Jika Anda Stres, Renung Kembali Adakah Anak Anda Tidur Awal Atau Tidak?

 

Bagi ibubapa yang stres kerja, stres kewangan, stres kesesakan lalu lintas, stres kos sara hidup, dan bermacam-macam stres lagi dalam kehidupan moden sekarang, ini salah satu petua yang terbukti berkesan untuk membantu mengurangkan tekanan dan membantu kesihatan mental secara keseluruhan.

Tidur awal bukan sahaja menjadikan anak-anak lebih sihat, gembira dan ‘sharp’ atau fokus. Ia juga menjadikan ibubapa lebih tenang. Ibubapa juga perlukan ‘me time’ berdua untuk bersantai, bersembang tentang hal masing-masing dan berbincang tentang isu-isu semasa tanpa hiruk pikuk anak-anak.

Ini adalah cara yang paling mudah dan murah dan pada masa yang sama baik untuk anak-anak.

Tidak ada sebab kenapa anak perlu tidur lewat. Jika mereka tonton TV atau bermain gajet, sudah semestinya anak akan tidur lewat kerana pancaran sinar dari skrin menjadikan otak terus aktif. Anak memerlukan waktu tenang tanpa aktiviti yang mengaktifkan otak sebelum tidur. Jika otak mereka aktif, tentulah mereka sukar tidur.
Jika anak tidur lewat, bertambah-tambah lagi stres kita kerana perlu menguruskan mereka sehingga lebih masa setelah seharian keletihan.

Ataupun mungkinkah kita yang tertidur terlebih dahulu sebelum anak dan membiarkan mereka sendirian melayari internet atau game?

Latihlah anak untuk tidur awal. Jangan beralasan anak tidak mahu, anak protes, anak bantah atau anak tidak makan saman.

Bos di rumah adalah ibubapa bukannya anak-anak.

Bertegaslah.

Jika anda merasa stres, cuba renung kembali adakah anak anda tidur awal atau tidak?

Noor Afidah Abu Bakar.
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Artikel penuh

Advertisements

Mustahil Memberi Penyelesaian Tanpa 15

Apabila berhadapan dengan tingkah laku (behaviour) kanak-kanak, penyelesaian bagi cabaran A bukannya jelas (straight forward) kaedah XYZ.

Penyelesaian bagi cabaran A hanya boleh dikenalpasti dengan

1. mengetahui latar belakang pelaku
2. mengetahui latar belakang pendisiplin
3. mengetahui usia pelaku
4. mengetahui tahap perkembangan pelaku
5. mengetahui pembawaan pelaku
6. mengetahui pembawaan pendisiplin
7. mengetahui keperluan pelaku
8. mengetahui rutin pelaku dan pendisiplin
9. mengetahui senario penuh tingkah laku
10. mengetahui konteks tingkah laku
11. mengetahui semua individu yang terlibat
12. mengetahui masa atau durasi tingkahlaku
13. mengetahui ‘trigger’ atau penyebab tingkah laku
14. mengetahui tindak balas terhadap tingkah laku selama ini
15. mengetahui cabaran yang berkaitan

Oleh itu, bagi yang bertanya saya bagaimanakah caranya untuk menghadapi anak yang memberi cabaran A, mustahil untuk saya memberi respon hanya dengan satu baris coretan.

Sebagai ibubapa dan guru, semua ini harus difikirkan apabila berhadapan dengan cabaran.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Cuti Bersalin 6 Bulan – CIMB

CIMBCutiBersalin

Syabas CIMB.
Semoga banyak lagi pihak yang akan memberi sokongan kepada ibubapa dalam era yang mencabar ini.

“Kami percaya setiap individu mempunyai keperluan berbeza dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kami juga percaya faedah yang diberikan dapat memupuk budaya keibubapaan tanpa perlu meninggalkan kerjaya sedia ada.”

“Malah, kami juga meneroka kemungkinan melanjutkan manfaat ini kepada semua kakitangan di seluruh kumpulan,” katanya.

Selain manfaat cuti bersalin bergaji, CIMB turut menjalankan inisiatif lain dalam menyokong keperluan keluarga kakitangannya termasuk memberi kelonggaran kakitangan yang mempunyai anak berusia kurang lima tahun atau berkeperluan khas untuk bekerja dari rumah sehari dalam seminggu.”

