4 Perkara Yang Membentuk Seorang Anak

Perkembangan seorang kanak-kanak termasuklah dari segi tingkah lakunya adalah satu proses yang dinamik dan aktif. Semua individu dan segala yang ada di persekitaran seorang anak itu akan mempengaruhi pembesaran dan perkembangannya.

bentukanak

Berhati-hatilah dengan ungkapan “Masalah ini tidak berlaku dalam keluarga saya maka tidak perlulah saya ambil peduli.”

Kita tidak boleh mengabaikan atau tidak peduli dan tidak cakna tentang persekitaran anak kerana kiranya sesuatu yang negatif berlegar-legar dalam masyarakat, ia akhirnya akan terkesan ke atas anak kita dan keluarga kita juga satu hari nanti.

Bronfenbrenner, seorang pakar psikologi perkembangan melalui Teori Ekologi Manusia mengkaji persekitaran semulajadi kanak-kanak seperti di rumah, di sekolah dan di dalam komuniti setempat untuk melihat perkaitannya dengan perkembangan kanak-kanak.

Menurut Bronfenbrenner, keupayaan ibubapa untuk membesarkan dan mendidik anak dengan efektif juga bergantung kepada faktor luaran antara lain seperti taska, sekolah, rakan dan saudara mara yang dapat membantu ketika kecemasan, media, kualiti perkhidmatan kesihatan dan juga keselamatan di kawasan kejiranan. Jika semua aspek ini dapat mempengaruhi ibubapa dengan positif, ibubapa juga akan melihat anak-anak melalui kanta yang lebih positif dan mengemudi proses keibubapaan dengan lebih positif dan yakin. Tanpa sokongan dari persekitaran, proses keibubapaan menjadi agak sukar.

APAKAH YANG MEMBENTUK SEORANG ANAK?

PERTAMA:
Faktor utama yang mempengaruhi seorang anak adalah individu yang paling rapat dengan anak dalam kehidupan sehariannya iaitu ibubapa, adik beradik, ‘baby sitter’, guru dan rakan-rakan anak.

Bagaimana individu-individu ini berinteraksi dan berkomunikasi dengan anak akan mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku anak. Jika individu ini banyak memberi galakan dan banyak memberikan sokongan dan stimulasi, anak akan dapat membesar dan berkembang dengan positif dan sihat.

Jika layanan individu ini dipenuhi dengan kritikan, kata kesat, ugutan, dan pengabaikan, proses pembesaran dan perkembangan anak juga akan terganggu.

Pastikan anak kita dikelilingi oleh individu yang positif.
Kenalkah kita akan rakan-rakan anak kita?

Setiap anak dilahirkan dengan pembawaan (temperament) yang berbeza. Pembawaan ini akan mempengaruhi tindak balas anak kepada persekitaran. Ada anak yang sangat lasak dan aktif, ada anak yang pemalu dan ada anak yang lebih mudah diurus dan tidak banyak kerenah. Individu yang terdekat ini perlu memahami pembawaan anak kerana kaedah untuk membesarkan dan mendidik anak bergantung kepada pembawaan individu anak.
Kita tidak boleh menggunakan satu kaedah ke atas semua anak.

Jika individu yang terdekat ini tidak faham sifat semulajadi kanak-kanak, kemungkinan untuk anak ini dilayan dengan kaedah yang salah adalah sangat tinggi. Kesilapan kaedah ini akan mempengaruhi perkembangan emosi, sosial dan kognitif seorang anak.

Adakah pengasuh di taska dan guru di tadika dan sekolah memahami pembawaan anak kita?
Adakah kita sendiri memahami pembawaan setiap seorang daripada anak kita?

KEDUA:
Bagaimana individu yang rapat dengan anak berinteraksi antara satu sama lain juga mempengaruhi pembesaran dan perkembangan anak.

Bagaimanakah interaksi antara ayah dan ibu?
Adakah ayah dan ibu sering bertelagah tentang kaedah mendidik ataupun sering bertelagah tentang apa sahaja di depan anak?
Bagaimana pula dengan perhubungan antara ibubapa dan guru di sekolah?
Adakah anak selalu melihat ibu atau ayah mengkritik guru ataupun menyerang guru?

