita.

Jangan hanya marah anak apabila dia menggunakan perkataan negatif, jangan hanya mencari yang negatif sahaja untuk dihukum.

Carilah juga momen-momen apabila dia menggunakan perkataan yang elok atau momen di mana dia cuba untuk mengubah tingkah lakunya walaupun tidak selalu.
Sebut momen tersebut dan puji usahanya supaya dia tahu yang dia juga berupaya untuk menjadi baik dan supaya dia tahu yang usahanya dilihat dan dihargai.

Ini akan menjimatkan stok cili dan sabun anda.

Insya Allah.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s