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Kuasa SuperDaddy

SuperDaddy

Bermula tahun ini semua tandas awam lelaki di New York perlu dilengkapi dengan meja menukar lampin. Semuanya bermula apabila video seorang ayah yang mengadu kesukaran menukar lampin anak di tandas awam menjadi tular di internet dan memulakan gerakan Squat For Change.

Kata Gabenor New York,

“New York proudly leads the nation in fighting for the rights of working parents, and by ensuring access to these amenities, we will help ensure all New Yorkers can give their children the care they need at this critical stage of their lives,”

Beginilah betapa seriusnya ayah zaman sekarang ingin turut serta dalam proses membesarkan dan mendidik anak terutamanya ketika usia awal yang kritikal.
Semoga kegigihan para bapa mendapat sokongan sewajarnya.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

4 Jenaka Mesti Dielakkan

Jenaka

Humor atau jenaka dan gurauan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ahli keluarga perlu sering ketawa bersama-sama kerana ia boleh meredakan ketegangan atau stres yang bukan sahaja dialami oleh ibubapa, malah juga oleh anak-anak. Ketawa merembeskan hormon endorfin yang menenangkan dan mengurangkan hormon stres cortisol.
Suasana yang sentiasa serius, penuh kritikan dan kurang senyuman di antara ahli keluarga menambahkan lagi tekanan sedangkan rumah dan keluarga sepatutnya menjadi tempat yang mewujudkan ketenangan.

Jenaka juga boleh menjadi medium untuk menyampaikan nasihat dengan cara yang ringan kerana ia mudah diingati oleh anak-anak.

Walau bagaimanapun, terdapat 4 jenis JENAKA TIDAK SIHAT yang perlu dielakkan oleh ayah dan ibu:

1) JENAKA LUCAH.
Jenaka sebegini tidak seharusnya dianggap lucu kerana ia akan mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku anak-anak.
Anak-anak akan menjadi tidak sensitif kepada kelucahan tutur kata dan perbuatan kerana mereka sudah ‘desensitised’ atau sudah lali dengannya.
Pantau dan tapis juga lawak jenaka di media yang ditonton oleh keluarga dan anak-anak. Ramai pelawak yang suka menggunakan unsur lucah untuk meraih populariti.

2) BERBOHONG SAMBIL BERJENAKA.

Ramai yang menganggap berbohong dalam jenaka itu hanyalah satu gurauan yang tidak perlu diambil serius.

“Alaa, ayah gurau saja. Tak betul pun. Ayah main-main saja.”

Elakkanlah dari berbohong ketika berjenaka. Cakaplah perkara yang benar dan jujur dalam jenaka. Ini kerana terdapat hadith hasan yang mengingatkan tentang perkara ini.

Daripada Muawiyah bin Haidah al-Qusyairi, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ بِالْحَدِيثِ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ فَيَكْذِبُ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ ” .
Celakalah kepada manusia yang berkata dengan sesuatu perkataan yang dusta untuk membuatkan manusia ketawa. Celakalah dia, celaka lah dia.
[Jami’ at-Tirmizi, Kitab az-Zuhd, hadis no: 2315, Imam at-Tirmizi menyatakan ia hadis hasan]

Beringatlah ketika berjenaka dengan anak-anak.

3) JENAKA DENGAN MENTERTAWAKAN ORANG LAIN.

Jenaka yang sebegini tidak mengajar anak erti hormat-menghormati sesama manusia. Sebaliknya ia mengajar anak untuk memandang rendah kepada orang lain.
Jenaka sebegini juga boleh menjadikan anak seorang pembuli yang suka mengejek dan mentertawakan orang lain tanpa rasa bersalah kerana dia sudah biasa.

Ada juga yang menjadikan rupa paras dan fizikal seseorang sebagai satu gurauan. Ini adalah sesuatu yang salah sama sekali. Fizikal manusia adalah ciptaan Allah SWT. Menjadikan fizikal orang lain sebagai satu bahan jenaka dalam keluarga membuatkan anak lupa tentang kebesaran Allah sebagai Pencipta yang sempurna semua ciptaanNya.
Berhati-hatilah.

4) JENAKA TENTANG POLIGAMI.

