SEARCHING: 15 Realiti Dan Dilema Ibubapa Era Digital

searching

“You don’t always know your kid. And that is NEVER your fault”

Sudah lama saya mencari filem yang boleh menerangkan dan menterjemah istilah DIGITAL FOOTPRINT, SHARENTING, ONLINE GROOMING, TECHNOFERENCE dan pelbagai istilah baru era digital yang sering saya sebut dalam penulisan saya dan sesi-sesi saya.

Baru kini saya berpeluang menonton filem SEARCHING yang diterbitkan pada tahun 2018 dan kini ditayangkan di Netflix.

Tidak ada adegan yang tidak elok atau tidak senonoh dalam filem ini. Tidak ada adegan bercium atau berpeluk. Bahasa yang digunakan juga elok.

Filem ini diklassifikasikan sebagai 13+. Temanya mungkin berat dan tidak sesuai untuk tontonan bersama anak kecil tetapi digalakkan untuk ditonton bersama anak remaja dan berbincang dengan mereka.

Filem ini banyak menterjemahkan istilah baru yang saya sebut di atas yang telah dicipta bagi menggambarkan amalan baru yang wujud dalam keluarga dan masyarakat pada era digital ini sejajar dengan perkembangan teknologi.

Filem bergenre thriller ini memaparkan ketegangan yang dihadapi oleh seorang ayah yang mencari anak perempuannya yang hilang.   Jika anda mempunyai anak remaja perempuan dan anda tidak kuat semangat, jangan menonton filem ini. ☺️

Ia menggambarkan realiti keluarga dan keibubapaan pada masa kini di mana kita dan anak-anak kita dikelilingi oleh teknologi dan budaya digital, sama ada kita suka ataupun tidak.

Sekiranya anda seorang ayah atau ibu yang mahir tentang teknologi, internet dan apps, anda tentu dapat kaitkan penggunaan teknologi dan media sosial dalam filem ini dengan diri anda sendiri dan anak-anak.

Sekiranya anda seorang ayah atau ibu yang hanya tahu Facebook dan Whatsapp, maka mungkin filem ini akan menyedarkan anda bahawa dunia digital adalah jauh lebih luas daripada itu, lebih-lebih lagi jika anak-anak anda diizinkan untuk melayari internet dengan peranti digital milik mereka ataupun milik anda.

Mereka yang sering berkata “Aku dulu begitu begini….aku jadi orang jugak, aku baik tak macam budak-budak sekarang…” juga dialu-alukan untuk menonton filem ini agar anda faham betapa berbezanya realiti kehidupan kanak-kanak dan remaja sekarang berbanding dengan zaman kanak-kanak dan remaja anda dahulu.

Mungkin juga anda belum mempunyai anak remaja untuk memahami cabaran yang perlu dihadapi oleh remaja masa kini.

15 REALITI KEHIDUPAN DAN KEIBUBAPAAN MASA KINI YANG DIPAPARKAN DALAM FILEM INI:

1) Ibubapa perlu mempunyai pengetahuan tentang IT, media sosial dan platform digital kerana semua ini adalah sebahagian dari dunia anak-anak kita sekarang. Mereka hidup dalam zaman yang berbeza daripada kita. Jika kita tidak mengambil tahu, kita tidak akan tahu pengaruh baik dan buruk ke atas mereka dan tidak akan faham dunia dan kehidupan mereka.

Tahukah anda pada tahun 2019 ini terdapat lebih dari 60 platform media sosial, bukan hanya Facebook, Instagram, Whatsapp dan Twitter sahaja? Tahukah kita di platform manakah anak kita ‘merayau-rayau’ apabila melayari internet?

2) Mungkin akan tiba satu tahap di mana kita merasakan bahawa kita tidak lagi mengenali anak kita. Anak remaja akan melalui perubahan hormon dan juga perubahan struktur otak yang akan menjadikan dia lain daripada dirinya sewaktu kanak-kanak. Ini adalah realiti yang perlu kita terima.

“She is acting like a totally different person”, akui ayah dalam filem ini.

3) Anak yang baik juga boleh tersilap langkah sekiranya dia bersangka-sangka dengan ibubapanya sendiri dan tidak mahu meluahkan masalah yang ditanggungnya.

4) Walaupun ibubapa tegas atau garang dengan anak, perkara yang kita harapkan tidak berlaku akan tetap berlaku disebabkan oleh faktor yang di luar kawalan kita.

