25 Tanda Anak Belajar Di Tadika

25tandabelajarditadika

BELAJAR APA DI TADIKA HARI INI, NAK?

“KENAPA ANAK SAYA ASYIK MAIN SAJA?”
“Kenapa anak saya tidak diberi homework?”
“Kenapa anak saya tidak diberi latihan dalam buku dan worksheet?”
“Kenapa anak saya tidak diberi latihtubi matematik?”
“Kenapa anak saya tidak bawa balik hasil bertulis?”
“Kenapa anak saya tidak pandai baca?”
“Kenapa anak saya tidak ada peperiksaan?”

Jika anda tertanya-tanya soalan ini nanti, ketahuilah bahawa pembelajaran adalah satu proses.

Jika anda perhatikan anak anda yang berada di tadika menunjukkan ciri-ciri di bawah ini secara berperingkat, ketahuilah bahawa proses pembelajaran sedang berlaku.
JANGAN PANIK.

Fokus pembelajaran di peringkat usia awal adalah untuk membentuk:

  1. keperibadian
  2. minat dan kecenderungan
  3. perhubungan.

Semua ini tidak boleh dinilai di atas kertas.


Pembelajaran berlaku sekiranya anak:

  1. Berminat untuk mengenal Pencipta dan ciptaanNya.
  2. Berjaya memahami dan melabel emosi sendiri. Tahu dia gembira, sedih, marah, kecewa dan sebagainya.
  3. Cuba untuk membimbing dan mengurus emosi sendiri.
  4. Cuba memahami emosi rakan dan mempunyai empati terhadap rakan.
  5. Pandai membina perhubungan dengan rakan dan mencari perkaitan antara hidup sendiri dan hidup orang lain.
  6. Yakin berinteraksi dan bermain dengan orang lain.
  7. Pandai bekerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah.
  8. Patuh dan menghormati apa yang diperkatakan oleh guru dan ibubapa.
  9. Mengikut arahan dan memahami peraturan.
  10. Mendengar dan menghormati pendapat rakan.
  11. Yakin memberi pendapat dengan tertib dan berhemah.
  12. Banyak bertanya soalan.
  13. Mengelak dari bertindak negatif dan agresif terhadap rakan kerana faham kesannya.
  14. Memahami persamaan dan perbezaan antara manusia.
  15. Cakna dan prihatin terhadap kesukaran yang mungkin dihadapi oleh orang lain.
  16. Bersemangat untuk membantu dan menyumbang dalam komuniti.
  17. Memahami manfaat dan mudarat teknologi terutamanya gajet.
  18. Berminat untuk membaca apa sahaja label, papan tanda, teks atau bahan bacaan yang dilihatnya.
  19. Suka meluahkan idea dan emosi melalui contengan, lakaran, lukisan atau penulisan.
  20. Membina dan merekacipta sesuatu.
  21. Berjaya menunda kepuasan dan bersabar apabila mengingini sesuatu.
  22. Menghormati dan menepati masa. Tetap pada rutin.
  23. Memahami nilai wang dan bijak berjimat cermat dan menabung.
  24. Mengetahui perbezaan antara kemahuan dan keperluan.
  25. Peka terhadap alam sekitar, flora dan fauna dan bersemangat untuk memeliharanya.

Jika pada penghujung fasa tadika nanti anak menunjukkan sebahagian atau semua ciri-ciri tersebut, yakinlah anak sedang belajar untuk menjadi manusia. Itulah proses pembelajaran yang paling penting pada usia awal kerana kesannya akan berpanjangan.
Insya Allah.

“Please don’t expect too much of me
I’m learning more than you can see
Being simply here to enjoy and play
Means more to me than I can say
Please don’t fret at the end of the day
If I have nothing to display
I really gain so much from play
Social skills and come what may
So when I come home empty handed
From such a very busy play
Please don’t say
Haven’t you done anything today?”
-Anonymous-

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Advertisements

Checklist Buat Ibubapa Dan Penjaga Tentang Keselamatan Anak

Pemilik, pengusaha, pengasuh dan pendidik di taska, tadika, pusat perkembangan kanak-kanak dan sekolah yang bertanggungjawab adalah:

  1. Mereka yang dengan pantas akan memberitahu ibubapa jika sesuatu kecederaan atau kemalangan berlaku kepada anak-anak di bawah jagaan mereka.
  2. Mereka tidak menyembunyikan walaupun kecederaan atau luka yang ringan pada anak-anak.
  3. Mereka tidak tunggu sehingga ibubapa bertanya kenapa ada luka-luka atau lebam-lebam di badan anak.
  4. Mereka tidak tunggu sehingga ‘dikantoikan’ oleh ibubapa atau penjaga barulah tergagap-gagap hendak mencari punca.
  5. Mereka mempunyai polisi yang jelas tentang perlindungan dan keselamatan kanak-kanak di premis mereka yang dikongsi dan dihebahkan kepada ibubapa ketika pendaftaran.
  6. Mereka memastikan ibubapa faham akan polisi ini dengan meminta ibubapa menandatangani surat sebagai pengesahan.
  7. Mereka sentiasa peka tentang kebajikan, kesihatan dan keselamatan anak-anak di bawah jagaan mereka.
  8. Mereka sentiasa memantau aktiviti anak-anak bagi memastikan keselamatan fizikal, emosi dan mental anak-anak di bawah jagaan mereka terjaga.