Saya sering melihat orang lelaki yang berpangkat seorang ayah dan juga datuk suka bergurau soal poligami sehinggakan kadang-kadang ia berbau lucah.
Poligami bukanlah sesuatu yang boleh dibuat bahan gurauan. Hormatilah wanita dan kanak-kanak perempuan dalam keluarga anda. Hormatilah ibu anda, isteri anda, kakak anda, adik perempuan anda dan anak perempuan anda. Janganlah bergurau soal poligami sehingga merendah-rendahkan martabat wanita dan menyebabkan mereka merasa malu.
Hentikanlah jenaka yang tidak lucu ini.

Amalkanlah jenaka atau humor dalam keluarga kerana ia mewujudkan ketenangan dan mengeratkan perhubungan kekeluargaan. Namun berjenakalah dengan bijak dan bermoral kerana setiap sesuatu yang keluar dari mulut ibubapa akan menjadi ikutan dan amalan anak-anak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Di Ambang Tahun Baru

ambangtahunbaru

Alhamdulillah.
Berpeluang menyantuni anak-anak remaja perempuan berusia 13-17 tahun bagi membincangkan isu ‘sexual/cyber grooming’, penderaan seksual dan pornografi.
Selalunya saya berbicara dengan ibubapa, tetapi kali ini dengan remaja sendiri.

Banyak soalan yang anak-anak ini ajukan sepanjang 2 jam program. Ternyata mereka juga mempunyai banyak persoalan tentang isu ini dari pemerhatian, pengamatan dan pengalaman mereka sendiri.

Anda mungkin tertanya-tanya, bukankah sekiranya kita bercakap isu-isu seks dengan remaja, mereka akan terdorong untuk melakukannya? Bukankah keterbukaan hanya akan menyebabkan maksiat akan berleluasa di kalangan remaja?


Ayah dan ibu…

Mengikut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), penderaan seksual kanak-kanak dari tahun 2010 hingga Mac 2017* melibatkan

13,272 kes rogol
6,014 kes cabul
1,766 kes sumbang mahram
1,152 kes luar tabii

Ini kes yang dilaporkan dan direkodkan sahaja.
Ada kejadian yang tidak dilaporkan kerana malu dan takut kerana 80% pemangsa adalah individu yang dikenali mangsa.

Tahukah ayah dan ibu, ramai kanak-kanak dan remaja ‘terserempak’ dengan bahan pornografi melalui ‘ads’ ketika melayari internet walaupun mereka tidak mencari pada awalnya? Ini diakui sendiri oleh mereka.

Jika tidak dibimbing, mereka akan terus terjebak dan ketagih.

Adakah ayah dan ibu sendiri tahu peringkat-peringkat ‘sexual/cyber grooming’?


 

Apabila kita berbincang secara ilmiah dengan remaja tentang penderaan seksual, ‘sexual/cyber grooming’ dan pornografi,

  1. Kita mengajar mereka cara untuk mengenalpasti bahaya supaya tidak terpedaya oleh pemangsa.
  2. Kita juga mempersiapkan diri mereka dengan skil keselamatan diri supaya mereka tahu bagaimana caranya untuk bertindak dan mempertahankan diri sekiranya menjadi sasaran.
  3. Kita mahu mereka sedar bahawa jika mereka melaluinya atau terjebak, mereka perlu mendapatkan bantuan kerana ada pihak yang boleh membantu.
  4. Kita juga mahu menyakinkan mereka bahawa mereka tidak patut menyalahkan diri sendiri sebaliknya pemangsalah yang perlu dihukum.
  5. Kita juga menggalakkan mereka untuk menyebarkan ilmu dan maklumat bagi membantu rakan-rakan mereka kiranya ada yang menjadi mangsa.

Kita bukan bercakap secara lucah, kita bercakap dengan ilmu dan hikmah.

Jika tidak ada sesiapa yang berbincang dengan mereka, mereka tidak akan peka dan mereka lebih mudah menjadi sebahagian dari statistik.

Jika kita tidak berbincang dengan mereka, kita membuka ruang dan peluang kepada pemangsa untuk terus bermaharajalela.

Jika kita tidak berbincang dengan mereka, mereka mencari jawapan di internet dan ini lebih memudaratkan.

Anak-anak perempuan dan lelaki perlu dibekalkan dengan ilmu keselamatan diri (personal safety) dan memahami sentuhan selamat dan tidak selamat sejak dari usia prasekolah lagi kerana pemangsa mencari sasaran tanpa mengenal usia.