5) Komunikasi di antara ibubapa dan anak-anak lebih banyak berlaku secara online sekarang ini. Ini adalah sesuatu yang normal disebabkan oleh kesibukan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti mereka dan juga kesibukan ibubapa dengan tugas masing-masing.

6) Pentingnya supaya ibubapa tahu dan kenal rakan-rakan baik anak dan seeloknya kenal ibubapa mereka juga. Ibubapa juga perlu menyimpan nombor telefon rakan-rakan baik anak kerana ia mungkin diperlukan ketika waktu kecemasan atau kemalangan.

7) Apabila kita rapat dengan anak, barulah kita akan betul-betul kenal anak kita.

“I know my daughter, she did NOT run away” kata ayah yakin tentang anaknya kerana dia mempunyai hubungan yang rapat dengan anak perempuannya dari kecil lagi.

8) Sebagai ibubapa anak remaja, adakalanya kita berada dalam dilema memikirkan cara untuk merapati anak kita. Perkara yang penting bagi kita mungkin perkara remeh bagi anak, manakala apa yang penting bagi anak, kita anggap remeh. Konflik boleh berlaku disebabkan oleh perbezaan ini.

9) Ada ibubapa yang akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan anak dari kesusahan.

“Mummy is going to take care of everything”, seorang ibu meyakinkan anaknya dalam filem ini.

Adakah amalan HELICOPTER PARENTING sebegini membantu anak ataupun membawa rebah?

10) Maksud ‘friend’ pada zaman sekarang memerlukan penilaian semula. Adakah kawan online dikira sebagai kawan? Perkara ini perlu dibincangkan dengan anak-anak yang terdedah kepada interaksi online. Menganggap orang yang dikenali hanya secara online sebagai kawan mungkin akan mengancam keselamatan anak.

11) Apabila telah tular sesuatu tentang kita atau anak kita, ada netizen yang akan memuji, ada yang akan mengecam, ada yang akan mengkritik, malah kita dan keluarga kita akan dihakimi oleh orang ramai tanpa mengetahui duduk perkara yang sebenar. Itu lumrah kehidupan di alam digital.

12) Ada individu yang akan mengambil kesempatan apabila sesuatu menimpa ke atas kita. Ramai yang cuba meraih populariti di media sosial sekarang ini dengan menangguk di air keruh. Apabila kita terkenal, ramailah yang dahulunya tidak bersahabat dengan kita akan mula mendekati kita kerana ingin menumpang ‘glemer’ dan mendapatkan perhatian. Begitu juga jika sesuatu yang buruk menimpa kita, mungkin ada yang tidak begitu mengenali kita akan menokok-tambah cerita seolah-olah mereka sangat mengenali kita. Itu juga lumrah di media sosial.

13) Semua data dan maklumat di akaun media sosial yang kita atau anak kita miliki, semua gambar, video, dan teks tentang kita yang dimuatnaik ke internet, waima maklumat online banking sekalipun akan menjadi DIGITAL FOOTPRINT kita sampai bila-bila.

Dalam filem ini, Digital Footprint anak membantu ayah yang mahir tentang teknologi untuk menjejaki anaknya yang hilang. Digital Footprint ini membawa kebaikan bagi keluarga tersebut. Walau bagaimanapun kita perlu sedar bahawa Digital Footprint ini juga boleh disalahgunakan oleh orang lain sehingga mengancam keselamatan dan ketenangan kehidupan kita. Ada yang boleh menggunakannya untuk mengugut, membuli dan memalukan kita atau anak-anak kita. Perkara ini perlu diperbincangkan dengan anak-anak.

14) Ada individu yang akan menyamar di atas talian untuk mendekati anak-anak kita untuk menjadikan anak mangsa niat jahat mereka. Proses ini dikenali sebagai GROOMING. Mereka tidak menggunakan identiti sebenar malah ada yang akan menggunakan identiti orang lain untuk mendapatkan keyakinan anak kita. Mereka akan menggunakan Digital Footprint anak kita untuk mencari maklumat peribadi. Mereka akan bermain dengan emosi melalui maklumat peribadi yang mereka perolehi sehingga anak yakin yang mereka memahami masalah yang dihadapi oleh anak.

