Checklist Buat Ibubapa Dan Penjaga Tentang Keselamatan Anak

Pemilik, pengusaha, pengasuh dan pendidik di taska, tadika, pusat perkembangan kanak-kanak dan sekolah yang bertanggungjawab adalah:

  1. Mereka yang dengan pantas akan memberitahu ibubapa jika sesuatu kecederaan atau kemalangan berlaku kepada anak-anak di bawah jagaan mereka.
  2. Mereka tidak menyembunyikan walaupun kecederaan atau luka yang ringan pada anak-anak.
  3. Mereka tidak tunggu sehingga ibubapa bertanya kenapa ada luka-luka atau lebam-lebam di badan anak.
  4. Mereka tidak tunggu sehingga ‘dikantoikan’ oleh ibubapa atau penjaga barulah tergagap-gagap hendak mencari punca.
  5. Mereka mempunyai polisi yang jelas tentang perlindungan dan keselamatan kanak-kanak di premis mereka yang dikongsi dan dihebahkan kepada ibubapa ketika pendaftaran.
  6. Mereka memastikan ibubapa faham akan polisi ini dengan meminta ibubapa menandatangani surat sebagai pengesahan.
  7. Mereka sentiasa peka tentang kebajikan, kesihatan dan keselamatan anak-anak di bawah jagaan mereka.
  8. Mereka sentiasa memantau aktiviti anak-anak bagi memastikan keselamatan fizikal, emosi dan mental anak-anak di bawah jagaan mereka terjaga.

ADAKAH TASKA/TADIKA/SEKOLAH ANAK ANDA MEMPUNYAI CIRI-CIRI DI ATAS?

Pengasuh dan pendidik di taska, tadika dan pusat perkembangan kanak-kanak yang mendera kanak-kanak di bawah jagaan mereka terdiri daripada:

  1. Mereka yang percaya bahawa kanak-kanak perlu disakiti dan dicederakan sebagai kaedah untuk mendidik.
  2. Mereka yang percaya hanya hukuman fizikal yang paling sesuai dan efektif untuk mengubah tingkah laku anak.
  3. Mereka yang membesar atau tinggal dalam persekitaran yang ganas dan tidak harmoni.
  4. Mereka yang menggunakan kaedah yang sama ke atas anak-anak kandung/tiri/angkat mereka sendiri di rumah.
  5. Mereka yang tidak tahu kaedah lain selain hukuman fizikal.
  6. Mereka tidak faham perkembangan kanak-kanak.
  7. Mereka tidak melalui latihan yang sepatutnya dan secukupnya tentang penjagaan, pendidikan, perlindungan dan keselamatan kanak-kanak.
  8. Mereka yang tertekan atau mengalami masalah kesihatan mental yang memerlukan rawatan.

SANGGUPKAH ANDA MELETAKKAN ANAK-ANAK DI BAWAH JAGAAN MEREKA?

IBUBAPA:

  1. Jika anak dengan KONSISTEN tidak suka ke taska, tadika atau sekolah, siasatlah dulu kenapa. Janganlah terus dipaksa anak juga hanya kerana anda sudah lewat ke tempat kerja atau kerana anda perlu bekerja.
  2. Jika terdapat luka-luka dan lebam pada badan anak tetapi pengasuh atau pendidik tidak memberitahu anda ataupun tidak tahu kenapa, maka anda perlu merasa curiga.
  3. Jika anak menceritakan sesuatu yang tidak baik berlaku di taska, tadika atau sekolah, jangan terus didiamkan anak. Wujudkan juga rasa curiga dan tertanya-tanya dalam diri untuk menyiasat.
  4. Jika anak anda berkelakuan ganas atau menuturkan perkataan yang tidak elok, pantaulah juga keadaan dan budaya di taska/tadika kerana anak-anak akan meniru perbuatan yang mereka lihat dan dengar.

JANGAN TUNGGU SEHINGGA TERHANTUK BARU TERNGADAH.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Advertisements