Syabas diucapkan kepada pihak Nisa Serdang, IMPACT dan Masjid Al Hasanah Bangi yang telah menganjurkan program ini. Semoga kita dapat meneruskan usaha untuk memperkasakan dan melindungi anak-anak kita kerana mereka juga punya cita-cita dan impian yang ingin dicapai. Jangan biarkan mereka menjadi mangsa sikap tidak cakna kita.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

*Sumber Berita Harian 27 Julai 2017

25 Tanda Anak Belajar Di Tadika

25tandabelajarditadika

BELAJAR APA DI TADIKA HARI INI, NAK?

“KENAPA ANAK SAYA ASYIK MAIN SAJA?”
“Kenapa anak saya tidak diberi homework?”
“Kenapa anak saya tidak diberi latihan dalam buku dan worksheet?”
“Kenapa anak saya tidak diberi latihtubi matematik?”
“Kenapa anak saya tidak bawa balik hasil bertulis?”
“Kenapa anak saya tidak pandai baca?”
“Kenapa anak saya tidak ada peperiksaan?”

Jika anda tertanya-tanya soalan ini nanti, ketahuilah bahawa pembelajaran adalah satu proses.

Jika anda perhatikan anak anda yang berada di tadika menunjukkan ciri-ciri di bawah ini secara berperingkat, ketahuilah bahawa proses pembelajaran sedang berlaku.
JANGAN PANIK.

Fokus pembelajaran di peringkat usia awal adalah untuk membentuk:

  1. keperibadian
  2. minat dan kecenderungan
  3. perhubungan.

Semua ini tidak boleh dinilai di atas kertas.


Pembelajaran berlaku sekiranya anak:

  1. Berminat untuk mengenal Pencipta dan ciptaanNya.
  2. Berjaya memahami dan melabel emosi sendiri. Tahu dia gembira, sedih, marah, kecewa dan sebagainya.
  3. Cuba untuk membimbing dan mengurus emosi sendiri.
  4. Cuba memahami emosi rakan dan mempunyai empati terhadap rakan.
  5. Pandai membina perhubungan dengan rakan dan mencari perkaitan antara hidup sendiri dan hidup orang lain.
  6. Yakin berinteraksi dan bermain dengan orang lain.
  7. Pandai bekerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah.
  8. Patuh dan menghormati apa yang diperkatakan oleh guru dan ibubapa.
  9. Mengikut arahan dan memahami peraturan.
  10. Mendengar dan menghormati pendapat rakan.
  11. Yakin memberi pendapat dengan tertib dan berhemah.
  12. Banyak bertanya soalan.
  13. Mengelak dari bertindak negatif dan agresif terhadap rakan kerana faham kesannya.
  14. Memahami persamaan dan perbezaan antara manusia.
  15. Cakna dan prihatin terhadap kesukaran yang mungkin dihadapi oleh orang lain.
  16. Bersemangat untuk membantu dan menyumbang dalam komuniti.
  17. Memahami manfaat dan mudarat teknologi terutamanya gajet.
  18. Berminat untuk membaca apa sahaja label, papan tanda, teks atau bahan bacaan yang dilihatnya.
  19. Suka meluahkan idea dan emosi melalui contengan, lakaran, lukisan atau penulisan.
  20. Membina dan merekacipta sesuatu.
  21. Berjaya menunda kepuasan dan bersabar apabila mengingini sesuatu.
  22. Menghormati dan menepati masa. Tetap pada rutin.
  23. Memahami nilai wang dan bijak berjimat cermat dan menabung.
  24. Mengetahui perbezaan antara kemahuan dan keperluan.
  25. Peka terhadap alam sekitar, flora dan fauna dan bersemangat untuk memeliharanya.

Jika pada penghujung fasa tadika nanti anak menunjukkan sebahagian atau semua ciri-ciri tersebut, yakinlah anak sedang belajar untuk menjadi manusia. Itulah proses pembelajaran yang paling penting pada usia awal kerana kesannya akan berpanjangan.
Insya Allah.

“Please don’t expect too much of me
I’m learning more than you can see
Being simply here to enjoy and play
Means more to me than I can say
Please don’t fret at the end of the day
If I have nothing to display
I really gain so much from play
Social skills and come what may
So when I come home empty handed
From such a very busy play
Please don’t say
Haven’t you done anything today?”
-Anonymous-

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/