Anak akan merasakan ada persamaan di antara mereka, dan ada insan yang memahami, maka anak akan sanggup melakukan apa sahaja untuk pemangsa itu.
Filem ini memaparkan proses tersebut dalam konteks yang sedikit berbeza namun konsepnya sama. Ini harus diperbincangkan dengan anak-anak juga supaya mereka tidak menjadi mangsa.

15) Antara platform online dan media sosial yang dipaparkan dalam filem ini adalah Gmail, Facetime, Youtube, Instagram, Twitter, Facebook, Venmo, Crowdchase, Youcast, Reddit, Tumblr dan beberapa lagi yang mungkin kita kenali ataupun mungkin kita tidak biasa.

Anak-anak kita membesar pada zaman yang berbeza daripada kita.Oleh itu ‘didiklah mereka mengikut zaman di mana mereka dibesarkan.’ (Sayyidina Umar Al-Khattab)

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Leka 3 Saat. Keselamatan Anak-anak

Leka 3 saat sahaja.
Lagi lagi telefon.

Kejadian yang diberitakan berlaku di negara China ini patut menjadi pengajaran buat kita juga kerana menjadi trend kini di kalangan ibubapa dan datuk nenek untuk menyediakan kolam mandi ‘inflatable’ yang dipasang di rumah.

Pemantauan setiap saat adalah sangat penting apabila kita membenarkan kanak-kanak berada di dalam air. Jika dari dulu lagi kecelakaan berlaku, apatah lagi sekarang ini dengan kewujudan telefon pintar yang menjadikan orang dewasa kurang pintar dalam mengawas.

Tahukah anda, kanak-kanak boleh lemas walaupun dalam air sedalam 5 cm sahaja? Ya 5 cm, bukan 5 kaki.

Biasa dengar berita tentang anak yang lemas dalam baldi?

Di Australia, 1 dalam 5 kanak-kanak yang lemas adalah yang menggunakan kolam mandi ‘inflatable’.

Kids Health Australia menjalankan kempen yang dikenali sebagai ‘Kids drown without a sound’ (Kanak-kanak lemas tanpa suara) bagi mewujudkan kesedaran tentang keselamatan kanak-kanak ketika bermain di air. Kanak-kanak yang lemas tidak boleh bersuara meminta tolong.

Pantaulah dan berpesan-pesanlah.

Jika kita tidak sanggup berpisah dengan telefon walau sesaat, jangan biarkan anak di dalam air kerana risiko kita akan ‘berpisah’ dengan anak adalah sangat tinggi.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Checklist Buat Ibubapa Dan Penjaga Tentang Keselamatan Anak

Pemilik, pengusaha, pengasuh dan pendidik di taska, tadika, pusat perkembangan kanak-kanak dan sekolah yang bertanggungjawab adalah:

  1. Mereka yang dengan pantas akan memberitahu ibubapa jika sesuatu kecederaan atau kemalangan berlaku kepada anak-anak di bawah jagaan mereka.
  2. Mereka tidak menyembunyikan walaupun kecederaan atau luka yang ringan pada anak-anak.
  3. Mereka tidak tunggu sehingga ibubapa bertanya kenapa ada luka-luka atau lebam-lebam di badan anak.
  4. Mereka tidak tunggu sehingga ‘dikantoikan’ oleh ibubapa atau penjaga barulah tergagap-gagap hendak mencari punca.
  5. Mereka mempunyai polisi yang jelas tentang perlindungan dan keselamatan kanak-kanak di premis mereka yang dikongsi dan dihebahkan kepada ibubapa ketika pendaftaran.
  6. Mereka memastikan ibubapa faham akan polisi ini dengan meminta ibubapa menandatangani surat sebagai pengesahan.
  7. Mereka sentiasa peka tentang kebajikan, kesihatan dan keselamatan anak-anak di bawah jagaan mereka.
  8. Mereka sentiasa memantau aktiviti anak-anak bagi memastikan keselamatan fizikal, emosi dan mental anak-anak di bawah jagaan mereka terjaga.

ADAKAH TASKA/TADIKA/SEKOLAH ANAK ANDA MEMPUNYAI CIRI-CIRI DI ATAS?