ADAKAH TASKA/TADIKA/SEKOLAH ANAK ANDA MEMPUNYAI CIRI-CIRI DI ATAS?

Pengasuh dan pendidik di taska, tadika dan pusat perkembangan kanak-kanak yang mendera kanak-kanak di bawah jagaan mereka terdiri daripada:

  1. Mereka yang percaya bahawa kanak-kanak perlu disakiti dan dicederakan sebagai kaedah untuk mendidik.
  2. Mereka yang percaya hanya hukuman fizikal yang paling sesuai dan efektif untuk mengubah tingkah laku anak.
  3. Mereka yang membesar atau tinggal dalam persekitaran yang ganas dan tidak harmoni.
  4. Mereka yang menggunakan kaedah yang sama ke atas anak-anak kandung/tiri/angkat mereka sendiri di rumah.
  5. Mereka yang tidak tahu kaedah lain selain hukuman fizikal.
  6. Mereka tidak faham perkembangan kanak-kanak.
  7. Mereka tidak melalui latihan yang sepatutnya dan secukupnya tentang penjagaan, pendidikan, perlindungan dan keselamatan kanak-kanak.
  8. Mereka yang tertekan atau mengalami masalah kesihatan mental yang memerlukan rawatan.

SANGGUPKAH ANDA MELETAKKAN ANAK-ANAK DI BAWAH JAGAAN MEREKA?

IBUBAPA:

  1. Jika anak dengan KONSISTEN tidak suka ke taska, tadika atau sekolah, siasatlah dulu kenapa. Janganlah terus dipaksa anak juga hanya kerana anda sudah lewat ke tempat kerja atau kerana anda perlu bekerja.
  2. Jika terdapat luka-luka dan lebam pada badan anak tetapi pengasuh atau pendidik tidak memberitahu anda ataupun tidak tahu kenapa, maka anda perlu merasa curiga.
  3. Jika anak menceritakan sesuatu yang tidak baik berlaku di taska, tadika atau sekolah, jangan terus didiamkan anak. Wujudkan juga rasa curiga dan tertanya-tanya dalam diri untuk menyiasat.
  4. Jika anak anda berkelakuan ganas atau menuturkan perkataan yang tidak elok, pantaulah juga keadaan dan budaya di taska/tadika kerana anak-anak akan meniru perbuatan yang mereka lihat dan dengar.

JANGAN TUNGGU SEHINGGA TERHANTUK BARU TERNGADAH.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Tadika Manakah Untuk Anak Saya?

Ramai yang bertanya saya tadika yang bagaimanakah yang harus dipilih untuk anak masing-masing. Tadika jenama A kah, jenama B kah, jenama C kah yang saya rasa baik untuk anak mereka?

tadika

Kredit Gambar: Google

Ketika saya pulang dari Melbourne 14 tahun dahulu dan mencari pra sekolah untuk anak yang akan memasuki pra sekolah, saya dan suami mempunyai satu kriteria penting yang kami cari iaitu

‘Adakah tadika tersebut memberi ‘homework’ kepada pelajarnya untuk disiapkan di rumah?’

Kami bertanya soalan tersebut kepada Pengetua ketika melawat sebelum memilih.
Bagi kami, anak kecil usia pra sekolah tidak seharusnya ada ‘homework’ kerana itu adalah satu bentuk tekanan yang tidak wajar diberikan kepada kanak-kanak dan tidak langsung membantu perkembangan kanak-kanak usia tersebut.

Itu kriteria kami 14 tahun lalu.
Setiap orang mempunyai kriteria yang berbeza.

Oleh itu kepada ibubapa yang bertanya tadika jenama manakah yang harus mereka daftarkan anak mereka, jawapan saya adalah

“Apakah yang kamu mahukan untuk anak kamu?”

Setiap ibubapa perlu tahu apa matlamat masing-masing tanpa perlu mengikut dan meniru orang lain.
Untuk menetapkan matlamat, ilmu itu penting.
Apabila sudah ada matlamat dan kriteria yang dicari, kekallah dengan prinsip tersebut. Jangan mahu A tapi cari B.

Apabila ibubapa keliru, pelbagai tekanan akan kita berikan kepada anak kerana kita mahukan kesemuanya, bukannya kerana kita faham perkembangan kanak-kanak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Checklist Preschool

Checklist sebagai panduan.

preschchecklist

Preschool yang baik untuk anak-anak adalah preschool yang mengolah pembelajaran mengikut perkembangan semulajadi kanak-kanak.

Penting juga untuk ibubapa memahami bagaimana kanak-kanak berkembang supaya kita tidak terlalu menekan anak dengan ‘expectation’ yang bukan-bukan dan tidak realistik.

Bagi yang ingin menghantar anak ke Islamic preschool supaya anak menghafal Al Quran, mahir berbahasa Arab dan sebagainya, checklist ini juga penting. Apa yang perlu kita lahirkan bukan hanyal anak-anak hafiz dan hafizah semata-mata tetapi juga menjadi hufaz Ulul Albab yang boleh berfikir dengan kritis dan kreatif, yang penuh empathy dan juga memiliki skil penting dalam kehidupan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect