Saya sering berkongsi dengan ibubapa dan guru-guru dalam sesi-sesi saya tentang peri pentingnya untuk anak-anak merasa diri bernilai (valued), diiktiraf (acknowledged) dan dihormati (respected) dalam keluarga, di sekolah dan dalam masyarakat.
Saya juga berkongsi tentang perlunya anak ada rasa kebersamaan (sense of belonging) dan penting (significance).
Ada ibubapa yang bertanya saya, bukankah perasaan itu akan menyebabkan anak-anak besar kepala dan tidak menghormati ibubapa?
Saya tertarik dengan kupasan yang dibuat oleh Sheikh Abdullah Nasih Ulwan tentang SALAH SATUdaripada 10 faktor yang menyebabkan penyelewengan ataupun yang menimbulkan masalah tingkah laku dalam diri anak-anak yang saya kira sangat releven untuk menjawab soalan tersebut.
Menurut beliau, perlakuan ibubapa yang tidak baik terhadap anak boleh mengakibatkan penyelewengan dalam diri anak-anak.
Petikan dari buku ‘Pendidikan Anak-anak Dalam Islam (1988:148)’yang ingin saya kongsikan di sini,
“Di antara hal-hal yang hampir-hampir semua pakar pendidikan sepakat mengenainya, ialah bahawasanya jika si anak diperlakukan dengan perlakuan yang keras dari ibubapa atau para pendidiknya, dan didera dan dipukul atas sesuatu perkara secara berlebihan, dan sering pula ia dimaki dan dihamun, dihina dan direndahkan – (ridiculed, shamed, put down), – niscayalah suatu tindak balas akan terlahir dalam perjalanan dan kelakuannya.
Dan tanda-tanda takut dan tidak puas hati akan lahir dalam segala gerak geri dan perbuatannya – (emosi negatif).
Adakalanya hal itu boleh menariknya kepada membunuh diri, ataupun kepada membunuh kedua ibubapanya, ataupun dia akan meninggalkan rumahnya untuk pergi tanpa kembali lagi, kerana hendak mengelakkan diri daripada apa yang ditanggungnya dari kekerasan yang zalim dan perlakuan yang sungguh memedihkan itu.”
“Islam dengan pengajaran-pengajaran yang kukuh dan kekal menyuruh sekalian orang yang terletak di atas pundaknya tanggungjawab bimbingan dan pendidikan, terutama sekali para ibubapa, hendaklah mereka menghiaskan diri mereka dengan sifat-sifat budi yang mulia, lemah lembut, belas kasihan sehingga anak-anak mereka membesar di atas jalan yang lurus dan terdidik dengan semangat berani berterus terang dan bebas diri. Tegasnya supaya mereka merasakan diri mereka berharga – (valued), terhormat – (respected) dan termulia – (honoured).”
Semoga kupasan dan penjelasan ini membantu kita untuk memperbaiki diri kita dan pendekatan kita dalam mendidik anak-anak kita.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/