Pengasuh dan pendidik di taska, tadika dan pusat perkembangan kanak-kanak yang mendera kanak-kanak di bawah jagaan mereka terdiri daripada:

  1. Mereka yang percaya bahawa kanak-kanak perlu disakiti dan dicederakan sebagai kaedah untuk mendidik.
  2. Mereka yang percaya hanya hukuman fizikal yang paling sesuai dan efektif untuk mengubah tingkah laku anak.
  3. Mereka yang membesar atau tinggal dalam persekitaran yang ganas dan tidak harmoni.
  4. Mereka yang menggunakan kaedah yang sama ke atas anak-anak kandung/tiri/angkat mereka sendiri di rumah.
  5. Mereka yang tidak tahu kaedah lain selain hukuman fizikal.
  6. Mereka tidak faham perkembangan kanak-kanak.
  7. Mereka tidak melalui latihan yang sepatutnya dan secukupnya tentang penjagaan, pendidikan, perlindungan dan keselamatan kanak-kanak.
  8. Mereka yang tertekan atau mengalami masalah kesihatan mental yang memerlukan rawatan.

SANGGUPKAH ANDA MELETAKKAN ANAK-ANAK DI BAWAH JAGAAN MEREKA?

IBUBAPA:

  1. Jika anak dengan KONSISTEN tidak suka ke taska, tadika atau sekolah, siasatlah dulu kenapa. Janganlah terus dipaksa anak juga hanya kerana anda sudah lewat ke tempat kerja atau kerana anda perlu bekerja.
  2. Jika terdapat luka-luka dan lebam pada badan anak tetapi pengasuh atau pendidik tidak memberitahu anda ataupun tidak tahu kenapa, maka anda perlu merasa curiga.
  3. Jika anak menceritakan sesuatu yang tidak baik berlaku di taska, tadika atau sekolah, jangan terus didiamkan anak. Wujudkan juga rasa curiga dan tertanya-tanya dalam diri untuk menyiasat.
  4. Jika anak anda berkelakuan ganas atau menuturkan perkataan yang tidak elok, pantaulah juga keadaan dan budaya di taska/tadika kerana anak-anak akan meniru perbuatan yang mereka lihat dan dengar.

JANGAN TUNGGU SEHINGGA TERHANTUK BARU TERNGADAH.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Satu Lagi Hari Menyedihkan Bagi Malaysia

Satu lagi hari yang menyedihkan bagi Malaysia. 

Setiap hari ada sahaja berita yang melibatkan layanan orang dewasa terhadap kanak-kanak. Kali ini sehingga menyebabkan kematian bayi Adam Rayqal.

Setiap hari ada ‘wake up call’ untuk semua pihak supaya lebih prihatian dan peka dengan kebajikan, kesejahteraan dan masa depan kanak-kanak.

How we treat children shows how we value children in the society.

Semoga En. Mohd Sufi dan isteri diberi kekuatan untuk melalui dugaan ini.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

“Violence Against Women Starts With Disrespect”

Peringatan yang tegas oleh Kerajaan Australia kepada rakyatnya yang sepatutnya menjadi peringatan kepada masyarakat kita juga.

domabuse

“Violence against women starts with disrespect”

Seperti yang saya tulis di pautan ini:
IKLAN YANG MEROSAKKAN ANAK DAN MASYARAKAT 

Mentaliti bahawa ‘tidak mengapa menampar, mendera dan menghina wanita jika wanita itu tidak cantik (ataupun cantik sekalipun)’, seperti yang dipaparkan dalam beberapa iklan kecantikan di Malaysia, bermula dari kecil lagi.

Jika perbuatan ganas kanak-kanak lelaki dibiarkan berkembang oleh orang dewasa dengan kata-kata seperti:

“Budak lelaki itu berbuat begitu kerana dia sukakan kamu.”
“Jangan lembik macam perempuan.”

maka keganasan itu akan terus dibawa sehingga ke tua dan akan menjadi norma dalam keluarga dan masyarakat.
Usah biarkan mereka yang mempunyai pemikiran yang rosak sebegini terus meracuni pemikiran anak-anak dan remaja kita melalui media dan apa saluran sekalipun.

Hentikan

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Diri Saya Hak Saya

Bagi yang mengikuti Parent Connect ini sejak dua tahun yang lalu, bagi yang pernah menghadiri sesi-sesi saya dan bagi yang mengenali saya secara peribadi, tentu anda tahu bahawa salah satu aspek yang sering saya tekankan dalam ‘parenting’ sejak dulu adalah tentang Keselamatan Diri (Personal Safety) ataupun Pendidikan Seksual Anak-anak.

