Melontar Kali Terakhir (13 Zulhijjah) Dan Berakhirnya Ibadah Haji

Alhamdulillah, kami bermalam di Shisha selepas tiba dari Jamrah pada awal pagi 13 Zulhijjah. 13 Zulhijjah merupakan hari Jumaat dan kami menunaikan solat Subuh di Masjid Shisha bersama ratusan jemaah lain. Di masjid ini kami bertemu 2 orang anak-anak kecik (dalam 7-8 tahun) yang meminta sedekah. Jiwa mereka sungguh murni. Apabila si adik menangis, si kakak cepat-cepat memujuk dan apabila kami memberikan wang, mereka saling berkongsi. Ada kelainan dari peminta sedekah yang pernah kami jumpa di tempat-tempat lain.

Kami masih perlu melontar untuk hari ke-3 dan hanya selepas itu barulah selesai Haji kami. Kami memutuskan untuk melontar sebaik selesai solat Jumaat. Perjalanan 15 minit ke Jamrah sangat berlainan dengan hari-hari sebelumnya kerana suasana agak lengang tetapi sangat panas. Sekali lagi, kami dapat melontar dengan tenang dan selesa seperti hari-hari sebelumnya, alhamdulillah.

13z
Anak-anak gembira dengan suasana jamrah yang lengang; berlari-larian mereka di sekitar kawasan jamrah sepanjang perjalanan tersebut.
13z1
Selesai melontar, berakhirlah ibadah Haji untuk kami. Ya Allah! terimalah ibadah kami dan berilah kebaikan kepada kami dan anak-anak kami. Mohon kami dijemput lagi sebagai tetamu-Mu, ya Allah. Indah sungguh pengalaman bertamu dengan-Mu ya-Rabb.

Bahagian 16 – Haji Bersama Anak-anak

Advertisements

Melontar 11 Zulhijjah Dan Bermalam Di Mina (12 Zulhijjah)

Perjalanan pulang dari Masjidil Haraam agak menarik kerana kami diberitahu bahawa jalan ke Jamrah dari Masjidil Haraam sangat sesak kerana para jemaah yang berpusu-pusu ke Jamrah untuk melontar dan kemudiannya untuk bermalam di Mina. Hati masih terasa gusar kerana kami masih belum melontar ketiga-tiga jamrah, ‘ula/sughra, wusta dan aqabah/kubra pada hari ini. Doa berterusan kami panjatkan kehadrat Allah SWT agar memudahkan perjalanan ibadah kami ini. Kami berjaya mendapat sebuat teksi yang dipandu oleh seorang pakcik yang agak berumur. Teksi beliau juga kelihatan uzur. Namun beliau kelihatan agak yakin bahawa beliau tidak akan menghadapi masalah membawa kami ke ‘Bin Dawood Shisha’ sebuah pasaraya di persimpangan jalan ke Jamrah.

Selepas memulakan perjalanan baru kami sedar bahawa pakcik tersebut sangat pakar tentang jalan-jalan belakang, sisi dan sebagainya kota Mekah. Malah yang paling menarik, di salah satu jalan tersebut beliau masuk ke jalan yang menghala ke Masjidil Haraam kembali (arah bertentangan) yang membuatkan kami agak kaget. Tetapi jalan tersebut kosong, manakala jalan di arah bertentangan ke arah Jamrah/Shisha padat dengan kenderaan yang hampir tidak bergerak. Pakcik teksi ini dengan yakin memasukkan gear undur dan mengundurkan teksi beliau di sepanjang jalan yang kosong itu. Jarak beliau berundur ada kira-kira 1/2 kilometer; dan di hujung jalan tersebut rupanya kami sudah benar-benar hampir dengan Bin Dawood. Alhamdulillah, kereta yang uzur tetapi pemandu yang sangat berpengalaman membolehkan kami menyudahkan perjalanan dalam masa kira-kira 30 minit pada masa orang-orang lain mengambil masa lebih 1 atau 2 jam akibat kesesakan. Syukur pada-Mu ya Allah!

Kami terus ke Jamrah dan melakukan ibadah melontar. Alhamdulillah, sepanjang kami melakukan ibadah melontar, kami sentiasa ada ruang tanpa perlu berhimpit atau bertolakan. Malah setiap kali melontar, sehinggalah pada hari yang terakhir, kami dapat berdiri betul-betul dihadapan tembok Jamrah tanpa ada sesiapa di hadapan kami; ini sangat memudahkan anak-anak yang ketinggian mereka tidak seberapa memastikan batu-batu yang dilontar masuk ke dalam Jamrah.

jamrah

Selepas melontar, kami kembali ke apartment Shisha kerana hari masih awal. Selepas bersolat Asar di Masjid Shisha dan kemudiannya berehat, makan malam, membersihkan diri dan bersolat Maghrib, kami pun meninggalkan Shisha memulakan perjalanan pulang ke khemah di Mina untuk bermalam di Mina pada malam kedua, 12 Zulhijjah.

Bahagian 14 – Haji Bersama Anak-anak

Melontar Jamrah Aqabah

Kami memulakan perjalanan ke Jamrah bersama-sama dengan kumpulan yang berjalan kaki dari Muzdalifah tadi. Perjalanan ke Jamrah dijangka mengambil masa kira-kira satu jam juga. Alhamdulillah, kerana hari masih pagi, cuaca agak nyaman. Namun anak-anak mula keletihan. Secara kebetulan, di dalam kumpulan kami, terdapat seorang pakcik dari Mauritius yang dibelikan kerusi roda oleh anaknya. Namun pada pagi tersebut, kira-kira 10 minit selepas perjalanan, pakcik tersebut membuat keputusan untuk berjalan dan tidak mahu menggunakan kerusi rodanya. Kami pun ‘meminjam’ kerusi roda tersebut untuk kegunaan anak-anak.
kerusiroda
Hati ini penuh dengan kerisauan di saat menghampiri Jamrah kerana pelbagai kisah kesesakan di Jamrah telah kami dengar. Bayangkan, bagaimana agaknya kami mahu memastikan setiap dari kami yang berlima ini, termasuk anak-anak yang masih kecil mahu melontar di tengah-tengah ribuan manusia. Doa tak henti-henti dipanjatkan kehadrat Allah SWT agar membantu kami…agar memudahkan urusan kami…agar menerima ibadah kami…..
aqabah2
Subhanallah….setiba di Jamrah, kami lihat kawasan Jamrah dikerumuni oleh ribuan jemaah. Berbekalkan panduan dari bahan-bahan bacaan, kami tidak terus ke Jamrah, sebalik berjalan di belakang para jemaah yang sedang melontar dan hanya menuju ke arah Jamrah di bahagian ‘belakang’. Alhamdulillah….maha suci Allah….kami mendapat ruang yang selesa betul-betul di hadapan tembok Jamrah dan sepanjang urusan kami melontar dengan mengambil giliran antara kami, tiada sesiapapun yang menolak, menghalang ataupun menunggu di belakang kami. Seolah-olah hanya kami sekeluarga yang mahu melontar pada pagi tersebut.
aqabah1
Sebaik-baik selesai melontar, kami berjalan terus keluar dari kawasan Jamrah dan meneruskan perjalanan ke apartment di Shisha. Kami tiba di sana pada jam 10 pagi dan alhamdulillah selesai sudah urusan melontar yang dirisaukan kesesakannya….dan kami berjaya melakukannya pada waktu afhdal….segala puji bagi Allah.

Bahagian 11 – Haji Bersama Anak-anak