Jika ibubapa sering bekerjasama dengan pihak sekolah, hadir ke program yang dianjurkan oleh pihak sekolah ataupun sering menghadiri aktiviti yang melibatkan anak di sekolah, ini akan memberi kesan yang positif terhadap perkembangan emosi dan pembelajaran anak di sekolah.

Jika ibubapa langsung tidak mengambil kisah untuk menghadiri aktiviti sekolah, tidak hadir untuk berbincang dengan guru perkembangan anak di sekolah dengan alasan sibuk dan tiada masa, ia juga akan meninggalkan kesan ke atas motivasi pembelajaran anak.

KETIGA:
Terdapat juga aspek yang tidak berkait secara langsung dengan anak tetapi mempunyai impak yang besar ke atas proses pembesaran dan perkembangan anak contohnya pekerjaan ibubapa.

Jika pekerjaan ayah yang tidak stabil mempengaruhi emosi dan kestabilan keluarga terutamanya kerana masalah kewangan, ia akhirnya akan meninggalkan kesan ke atas perkembangan emosi, sosial dan mungkin juga kognitif anak.

Kajian juga mendapati keperluan asas seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal yang tidak mencukupi dan tidak kondusif akan mempengaruhi proses keibubapaan. Ada ibubapa yang perlu meluangkan lebih masa dan memberi keutamaan untuk memenuhi keperluan asas ini berbanding meluangkan masa dengan anak-anak. Ini akan mempunyai impak yang besar ke atas perkembangan anak kerana anak-anak memerlukan ibubapa yang responsif. Ibubapa ini perlukan bantuan dan sokongan.

Selain itu saudara mara, jiran dan media juga mempengaruhi perkembangan seorang anak.
Gaya hidup moden dan kesibukan bekerja banyak mempengaruhi kekerapan kita berinteraksi sesama jiran dan saudara mara.

Bagaimana perhubungan kita dan anak kita dengan datuk, nenek, pak cik, mak cik, sepupu dan saudara mara yang lain?
Adakah anak berada dalam kejiranan yang positif?
Bagaimanakah ibubapa membendung pengaruh yang negatif dalam kejiranan dari mempengaruhi anak?

Jika anak terlalu asyik dengan gajet dan rancangan televisyen 24 jam, perkembangan sosial dan emosi anak juga akan terkesan. Anak tidak memiliki skil sosial untuk berinteraksi dengan orang lain. Kekurangan skil ini menyukarkan anak untuk membina perhubungan yang harmoni, positif dan kekal sebagai orang dewasa. Banyak artikel yang ditulis tentang kesan penggunaan skrin yang berlebihan ke atas anak-anak yang boleh kita rujuk.

KEEMPAT:
Selain dari yang disebut di atas, sikap dan amalan dalam masyarakat umum, sosio ekonomi, peraturan, undang-undang, agama, adat, budaya, polisi dalam negara dan juga isu sejagat perlu juga kita peka dan cakna kerana ia akan mempengaruhi kemenjadian dan perkembangan anak kita.

Bagaimana adat dan budaya mempengaruhi kaedah keibubapaan yang kita amalkan?
Adakah kaedah kita sesuai dengan zaman anak kita dibesarkan?
Adakah perkhidmatan dan polisi dalam negara dapat membantu kita dalam proses keibubapaan?

Jika program televisyen banyak memaparkan adegan yang ganas ataupun banyak berkisar kisah cinta romantis yang tidak membina pemikiran, ia memberikan mesej kepada anak-anak bahawa inilah keutamaan orang dewasa dalam masyarakat kita, inilah tingkah laku yang digalakkan dan inilah cara hidup yang harus diamalkan.

Apakah yang menjadi tontonan anak-anak kita?
Apakah yang tular di media sosial?
Adakah ia membentuk pemikiran, dan akhlak anak-anak kita?

Polisi dan undang-undang yang berkait rapat dengan kanak-kanak juga akan mempengaruhi pembesaran dan perkembangan kanak-kanak walaupun kanak-kanak tidak terlibat secara langsung dengan penggubal polisi dan pengamal undang-undang.

Walaupun kita mengharapkan dunia yang lebih baik supaya anak-anak kita dapat membesar dengan lebih positif, sebagai ibubapa kita juga perlu tahu apakah faktor penting yang perlu kita peka dan beri penekanan untuk menyediakan anak kita menjadi ahli masyarakat yang lebih baik.
Ia adalah satu proses kitaran.

“It takes a whole village to raise a child.”

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s