 

dirisayahaksaya

Ramai orang dewasa yang sudah berkahwin dan belum berkahwin tampil bercerita kepada saya tentang kisah-kisah hitam masa lalu mereka didera secara seksual ketika kecil dulu yang sering menghantui mereka sehingga kini. Mereka didera oleh orang yang dekat dengan mereka.

Apabila saya bertanya apakah nasihat yang ingin mereka berikan kepada ibubapa sekarang, jawapan mereka sama saja,

“Ajari anak tentang Keselamatan Diri (Pendidikan Seksual) supaya anak tahu apa yang harus dilakukan.”

Saya menyokong segala usaha oleh sesiapa saja untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran tentang isu ini.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Di bawah adalah coretan NGO Mothers against Pornography.

________________________________________________

Harapkan pegar, pegar makan padi.

Mutakhir ini, begitu banyak sekali kes-kes pencabulan yang berlaku ke atas anak-anak, tidak kira kecil atau remaja. Yang tambah memeritkan apabila yang melalukan perbuatan durjana ini adalah dari kalangan mereka yang sepatutnya melindungi anak-anak tersebut.

Adakah kita hanya sekadar baca dan biarkan kisah-kisah tragis itu berlalu pergi kerana kita merasakan yang ianya tidak terjadi kepada anak-anak kita?

Jangan sampai kita menangis tidak berlagu kerana menyesal tidak mengambil berat dan mengambil tahu.
Ayuh, kita sama-sama ambil peduli. Kita perkasakan anak-anak kita. Mari bersama-sama kami, kita berpegang tangan berganding bahu dalam menyebarluaskan kesedaran tentang keselamatan diri dan maruah anak-anak kita.

“DIRI SAYA HAK SAYA” adalah manifestasi kekuatan kita dan anak-anak.
Layari www.lovemyself.ikram.org.my/ untuk mengikuti kursus atas talian (online course) PERCUMA berkaitan cara-cara menjaga keselamatan diri dan maruah anak anda.

Jom sertai pertandingan video berkisar tentang topik ini – terbuka untuk anak-anak berumur 5-12 tahun
Kami juga ingin mengajak anda untuk sama-sama sertai larian LoveMyself Run 2017 apda 22 Oktober 2017 bertempat di Padang Merbuk, KL sebagai tanda solidariti kita bersama-sama bencikan dan menolak virus pornografi dari terus merebak dan bernanah dalam masyarakat kita.

#BahagiaTanpaPornografi
#LoveMyselfCampaign
#lovemyselfrun2017
#22October2017PadangMerbokKL

Tips Tidak Tinggal Anak Dalam Kenderaan

Sekali lagi kita dikejutkan dengan insiden kanak-kanak meninggal dunia kerana ditinggalkan dalam kereta.

tipsjgntinggalanak

http://www.sinarharian.com.my/…/anak-maut-kerana-ayah-tidak…

Kealpaan yang terlalu kerap berlaku seolah-olah kita tidak mengambil iktibar. Ia boleh berlaku pada sesiapa saja tetapi ia boleh dielakkan.
Ajal maut ditentukan Allah SWT, usaha di bahu ibubapa.

Letakkan anak-anak teratas dalam fikiran kita.

Enough is enough.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Terdapat 4 Jenis Penderaan Kanak-kanak

1) Penderaan fizikal
Seorang kanak-kanak dikira sebagai mengalami penderaan fizikal jika terdapat tanda-tanda kecederaan yang boleh dilihat di tubuh kanak-kanak dan kecederaan ini bukan disebabkan oleh kemalangan. Terdapat bukti seperti luka, calar, melecet, berparut, patah atau kecederaan tulang, terseliuh, pendarahan, luka di kulit, kebakaran, melecur, hilang kewarasan atau hilang fungsi psiko logikal atau kehilangan rambut dan gigi.
(Akta kanak-kanak 2001)

2) Penderaan emosi
berlaku apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.
(Akta Kanak-kanak 2001)

3) Penderaan seksual
berlaku apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dan menjadi mangsa dari segi seks. Jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.
(Akta kanak-kanak 2001)

4) Pengabaian (Neglect)
kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.

There’s no such thing as someone else’s child. Semua kanak-kanak adalah anak-anak kita.

violence

#‎ENDViolence‬

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect